Thursday, 16 August 2012

CERPEN: CINTA EKSPRESS

Azrin mengintai dari halaman belakang banglo milik ayah dan ibunya. Beratus-ratus tetamu sedang berlegar-legar di halaman depan banglo itu. Ramai betul tetamu yang datang, dah jadi macam kenduri kahwinlah pulak. Sebenarnya, malam ini ibu dan ayahnya telah mengadakan majlis kesyukuran sempena menyambut kepulangan kakaknya, Maisara dari luar negara. Maklumlah, Maisara baru sahaja menamatkan pengajian dalam bidang pentadbiran perniagaan dan kakaknya juga sudah bersetuju untuk menyertai syarikat ayah dalam masa yang terdekat ini.

Azrin mengeluh perlahan. Hmm..aku jugak yang macam ni. Kakinya melangkah perlahan-lahan masuk ke banglo melalui pintu dapur, kelihatan Kak Nariah sedang mengemas dapur yang sedikit berselerak.

“Kak Yah!” Azrin menyapa sambil tercegat di pintu dapur.


“Eh, Arin! Apa Arin buat kat sini? Kenapa tak pergi depan layan tetamu? Dan kenapa Arin pakai macam ni?” Kak Nariah berhenti daripada melakukan kerja menyusun pinggan mangkuk dan mula melangkah mendekati Azrin. Dipandangnya Azrin dari atas sampai ke bawah beberapa kali tanpa berkelip. Azrin mula rimas. Ish, kenapa dengan Kak Nariah ni? Macam tak pernah pandang aku pulak sebelum ni.

“Alah, takkanlah Kak Yah tak faham Arin lagi? Arin tak sukalah majlis macam ni, dengan ramai orang berkumpul, Arin rimas. Tak pandai nak beramah mesra. Tak suka!” Azrin melangkah masuk dan menarik kerusi lalu duduk. Kak Nariah kembali menyambung kerjanya.

“Nanti kalau mama dengan ayah cari Arin macam mana?” Azrin terdiam sejenak mendengar soalan Kak Nariah sebelum menggeleng kepala.

“Mereka takkan cari Arin. Orang yang menjadi tumpuan malam ni Kak Sara, so buat apa nak cari Arin pulak,” Azrin bangun mencapai gelas minuman yang tersusun elok di atas kabinet dan menuang air masak lalu meneguk perlahan. Ahh!! Lega rasanya.

“Kalau betul tak cari pun, apa salahnya Arin turut sama? Mesti Kak Sara sedih kalau dia sedar Arin tak ada,” Pujuk Kak Nariah.

“Arin adalah Kak Yah, cuma Arin sokong Kak Sara dari dapur. Sama aje tu,”

“Hish budak ni, ada saja modal nak menjawab. Dahlah tu sekarang pergi tukar baju dan layan tetamu kat depan. Ramai yang datang tu,” Kak Nariah mula membebel. Opps, nampaknya tempat ini dah tak selamat, Kak Yah dah mula menghalau aku dari mahligai dapur kesayangannya.

“Alah, Kak Yah tak sporting langsung,” Azrin masih lagi membatukan diri di atas kerusi.

“Tak ada istilah sporting dalam kamus Oxford Kak Yah. Dah, yang kamu dok termenung lagi tu buat apa? Pergi sekarang!”

“Tak nak,” Jawab Azrin selamba seraya bangun dan keluar dari pintu dapur menuju ke kolam ikan kap yang terdapat di bucu banglo. Azrin duduk di birai kolam sambil memberi makanan ikan.

“Hai, sejak aku yang handle makan minum korang, aku tengok korang dah makin gemuk ya,” Azrin begitu teruja sekali dapat berbual dengan makhluk Allah yang satu itu sambil tangannya lincah menabur makanan.

“Excuse me,” Tegur satu suara. Azrin berpaling. Seorang lelaki sedang berdiri menghadapnya.

“Saya?” Azrin menuding ibu jari pada dirinya sendiri. Alamak! Siapa pula gerangan makhluk Allah yang hensem ni? Siapalah mak bapak budak ni? Mesti cantik dan tampan jugak, itu yang sampai keluar manusia yang sedang terpacak depan aku ni.

“Ya! Kamu. Boleh tolong ambilkan adik saya segelas air masak? Dan tolong gantikan air masak dalam bekas kat depan sebab air dah habis,” Lelaki itu mengarah.

“Tapi kenapa saya?” Ada ke suruh aku buat semua tu. Kalau setakat tolong ambilkan segelas air memang aku tak kisah sangat tapi ini sampai kena refill air masak kat depan? Maaf, itu bukan kerja saya!
Lelaki itu berkerut dahi. Dia memandang Azrin dari atas hingga ke bawah sebelum tersenyum sinis.

“Sebelum saya bagi sebab kenapa awak perlu buat semua itu, saya nak minta maaf. Bukan niat saya nak rendahkan martabat awak ke apa, cuma nak mengingatkan awak yang awak tu pembantu rumah, jadi sebab itulah awak perlu buat kerja tu. Itupun nak suruh saya tolong ingatkan? Atau awak dah mula berangan-angan nak jadi tuan rumah?”

Mata Azrin membulat. Aku pembantu rumah? Dia tunduk memandang pakaiannya, dengan t-shirt besar gedabak dan tracksuit ni menampakkan jawatan aku sebagai pembantu rumah kat sini ke? Azrin cuba bersabar. Dia menghantar jelingan maut pada lelaki yang suka serkap jarang itu sebelum berlalu ke dalam rumah.

Apabila langkah mula menghampiri pintu dapur dia ternampak seorang budak perempuan dalam lingkungan sembilan tahun sedang tercegat di situ. Azrin memajukan langkah menghampiri budak itu.

“Adik buat apa kat sini?” Tegur Azrin lembut dan ramah.

“Nisa nak air masak,” Jawab budak perempuan itu. Oh, Nisa! Comel betul Nisa ni, geram aku tengok. Tapi kenapa muka dia macam nak sama dengan mamat tadi? Oh, ini mesti adik dia yang nak air tadi. Memang sahih genetik diorang cantik dan tampan semuanya.

“Hah, berangan lagi. Awak ni tak habis-habis berangan. Kalau tadi berangan nak jadi tuan rumah, sekarang berangan nak jadi apa? Awak tak dengar adik saya nak apa tadi?” Satu suara menyampuk dari belakang.

Azrin menarik nafas. Tak payah berpaling pun aku dah tahu siapa dekat belakang. Tak pernah aku jumpa lelaki yang banyak bercakap mengalahkan perempuan. Dahlah ayat yang keluar dari mulutnya tak sedap didengar. Asyik menyindir saja kerjanya. Tanpa banyak soal, Azrin melangkah masuk tetapi dia berhenti di muka pintu dapur. Opps, nasib baik aku tak buat aksi terjah macam dalam rancangan Melodi kalau tak, selamat aku tergolek kat lantai. Ini mesti Kak Nariah yang buat pahala mengemop lantai.

Azrin melangkah berhati-hati mendapatkan segelas air masak untuk Nisa. Apabila berpaling untuk mendapatkan Nisa yang menunggu di luar, dia nampak Nisa sudah mula melangkah masuk.

“Err, Nisa hati-hati, lantai lic..,” Tidak sempat Azrin menghabiskan amaran, tiba-tiba..gedebuk!! Nisa tergelincir dan jatuh terduduk.

“Aduh!” Nisa mengaduh kesakitan. Azrin cepat-cepat mendapatkan Nisa.

“Nisa are you okay?” Azrin membantu Nisa bangun dan menggosok-gosok punggung Nisa yang sengal itu. Sengal ke? Kalau aku yang jatuh macam tu, memang confirm sengal seminggu.

“Ya Allah Nisa kenapa ni? Nisa okey ke?” Abang Nisa dah terpacak di sebelah Nisa. Wajahnya kelihatan risau yang teramat sangat.

“Nisa okeylah abang. Nisa terjatuh aje. Nasib baik ada kakak ni yang tolong Nisa,” Nisa tersenyum memandang abangnya sekaligus untuk menyakinkan abangnya yang dia betul-betul okey. Azrin mendengar abang Nisa mendengus perlahan. Hai, nampak macam tak puas hati saja dia ni.

“Macam mana awak buat kerja ni? Dah tahu lantai tu licin, pesanlah kat Nisa awal-awal. Budak-budak mana peka tentang benda-benda macam ni. Kalau dah berat mulut sangat tak boleh nak pesan, letak board yang bertulis ‘Awas, lantai licin’ kat depan pintu tu macam cleaner dekat restoren selalu buat. Macam manalah awak boleh jadi pembantu rumah dengan kerja awak yang menyakitkan orang ni? Saya rasa awak lebih sesuai jadi pengawal keselamatan,” Abang Nisa mula membebel panjang lebar.

Azrin telan air liur. Bukan kerana takut tapi sebagai warm up untuk menyerang balas kenyataan abang Nisa yang tak masuk dek akal itu.

“Kenapa? Tak puas hati saya cakap macam tu? Betullah apa yang saya cakap, awak memang sesuai jadi pengawal keselamatan, sekurang-kurangnya awak boleh tumpaskan penjenayah yang cuba menceroboh masuk,” Mulut itu masih tidak berhenti bersyarah. Azrin sudah tidak dapat bertahan.

“Eh, cakap baik-baik sikit. Apa? Saya jadi pengawal keselamatan? Masuk akal ke?” Suara Azrin mula meninggi. Memang tak boleh bagi muka dekat mamat ni. Mulut dia? Ya Allah, macam bertih goreng. Bertih goreng hangus sebab ayat-ayat yang keluar dari mulut dia semuanya menyakitkan hati.

“Aah, betullah. Tak masuk akal langsung. Sebab awak tu kuat berangan, mana sesuai jadi pengawal keselamatankan? Nanti habislah majikan awak dapat pekerja yang kuat berangan,” Azrin picit dahi mendengar jawapan abang Nisa. Lama-lama macam ni aku boleh kena ketumbuhan otak.

“Kenapa diam? Dah sedar dari angan-angan? Itulah saya nak nasihat, sudah-sudahlah berangan, bawa mudarat pada diri saja. Tak apa, kali ni saya bagi awak peluang untuk muhasabah diri. Nisa pun okey jadi saya tak akan report pada majikan awak tentang kerja awak yang tak beretika ini faham?” Abang Nisa serius memandang Azrin seakan-akan mengugut.

Azrin yang sudah lelah dengan perangai abang Nisa hanya mampu merenung bodoh lelaki itu.

“Hish, tak habis-habis berangan. Dahlah, jom Nisa. Ini abang nak pesan, jangan jadi macam orang tu kuat berangan nanti kerja entah ke mana. Ingat tu,” Azrin tahu abang Nisa sengaja menyindirnya. Aku bukan beranganlah, aku terkejut dengan perangai jembalang kau tu! Azrin hanya mampu memandang dua beradik itu berlalu keluar melalui pintu dapur. Azrin masih terkebil-kebil. Tiba-tiba..

“Kak Arin! Nak air,” Muncul Irfan adik bongsunya yang berumur tujuh tahun. Kenapa asyik mintak air daripada aku? Malam ini saja dah masuk tiga orang mintak air daripada aku. Apa? Ingat aku orang gaji ke?

“Kenapa mintak dengan Kak Arin?” Soal Azrin tidak puas hati.

“Dah Kak Arin seorang saja ada kat sini,” Bernas betul ayat penyata yang keluar daripada mulut Irfan.

“Tak boleh ambil sendiri?” Azrin masih tidak berpuas hati. Dia lihat Irfan geleng kepala.

“Apalah Kak Arin ni, mana orang sampai nak ambil gelas atas kabinet tu. Cepatlah Kak Arin, Irfan nak air,”  Irfan mula merengek.

“Air kat depan tu berlambak lagi. Kenapa tak ambil kat sana?”

“Air kat depan tinggal air manis saja.  Irfan nak air masak. Air masak kat depan dah habis,” Irfan dah mula tarik-tarik t-shirt Azrin. Menjawab sahaja kerja budak ni. Azrin terus mendapatkan segelas air masak untuk adiknya. Tak sampai lima belas saat Irfan menghulurkan gelas kosong pada Azrin.

“Nak lagi,” Pinta Irfan. Ada tong air ke dalam perut budak ni? Musykil Azrin berfikir sebelum menyerahkan segelas lagi air masak pada Irfan. Selepas Irfan mengabiskan gelas keduanya, cepat-cepat Azrin menghalang adiknya keluar dari dapur.

“Adik sekejap, Kak Arin nak tanya satu soalan,” Azrin duduk berlutut supaya pandangan mereka setara.

“Kak Arin nak tanya apa?”

“Pakaian Kak Arin malam ni ada gaya macam pembantu rumah ke?” Selalunya budak-budak ni jujur kalau menjawab. Mereka akan jawab apa yang terlintas difikiran mereka.

“Cuba Kak Arin bangun adik nak tengok betul-betul,” Irfan mengarah. Azrin pantas bangun dan berdiri menghadap Irfan. Irfan berjalan mengelilinginya kemudian berundur setapak demi setapak ke belakang sambil matanya memandang Azrin atas bawah. Eeii..budak ni lebih-lebihlah pulak.

“Taklah. Tak ada gaya pembantu rumah pun,” Irfan menjawab dengan penuh keyakinan.

“Betul?” Azrin ternyata gembira mendengar jawapan Irfan. Memang abang Nisa tu sengaja dengki dengan aku.

“Cuma…,” Irfan kelihatan sedang berfikir dan cuba mengingati sesuatu dengan bersungguh-sungguh.

“Cuma apa dik?” Soal Azrin hairan.

“Cuma Kak Arin malam ni nampak sebijik macam Kak Tuti kawan Kak Yah tu. Okeylah adik nak pergi dekat mama. Bye Kak Arin,” Dengan wajah tak bersalah Irfan menapak keluar dari dapur.
Azrin terkebil-kebil. Kak Tuti? Kawan Kak Yah? Bukan ke Kak Tuti tu orang gaji sebelah rumah? Arghhh!!! Irfan!!!    

***

“Apa nak jadi dengan Arin ni? Sampai bila nak duduk rumah saja? Papa suruh join syarikat dia, Arin tak nak. Tak nak cuba cari kerja ke? Kalau susah sangat mama kahwinkan Arin terus nak?” Tersedak Azrin yang sedang mengunyah roti apabila mendengar cadangan mamanya yang mendadak itu. Gelas berisi air limau diteguk rakus.

“Apa timbul soal kahwin ni mama? Arin muda lagilah. Lagipun tak elok langkah bendul. Biarlah Kak Sara yang naik pelamin dulu,” Mulutnya sudah memuncung. Kurang senang dengan mamanya.

“Habis tu kalau tak nak kahwin, kerja! Jangan buang masa macam ni. Tak elok. Arin sekarang dalam kerugian tahu? Nak mama nyanyi lagu Raihan ‘Demi Masa’ dulu ke baru nak sedar?” Naik geram Puan Nora dengan anak gadisnya yang seorang ini. Setelah menamatkan pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang pentadbiran perniagaan, dia lebih selesa goyang kaki di rumah. Katanya masih belum bersedia. Entah apa yang ditunggu Azrin dia tidak tahu. Dua bulan sudah berlalu sejak Azrin menamatkan pelajaran. Bila mengadu pada suaminya Encik Roslan, suaminya itu menasihatinya jangan terlalu memaksa. Bagi masa untuk Azrin betul-betul bersedia. Lagak macam nak pergi berperang.

“Ke situ pulak mama ni. Tapi dah lama jugak Arin tak dengar mama nyanyi. Cuba nyanyi, Arin nak dengar,” Azrin sudah tergelak. Puan Nora ketap bibir.

“Arin main-main lagi, mama aturkan rancangan peminangan untuk Arin, nak?” Puan Nora sudah tidak kisah. Fikirnya, inilah satu-satunya cara untuk memaksa anak gadisnya berfikir dengan serius.

“Mama jangan….,” Azrin sudah mula risau. Kadang-kadang mamanya tidak boleh diajak bergurau. Padah akibatnya.

“Keputusan mama terletak pada tindakan Arin. Kalau Arin tak mula cari kerja dari masa sekarang, Arin kena kahwin,” Terlepas separuh kepingan roti daripada tangan Azrin. Azrin seperti terkena kejutan yang melampau.  Kerja? Mungkin! Kahwin? No way!

***

Azrin ralit memerhatikan pakaian yang tergantung di butik eksklusif itu. Semuanya kelihatan elegan dan mahal-mahal, maklumlah butik mana ada jual pakaian murah-murah. Sebenarnya, selepas kejadian diceramah oleh mama, Azrin dengan senang hati dan penuh keinsafan menapak keluar mencari kerja dan kerja yang menjadi pilihan utamanya adalah yang berkaitan dengan fesyen. Mana main bisnes-bisnes ni, serah pada Kak Sara cukuplah. Oleh sebab itulah Azrin terpacak dalam Butik Nacho sekarang. Baru beberapa minit lepas dia dengan rasminya telah menjadi warga butik ini. Alhamdulillah, atas rezeki yang diberikan Allah swt ini. 

Mama dan ayah tidak perlu tahu tentang pekerjaan aku sekarang. Kalau mereka tahu, memang buruk padahnya. Mungkin ceramah mama bakal bertambah panjang. Ayah lagilah nak membebel. Apa guna kelulusan yang ada kalau kerja dekat butik? Memang bidang fesyen yang menjadi minat Azrin sejak dari dulu tetapi ayah tidak bersetuju dengannya.

“Azrin,” Azrin berpaling apabila namanya dipanggil.

“Ya, saya,” Dia terus berjalan menghampiri pekerja butik yang bernama Liyana. Liyanalah yang mengurus sesi mohon kerja tadi.

”Datin nak jumpa sekarang,” Azrin berjalan mengekori Liyana dari belakang ke bilik tuan punya butik ni. Nak interview aku ke? Bukan ke interview tadi dah lulus? Hai, berapa banyak interview daa.

Apabila tiba di dalam bilik datin, mak aii harum semerbak wangian green tea memenuhi ruang bilik. Susun atur perabot amat simple dan kelihatan kemas. Dari sini Azrin dapat merasakan yang tuan punya bilik ni mesti seorang yang simple dan tidak terlalu menunjuk-nunjuk. Yalah, sepatutnya datin boleh hias bilik ni dengan gaya yang lebih meletup daripada sekarang.

“Awak duduk dulu, nanti datin masuk sekejap lagi,” Usai berpesan Liyana terus keluar dari bilik. Tinggal Azrin tercongok macam tunggul kayu dekat pintu bilik. Tadi cakap nak jumpa sekarang tapi bila aku dah tercongok kat sini, tangguh pulak sekejap lagi. Apa ni? Tak ada semangat disiplin langsung, hish apa yang kau merapu ni Azrin oii. Azrin berjalan ke sofa dan duduk santai. Macam mana agaknya rupa datin ek? Mata meliar di sekitar dinding, tak ada satu pun gambar yang terlekat kat situ. Matanya beralih ke meja kerja datin dan ahaa, ada satu frame gambar bersaiz sederhana di sudut kiri meja.

Syaitan mula menghasut, skodeng Azrin. Apa salahnya, tak ada orang pun sekarang. Apa yang kau nak takutkan sangat. Sekali lagi matanya bergerak pantas ke atas siling dan sudut-sudut dalam bilik itu, manalah tahu ada kamera litar tutup, mampus aku kalau datin jumpa bahan bukti. Tak ada! Azrin bangun perlahan-lahan dan duduk di kerusi meja kerjanya lalu mencapai frame gambar tersebut. Erm..gambar keluarga. Cantik betul mak datin ni.

Senyuman Azrin mati apabila matanya menangkap pada satu figura wajah dalam gambar tersebut. Bukan ke ini mamat bertih goreng hangus? Alamak! Dia anak mak datin ke? Kenapa boleh jadi macam ni? Perlahan-lahan tangan Azrin meletakkan kembali frame gambar ke tempat asalnya. Dia mundar-mandir di hadapan meja kerja datin. Apa aku patut cari kerja lain? Ya betul. Baik aku angkat kaki sebelum datin tu sampai. Baru sahaja Azrin berpaling, pintu bilik itu terbuka dari luar. Oh, no!

Terjengul wajah datin yang dilihatnya dalam gambar seketika tadi.

“Assalamualaikum datin. Apa khabar?” Lain yang dirancang, lain yang terjadi. Selepas bersalaman, pemilik butik itu menjemput Azrin melabuhkan duduk.

“Azrin. Saya suka dengan rekaan-rekaan awak. Saya tahu awak tak ada kelulusan dalam bidang fesyen tapi prinsip saya, saya tak akan nilai seseorang berdasarkan kelulusan hitam putih semata-mata. Awak dah tunjukkan bukti yang awak betul-betul berminat dengan bidang ini. Sebab itulah saya setuju pilih awak sebagai salah seorang pereka untuk butik saya ni,” Perasaan Azrin yang pada mulanya layu selepas melihat gambar mamat bertih goreng hangus kembali mekar apabila mendengar pujian majikannya. Azrin tidak menyangka yang pemilik butik ini begitu menghargai rekaan pakaiannya.

“Terima kasih datin. Saya betul-betul tak sangka yang datin akan terima saya kerja dekat sini,” Azrin tidak dapat menahan senyuman. Kalau  boleh rasa nak peluk saja datin ni.

“Sama-sama. Saya harap awak tak akan hampakan harapan saya ni. Kerjalah bersungguh-sungguh,” Azrin mengangguk dengan penuh keyakinan. Esok, bakal bermulalah kehidupan barunya sebagai seorang pereka fesyen. Macam mana dengan mamat tu? Ahh, pandai-pandailah aku elak esok-esok.

***

Pejam celik, pejam celik rupa-rupanya sudah tiga bulan Azrin bekerja di Butik Nacho. Encik Roslan dan Puan Nora percaya bulat-bulat yang Azrin bekerja sebagai pembantu pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta. Hanya Kak Sara yang tahu rahsia ini. Azrin tahu dia boleh meletakkan kepercayaan yang tinggi pada kakaknya.

Kerjanya berjalan dengan lancar tanpa ada apa-apa gangguan. Cuma satu perkara sahaja yang dibimbangi Azrin. Dia risau kalau-kalau mamat bertih goreng hangus tiba-tiba muncul di butik. Tidak hairan kalau sekali-sekala anak pemilik butik akan muncul di butik milik ibunya. Tiap-tiap hari Azrin tidak putus berdoa supaya tidak terserempak dengan lelaki itu.

“Ini rekaan yang cik minta saya buat minggu lepas untuk baju persalinan akad nikah cik. Macam mana?” Soal Azrin pada salah seorang pelanggan.

“Cantik! Saya suka sangat. Cuba sayang tengok?” Pelanggan itu menunjukkan buku rekaan pada bakal suaminya. Lelaki itu hanya tersenyum mengangguk.

“Cantik,” Komennya ringkas.

“Ada apa-apa yang perlu diubah lagi?” Soal Azrin lagi.

“Rasanya dah tak ada. Design ni dah okey,” Bakal pengantin perempuan itu kelihatan betul-betul berpuas hati dengan rekaan Azrin. Azrin menarik nafas lega. Gembira hatinya dengan reaksi pelanggan itu.

“Kalau macam tu cik boleh buat ukuran sekarang,” Azrin memanggil seorang pekerja untuk mengambil ukuran badan bakal pengantin itu. Sewaktu Azrin sedang mengemas buku-bukunya, Liyana datang menghampirinya.

“Arin, design untuk baju-baju Pop Show dah siap? Nanti datin akan hantar orang datang ambil petang ni sebab dia ada hal lain,” Beritahu Liyana.

“Design tu Arin dah siapkan. Kalau orang tu sampai, just inform me okay?” Liyana angguk sambil tersenyum. Dia sangat selesa bekerja dengan Azrin. Baginya Azrin seorang yang rajin dan tidak suka menangguh kerja. Sejak kehadiran Azrin juga, pelanggan butik semakin bertambah dan pelanggan tetap juga kekal setia dengan Butik Nacho.

Petang itu, ketika Azrin sedang berkira untuk pulang, Liyana masuk ke biliknya yang agak tersorok di belakang butik.

“Arin, kenalkan anak Datin Sofea, Hazeem Zakwan,” Azrin yang ketika itu membelakangi mereka berdua tidak berani berpaling. Bagai mahu tercabut jantungnya mendengar ayat pengenalan Liyana. Kenapa mesti dia? Tanpa menoleh pun Azrin sudah boleh mengagak yang lelaki itu adalah mamat bertih goreng hangus. Datin Sofea hanya punya dua orang anak. Seorang lelaki dan seorang perempuan.

“Okey,” Jawab Azrin ringkas. Tangannya sibuk mengelap peluh yang merintik di dahi. Kenapa aku takut sangat dengan dia? Liyana sudah melangkah keluar.

“Hai, saya datang nak ambil design yang mama saya kirim,”

“Ambik saja fail warna merah atas meja tu,” Azrin masih berdiri menghadap dinding. Aku tak kira, aku tak nak tengok wajah dia.

“Yang ni?” Hazeem hairan dengan tingkah laku wanita di hadapannya. Kenapa dengan dia ni? Elok sangatlah tu tayang belakang badan pada tetamu.

“Ada satu saja pun fail merah atas meja tu. Takkan tak nampak?” Azrin mengawal rasa bengang. Hazeem pulak yang tersentak. Orang soal elok-elok, dia jawab kasar pulak. Apa masalah pereka Butik Nacho seorang ni? Hmm..pelik, detik hati Hazeem.

“Okey saya nampak. Jadi, saya pergi dulu?” Tegur Hazeem tidak putus asa. Memang ada yang tak kena dengan perempuan ni.

“Pergilah,” Azrin pejam mata sambil menarik nafas kelegaan. Selesai satu masalah. Selepas mendengar bunyi pintu dibuka dan ditutup rapat, baru Azrin berpaling. Macam nak luruh rahangnya bila melihat Hazeem berdiri tegak di pintu pejabatnya. Dia pura-pura buka dan tutup pintu ke tadi?

“Hah! Awak rupanya,” Azrin mula diserang migrain. Mamat dihadapannya sudah mula mahu menggoreng.

“Oh, patutlah tak nak berpaling tadi, awak dah tahu saya siapa ya? Tapi apa awak buat kat sini?”
Azrin hanya terdiam kaku. Masih terkejut dengan helah Hazeem yang panjang akal.  

“Saya tahu! Awak pasti dah kena pecat dengan majikan awakkan? Memang saya dah agak. Tak payah tunggu saya report, majikan awak sendiri sedar yang diorang tak perlukan pekerja macam awak ni. Tapi saya hairan macam mana mama saya boleh terima awak kerja dekat sini,” Ujar Hazeem angkuh.

“Mama awak terima saya bekerja dekat sini ada kaitan dengan awak ke?” Mamat ni tak lama jugak aku tumbuk mulut celupar dia tu. Dada Azrin turun naik menahan amarah. Ayat Hazeem bertujuan seperti merendah-rendahkan kredibiliti seorang pembantu rumah.

“Of course! Saya anak kepada pemilik butik ni,” Ujar Hazeem riak. Dalam fikirannya, dia mahu menguji sejauh mana Azrin boleh menahan sabar.

“Well, memang awak anak kepada pemilik butik ni tapi awak bukannya pemilik butik ni. Majikan saya sekarang adalah mama awak dan awak tak berhak mempertikaikan kenapa saya diterima bekerja di sini,” Azrin sudah menuding jari telunjuk pada Hazeem. Dia kurang pasti kenapa lelaki itu beria-ia menduga tahap kesabarannya? Lagak seperti nak diajak bergaduh.

“Huh, pasti mama saya tak tahu lagi yang awak sebenarnya bekas pembantu rumah Auntie Nora kan? Dan apa agaknya reaksi Auntie Nora kalau dapat tahu bekas pembantu rumahnya sekarang kerja dekat butik kepunyaan kawan baiknya? Agak-agak awaklah, mama saya akan berpihak pada awak atau kawan baik dia?” Hazeem mengawal reaksi wajahnya. Sengaja ditayang wajah seperti penjahat dalam sinetron yang diminati bibiknya di rumah. Biar menggelegak hati Azrin.

Azrin pula terkejut mendengar ugutan lelaki di hadapannya. Kerjayanya bakal musnah kalau Puan Nora tahu dia bekerja di butik ini. Majikannya berpihak pada siapa sudah tidak penting lagi, yang penting mamanya tidak boleh tahu tentang hal ini.

“Yang awak sakit hati dengan saya ni kenapa? Saya ada kacau awak ke?” Soal Azrin sakit hati. Fikirannya sudah buntu dengan kerenah Hazeem.

“Tak ada. Tapi saya ada rasa tak puas hati dengan awak,” Entah kenapa macam syok pulak mengusik gadis ini. Kalut semacam. Terkesan kebimbangan pada riak wajah apabila dia mengugut. Tahu takut!

“Apa yang awak tak puas hati dengan saya?” Azrin sudah bercekak pinggang.

“Kenapa saya perlu jawab soalan awak? Saya rasa tak perlu,” Hazeem tahu, kalau dia berterus-terang yang dia hanya mahu mengusik, insya-Allah mungkin melayang juga satu sepakan padu dari Azrin khas untuknya.

“Saya minta tolong sangat-sangat, tolong jangan bagitahu mama awak yang saya bekas pembantu rumah Auntie Nora,” Azrin sudah hilang buah fikiran dengan Hazeem yang banyak helah ini. Jalan terakhir adalah cuba menjalinkan hubungan diplomatik dengan lelaki itu. Harap-harap rayuannya diterima tanpa banyak soal. 

“Awak tahu tak salah satu sebab orang melabur wang adalah untuk mendapatkan keuntungan semata-mata. Apa untungnya saya dapat kalau saya setuju dengan merahsiakan perkara ni?” Hazeem sudah melabuhkan duduk di atas kerusi. Penat pula berdiri lama-lama sambil berbalas cakap. Pen di atas meja diambil dan dipusing-pusing di atas permukaan meja. Azrin yang melihat bertambah meluat dengan lagak anak pemilik butik ini. Perangai mak jauh panggang dari api dengan anak. Tak sama langsung!

“Awak nak apa?” Soal Azrin bosan.

“Saya nak awak,” Hazeem terkejut dengan jawapan spontan yang meluncur keluar dari bibirnya.

“Apa? Awak dah gila ke?” Azrin sudah membulatkan matanya. Memang sah anak majikannya sudah gila. Memang lelaki ni sakit sejak malam mereka bertemu lagi.

“Watch out your mouth dan tolong rasional sikit. Maksud saya tadi tu saya perlukan khidmat awak untuk jadi assistant saya,” Azrin berkerut kening. Apa lagi yang Hazeem tidak faham? Kenapa dia nak suruh aku jadi assistant dia sedangkan aku sudah bekerja dengan mamanya sekarang?

“Saya dah ada kerja sekarang tau? Tak perlukan jawatan assistant awak tu!” Jelingan dihadiahkan pada lelaki yang masih melebarkan senyuman. Sayang betul, rupa ada tapi otak kurang.

“Awak pilih, awak nak kerja untuk dua jawatan atau saya bagitahu mama saya perkara yang sebenar dan awak kehilangan kedua-dua jawatan tu. Pilihlah yang mana berkenan,” Azrin terngadah. Sikit punya kejam pilihan yang dia bagi. Kedua-dua pilihan yang ada bakal menjerut Azrin. Azrin sayangkan kerjanya sekarang tetapi dalam masa yang sama dia tidak mahu menjalinkan apa-apa hubungan formal mahu pun tidak formal dengan Hazeem. Apa pilihan yang Azrin ada? Di waktu Azrin masih dalam kesamaran mencari jawapan, Hazeem menyampuk

“Bukan saya kata tapi orang tua yang kata, diam tu maknanya setujulahkan?” Hazeem mengangkat keningnya berulang kali yang pastinya mengundang sakit hati Azrin.

“Awak memang sengajakan?” Azrin ketap bibir geram. Kalau diberi kuasa luar biasa, Azrin mahu menggumpal Hazeem seperti kertas dan melontarnya jauh ke padang pasir biar mati kering mamat tu dekat sana.

“Awak yang anggap macam tu. Saya cuma nak tambahkan lagi sumber kewangan awak. Yalah, berbanding waktu awak kerja sebagai pembantu rumah dulu, pasti gaji sekarang lagi lumayankan?” Asyik isu duit yang dibangkitkan Hazeem. Apa dia ingat aku miskin sangat ke? Tak pasal-pasal aku dapat gelaran bekas pembantu rumah. Kalau diikutkan nafsu amarah, nak jugak aku bongkarkan identiti sebenar aku tetapi aku bimbang keadaan menjadi semakin parah. Silapnya percaturan kerana Hazeem adalah anak Datin Sofea dan Datin Sofea pula kawan baik mama. Memang Azrin tidak dapat lari dari hukum alam.

“Waktu kerja awak tak tentu. Bila saya call, awak kena ikut arahan saya,” Hazeem masih bersemangat memberi penerangan tentang bidang tugas Azrin. Azrin mendengus perlahan. Aku tak cakap pun setuju nak jadi assistant dia.

“Macam mana saya nak buat dua kerja dalam satu masa?”

“Pandai-pandailah awak cari alasan, awakkan kuat berangan mesti idea awak pun banyakkan?” Sekali lagi Azrin kehilangan kata-kata dengan jawapan tidak masuk akal Hazeem. Bercakap ikut suka dia saja, bukan nak fikir perasaan orang lain terlebih dahulu.

“Saya pergi dulu, nice to meet you,” Azrin hanya mampu mengantar pemergian Hazeem dengan sepasang matanya yang berdenyut-denyut ibarat mahu terkeluar dari soket mata. Satu episod baru dalam kehidupan Azrin bakal bermula.

***

“Pukul satu sepuluh minit tengah hari, saya nak awak dah ada dekat Restoren Serai. Awak order apa-apa yang patut sebab masa saya sampai nanti, saya nak makanan dah terhidang!” Itulah arahan yang diterima Azrin awal pagi tadi. Tidak sempat dia bertanya dari mana Hazeem mendapatkan nombor telefonnya, lelaki itu pantas memutuskan talian. Azrin tepuk dahi, kenapalah dia tidak boleh berfikir dengan elok? Mungkin Hazeem dapat nombor aku melalui mamanya.

Hampir ke waktu makan tengah hari, Azrin meminta izin daripada Datin Sofea untuk keluar awal. Datin Sofea senyum pelik. Azrin pulak yang naik hairan.

“Arin nak keluar temu janji dengan boyfriend ke?” Alamak! Bukan datin, saya sebenarnya nak keluar kerja part time dan majikan saya yang kejam tu tak lain dan tak bukan anak kesayangan datin sendiri. Nasib baik mulutnya masih dapat simpan rahsia. Datin Sofea melepaskan pemergiannya dengan anggapan yang kurang tepat tentang temu janji itu.

Azrin sampai sepuluh minit sebelum pukul satu tengah hari dan dia terus membuat pesanan. Lima jenis hidangan yang dipilihnya. Biar buncit perut Hazeem habiskan semua lauk tu. Azrin senyum jahat dalam hati. Seperti yang dijanjikan, Hazeem tiba tepat pada waktunya. Kali pertama Azrin melihat Hazeem berpakaian formal. Tidak kalah dengan ayahnya Encik Roslan, Hazeem kelihatan bergaya dengan suit pejabatnya. Dengan slack hitam yang dipadankan dengan kemeja biru laut dihiasi tali leher hitam, Hazeem menyerlahkan karisma dirinya. Tidak berkelip Azrin menumpukan pandangan. 

“Hoi, sudah-sudahlah berangan,” Hazeem melambaikan tangannya di hadapan wajah Azrin. Azrin terpinga-pinga.

“Baru sehari bekerja dah mula nak berangan. Kali ni berangan nak jadi apa? Girlfriend saya?” Baru saja sampai mulut Hazeem sudah mula membebel. Datin Sofea makan apa agaknya masa mengandungkan Hazeem dulu?

“Tolonglah! Jangan perasan boleh tak?” Azrin mencebik. Hilang seleranya yang mahu makan tengah hari.

“Macam nilah orang perempuan. Ego! Mulut kata lain, hati kata lain, mata tu dah menderhaka. Awak ingat saya tak nampak awak tenung saya macam nak telan? Sabar Cik Azrin, sekarang kita nak telan nasi dah. Silalah menjamu selera,” Selamba sahaja perkataan yang meluncur keluar dari mulut Hazeem. Tak sah kalau tak menjawab dengan menggunakan berpuluh-puluh perkataan. Tingkah lakunya seperti isu yang dibangkitkan tadi isu biasa-biasa sahaja sedangkan Azrin sudah panas hati.
Hilang selera Azrin melihat wajah dan melayan kerenah Hazeem.

“Sebenarnya apa tugas saya?” Azrin terus bertanya tanpa berniat untuk menjamu selera. Hazeem yang sedang enak menjamah hidangan mendongak. Dia kelihatan berfikir sejenak sebelum melebarkan senyuman.

“Kerja awak macam doktorlah. Sentiasa on call. Kalau saya call, awak kena kerja dan ikut arahan saya. Jelas?”

“Awak ni bergurau ke apa? Saya serius ni,” Tegas Azrin.

“Muka saya nampak macam bergurau ke? Saya pun serius ni!” Sahut Hazeem.

“Saya bukan doktor,”

“Saya tahu,” Jawab Hazeem selamba. Azrin menarik nafas. Azrin bukanlah orang yang memiliki kesabaran yang tinggi. Perkenalannya dengan Hazeem adalah satu kesilapan. Dia sudah tidak mahu peduli lagi! Apa nak jadi pun, jadilah!

“Saya resign jadi assistant awak dan saya tak kisah kalau awak nak bongkarkan tentang saya pada mama awak. Titik!” Putus Azrin seraya berdiri dan mencapai beg tangannya. Hazeem kelihatan terpaku. Berhenti tangannya daripada menyuap sudu yang berisi ke dalam mulut. Terkejut mungkin dengan keputusan mendadak Azrin.

Saat Azrin mahu berpaling pergi, ada yang memanggil namanya.

“Arin! Buat apa kat sini?” Wajah Azrin bertukar menjadi pucat lesi. Dahi pun dah rasa berpeluh sedikit. Semangat yang berkobar-kobar tadi terbang entah ke mana.

“Err, ayah. Ayah buat apa kat sini?” Azrin sudah kaku di tepi meja. Mati terus langkahnya tadi. Hazeem ikut sama berdiri.

“Eh, Hazeemkan? Anak Datuk Johan?” Encik Roslan sudah berjabat salam dengan Hazeem. Hazeem juga kelihatan selesa dengan pertemuan ini.

“Kamu berdua buat apa dekat sini?” Soal Encik Roslan musykil. Ada sesuatu yang dia tak tahukah antara mereka berdua ini?

“Kebetulan tadi kami ada kerja kat luar. Alang-alang dah tengah hari, kitaorang terus lunch kat sini,” Azrin menyampuk sambil mengerdipkan matanya pada Hazeem supaya tidak melakukan apa-apa tindakan bodoh.

Hazeem tersenyum sinis. Rupanya, aku masih belum kenal siapa sebenarnya gadis ini, bisik hati Hazeem.

“Oh, jadi selama ni Arin kerja dekat syarikat kepunyaan family Hazeemlah? Kenapa tak cakap dengan ayah awal-awal?” Encik Roslan tertawa gembira dengan perkhabaran anak gadisnya yang seorang itu. Fikirnya anak gadis ini sangat berdikari. Terselit perasaan bangga di hati.

“Ya uncle, syarikat kami sangat bertuah kerana mempunyai pekerja macam Arin ni,” Hazeem masih bermurah hati menghadiahkan senyuman sinisnya pada Azrin. Azrin sudah mula rasa serba tak kena. Ketawa Encik Roslan dan Hazeem bergabung. Seorang ketawa gembira dan seorang lagi ketawa jahat. Azrin tersepit di tengah-tengah.

“Uncle, do you want to join us?” Pelawa Hazeem lagi. Mamat ni sengaja nak dera perasaan aku, fikir Azrin.

“Tak apalah, uncle masih ada discussion dengan client. Enjoy your lunch date. Ayah pergi dulu Rin. Hazeem, tolong tengok-tengokkan anak uncle ni ya?” Azrin tidak puas hati apabila ayahnya meninggalkan mandat sebegitu rupa pada Hazeem.

“Insya-Allah uncle,” Hazeem sudah berubah menjadi Hazeem yang alim. Boleh blah! Kutuk Azrin dalam hati.

“Well! Well! Well! Do you want to make an explanation?”

Azrin mengeluh perlahan. Pandangan Hazeem padanya seolah-olah bakal mengancam perjalanan hidupnya selepas ini. 

***

Sebulan berlalu sejak Azrin dengan rasmi melakukan overtime menjadi assistant Hazeem. Assistant lah sangat. Pening kepala Azrin dengan feel majikan yang tidak diiktirafnya itu. Hazeem mengupah Azrin hanya untuk menjadi lunch planner. Selain itu, Hazeem mungkin ingin membuang masa Azrin dengan mengarahnya membuat perkara yang tidak masuk dek akal. Contohnya melayan dia berbual ditelefon. Bermacam perkara yang dibual dan semuanya membosankan Azrin kerana Hazeem hanya meluahkan perasaan tidak puas hati pada kerjanya, kliennya, dan pekerjanya. 

Bila Azrin malas melayan, keesokan harinya Hazeem pasti akan muncul dirumahnya. Alasan untuk berjumpa Kak Sara diguna oleh lelaki itu.

Kak Sara pernah menjadi junior Hazeem sewaktu mereka belajar di luar negara dan sekarang mereka masih lagi berkawan baik. Liciknya Hazeem pada fikiran Azrin. 

Azrin tahu itu hanya aksi ugutan sebagai tanda protes kerjanya yang tidak memuaskan hati lelaki itu.

“Arin. Apa yang dimenungkan tu?” Teguran majikan Azrin, Datin Sofea mematikan lamunannya pada majikan seorang lagi yang kurang matang.

Saat wajah diangkat, pandangan Azrin kaku pada satu wajah yang tajam merenungnya. Mama!
Puan Nora tidak menyangka Azrin bekerja di butik milik Datin Sofea. Kalau Allah tak gerakkan hatinya untuk singgah di Butik Nacho pagi ini, sampai ke sudah dia tidak akan tahu kes penipuan yang dilakukan Azrin.

“Err, mama,” Terketar-ketar suara Azrin. Berdiri pun sudah rasa tak selesa. Puan Nora masih memandang Azrin dengan wajah tidak puas hati. Datin Sofea terpinga-pinga melihat segmen jejak kasih antara ibu dan anak itu.

“Nora? Arin? Kenapa ni?” Datin Sofea yang berdiri di antara Puan Nora dan Azrin merasakan ada yang tidak kena di antara kedua orang itu.

“Sejak bila lagi Arin kerja dekat sini Sofea?”  Tanya Puan Nora. Pandangannya langsung tidak dialihkan daripada wajah Azrin.

“Sejak empat bulan yang lalu. Kenapa?”

“Arin ni dah tipu saya,” Naik turun nafas Puan Nora menahan amarah. Geram dengan anaknya yang seorang ini.

“Nora kenal Arin?” Soal Datin Sofea

“Siapa tak kenal anak sendiri?” Datin Sofea terkejut. Azrin ketap bibir sambil menunduk. Tidak sanggup menerima panahan mata tajam ibunya.

“Kenapa Arin sanggup tipu mama dengan papa? Arin pernah fikir tak bagaimana reaksi papa kalau dia tahu tentang hal ni?” Nasib baik waktu ini mereka berada dalam bilik Azrin, kalau tidak malu Azrin dimarahi ibunya depan orang ramai.

“Sabar dulu Nora, jangan marah Arin macam ni. Kita bincang elok-elok,” Datin Sofea bertindak menjadi orang tengah. Azrin masih membisu. Dia tahu salahnya dan tidak berdaya untuk membela diri.

“Macam mana saya tak marah kalau dia berani tipu saya dengan ayah dia bulat-bulat. Geram mama dengan Rin ni tahu tak?” Puan Nora bercekak pinggang.

“Mama tolong jangan beritahu ayah yang Rin kerja dekat sini,” Rayu Azrin.

“Mama malas masuk campur hal Rin. Rin jelaskan sendiri pada ayah,”
Azrin mengeluh, dia tidak menjangka secepat ini rahsianya boleh terbongkar. Betul ke terbongkar atau ada orang yang membongkar? Kak Sara? Tidak mungkin. Hazeem? Mungkin! Adakah disebabkan akhir-akhir ini Azrin mengelak untuk mengikut arahan lelaki itu yang menyebabkan Hazeem membongkar rahsianya ini?

***

“Apa tujuan awak ceritakan hal sebenar pada mama saya? Awak dah janji yang awak akan rahsiakan hal ni tapi awak bongkarkan jugak! Apa yang tak kena dengan awak ni?” Azrin membentak. Selepas kejadian pembongkaran rahsia besar-besaran pagi tadi, petangnya Azrin terus menyerbu pejabat Hazeem.
Hazeem yang tidak faham dengan situasi Azrin hanya memandang dengan penuh tanda tanya.

“Saya tak ada masa nak buat dosa mungkir janji,” Marah Hazeem. Suka hati dia nak tuduh orang, getus Hazeem dalam hati.

“Habis tu macam mana tak ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba mama saya boleh muncul dekat butik tu? Ini mesti kerja awakkan?” Azrin menjeling Hazeem. Perasaannya sudah bercampur-baur. Marah, menyampah, geram semuanya bergabung menjadi satu rasa.
Hazeem ketawa.

“Habis tu nak kena tunggu ada angin atau ribut petir baru mama awak boleh datang? Fikir logiklah sedikit mak cik, mama saya tu kawan baik mama awak dan apa salahnya kalau dia datang melawat butik mama saya? Bukannya saya boleh halang pun,” Dia mula berpeluk tubuh. Azrin pula terduduk atas kerusi. Tangannya naik mengusap dahi.

“Habis saya kalau ayah saya tahu saya tipu dia,” Keluh Azrin lagi. Hazeem yang melihat mula berasakan sedikit simpati.

“Awak tak perlu tipu dia. Awakkan kerja dengan saya? Saya cadangkan awak berhenti kerja dekat butik mama saya dan masuk company ni,” Cadangan Hazeem buat Azrin berfikir panjang.

“Saya tak minat!” Ujar Azrin.

“Habis tu, hadapi saja kemarahan ayah awak,” Hazeem menjelaskan akibat kepada alasannya tadi. Azrin kusut. Bingung dengan keputusan yang perlu dibuat. Hazeem telah memberinya jalan untuk menyelamatkan diri tapi dia masih lagi ragu-ragu.

“Saya takut,”

“Hish, pening kepala saya dengan awak ni. Ikut suka hati awaklah nak buat apa pun. Malas saya nak ambik tahu,” Hazeem mendengus. Bosan dengan Azrin yang susah membuat keputusan. Macam mana nak maju dalam hidup kalau tak tahu nak buat keputusan yang menentukan masa depan dia?  

***

Akhirnya setelah berbincang panjang dengan mamanya, Azrin berhenti bekerja di butik Datin Sofea dan melaporkan diri di syarikat kepunyaan keluarga Hazeem. Jenayah penipuan yang dilakukan sebelum ini dirahsiakan daripada pengetahuan Encik Roslan. Majikan sepenuh masa Azrin sekarang adalah Hazeem dan majikan part time pula Datin Sofea. Datin Sofea masih menggunakan khidmat rekaannya tetapi dia tidak terlalu memaksa Azrin. Disebabkan minatnya yang mendalam dalam bidang fesyen, Azrin bersetuju untuk menjual rekaannya pada Datin Sofea jika dia mempunyai lapangan masa untuk mencipta rekaan baru.

Seiring masa berlalu, Azrin dan Hazeem menjadi rapat. Hazeem bukanlah seorang yang teruk seperti sangkaan Azrin. Lelaki itu seorang majikan yang baik. Hazeem selalu membantu Azrin jika Azrin mempunyai masalah berkaitan dengan kerjanya, cuma kadang-kadang mulutnya yang sedikit laser itu membuatkan Azrin menyampah.

“Tina, bos ada kat dalam?” Tanya Azrin pada setiausaha Hazeem. Ada sesuatu yang ingin ditanya pada lelaki itu berkaitan kertas kerja.

“Bos cuti hari ni,” Azrin hairan. Kenapa pulak Hazeem tiba-tiba cuti hari ni? Bukan dia dah janji nak tolong tengokkan kertas kerja yang aku buat ni?

“Kenapa ya dia cuti?” Soal Azrin.

“Bos demam teruk katanya. Tak boleh nak bangun langsung!” Tersentak Azrin mendengar perkhabaran yang langsung tidak disangkanya. Kenapa Hazeem tidak memberitahunya? Entah kenapa hati Azrin resah. Resah ingin mengetahui keadaan sebenar lelaki itu. Patutkah aku menghubunginya bertanya khabar? Tiba-tiba Azrin menerima satu pesanan ringkas daripada Hazeem.

‘Awak, saya demam. Okey bye!’

Azrin tersenyum sebelum jarinya laju menekan skrin sentuh untuk membalas pesanan Hazeem

‘Teruk ke?’

Azrin menekan butang send dan pesanan ringkas itu selamat dihantar. Lama juga Azrin menunggu balasan daripada Hazeem. Adalah dalam lima minit.

‘Saya demam tak larat nak taip panjang-panjang describe demam saya teruk ke tak. Datang rumah jenguk saya lepas kerja nanti. Seriously, bye!’

Itulah Hazeem, kata-katanya kadang-kadang membuatkan Azrin tersenyum dan kadang-kadang boleh mendatangkan sakit hati.

Sebelah petangnya, seperti arahan Hazeem, Azrin melawat lelaki itu di rumahnya. Alasan untuk mendapatkan tandatangan Hazeem diberi apabila Datin Sofea memandangnya dengan satu pandangan curiga.

“Arin naik atas, bilik dia kanan paling hujung,” Arah Datin Sofea.

“Eh, takkanlah Arin nak naik, Hazeem tak boleh turun ke?”

“Katanya dia pening, tak boleh bangun. Arin naik dulu, pintu tak payah tutup, sekejap lagi auntie naik jugak. Auntie nak siapkan air,”

“Eh, tak payah susah-susah auntie,” Tolak Azrin

“Tak ada yang nak disusahkan pun. Kebetulan auntie nak bawak nasi sup untuk Hazeem jugak. Arin naiklah,”

Azrin mengangguk lantas terus mendaki tangga naik ke bilik Hazeem. Pintu bilik lelaki itu ditolak. Salam diberi. Tiada suara yang menyahut. Hazeem tidur ke? Azrin mengintai ke dalam.

“Hazeem,” Panggilnya. Hazeem yang ketika itu tidur-tidur ayam terus mematikan diri. Ingin tahu sejauh mana usaha Azrin untuk mengejutkannya.

Azrin melangkah masuk dan melihat Hazeem yang sedang terbaring tidak sedarkan diri. Tidur mati ke dia ni? Soal hati Azrin. Dia menguis bahu Hazeem menggunakan fail tebal yang dibawanya. Hazeem tidak bergerak. Dikuis di tapak kaki Hazeem masih tidak bergerak. Azrin naik risau. Dah kenapa dengan dia ni? Pengsan ke?

Azrin tilik wajah Hazeem, cuba mencari reaksi lelaki itu, manalah tahu dia pura-pura tidur. Tapi Hazeem tetap statik. Jangan-jangan dia..

Azrin tidak sanggup berfikir yang bukan-bukan. Hatinya kian berdebar melihatkan keadaan tidur Hazeem yang berbaring terlentang menghadap siling dengan tangan yang dikiam. Hazeem..seru hatinya..  
Tangan Azrin didekatkan pada hidung Hazeem. Pada saat itu Hazeem menahan nafasnya. Azrin yang merasakan tiada hembusan nafas, tersentak kuat. Jatuh fail yang berada dalam pelukannya atas lantai. Terkejut yang amat sangat.

“Hazeem,” Panggilnya perlahan. Azrin terduduk di atas lantai yang dilapik dengan permaidani tebal. Dia tenggelam dalam tangisan yang panjang. Azrin merasakan suatu kehilangan yang teramat sangat. Tidak sempat dia meluahkan perasaan, Hazeem sudah pergi meninggalkannya buat selamanya.

“Hazeem, sampai hati awak tinggalkan saya,” Tangis Azrin. Hazeem yang mendengar tahan senyum. Bermakna selama ini dia tidak bertepuk sebelah tangan. Syukur ya Allah, ucap Hazeem dalam hati.

“Arin! Kenapa menangis ni?” Datin Sofea kalut melihat Azrin yang terduduk di lantai sambil menangis sakan.

“Hazeem auntie! Hazeem dah tinggalkan saya,” Azrin masih teresak. Datin Sofea berkerut. Dipandang anak bujangnya yang terbaring di atas katil dengan bibir yang tersenyum lebar.

“Kenapa Arin cakap Hazeem tinggalkan Arin?”

“Hazeem dah tak bernyawa lagi auntie, Arin tak sempat nak luahkan perasaan Arin pada dia,”
Datin Sofea tersenyum. Sekali lagi dikerling anak bujangnya. Tanpa pengetahuan Azrin, si ibu dan anak bertukar bahasa isyarat. Datin Sofea kenyit mata sambil berlalu keluar dari bilik.

Azrin terpinga-pinga dengan tingkah Datin Sofea. Anak meninggal, dia masih boleh rileks?


“Auntie, “ Panggil Azrin.

“Tak payah panggil mama, dia tak akan dengar sebab dia buat-buat tak dengar,” Hazeem menyampuk sambil bangun daripada berbaring. Azrin melopong. Hantu ke? Eh tapi..

“Hazeem, awak masih hidup? Syukur ya Allah,” Azrin sudah meraup tapak tangan ke wajahnya. Hazeem yang melihat sudah menggeleng kepala.

“Kalau saya masih hidup kenapa? Awak ada apa-apa hutang dengan saya ke?”

Azrin mati kutu. Terkebil-kebil dia memandang Hazeem sebelum mengelap sisa air mata di pipi dan mengambil file tebal yang tersadai di atas lantai.

“Saya nak minta awak tandatangan dokumen ni,” Azrin menghulurkan file itu. Tidak sanggup dia hendak meluahkan isi hatinya sekarang.

“Saya tak nak file ni. Saya nak benda lain,” Hazeem menolak file yang dihulur sehingga terlepas daripada pegangan Azrin.

“Awak nak apa?” Soal Azrin hairan.

“Saya nak tahu rahsia hati awak,” Ucap Hazeem tanpa teragak-agak lagi, sementalah dia tahu perasaan Azrin padanya.

“Rahsia hati saya?” Azrin mula serba tak kena. Pasti Hazeem dengar pengakuannya tadi pada Datin Sofea. Licik betul lelaki ni. Sakit macam ni pun ada hati nak mainkan orang. Dah hilang pening agaknya.

“Perlu saya jelaskan lagi ke?” Azrin pandang geram wajah Hazeem. Hazeem tertawa senang.

“Jadi betullah apa yang saya tahu tentang rahsia hati awak ni?” Soalan Hazeem buat Azrin berfikir. Betul ke?

“Betullah kot,” Jawab Azrin malu-malu.

“Okey,” Hazeem senyum.

“Rahsia hati awak macam mana pulak?” Berdebar-debar hati Azrin menunggu jawapan Hazeem. Apakah dia akan membalas perasaanku ini? Azrin bermonolog dalam hati.

“Malas saya jawab soalan awak. Saya pening. Nak tidur,” Serentak itu Hazeem terus menghilangkan diri disebalik selimut tebalnya. Azrin ketap bibir geram. File di atas lantai dicapai sebelum dihentak berkali-kali pada badan Hazeem. Terjerit-jerit Hazeem dibuatnya.

“Hoi, apa ni pukul-pukul orang? Bagitahu mama kang,” Ugut Hazeem sambil mengelak. Azrin berhenti memukul Hazeem.

“Huh, anak mak! Anak manja!” Kutuk Azrin. Hazeem mencebik seraya membalas

“Anak manja ni jugak yang awak berkenan nak buat suamikan?” Makin kuat Azrin pukul Hazeem. Mereka ketawa gembira. Datin Sofea yang menjadi jaga di luar pintu turut tertawa kecil. Macam-macam hal muda-mudi sekarang.

***

“Sara, ayah nak tanya Sara betul-betul. Sara setuju dengan cadangan ayah dengan Uncle Johan ni?” Ayah bertanya ketika acara makan malam berlangsung. Apa rancangan ayah dengan Uncle Johan? Azrin tertanya-tanya.

“Sara setuju kalau Abang Hazeem setuju,” Jawapan Maisara membuatkan Azrin tersentak. Rancangan apa yang memerlukan persetujuan Kak Sara dengan Hazeem?

“Hazeem pasti setuju. Sara dengan Hazeemkan dah lama kenal lagipun mengikut Uncle Johan, Hazeem tu mana ada masa nak bersosial. Asyik kerja aje. Dia mesti setuju,”

“Setuju apa? Kak Sara? Abah?” Azrin sudah terasa ada sesuatu yang tidak kena. Jiwanya memberontak untuk mencari tahu hal sebenar. Nasi dipinggan sudah tidak dapat menarik seleranya untuk makan.

“Ini, ayah dengan Uncle Johan bercadang nak jodohkan Kak Sara kamu ni dengan Hazeem. Hah, Sara kamu boleh tanya Arin tentang Hazeem. Merekakan kerja dekat bangunan yang sama? Hah, Arin kamu tahu ke Hazeem tu dah berpunya ke belum?” Rasa nak tercekik Azrin mendengar soalan ayahnya. Serba salah untuk menyatakan perkara sebenar. Ayah nampak beria-ia dan Kak Sara pun seperti berharap. Azrin tidak sampai hati.

Azrin hanya mampu menggeleng menjawab persoalan ayahnya itu. Kak Sara tersenyum senang dengan jawapanku.

Lain pula suasana di rumah Hazeem. Hazeem mengamuk mendengar usul papanya itu.

“Hazeem tak nak kahwin dengan Sara. Hazeem hanya anggap dia tak lebih dari teman biasa. Hazeem dah punya pilihan hati sendiri. Sekarang dah bukan zaman kahwin yang diatur-atur papa. Mama pun tahu Hazeem suka siapakan?” Hazeem pandang mamanya dengan harapan mamanya akan membantu dia mengurangkan beban di hati. Apa perasaan Azrin kalau dia tahu? Pasti bakal terluka hati wanita yang dicintainya itu.

“Hazeem dah punya pilihan sendiri?” Datuk Johan memandang isterinya meminta penjelasan. Datin Sofea hanya mengangguk.

“Siapa?” Soalnya lagi.

“Arin! Adik Sara. Hazeem tak akan kahwin kalau bukan Arin yang jadi pengantin perempuan,” Tegas Hazeem sebelum naik memanjat tangga ke biliknya. Azrin perlu dihubungi secepat mungkin. Dia tidak mahu berlaku apa-apa salah faham.

***

Telah seminggu berlalu selepas berita menggemparkan itu. Azrin sedaya upaya mengelak daripada bertemu dengan Hazeem. Dia tidak tegar membuat ayahnya marah dan Kak Sara bersedih hati. Biarlah semuanya berlalu begitu sahaja. Dia memerlukan kekuatan untuk menjelaskan segalanya kepada Hazeem.

“Kenapa awak mengelak? Macam mana hal ni nak selesai kalau awak sentiasa mengelak macam ni?” Marah Hazeem suatu petang. Susah payah dia cuba menghalang Azrin yang selalu saja beralasan untuk membuka ruang bicara dengannya.

“Semuanya dah terlambat,” Ujar Azrin tidak berperasaan.

“Tidak terlambat lagi kalau kita jelaskan semuanya sekarang. Saya tak faham kenapa awak takut sangat dengan ayah awak dengan Sara. Awak sepatutnya fikirkan tentang kebahagiaan hidup awak tu,” Marah Hazeem lagi. Geram betul dia dengan sikap Azrin yang selalu meletakkan kepentingan orang lain di hadapan kepentingan dirinya.

“Saya tak takut tapi saya kisahkan perasaan mereka. Kak Sara tak berterus-terang tapi saya tahu dia suka awak,”

“Kalau dia suka saya pun kenapa? Tak ada kaitan dengan saya pun sebab saya hanya nak awak seorang. Bukan dia atau orang lain. Susah sangat ke awak nak faham?”

“Saya tak sanggup tengok dia terluka,” Balas Azrin.

“Habis tu kalau saya kahwin dengan dia boleh pulak awak tengok saya terluka? Bukan saya saja tapi awak dengan saya. Dua hati bakal terluka. Kalau kita jelaskan segalanya hanya satu hati bakal terkorban. Lebih baik daripada dua,” Tinggi nada suara Hazeem melampiaskan marah. Tangannya naik mengusap belakang tengkuk. Susah kalau mempunyai kekasih hati yang berhati suci macam Azrin ni, keluh hatinya.

“Saya tak boleh!” Azrin sudah mengalirkan air mata.

“Jadi awak sanggup kehilangan saya dan lihat saya jadi milik orang lain?”

Azrin hanya membisu. Dia tidak punya jawapan pada soalan Hazeem. Pandai-pandailah Hazeem meneka jawapannya sendiri.

***

Enam bulan kemudian….

Rombongan pengantin lelaki sekarang dalam perjalanan ke rumah pengantin perempuan. Hazeem membeku di tempat duduk belakang. Datuk Johan memandu tenang ditemani isterinya Datin Sofea di sebelah.    

“Kenapa abang macam monyok aje ni? Abang tak gembira ke nak kahwin hari ni?” Nisa yang duduk di sebelah Hazeem hairan melihat perlakuan abang kesayangannya. Hazeem pula hanya mampu tersenyum nipis. Sebentar lagi dia bakal menjadi milik Sara. Hazeem tiada pilihan lain apabila papanya berkeras untuk meminang Maisara. Papanya tidak sanggup mungkir janji yang telah dipersetujui dengan Encik Roslan sejak awal lagi. Itulah silap papa, berjanji tanpa persetujuan empunya badan.  Jika Hazeem cuba berniat memalukan keluarga dengan tidak menghadirkan diri waktu upacara akad nikah, papanya tidak akan menganggap Hazeem sebagai anak kandungnya lagi. Biarlah Hazeem menyandang gelaran anak derhaka jika itu yang Hazeem mahukan.

Hazeem cuba mencari jalan penyelesaian lain dengan menemui Maisara sendiri. Diceritakan segalanya pada Maisara malangnya gadis itu sedikitpun tidak percayakannya. Maisara tetap mahu meneruskan majlis perkahwinan mereka. Tambahnya lagi dia tidak sanggup menanggung malu selepas segala perancangan sudah diketahui ramai. Perkara yang paling penting kata Maisara, Azrin langsung tidak mengaku yang dia mempunyai perasaan terhadap Hazeem. Remuk hati Hazeem mendengarnya.

Lantas, Hazeem pasrah dengan ketentuan Allah. Mungkin ini yang terbaik buat dirinya. Sebagai manusia, dia tidak akan tahu apa sebenarnya yang akan berlaku pada masa hadapan. Perancangan Allah itu hebat. Hazeem cuba bermuhasabah diri dan mengikut sahaja aturan kedua orang tuanya dengan harapan akan ada sinar kebahagiaan buat dirinya dan semoga Allah bukakan pintu hatinya buat Maisara.

“Hazeem, termenung apa lagi tu? Kita dah sampai ni,” Fikiran Hazeem mula bertapak di alam nyata. Masa kian dekat. Ahli keluarga sudah mula berkumpul untuk menyaksikan lafaz akad yang bakal menyatukan Hazeem dengan Maisara.

Hazeem berjalan masuk bersama rombongannya. Pakaiannya paling menyerlah berbanding orang lain tetapi hatinya langsung tidak teruja. Fikir Hazeem, dia mahu cepat-cepat menyudahkan majlis yang tidak disukainya. Bersila menghadap tok kadi merupakan pengalaman berharga bagi seorang lelaki seumur hidupnya tetapi bagi Hazeem, Azrin telah memusnahkan semua itu.

“Kita dah boleh mula ni pak imam?” Kedengaran suara Encik Roslan bertanyakan tok kadi. Hazeem tambah gementar. Dia benci keadaan sekarang.  

“Mana pengantin perempuannya? Sila turunkan tandatangan persetujuan pada dokumen ini,” Arah pak imam.

Sebentar kemudian kedengaran riuh-rendah suara para tetamu yang memuji kecantikan bakal pengantin perempuan. Hazeem tidak sanggup mengangkat wajah. Selepas Maisara menandatangani dokumen yang dikehendaki, berwalikan ayahnya, lafaz akad dimulakan.

“Hazeem Zakwan Bin Mohd Johan, aku nikahkan dikau dengan Nur Azrin Riana Bt Roslan dengan mas kahwin lapan puluh ringgit tunai,”

“Aku terima nikahnya..,” Hazeem terhenti daripada melafazkan akad. Tok imam silap sebut nama ke? Getus hati kecil Hazeem.

“Apa tok imam cakap tadi? Boleh ulang?” Semua hadirin tertawa kecil mendengar soalan Hazeem.

“Kamu nervous ke? Tak apa. Rileks. Tenangkan fikiran. Bawa mengucap dan istighfar, kita mulakan sekali lagi,” Hazeem menarik nafas panjang dan mula bersedia sekali lagi. Tangannya digenggam.

“Hazeem Zakwan Bin Mohd Johan, aku nikahkan dikau dengan Nur Azrin Riana Bt Roslan dengan mas 
kahwin lapan puluh ringgit tunai,” Tok imam menggoncang tangan Hazeem supaya Hazeem menyambut lafaz akad nikah tetapi Hazeem pula yang masih teragak-agak. Apa aku silap dengar atau…

Perlahan-lahan wajahnya diangkat dan matanya bertemu pandang dengan perempuan yang bakal menjadi isterinya. Setelah sekian lama tidak bersua muka selepas kisah pengorbanan perempuan itu untuk kakak dan keluarganya, mereka kembali bertemu.

“Arin?” Hazeem melepaskan tangan tok kadi seraya bangun berdiri. Semua tetamu melopong. Tok kadi dah mula betulkan serban.

“Hazeem kena kahwin dengan Arin ke?” Soal Hazeem. Azrin sudah merah wajahnya dengan gelagat Hazeem yang kalut itu. Mana taknya suara lelaki itu sangat kuat menyoalnya yang duduk bersimpuh di seberang sini. Malunya, keluh hati Azrin.

“Yalah Azrin bakal isteri kamu. Pak imam tak buta lagi sampai tak boleh baca nama dalam borang ni. Kamu ni nak kahwin ke tidak? Pak imam nak kena nikahkan tiga pasangan lagi lepas ni. Apa kamu ingat pak imam free memanjang nak buat sesi bersalam dengan kamu sampai ke petang?”

Sekali lagi para tetamu tergelak mendengar celoteh tok kadi itu. Hazeem tersentak. Sepantas mana dia bangun berdiri tadi, sepantas itulah dia kembali duduk bersila. Terus tangan tok kadi digenggamnya.

“Saya nak kahwin sekarang pak imam,” Hazeem sudah mendapat semangatnya kembali. Tok kadi sudah menggeleng kepala.

“Kamu ni, sebab kamu kena kahwin sekaranglah pak imam ada kat sini pagi ni. Sekarang dah tak sabar pulak dah. Okey, kita mulakan sekarang,” Komen tok kadi itu membuahkan ketawa tetamu. Agak lucu majlis akad nikah yang bakal berlangsung sekarang.

“Hazeem Zakwan Bin Mohd Johan, aku nikahkan dikau dengan Nur Azrin Riana Bt Roslan dengan mas kahwin lapan puluh ringgit tunai,”  

Hazeem menarik nafas panjang sebelum melafazkan akad.

“Aku terima nikahnya Nur Azz..Azrin Rianaaa B. Roslan dengan mas kahwin lapan puluh ringgit tunai,”
Tok kadi berkerut kening melihat Hazeem yang tersengih-sengih malu.

“Sah?” Tanya tok kadi pada saksi.

“Kita cuba sekali lagi?” Cadang seorang saksi. Hazeem tambah berdebar. Azrin yang menyaksikan situasi itu juga naik risau.

Cubaan akad nikah kali kedua juga tidak berapa berjaya. Sekali lagi saksi memberi cadangan untuk Hazeem melakukan semula akad itu. Saat tangan Hazeem menggenggam tangan tok kadi untuk entah kali ke berapa, Azrin bangun berdiri.

“Berhenti,” Azrin ketap bibir menjeling Hazeem yang terkejut dengan tindakan Azrin menghentikan majlis.

“Pak imam, boleh saya bercakap dengan bakal pengantin lelaki sekejap?” Pak imam hanya mengangguk setuju. Mungkin mereka berdua perlu berbincang buat kali terakhir sama ada benarkah keputusan yang mereka ambil untuk berkahwin sekarang? Pak imam sendiri sudah pening kepala.

Hazeem bangun mengekori langkah Azrin ke luar rumah. Para tetamu hanya mampu memandang sambil menahan debaran. Apakah nasib pasangan tersebut?

“Awak nak kahwin tak dengan saya?” Azrin pantas menyoal setelah mereka sama-sama berdiri di porch meletak kereta.

“Mestilah, dah ini yang saya nak dari dulu lagi. Kenapa masih nak tanya?” Hazeem berkerut kening membalas pandangan marah Azrin. Kali ini tangan Azrin pula naik bercekak pinggang.

“Habis tu kenapa masih tergagap-gagap nak akad nikah? Susah sangat ke nak sebut nama saya?” Sembur Azrin.

Hazeem senyum sinis. Orang perempuan tak akan pernah faham bagaimana perasaan suami mereka ketika berdepan dengan tok kadi.

“Cuba kalau awak dekat tempat saya. Awak ingat senang?” Kedua-duanya panas hati.

“Saya bagi awak peluang terakhir, kalau lepas ni pak imam masih cakap tak sah, kita tangguh hari lain,” Ugut Azrin. Hazeem terkejut.

“Awak dah gila? Saya tak akan lepaskan awak lagi tahu? Awak tunggulah,” Memang Hazeem pantang dicabar. Selesai bertikam lidah dengan Azrin, mereka sama-sama melangkah masuk.

“Macam mana? Kamu nak teruskan?” Soal tok kadi.

“Eh, mestilah pak imam. Insya-Allah saya dah ready,” Ujar Hazeem serius. 

Dan untuk kali ketiganya, barulah Hazeem dengan lancarnya melafazkan akad nikah.

“Sah?” Tanya tok kadi pada para saksi.

“Sah!” Jawab para saksi serentak bersama dengan suara latar yang ramai dan bersemangat sekali. Siapa yang menjadi suara latar? Sudah tentu semua tetamu. Mereka mungkin sudah letih menunggu majlis akad nikah yang lama ni.

Selepas berdoa, Hazeem merenung Azrin yang baru sah menjadi isterinya beberapa saat yang lalu. Wajah Hazeem yang serius bertukar manis apabila isterinya itu mengangkat ibu jari menunjukkan isyarat bagus. Alhamdulillah ternyata mereka ada jodoh.

Banyak lagi yang perlu ditanya pada isterinya itu. Apakah sebenarnya yang berlaku dalam enam bulan ini?

***

Tergamam Hazeem selepas mendengar penjelasan panjang lebar daripada Azrin. Ternyata ini semua rancangan Azrin dan kedua-dua belah pihak keluarga. Hal ini sudah selesai sejak awal-awal lagi di mana Datuk Johan dan Datin Sofea telah menceritakan segalanya kepada Encik Roslan, Puan Nora serta Maisara. Selepas ditanya  pada Azrin, akhirnya Azrin mengaku. Maisara sangat terharu dengan pengorbanan adiknya tetapi dia tidak perlukan pengorbanan yang boleh memusnahkan kebahagiaan orang tersayang. Azrin dia sayang, Hazeem pun dia sayang. Maisara ingin melihat mereka berdua gembira. Kedua-dua keluarga juga setuju. Jadi di mana silapnya?

Semuanya kerana rancangan Azrin yang meminta hal ini dirahsiakan daripada pengetahuan Hazeem. Katanya, biarlah Hazeem terus dengan andaian yang dia akan berkahwin dengan Maisara. Kata Azrin lagi dia mahu membuat kejutan. Disuruh Maisara berlakon untuk watak keras hati dan berdegil meneruskan perkahwinan. Azrin juga yang memberi idea kepada Datuk Johan untuk mengugut Hazeem. Ini adalah sebagai satu langkah keselamatan, manalah tahu Hazeem lari dan tidak menghadirkan diri pada majlis pernikahan. Mama dan papa Hazeem betul-betul sporting.

Hazeem terharu kerana pakaian persalinan majlis perkahwinan mereka semuanya adalah rekaan dari isteri tercinta. Patutlah mamanya langsung tidak bertanya pendapatnya tentang baju yang akan dipakai pada majlis perkahwinan. Kuat betul kerjasama mereka nak kenakan aku, getus hati kecil Hazeem.  

Kini usia perkahwinannya sudah menginjak tahun yang kedua. Hazeem dan Azrin dikurniakan seorang cahaya mata yang comel berumur setahun. Baby boy itu dinamakan Aqil Irfan.

“Apa lagi dok termenung tu?” Azrin menegur suaminya yang asyik merenung bintang.

“Siapa kata abang termenung? Abang sedang melihat dan berfikir tentang indahnya kejadian yang Allah buat ni tahu? Itu bintang, jangan tahu tengok aje, cuba fikir sedikit kejadian disebalik terciptanya bintang. Dapat pahala tahu?”

“Yalah Ustaz Hazeem. Ustaz tak nak masuk ke? Aqil kat dalam dah merengek cari papa dia dah. Tak boleh tidurlah tu kalau tak nampak papa dia,” Azrin tersenyum mengejek. Hazeem bangun daripada duduk apabila isterinya sudah menarik tangannya. Mereka sama-sama berjalan masuk ke dalam rumah.

“Betul ke Aqil yang merengek cari papa dia? Bukan mama Aqil?” Usik Hazeem. Azrin ketawa senang.

“Eh, macam mana abang tahu? Aqil dah lama tidur, sebenarnya mama Aqil yang tak boleh tidur bila tak nampak papa Aqil,” Hazeem ketawa besar. Azrin sekarang sudah tidak malu-malu lagi meluahkan rasa sayang, berbeza masa waktu mereka mula-mula kahwin.

“Erm, papa Aqil dah tahu lama dah,”

“Apa yang papa Aqil tahu?” Tidak berkelip mata Azrin menanti jawapan dari suami tercinta. Hazeem kelihatan berfikir sejenak sebelum menjawab.

“Malas abang nak jawab. Papa Aqil mengantuk, nak tidur,” Ujar Hazeem sambil berjalan ke kamarnya. Tiga langkah berjalan, dia berhenti. Kenapa? Sebab mama Aqil sudah memuncung dan statik tidak melangkah bersamanya. Merajuklah tu.

“Abang selalu macam tu,” Protes Azrin.

“Macam mana?” Soal Hazeem

“Macam tulah,” Makin geram Azrin dibuatnya.

“Macam mana?” Hazeem masih bertanyakan soalan sama. Azrin mendengus.

“Sudahlah, malas nak layan. Arin mengantuk. Nak tidur,” Rajuk Azrin sambil berlalu ke kamar.
Belum sempat dia memulas tombol pintu, tangannya ditarik Hazeem. Azrin kembali berpaling memandang suaminya. Hazeem tersenyum. Kedua-dua tangannya melekap pada pipi Azrin.

“Abang suka, sayang dan cinta Arin sangat-sangat,” Bisik Hazeem perlahan. Azrin yang mendengar cuba menahan debar. Bukan mudah untuk mendengar Hazeem melafazkan kata cinta. Hati Azrin seperti disiram dengan air sejuk selepas mendengar ucapan keramat itu.

“Apa? Arin tak dengar?” Usik Azrin. Hazeem pulak yang sakit hati. Dicubit pipi Azrin kuat. Terjerit Azrin dibuatnya.

“Elok sangatlah tu buat-buat tak dengar. Nak jadi pekak? Abang tak nak ulang lagi!” Bebel Hazeem. Azrin tergelak. Sudah biasa dengan mulut laser Hazeem.

“Arin pun suka, sayang dan cinta abang sangat-sangat. Dahlah, jom tidur!” Azrin kembali berpaling untuk memulas tombol pintu.

“Nak tidur dah?” Tanya Hazeem.

“Tidurlah. Tadi abang jugak yang cakap abang mengantukkan?” Pening Azrin dengan Hazeem seorang ni.

“Betul nak tidur ni?” Soal Hazeem lagi.

Azrin mengesan ada senyuman nakal pada wajah suaminya.

“Ya, tapi sebelum tu kena solat Isyak dulu. Abang belum solatkan?” Soal Azrin. Hazeem menggeleng.

“Kita jemaah sekali?” Ajak Hazeem. Kini giliran Azrin pula menggeleng.

“Sayang dah solat tadi?”

“Arin tak boleh solatlah,” Azrin sudah tersenyum. Hazeem pulak yang terkejut.

“Bila?” Soal Hazeem serius.

“Baru tadi. Lepas maghrib,”

Hazeem mengeluh.

“Hmm, memang kena tidur teruslah lepas ni,” Azrin tergelak. Memang dia dah boleh agak kenapa Hazeem senyum nakal tadi.

“Chill ar abang,” Azrin tepuk bahu Hazeem apabila melihat wajah tak ada perasaan suaminya itu.

“Apa chill-chill?” Soal Hazeem. Mereka berdua saling berbalas pandang dengan serius sebelum kedua-duanya tergelak. Berapa banyak gelak daa..

“Jom masuk?” Ajak Azrin

“Jom,” Hazeem memaut bahu isterinya dan mereka sama-sama masuk ke kamar. Esok masih ada dan begitulah untuk hari-hari yang seterusnya. Doa Hazeem dan Azrin agar mereka sentiasa mesra dan memperoleh kebahagiaan dunia dan akhirat. Amin.

*TAMAT*

PS: 1st time try tulis cerpen. Harap korang terhibur :) Kenapa tajuk Cinta Ekspress? Saya pun tak tahu..huhu..mungkin sebab kisah hidup mereka pendek, sebab tu ekspress.. ;)

15 comments:

  1. basttt
    SELAMAT HARI RAYA
    MAAF ZAHIR DAN BATIN

    ReplyDelete
  2. Best....
    Keep up the good work

    ReplyDelete
  3. hahahaha..tergelak i baca tau..hehe..dah mcm hindustan doh,,tiba2..teringat kat raj and pooja lah plok..hehhe(zaman kecik2)...
    nice try jugok ni.buleh doh tu..:)

    ReplyDelete
  4. tq sume ;)
    Aah ler mok, bila bc smula teringat ko raj n pooja..hahaha..sara tu tina..lawak2 :)

    ReplyDelete
  5. wahh..makin maju..ada cerpen..saya suka..saya suka..:))

    ReplyDelete
  6. Haha..sj try2 d waktu buntu idea dgn CII..tq sbb suka Kak Fatonah :)

    ReplyDelete
  7. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  8. Assalamualaikum boleh saya dapat alamat emel Shiroe, saya su dari kaki novel

    ReplyDelete
  9. Waalaikumussalam. emel sy: shiroesherry@yahoo.com

    ReplyDelete
  10. good job! best sangat :)

    ReplyDelete
  11. besttttttttttttttttt

    ReplyDelete
  12. best...sweet je perjalanan cinta azin dan hazeem

    ReplyDelete