Wednesday, 8 August 2012

Cinta Itu Indah! 20

Suatu petang, abah mengajakku ke pasar malam. Kata abah, dia sudah muak dengan masakan emak. Tekaknya nak bermanja dengan masakan gerai yang dijual di pasar malam. Aleeya yang ingin mengikut, dihalangnya pergi. Kata abah Aleeya lebih elok tambah pahala dengan membantu emak menyiapkan apa-apa yang patut di dapur sebelum kami pulang membawa juadah. Abah ingat sekarang bulan Ramadan ke? Bila Aleeya sudah memuncung, abah mula bagi nasihat

“Tak baik merajuk dengan abah, SPM dah nak dekatkan? Nak restu abah tak?” Hah! Itu dia ayat ugutan abah. Apa punya motivasi yang abah guna sekarang sampai ugut Aleeya macam tu? Bila difikirkan balik, macam mana abah boleh jadi pengetua?

Sunday, 5 August 2012

Cinta Itu Indah! 19

Hari yang berlalu bagaikan hari-hari yang amat sukar untukku tempuh, lebih-lebih lagi kalau tiba waktu untuk ke pejabat. Perasaan bimbang terserempak dengan Tuan Ray selalu ada. Aku bagaikan kekok untuk berhadapan dengan dia setelah mengetahui rahsia hatinya. Setakat ini aku bernasib baik kerana tidak terserempak dengannya, nasibku untuk hari-hari yang seterusnya entah bagaimana agaknya. Tuan Ray juga tidak menghubungiku lagi selepas detik dia meluahkan perasaan. Kami juga sudah tidak keluar makan tengah hari bersama. Lakonan kami bagaikan terhenti begitu saja.

Jauh disudut hati, terselit perasaan bangga kerana lelaki sehebat Tuan Ray mengaku yang dia punya perasaan terhadapku. Mesti hancur harapan setiap wanita yang menaruh perasaaan pada Tuan Ray. Terlompat-lompat Aleeya selepas aku menceritakan perkembangan terbaru Tuan Ray. Dalam pada itu sempat juga dia membebel sebab aku tak bagi kata putus waktu kejadian tempoh hari. Katanya aku sengaja tolak tuah. Apa dia ingat nak terima orang dalam hidup kita ni benda main-main yang tidak perlu ditimbang baik buruknya ke? Aku sendiri kena fikir dan yakin dengan perasaanku pada dia sebelum aku menerimanya sebagai orang istimewa dalam hatiku.  

Tuesday, 31 July 2012

Cinta Itu Indah! 18

Berat langkah kakiku menapak ke pejabat hari ini. Tangan ditadah, doa dibaca. Mintak-mintaklah Tuan Ray cuti hari ni. Amin. Apa punya doalah macam tu. Tiba di hadapan lif, tiada seorang pun manusia berdiri di situ. Aku intai jam tangan. Sudah jam tujuh lima puluh minit pagi. Pelik benar suasana pagi ni. Mana perginya semua staf Berjaya Holding?

Ting! Pintu lif terbuka. Aku melangkah masuk dan sebaik sahaja berpaling aku lihat sekumpulan staf berjalan laju untuk turut bersamaku menaiki lif. Aku mengundur dan menyandar di bucu kanan lif apabila semakin ramai staf ingin menggunakan perkhidmatan lif. Kami semua berhimpit seperti ikan sardin dalam tin. Nasib baik sekarang waktu pagi dan mereka semua berbau wangi, kalau tak boleh pening jugak kepala aku. Aku tahan perasaan geram apabila ada seorang staf yang berhenti di tingkat dua. Bayangkan tingkat dua kalau naik tangga tak berpeluh pun. Staf itu menyusahkan pengguna lif yang lain apabila dia berdiri di bahagian belakang menyebabkan dia perlu berasak-asak untuk keluar. Ish tak patut betul!

Agaknya bila baru boleh sampai department aku ni, keluhku. Aku melangkah ke bilikku sebaik keluar dari lif. Hanya ada lima orang staf sahaja duduk di meja masing-masing.

Sunday, 29 July 2012

Cinta Itu Indah! 17

Telefon di tangan aku renung. Sudah berapa lama aku ulang baca sebaris nama yang tertera di skrin telefon itu. Panggilannya langsung aku tak jawab. Bila difikirkan balik, malu pula bertindak terburu-buru tempoh hari. Kalau aku jadi Tuan Ray pun aku dah boleh agak kenapa aku bertindak begitu. Hei, malu! Malu! Malu! Nampak sangat aku kecil hati dengan dia. Kecil hati disebabkan satu alasan yang hati dengan otak aku tak boleh memberi kata putus yang sama. Hati kata lain, otak kata lain. Hati kata kau suka dia. Otak kata tidak. Tapi tindakan fizikal lebih berpihak pada hati, kalau tak, takkanlah aku terus cabut lepas dengar kenyataannya tempoh hari. Oh Aqilah, kenapa kau suka sangat memalukan diri kau sendiri? Aku termenung mengenangkan nasib diri.

Tuesday, 24 July 2012

Cinta Itu Indah! 16

Pada hari Jumaat selepas tamat waktu bekerja, Khadija mengajak aku ke Tesco. Katanya mahu membeli bahan untuk membuat karipap.

“Kau pandai buat karipap ke?” Soalku ketika kami sama-sama berjalan menuju ke kereta di basement. Kami akan ke tesco dengan kereta Khadija kerana hari ini Khadija memang berniat supaya aku menemankannya ke Tesco jadi awal pagi tadi, dia yang menjemputku dari rumah untuk ke tempat kerja. 

“Bukan aku yang nak buat karipap tapi mak aku. Kau pun agak-agaklah, aku ni mana pandai sangat buat benda tu semua,”

“Hari tu kau masak bihun goreng best aje aku rasa,” Komenku ringkas merujuk pada bekal sarapan pagi yang pernah dibawanya.

Wednesday, 18 July 2012

Cinta Itu Indah! 15

Masuk sahaja ke pejabat selepas waktu tengah hari, aku duduk menelaah kad kecil yang diberi oleh emak pagi tadi. Kali ini nombor sudah bertukar kepada tiga ratus dua puluh. Ish, nombor apa ni? Kenapalah emak nak ajak aku main teka-teki ni? Kenapa dia tak ajak abah ke Aleeya ke? Dia bukan tak tahu aku tak minat benda-benda ni semua? Sedang aku serabut memikirkan masalah teka-teki emak, telefon berbunyi minta diangkat. 

“Hello, Aqilah speaking,”

“Aqilah, kau dengar sini baik-baik, jangan kau ingat aku tak tahu sejak akhir-akhir ni kau rapat dengan Rayyan. Aku nak kau berambus dari hidup dia,” Mendengar sahaja suara itu, serta-merta darah gemuruhku menyerang. Aku cuba bertenang, nampaknya perempuan tak tahu malu dah mula bertindak. Mungkin dia dah tak tahan dengan lakonan mantap aku dengan Tuan Ray. Mati aku!

Thursday, 12 July 2012

Cinta Itu Indah! 14

“Hai, termenung jauh nampak?” Aku tersentak. Bila berpaling, Tuan Ray sudah berdiri tegak di belakangku. Macam mana boleh tak sedar dia masuk ni?

“Ya Allah tuan, terkejut saya. Nasib baik tuan datang. Tolong saya tuan, saya kena paksa ambik test memasak ni,” Aku dah mula kalut. Tuan Raylah satu-satunya harapan aku yang boleh hentikan ujian yang entah apa-apa ni. Tuan Ray dah silap pilih orang, aku memang pandai berlakon tapi kalau nak lengkapkan sekali dengan pakej pandai memasak memang aku gagal.

“Mama suruh awak masak?” Aku mengangguk dengan penuh keyakinan. Bersinar-sinar aje aku nampak Tuan Ray sekarang, dah macam para-para yang akan tolong aku dalam kesusahan. 

“Yalah tuan. Tapi saya ni bukannya pandai sangat masak-memasak ni. Saya pandai rasa masakan aje,” Tanpa segan silu aku menceritakan masalah yang aku hadapi sekarang. Tuan Ray sudah berkerut kening melihatku. Dia hairan barangkali dengar aku tak pandai masak. Pelik sangat ke? Aku rasa ramai aje orang yang kurang pandai memasak macam aku ni. Contoh terdekat adik aku, Aleeya! Dia pun tak berapa pandai dan gemar bab masak-memasak ni.

Thursday, 5 July 2012

Cinta Itu Indah! 13

“Kamu Nurul Aqilah?” Aku menentang pandangan Tan Sri Haji Arshad. Kenapa wajahnya kelihatan tegang? Tidak seperti waktu aku mula-mula berjumpa dengannya di bilik pejabat Tuan Ray. Sekarang tiada lagi senyuman di wajahnya tetapi wajah serius memandangku.

“Iya, saya Nurul Aqilah,” Aku menunduk merenung kaki. Auntie Jasmin sudah menghilang ke dapur setelah menjemputku masuk dan memperkenalkan aku kepada suaminya. Tuan Ray pula masih tak turun-turun dari tadi. Bukannya dia tak tahu aku dah sampai dan ada kat bawah ni.

“Kamu serius ke dengan Rayyan?” Soalnya dingin. Aku dah rasa macam ada yang tak kena. Rasa berpeluh-peluh walaupun cuaca pagi itu redup sahaja. Dia tak suka aku kawan dengan anaknya ke?

“Kenapa Tan Sri tanya macam tu?” Aku gerun untuk bertentang mata dengannya. Teringat aku akan kata-kata Khadija yang Tan Sri Haji Arshad baik orangnya, mesra tetapi apa yang aku lihat sekarang jauh benar daripada dakwaan Khadija. Tan Sri Haji Arshad yang aku lihat sekarang tegas orangnya, mempunyai renungan yang sinis, dingin dan kurang mesra.

Friday, 22 June 2012

Cinta Itu Indah! 12

Aku sedang leka menaip surat perjanjian kontrak Mega Group apabila telefon di atas meja berbunyi. Lantas, aku terus mencapai gagang.

“Aqilah speaking,”

“Qila, masuk bilik saya sekarang. Urgent!” Aku renung gagang telefon. Ini bukan bos aku.

“Tapi tuan…,” Tidak sempat aku menghabiskan ayat, dia terus memutuskan talian. Aku masih termangu-mangu menerima arahan daripada Tuan Ray. Kenapa dengan dia? Dia sedar ke sekarang waktu kerja? Apa dia ingat dia berpangkat besar dia boleh arah aku sesuka hati dia? Ah, dia bukan bos aku dan aku bukan setiausaha dia. Jadi Aqilah, kau sambung sahaja kerja kau tu. Tanpa mengambil kisah akan arahan Tuan Ray, aku meneruskan kerja yang tergendala tadi. Lima minit kemudian, interkom pula berbunyi. Ish, waktu aku sibuk inilah orang lain pun sibuk nak kacau aku.

“Yes boss?” Takkanlah Encik Irfan dah tak menyempat nak surat perjanjian ni? Aku baru  nak mula taip kot.

“Pengurus besar ada panggil awak ke bilik diakan? Kenapa awak tak pergi lagi?” Amboi, dah pandai mengadu pada Encik Irfan.

“Kenapa saya perlu jumpa dia bos?” Hairan jugak apabila aku dipanggil tanpa amaran. Aku ada buat salah ke?

“Entahlah Qila, manalah saya tahu,”

“Bos tak rasa pelik ke tiba-tiba dia panggil saya?” Sejak akhir-akhir ini, perlakuan dan percakapan Tuan Ray agak pelik. Tengok sahaja waktu pertandingan badminton dulu, selamba sahaja dia panggil aku ‘sweetheart’. Sejak bila pula aku ni rasmi jadi ‘sweetheart’ dia? Kalau setakat ‘sweetheart’ palsu aku tak kisah tapi daripada gaya dan cara dia panggil aku, memang dia berjaya buat aku perasan seorang diri.

“Tak ada apa-apa yang pelik pun. Dia memang macam tu Qila, kadang-kadang pengawal keselamatan pun dia nak jumpa jugak,” Biar betul Encik Irfan ni. Apa motif  Tuan Ray jumpa pengawal keselamatan?

Saturday, 16 June 2012

Cinta Itu Indah! 11

Awal pagi itu, seperti biasa aku membancuh air di pantry sambil menunggu kedatangan Khadija untuk bersarapan bersama. Macam mana agaknya khabar bos kawan baikku itu? Selepas aku terserempak dengannya waktu kenduri Zafril, Tuan Ray seakan-akan lenyap daripada pandanganku. Masuk hari ini, sudah satu minggu aku tidak bertemu pandang dengannya. Nak tanya Khadija rasa segan pulak. Mestilah Khadija rasa pelik kalau aku tiba-tiba bertanyakan bosnya sedangkan Khadija pun tidak pernah bertanya apa-apa tentang bosku Encik Irfan.Entah kenapa sejak akhir-akhir ini ingatan pada Tuan Ray sentiasa bertandang dibenakku. Sudah puas aku cuba menepis ingatan itu tetapi ia tetap berdegil mahu menjengah jugak. Kenapa agaknya? Aku cuba menyedapkan hati dengan alasan aku berhutang dengannya. Mungkin disebabkan alasan itulah aku sentiasa ingat padanya. Banyaklah kau punya alasan Qila, seperti kata Tuan Ray, kau memang pandai mencari helah.

Monday, 11 June 2012

Cinta Itu Indah! 10

Aku melangkah lemah masuk ke rumah. Ruang tamu kelihatan kosong. Ke mana semua orang menghilang? Dengan pintu rumah yang terbuka luas? Hish, berapa kali nak kena pesanlah, buatnya perompak masuk merompak macam mana? Kalau merompak okey lagi kut tapi kalau melarat kepada kes pembunuhan macam mana?

“Mak,” Aku melaung memanggil emak.

“Mak kat dapur ni,” Launganku dibalas. Selepas menutup dan mengunci pintu rumah aku terus bergerak ke dapur. Emak sedang memasak lauk untuk makan malam. Memang adat keluargaku selalu makan waktu lewat petang. Kata abah tak elok makan nasi waktu malam, entah apa yang tak eloknya tetapi lama kelamaan aku sudah terbiasa dengan peraturan itu.

“Mak, berapa kali Qila nak kena pesan jangan tinggalkan pintu depan tu terbuka luas macam tu aje, kalau perompak masuk rumah macam mana? Kan susah?” Aku mula merungut. Sudah dipesan banyak kali tapi hasilnya tetap macam tu jugak.

“Mak dah tutup tadi, mungkin abah tak ingat nak tutup pintu masa dia keluar pergi rumah Pak Taib,” Pak Taib merupakan jiran selang dua rumah dari rumahku.

“Tak bolehlah buat tak ingat macam tu,” Ish, geram betul aku apabila melihat emak masih santai membuat kerja, padahal isu yang kami bincangkan ini agak serius. Boleh lagi dia ambik mudah tentang hal macam ni.

“Okeylah sayang. Anak mak jangan marah-marah, nanti cepat tua. Jangan risau, nanti mak pesan dekat abah jangan lupa tutup pintu,” Aku menarik nafas kelegaan dengan penjelasan emak. Harap-harap emak tak lupa dengan janjinya ini.

“Mak memasak ke?” Aku menegur sambil melabuhkan duduk di kerusi berdekatan meja makan.

“Eh, mana ada. Mak tengah main golf ni, tak nampak?” Aku mencebik. Emak ni suka sangat corner ayat.

“Ke situ pulak mak ni, selalu macam tu,” Rungutku.

“Dah tahu mak ni sedang masak masih nak tanya lagi. Tak ada soalan lain? Cuba tanya mak ni tak bosan ke asyik memasak hari-hari? Nak Qila tolong ke? Hah, cuba bagi soalan macam tu? Sedap sikit mak dengar,” Tempelak emak. Erm, mak pun suka sindir aku macam orang tu. Aku pantas bangun mendekati emak yang sedang mengacau gulai. Aku berdiri dibelakangnya sambil meletakkan daguku pada bahunya. Emak berpaling sedikit memandangku.

“Dah ni kenapa pulak?” Tanya emak

“Kenapa apa?” Soalku tidak faham.

“Tak puas lagi ke bermanja?”

“Dengan mak memang Qila tak pernah rasa puas nak bermanja,” Aku tersengih merenungnya.

“Yeke? Nampaknya mak kena kahwinkan kamulah gamaknya Qila,” Selamba sahaja emak memberi cadangan sambil tangannya masih tidak berhenti mengacau gulai.

“Kenapa pulak?” Aku sudah berdiri tegak di sebelah emak sambil mengambil alih tugas mengacau gulai. Apa kena mengena soalan bermanja dengan kahwin?

“Iyalah, kamu jugak yang cakap tak puas bermanja, nanti kalau kamu dah kahwin bolehlah bermanja dengan suami kamu tu,” Aku terngadah mendengar alasan emak. Aduhai, ini yang tak syok. Aku nak berbual kosong dengan emak, dia tarik aku berbual benda macam ni.

“Qila muda lagilah mak, tak rasa nak kahwin lagi. Lagipun manja dengan mak dan suami tu lainlah mak,” Sejak akhir-akhir ni emak selalu secara halus mengajak aku berbual ke arah hal macam itu. Macam tak sesuai sangat nak bincang tentang hal kahwin buat masa sekarang.

“Muda apa macam ni? Kalau kahwin dah boleh jadi mak budak dah,” Tempelak emak lagi.

“Abah mana mak?” Aku cuba keluar dari topik yang tidak berkesudahan ini.

“Itulah kamu, kalau cakap pasal kahwin, mulalah nak mengelak. Qila tu dah nak masuk dua puluh enam tahun tau. Kalau kamu baru nak masuk tujuh belas tahun macam adik kamu tu mak tak kisah Qila tak nak kahwin lagi pun,” Alamak, emak dah mula membebel tapi tangannya masih lincah membancuh air di dalam jag. Aku menutup api apabila gulai sudah masak sepenuhnya.

“Nak kahwin macam mana kalau tak ada calon lagi mak?” Memang tidak dinafikan memang normal apabila seorang ibu mula bimbang tentang anak gadisnya berkaitan hal nikah kahwin bila usia anaknya semakin meningkat. Entah kenapa dengan aku yang masih tidak rasa tergesa-gesa untuk memikirkan tentang itu semua.

“Nak mak carikan?” Wajah emak tersenyum manis merenungku sehingga membuatkan aku rasa tidak selesa.

“Erm, terima kasihlah mak tapi Qila rasa biarlah Qila cari sendiri,” Aku tak naklah kahwin dengan orang yang aku tak kenal. Kalau boleh, biarlah aku kenal hati budinya dahulu atau kata nama lain aku ingin sekali melalui proses perkenalan sebelum membuat keputusan untuk memilih sesiapa yang akan menjadi pasangan hidupku sepanjang hayat.

“Kamu tu cakap aje nak cari, tapi carinya tak jugak,” Emak sudah tarik balik senyuman manisnya. Aku tergelak dengan gelagat emak. Comel betul gelagat emak, kadang-kadang macam budak yang tidak puas hati bila hajatnya tidak dipenuhi.

“Hah, tengok tu boleh pulak dia gelakkan kita,” Protes emak tidak puas hati denganku.

“Baiklah emakku yang tersayang. Qila janji kali ni Qila cari betul-betul,” Aku akan sentiasa cuba menyedapkan hati orang tuaku. Wajah emak dah bertukar seri. Sukalah tu.

“Okey, kali ini tak nak main-main lagi. Mak bagi tempoh setahun dari sekarang. Mak nak kamu bawa kawan yang kamu berkenan jumpa mak dengan abah. Boleh?” Emak sudah mula menuntut janji. Aku cuba bertahan daripada melepaskan keluhan. Nak tangkap siapa jadi suami aku? Setahun? Hish, pendek sangat masa.

“Kalau dua tahun mak?” Aku cuba tawar menawar.

“Dua tahun? Nak tunggu sampai kamu jadi barang antik? Tak adanya dua tahun. Muktamad setahun,” Tegas emak.

“Tapi mak..,” Aku mencuba nasib lagi

“Tak ada tapi-tapi, mak tak nak dengar lagi alasan,” Hilang terus sikap toleransi emak bila melibatkan hal ini.

“Mak..,” Aku cuba lagi

“A B C D E…,” Itulah mak aku. Kalau dah malas layan dia akan baca huruf A B C sampai Z sambil menekup tangan di telinga. Aku hanya mampu menggeleng kepala melihatnya yang melangkah keluar dari dapur.

Ketika menjamu selera pada lewat petang itu, abah pula cuba merisikku dengan soalan yang sama. Aku perasan yang emak sedang tahan senyum. Mesti mak dengan abah buat pakatan ni.

“Qila sekarang dah ada kawan?” Tanya abah. Abang Amir, Abang Armand dan Aleeya kelihatan begitu teruja menanti jawapanku.

“Ada,” Jawabku malas. Semua yang berada di meja makan terkejut mendengar jawapanku.

“Siapa?” Sampuk Abang Amir tidak sabar. Aku berkerut dahi memandangnya.

“Khadija. Setakat ini, Khadijalah yang paling rapat dengan Qila,” Mendengar sahaja jawapanku, mereka semua mengeluh kuat.

“Loyar buruk,” Kutuk Abang Armand. Aku faham sebenarnya apa yang dimaksudkan mereka tapi aku saja buat tak faham.

“Maksud abah kawan lelakilah kak,” Aleeya pula menyampuk. Eei, sibuk aje budak kecik ni.

“Hah tengok, adik kamu yang tersangatlah muda ni faham maksud abah, takkanlah kamu tak faham lagi?” Emak dah mula berbunyi.

“Cakaplah betul-betul, boyfriend? Kekasih? Macam tu?” Soalku buat-buat bodoh.

“Tahu pun,” Sahut emak lagi. Emak memang bersemangatlah kalau cakap pasal ni.

“Untuk pengetahuan semua, Qila masih single and available. Tak ada boyfriend mahupun kekasih. Puas hati?”

“Tipulah,” Aleeya mencebik, tidak percaya dengan pengakuanku.

“Betullah, mana ada tipu,” Ada ke cakap aku tipu. Ingat senang ke nak buat pengakuan macam tu?

“Tak apa, jangan risau semua sebab Qila dah janji nak bawa kekasih dia jumpa kita dalam masa setahun ni,” Emak dah tersengih-sengih merenungku. Takut pulak aku tengok emak sengih macam tu.

“Maksud awak?” Abah dah berkalih pandang pada emak. Oh, maknanya abah belum tahu apa-apa lagi tentang perjanjianku dengan emak.

“Tadi masa masak dia janji nak cari boyfriend dan kenalkan pada kita. Saya bagi tempoh setahun untuk dia cari,” Emak tersengih sambil mengangkat kening pada abah. Abah dah mula berkerut.

“Nak tangkap muat macam tu aje? Saya tak setuju!” Bantah abah. Aku mula merasakan kehidupanku kembali bersinar dan orang yang bertanggungjawab menjadi sumber cahaya itu adalah abah. Emak pula tunduk menongkat dahi barang sesaat kemudian kembali menatap wajah abah. Kami empat beradik hanya diam menyaksikan gelagat mereka.

“Why…..?” Soal emak perlahan dan meleret. Ini satu lagi tabiat emak aku kalau dia dah geram atau tak puas hati dengan abah dia akan speaking London. Abah masih kelihatan rileks.

“Kalau terpilih yang elok tak apa tapi kalau terpilih yang tak elok macam mana? Lelaki muda sekarang ni banyak yang tak elok daripada yang elok. Kalau ada yang elok pun susah sangat nak jumpa,” Terang abah panjang lebar. Aku rasa macam kelakar pulak bila lihat emak dan abah bertingkah pasal jodohku sedangkan ‘orang’ yang mereka bincangkan belum tentu wujud ke tak.

“Mana awak tahu ramai yang tak elok daripada yang elok? Itu, dua orang yang sedang makan menghadap awak tu bukan lelaki muda? Elok saja saya tengok,” Emak menuding jari pada kedua-dua orang abangku. Kulihat Abang Amir dan Abang Armand menahan gelak. Abah mendengus perlahan seraya membuat serangan balas

“Anak saya insyaAllah baik, elok! Tapi anak orang lain saya tak boleh nak jamin perangai mereka elok ke tak,”

“Hish, apa awak cakap macam tu? Tak baik tahu. Lagipun takkanlah Qila yang cerdik pandai ni nak pilih lelaki yang tak elok nak dibuat suami? Cuba fikir logik sedikit abahnya,” Betul jugak cakap emak. Tahulah aku nak pilih yang elok, mana ada perempuan nak lelaki yang berperangai hantu untuk dibuat suami. Kadang-kadang aku hairan jugak dengan abah, sikapnya yang terlalu melindungi membuatkan dia susah untuk meletakkan kepercayaan sewenangnya pada seseorang.

“Mah, untuk pengetahuan awak, budak yang cerdik pandailah yang mudah tertipu bila berdepan dengan lelaki itu semua. Kalau tengok pada kes tangkap khalwat dan gejala buang bayi hasil daripada dosa zina kebanyakannya perempuan yang berpelajaran awak tahu tak? Tak baca paper?” Abah dah mula bukak forum ceramah. Kami semua mengangguk setuju dengan hujah abah kecuali emak yang dah buat muka tak puas hati.

“Itu lainlah. Qila kita ni cerdik serba serbi,” Emak masih mempertahankanku asalkan rancangan ugutannya padaku tidak mendapat tentangan abah.

“Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga Cik Mah oi,” Hah, itu dia abah dah mula jual peribahasa. Emak buat tak layan.

“Lagi satu, awak ingat dalam masa setahun tu cukup ke nak kenal hati budi orang?” Tempelak abah lagi. Nampaknya abah betul-betul tidak bersetuju dengan rancangan ugutan emak padaku. Hehe.

“Saya rasa cukup. Saya kenal awak tak sampai tiga bulankan sebelum kita terus kahwin. Bahagia juga sampai sekarang,” Abah terpaku sebentar apabila mendengar jawapan emak. Kami empat beradik tersengih apabila emak mula membuka lembaran sejarah lama mereka berdua. Amboi, ekspress betul emak dan abah. Macam dah tak menyempat, komenku tapi dalam hati sajalah. Kalau cakap depan-depan harus terbang pinggan emak melayang ke wajahku, mana tahukan?

“Kita lain,” Giliran abah pula terkial-kial mencipta alasan.

“Tak ada lain, sama aje,” Emak sudah mula tersenyum kemenangan. Melihatkan keadaan yang semakin hangat, aku bertindak meleraikan keadaan. Takut nanti melarat, tak pasal-pasal abah tidur kat luar malam ni.

“Mak dengan abah janganlah risau, tahulah Qila cari calon suami yang menepati kehendak abah dengan mak,” Aku berpaling meminta bantuan abang dan adikku.

“Iyalah mak, abah! Kami janji akan jaga Qila dan awasi dengan siapa dia berkawan. Kalau lelaki itu ada niat tak baik pada Qila, kami akan habiskan dia dalam sekelip mata, jangan risaulah” Abang Armand bertindak menyokongku. Abang Amir hanya mengangguk bersetuju, mana tidaknya dari tadi lagi sibuk dengan makanan dalam pinggannya yang tak pernah surut. Bertambah adalah. Tapi yang hairankan badan Abang Amir tetap maintain. Tak gemuk dan tak kurus. Ajaib!

“Hah, kamu berdua pun cari jugak calon yang sesuai. Nak tunggu umur empat puluh tahun baru nak cari calon ke?” Isu sensitif ini melarat hingga melibatkan Abang Amir dan Abang Armand. Aku ketawa dalam hati apabila melihat kedua-dua abangku mula tidak senang duduk apabila mereka pula dijadikan subjek perbualan.

“Sudahlah tu mak. Kita sama-sama berdoa supaya abang jumpa jodoh macam Kak Dhia dan Kak Qila pula jumpa jodoh macam Abang Zikir,” Aleeya sudah mula merapu. Tak habis-habis dengan drama kesukaannya. Banyak sangat tengok drama, itu yang kuat sangat berkhayal.

“Itupun abah tak setuju!” Sampuk abah tiba-tiba. Wajahnya menggambarkan ketidakpuasan hatinya. Tak habis lagi ke tajuk ni?

“Qila dengar sini. Abah nak Qila cari calon suami yang setaraf dengan kita. Kalau boleh biarlah yang sederhana sahaja. Abah tak nak nanti kamu kahwin dengan anak orang kaya, kamu jadi macam Dhia!” MasyaAllah abah. Serentak tanpa dapat ditahan kami semua gelakkan abah. Riuh-rendah makan malam kami pada lewat petang itu. Emak sudah tidak terkata apa dengan kata-kata abah. Kenapa abah boleh cakap sampai tahap tu? Ini semua sebab anak bongsu kesayangannya, Si Aleeya. Aleeyalah yang selalu rajin mengajak abah menonton drama Slot Akasia ‘Tentang Dhia’ sampai tidak ketinggalan satu episod sekalipun. Abah pun dah jadi macam anak bongsunya yang taksub pada drama.

Tidak semena-mena aku teringatkan kekasih palsuku, Tuan Ray. Memang dia awal-awal dah confirm kena reject dengan abah. Aik, Qila apasal tinggi sangat imaginasi kau? Dalam mimpilah Tuan Ray nak hantar rombongan meminang. Kalau Ikmal pulak macam mana? Aish, stop Qila!

“Apa abah fikir sampai ke situ pulak? Itukan drama semata-mata, tiada kena mengena dengan yang hidup ataupun yang mati,” Aleeya sudah mula protes. Mana taknya, abah dah rosakkan khayalan dia.

“Orang tak buat cerita kalau benda itu benar-benar berlaku. Abah tak main-main ni. Ingat semua pesanan abah ni,” Tegas abah. Emak hanya tersenyum bersetuju dengan abah. Macam-macam hal abah ni.

Saturday, 9 June 2012

Cinta Itu Indah! 9

Waktu tengah hari agak sedikit kelam kabut. Aku terkejar-kejar menaip dokumen yang diperlukan Encik Irfan. Itulah bagi kerja last minute, nak siap cepat pulak tu. Nasib baik aku ni setiausaha yang cekap, kalau tak Encik Irfan bakal mengalami kesusahan. Huh, Qila masuk bakul angkat sendiri. Apa salahnya sekali sekala puji diri sendiri. Ini merupakan salah satu cara kita memotivasikan diri tanpa menggunakan medium lain. Inilah orang panggil permainan psikologi.

“Qila, kau buat apa lagi tu? Dah nak dekat pukul satu dah ni. Kita dah kena gerak sekarang tau,” Khadija tiba-tiba muncul di pintu bilikku sambil membebel.

“Bagi aku lima minit, bos aku bagi kerja last minute, dia nak sekarang jugak,” Semakin pantas aku larikan gerakan jari pada keyboard.

“Pulak dah! Masa kita nak cepatlah kerja pun nak berlambak. Waktu-waktu macam ni jalan jammed kau tahu? Yang Si Zafril pun satu, kenapalah buat majlis waktu orang kerja? Cuba kau cakap dengan aku kenapa?” Khadija masih bersemangat waja membebel di muka pintu.

“Don’t make me talk to you please!” Aku perlu fokus. Kalau Si Ija dok pot pet pot pet depan aku, macam mana aku nak fokus siapkan kerja ini dalam masa yang singkat? Aku menaip ayat-ayat yang terakhir sebelum semuanya siap ditaip.

“Yes, siap!” Jeritku kegembiraan.

“Dah siap? Good job Qila! Good job!” Entah bila Encik Irfan sudah terpacak di muka pintu biliknya. Kuat sangat ke aku menjerit sampai Encik Irfan boleh dengar? Aku cepat-cepat menghulurkan thumbdrive padanya dan dia menyambut dengan senang hati.

“Awak berdua nak pergi lunch ke mana sampai kalut sangat ni?” Encik Irfan mungkin pelik apabila lihat aku yang tergesa-gesa mengemaskan meja dan Khadija yang macam cacing kepanasan menungguku.

“Kami nak pergi kendurilah Encik Irfan, dah lewat ni dan jalan confirm jammed” Khadija sudah mencebik. Tidak puas hati dengan Encik Irfan apabila menyuruhku menyiapkan kerja pada saat-saat akhir macam ni.

“Kenduri kahwin ke? Siapa kahwin?” Soal Encik Irfan lagi. Aku biarkan mereka berdua bersoal jawab.

“Zafril, staff marketing department,” Khadija dah mula jeling jam tangannya.

“Tak siap lagi ke Qila?” Aku juga turut menjadi mangsanya, Cik Ija kalau dah marah, memang agak menakutkan.

“Siap-siap. Bos, saya pergi dulu, kalau saya lambat masuk halalkan ye,” Aku cepat-cepat berjalan mendapatkan Khadija di pintu bilik selepas mencapai beg tanganku.

“Okey, tak apa. Take your time tapi jangan lambat sangat,” Pesan Encik Irfan dan terus berlalu ke biliknya.   
Kami sampai di perkarangan rumah Zafril tepat jam satu setengah tengah hari. Khadija memandu macam pelesit tadi. Nasib baik aku tak ada penyakit lemah jantung, kalau tak haru. Tiga buah khemah dipasang di halaman rumahnya. Besar jugak rumah keluarga Si Zafril. Kira orang senang jugaklah ni. Kebanyakan tetamu sedang menjamu selera di bawah khemah. Mungkin rombongan pihak perempuan barangkali. Kelihatan juga Zafril bersama isterinya sedang berbual-bual dengan tetamu.

Kami melambai ke arah Zafril apabila dia menyedari akan kehadiran kami. Zafril dan isterinya berjalan menuju ke arah kami yang berdiri di hujung khemah.

“Selamat pengantin baru,” Ucapku dan Khadija apabila pasangan pengantin berdiri di hadapan kami. Mereka kelihatan sangat sepadan, seperti kata pepatah bagai pinang dibelah dua. Persalinan warna ungu yang dipakai mereka agak menarik dilihat.

“Terima kasih,” Sambut mereka berdua.

“Tak sangka aku kamu berdua datang. Terharu jugalah rasanya,” Zafril tayang muka sebak. Dia ni betul ke terharu, macam menipu adalah aku tengok wajah dia sekarang.

“Dah kau jemput, kami datanglah,” Khadija sudah mula menjuih bibir. Menyampah dengan lakonan Zafril.
“Datang saja ke? Mana hadiahnya? Tak bawa sekali?” Soal Zafril dengan muka tak malunya. Natasya Haiza pantas mengetuk perlahan lengan suaminya. Mungkin terasa malu dengan bicara Zafril yang lepas kata. Aku dengan Khadija hanya mampu menggeleng kepala. Zafril satu-satunya kawan kami yang memang tak tahu malu.

“Maaflah, jangan layan sangat Zafril ni, dia memang kadang-kadang tak berapa betul,” Kutuk Natasya Haiza.

“Amboi, baru kahwin dah pandai nak kutuk abang?” Tegur Zafril tidak puas hati. Aku dan Khadija tergelak dengan gelagat pasangan itu. Comel sahaja aku lihat.

“Apa pulak kutuk, betullah tu kau memang kadang-kadang tak berapa nak betul,” Usikku lagi. Zafril mula mencebik menghantar rasa tidak puas hati apabila aku menyokong isterinya. Khadija menghulurkan hadiah yang kami sama-sama kongsi membelinya. Zafril meyambutnya dengan senang hati. Digoyang-goyang kotak yang berbalut cantik itu.

“Eh, janganlah buat macam tu, rosak hadiah kat dalam tu,” Marah Khadija. Zafril pun satu, ada ke sampai buat macam tu, kalau pecah mangkuk puding yang kami beli tu nasiblah. Kalau tahu dia teruja macam ni dapat hadiah, nak jugak aku kongsi beli lesung dengan Khadija. Biar patah tangan dia nak goyang lesung. 

“Terima kasih. Kau orang datang berdua saja ke?” Zafril mula tertoleh ke belakang kami. Matanya melilau melihat ke kawasan sekitar rumahnya. Lagaknya seperti mencari seseorang. Aku turut tertoleh ke belakang. Ternyata tiada sesiapa yang aku kenal pun.

“Kau ada nampak orang lain ke selain kami?” Perli Khadija

“Bukan ke aku jemput kau dengan Tuan Rayyan hari tu? Dia tak datang ke?” Zafril memandangku menantikan jawapan. Aku hilang idea untuk menjawab soalan Zafril. Khadija mula buat lipat maut berpaling padaku. Aku cuma mampu mengangkat bahu tanpa memberi apa-apa alasan.

“Kau jemput Tuan Ray ke? Bila?” Khadija ajukan soalan pada Zafril. Habislah aku lepas ni kena soal siasat dengan Ija. Zafril angguk mengiakan pertanyaan Khadija.

“Hari masa aku terserempak dia tengah dating dengan Qila,” Tembak Zafril. Bulat mataku memandang wajah Zafril yang selamba mengenakanku. Kecik aje aku nampak Si Zafril, kalau tak fikirkan pasal Natasya Haiza nak jugak aku tendang mamat ni melambung ke dalam gulai kawah, biar masak.

“Manalah aku tahu dia datang ke tak. Dah Ija setiausaha dia pun tak tahu, apatah lagi aku,” Cepat-cepat aku cuba mencari alasan untuk menyelamatkan diri. Kira logiklah tu, fikirku.

“Kenapa kau tak cakap dengan aku?” Khadija macam tidak berpuas hati denganku. Aku picit dahi. Macam masalah besar pulak mamat tu tak datang.

“Tak penting pun dia datang ke tak. Dahlah, jomlah kita makan, aku dah lapar ni. Nanti kita nak balik pejabat lagi. Panas ni,” Aku mula merungut. Kena buat muka barulah diorang tak berani nak usik aku lebih-lebih. Khadija yang melihat perubahan mood aku terus mematikan topik perbincangan.

“Jemputlah makan,” Natasya Haiza mempelawa kami untuk menjamu selera di bawah khemah yang dipenuhi kaum perempuan. Aku dan Khadija beratur mengambil makanan yang dihidang secara buffet lalu mencari tempat duduk. Waktu kami sedang enak menjamu selera, mataku menangkap kelibat seseorang yang sangat aku kenal sedang berdiri di pintu pagar. Tuan Ray! MasyaAllah dia datang. Aku kalih pandang pada Khadija yang sedang asyik bersantap. Nampaknya Khadija belum sedar akan kehadiran bosnya. Janganlah dia  nampak kami kat sini, doaku penuh keikhlasan.

Aku masih bersemangat memerhati pergerakan Tuan Ray. Kelihatan Zafril datang menyambut kedatangannya. Aku perasan ramai jugak anak-anak gadis yang tertoleh mencuri pandang melihat Tuan Ray. Maklumlah, manusia macam diakan dapat anugerah Allah swt yang semulajadi sempurna. Tuan Ray kelihatan segak walaupun hanya berkemeja putih dipadankan dengan slack hitam. Tiba-tiba Zafril menuding jari ke arah tempat duduk kami. Aku cepat-cepat tunduk merenung pinggan nasi sebelum sempat berbalas pandang dengan Tuan Ray. Berpura-pura tidak perasan dengan kehadirannya merupakan jalan yang paling selamat aku boleh buat setakat ini.

Tidak lama kemudian Zafril datang menegur kami. Aku menarik nafas lega apabila melihat Zafril seorang sahaja datang menghampiri kami.

“Weh, Ija bos kau dah datang tu,” Zafril bertindak memberi maklumat. Khadija mendongak.

“Mana?” Soalnya lagi.

“Tengah makan,” Zafril menunjuk ke arah khemah hujung di mana Tuan Ray sedang duduk makan keseorangan. Kesian pulak aku tengok.

“Kau tak cakap ke kita orang kat sini?” Tanya Khadija lagi

“Aku dah cakap dan siap ajak lagi dia makan kat sini tapi dia tolak. Katanya tak nak ganggu kau orang,” Jelas Zafril.

“Kesian pulak aku tengok bos aku makan sendirian,” Khadija sudah buat muka belas kasihan menimbulkan perasaan bersalah dalam hatiku. Oh hati, kenapa tiba-tiba kau muntahkan rasa kasihan pada orang tu?
Selesai sahaja makan, Khadija menarik tanganku ke arah Tuan Ray. Katanya mahu menegur bosnya. Nanti dikatakan kurang ajar pulak kalau buat tak nampak. Aku tidak mampu mengelak sementalah menanggung perasaan bersalah yang dah bergunung ni. Masa berjanji dengan dia hari tu pun memang niat aku dah tak baik tapi bila dah laksanakan rancangan ini tiba-tiba timbul perasaan bersalah. Memanglah Qila, kau memang cari penyakit.

Iya, sewaktu dekat gerai, aku sengaja bersetuju dengan pelawaannya sebab malas nak bersoal jawab kalau aku tolak. Tuan Ray pun tidak ada menghubungiku untuk berpesan di saat tarikh majlis yang semakin hampir. Aku dengan yakin menganggap yang dia hanya ajak-ajak ayam atau dia tak ingat dengan majlis Zafril ni. Tapi kalau dia ingat sekalipun aku akan cari alasan untuk mengelak daripada pergi berdua dengan dia. Takkanlah dia tak ada teman lain nak ajak. Harus-harus aku terfitnah dia sekali lagi syok pada aku. Baru padan muka!

“Bos, dah siap makan?” Sapa Khadija apabila sampai di hadapan Tuan Ray. Waktu itu Tuan Ray sedang menghabiskan minumannya. Wajahnya biasa-biasa sahaja. Tidak ada menunjukkan rasa marah atau tidak puas hati. Semua itu cukup membuatkan aku berasa sedikit lega.

“Ya, dah nak balik ke?” Aku lihat Tuan Ray hanya menumpukan pandangan pada Khadija. Sedikitpun tidak memandangku.

“Kami ingat nak masuk dalam jumpa dengan pengantin, tangkap gambar sedikit then baliklah. Bos kenapa datang seorang? Kenapa tak bagitahu saya? Kalau tak kita datang sekali tadi,” Banyak tanya pulaklah Cik Khadija ni. Bukannya tak boleh berbual kat pejabat. Aku hanya berdiri macam patung di sebelah Khadija. Tidak berani menyampuk.  

“Saya memang dah janji nak datang dengan kawan saya tapi dia tu memang spesies yang suka mungkir janji, jadi terpaksalah saya datang seorang,” Aku rasa terpukul dengan ayatnya. Memang Tuan Ray sedang menyindirku. Aku dapat rasakan dia memang marah denganku. Tidak puas hati yang teramat sangat sampai tahap tak nak tengok muka aku. Sejak dari tadi pandangannya hanya pada Khadija.

“Owh, memang tak patutlah kawan bos buat bos macam tu,” Jawapan Khadija makin buat aku rasa terhenyak. Akulah manusia yang buat bos kau macam tu Ija, jeritku dalam hati.

“So, bos nak baliklah ni?” Tuan Ray hanya mengangguk

“Tak nak jumpa Zafril dulu ke?” Khadija ni memang peramah kalau dengan bos dia. Apasal banyak sangat soalan minah ni? Biarlah Tuan Ray nak balik pun.

“Ya, saya pun nak jumpa dia dulu. Jomlah,” Tuan Ray berjalan mendahului kami masuk ke dalam rumah Zafril. Zafril kelihatan sedang sibuk bergambar.

“Dah nak balik ke?” Zafril terus bertanya setelah menyedari kehadiran kami.

“Yalah, nanti lambat pulak masuk office. Kenapalah kau buat majlis waktu hari kerja? Tak pernah dibuat orang” Luah Khadija tidak puas hati. Sejak dia menerima kad jemputan daripada Zafril lagi dia sudah mula bersungut tentang tarikh majlis yang berlangsung pada hari bekerja.

“Sebab orang tak pernah buatlah aku nak buat. Lagipun inilah masanya aku nak uji kawan-kawan aku,” Jawab Zafril.

“Kau nak uji apa?” Sampukku

“Nak ujilah kawan aku ni lebih pentingkan aku atau kerja yang berlambak kat pejabat tu,” Macam-macam feel mamat ni.

“Banyaklah kamu punya ujian,” Kami semua terdiam apabila Tuan Ray menyampuk. Semua mata memandangnya sebelum kami melepaskan gelak. Hari ini dalam sejarah, Tuan Ray bukanlah kera sumbang seperti yang digosip. Rupanya dia pandai bergaul dalam situasi atau keadaan tertentu. Aku tahan senyum. Aku lihat Tuan Ray yang turut tersenyum tetapi senyumannya mati apabila bertembung pandang denganku sebelum berpaling mengalih pandangan. Aku telan liur. Hatiku rasa tidak tenteram selagi aku tak minta maaf. Saya tahu tuan marah, keluhku dalam hati.

“Jom kita bergambar,” Ajak Khadija. Khadija menarik tanganku. Kami berdiri mengapit pasangan pengantin. Aku di sebelah Natasya Haiza dan Khadija di sebelah Zafril.

“Eh, Tuan Rayyan tak nak bergambar sekali ke?” Tegur Zafril apabila Tuan Ray hanya berdiri tercegat di sebelah jurugambar.

“Tak apalah, you all aje bergambar,” Tolak Tuan Ray. Kenapa aku rasa dia macam berjauh hati denganku? Sebab tu dia tak nak bergambar sekali dengan kami. Perasanlah kau Qila.

“Mana boleh macam tu bos, alang-alang dah datang kenalah bergambar,” Khadija dah mula tarik muka. Aku pula hanya mampu menjadi penonton mereka.

“Iyalah Tuan Rayyan, saya nak juga bergambar kenangan dengan bos besar Berjaya Holdings,” Zafril buat muka penuh berharap. Khadija cepat-cepat bergerak ke depan menarik lengan Tuan Ray. Aku mula panik apabila Khadija menarik Tuan Ray ke arahku. Apa kes?

“Bos berdiri sebelah Qila sebab baru nampak matching. Baju kita tak sesuai,” Ayat Khadija itu menyedarkan aku tentang sesuatu. Aku berbaju kurung berwarna putih sama dengan warna kemeja Tuan Ray. Kurang asam punya kawan. Bukannya dia tak tahu aku kurang selesa dengan Tuan Ray. Memang nak kena dia ni. Aku membebel dalam hati. Akhirnya Tuan Ray bergambar sekali dengan kami. Dia berdiri di sebelahku. Aku dah rasa macam nak pitam. Dapat kurasakan auranya yang membahang. Aku memang pasti sepastinya yang dia memang marah denganku. Aku cuba bertenang walaupun susah untuk berbuat demikian. Sewaktu jurukamera sedang sibuk membilang satu dua tiga dengan suara lantangnya, tiba-tiba Tuan Ray berbisik perlahan dekat di telingaku

“You owe me one Qila!” Seram sejuk tubuhku mendengar bisikannya. Nasib baik aku tak tumbang ke lantai.  


Cinta Itu Indah! 8

Ramai staf sedang bersenang-lenang sambil memanaskan badan. Hari ini merupakan hari sukan antara staf anjuran Syarikat Berjaya Holdings. Hairan juga aku apabila syarikat banyak menganjurkan aktiviti setiap bulan. Beberapa minggu lepas dengan majlis makan malam, hujung bulan ini dengan sukan antara staf, bulan depan entah apa lagi aktiviti yang mereka akan anjurkan. Aku mencari-cari kelibat Khadija yang masih lagi tidak kelihatan. Ke mana pulak perginya Si Khadija ni? Dah berjanggut aku tunggu dan dah nak naik kematu rasanya punggungku.

Aku dengan Khadija mewakili bahagian pentadbiran dalam acara badminton. Pada mulanya Khadija ada mengajak aku menyertai sukan bola jaring tapi akulah pulak yang tak berminat. Tak pernah main sukan tu, kalau nak diikutkan hati, aku nak main lawan congkak atau batu seremban saja. Kalaulah pihak penganjur mengadakan sukan tradisionalkan best.

“Hai, boleh I duduk kat sini?” Aku mendongak apabila mendengar pertanyaan yang diajukan padaku. Alamak, gerangan siapakah ini? Lelaki di hadapanku ini lengkap berpakaian sukan dengan tracksuit dan t-shirt tersenyum merenungku. Salah orang ke dia ni?

“Hello!” Lelaki itu melambaikan tangan di hadapan wajahku apabila aku hanya kaku dengan sapaannya tadi. Aku tersentak lantas melarikan pandangan. Patut ke aku izinkan dia duduk? Alah Qila, apa salahnya kalau kau bagi dia duduk, bila lagi kau nak tambah kenalan? Takkanlah kau nak berkepit dengan Khadija saja sedangkan kau kerja dekat syarikat besar macam tu? Lagipun manalah tahu ‘dia’ ni mungkin jodoh kau! Ahaks! Kata orang, kita kenalah berusaha untuk berkawan, jangan harapkan saja jodoh kita turun dari langit. Boleh percaya ke semua itu?

“Its okay kalau you tak sudi,” Mulutnya masih ramah berkata-kata.

“Ehem ehem,”Aku berdehem pantas menahan apabila lelaki itu mula berpaling pergi. Lelaki itu lantas berpaling menghadapku. Aku menepuk-nepuk kerusi di sebelahku lalu dia terus melabuhkan duduk.

“Seorang saja ke?” Tegurnya. Aku hanya mengangguk. Tak tahu nak cakap apa. Aku memang susah nak bercakap dengan orang yang aku tak kenal dan lebih-lebih lagi berlainan jantina.

“You lawan badminton ke lepas ni?” Soalnya lagi. Aku berpaling merenungnya. Macam mana dia tahu aku lawan badminton lepas ni? Dia skodeng aku ke? Atau dia ni dah lama perhatikan aku? Lelaki itu tergelak lantas memuncung pada raket badminton di sebelahku. Oh, dia tahu sebab aku ada raket rupanya. So, Qila moral of the story jangan cepat berburuk sangka pada orang.

Aku tersenyum lantas mengangguk. Dah macam orang bisu pulak.

“You ni bisu ke?” Aku tergelak dengan soalannya. Mungkin dia bosan barangkali bercakap seorang diri dari tadi. Aku mengangguk lagi. Saja nak uji bakat lakonan. Kerja sambilan aku sekarangkan berlakon jadi makwe Tuan Ray. Apa salahnya aku cuba asah lagi bakat aku? Hehe

“I’m sorry, I tak bermaksud nak menghina you ke apa, tadi tu I cuma nak bergurau tapi tak sangka pulak yang you betul-betul..,” Lelaki itu kehilangan kata-kata. Aku hanya sekadar mengangguk dan menunjukkan isyarat okey menandakan aku tidak berkecil hati dengannya.

“Nama saya Ikmal,” Dia senyum sambil menghulurkan tangan untuk bersalam. Aku pantas membalut tanganku dengan tuala kecil dan menyambut salamnya. Ikmal tergelak dengan aksiku.

“You ni kelakarlah. Tapi memang tak patut pun I salam dengan you sebab kitakan bukan muhrim,” Ikmal menggaru-garu kepalanya yang aku yakin tidak gatal langsung. Itu hanyalah reaksi normal seseorang apabila nak cover line. Malulah tu. Dah tahu semua tu tapi masih nak buat jugak. Aku mengeluarkan telefon bimbitku dari dalam poket tracksuit dan mula menaip.

‘Saya Aqilah’

Aku halakan skrin telefon pada wajahnya.

“Erm, Aqilah, nice name,” Pujinya.

“You kerja department mana?”

‘Admin. Secretary Encik Irfan. Awak kenal dia?’. Nasiblah kau Qila. Tiba-tiba cari penyakit bisu. Bukan ke sekarang dah susah nak kena taip semua jawapan. Daripada tak ada kerja kau pergi cari kerja.

“Owh, kenal. Kiranya you ni orang penting syarikat jugaklah?” Komennya membuatkan aku mengangkat kening. Tak faham betul aku. Sejak bila aku naik pangkat? Ikmal yang faham dengan keadaanku cuba memberi penjelasan

“Setiausaha merupakan orang penting syarikat sebab dia merupakan tangan kanan bos dia. Cuba bayangkan kalau tak ada setiausaha? Bos boleh lumpuh dan tak boleh nak buat kerja tahu?” Jawapan Ikmal membuatkan aku terfikir. Ada betulnya jugak kata-kata Ikmal. Encik Irfan tu kalau aku cuti sakit ke apa, dia sanggup telefon aku. Tapi bukanlah untuk bertanya sihat ke tak tetapi sibuk bertanya tentang hal kerja. Ada juga dia bersungut apabila aku bercuti lebih daripada satu hari. Susah katanya kalau aku tiada disisinya. Geli-geleman aku dengan ayatnya. Uwekk!

Aku masih lagi berlagak bisu dengan mengangguk kepada setiap soalannya. Dari jauh kulihat Khadija sedang berjalan mendapatkan kami. Aku mula kalut. Habis aku kalau Si Khadija pecah rahsia. Aku lantas bangun mencapai raket dan meminta izin untuk beredar dengan menggunakan bahasa isyarat. Ikmal juga turut berdiri menghadapku.

“Nice to meet you. Kalau tak keberatan, I harap sangat-sangat kalau kita boleh keluar minum-minum sambil berborak santai macam ni lain kali?” Erm, okey ini merupakan ayat untuk memanjangkan sesuatu perhubungan. Hubungan apakah itu? Oh Qila, kenapa ke depan sangat imaginasi kau? Sekali lagi aku ulang perlakuan burung belatuk lantas berpaling sambil melambai padanya. Ikmal turut membalas lambaianku sambil tersenyum.

Kenapa aku lihat dia seperti ikhlas mahu berkawan denganku? Dia tidak kisah langsung apabila aku mengaku aku bisu. Dia juga mengharapkan adanya pertemuan lain antara kami? Mesti abah dan mak akan suka dengan Ikmal. Nampaknya aku kena memulakan misi memikat jejaka bernama Ikmal sebelum dia terlepas ke tangan orang lain. Wait for me Ikmal, ucapku di dalam hati.

Cepat-cepat aku berjalan mendapatkan Khadija.

“Mesra nampak? Mamat mana tu?” Khadija mengeluarkan soalan maut sebaik sahaja aku selamat terpacak berdiri di hadapannya.

“Ikmal,” Balasku

“Siapa Ikmal?” Soalnya lagi. Wajahnya? Mak aii, bukan main serius. Dah berlagak macam abah aku pulak.

“Entahlah. Siapa tahu dia jodoh yang Allah swt tetapkan untuk aku?” Aku simpul senyuman gatal. Khadija mencebik menyampah seraya mencubit lenganku. Aku mengaduh kesakitan. Berbisa jugak cubitan minah ni. Merah kot lengan aku.

“Dah kenapa pulak dengan kau ni nak marah tak tentu pasal? Sakit tau!” Aku menggosok lenganku sambil menghantar jelingan maut tanda tidak berpuas hati dengannya.

“Memanglah aku marah, Tuan Ray kau nak campak ke mana?” Ish budak ni, nak aje aku ketuk dengan raket badminton.

“Nak campak buat apa?”

“Jangan nak buat-buat tak faham pulak,” Bidas Khadija lagi. Aku mengeluh perlahan.

“Ija, aku nak kau betulkan mindset kau tu sekejap. Aku dengan bos kau @ Tuan Ray tu tak ada apa-apa hubungan sampai membolehkan aku campak dia ke mana-mana. Kau faham?” Aku pegang pipinya sambil merenungnya dari jarak dekat. Khadija pantas menolak kedua-dua tanganku yang melekap di pipinya.

“Hish, kau ni buat malu aje orang tengok kita,” Hek eleh Khadija nak bermalu-malu pulaklah dengan orang. Bukannya tak biasa dengan aku macam tu.

“Orang macam kau tahu malu ke?” Usikku sambil melaga-lagakan bahu kami. Khadija menampar kuat bahuku.

“Susah cakap dengan orang macam kau ni tau? Aku tak kira. Kau jangan nak lebih-lebih dengan Ikmal tu. Ingat Tuan Ray!” Amarannya membuatkan aku rasa takut. Nampak sangat ke aku dengan Tuan Ray macam ada apa-apa sampai Khadija sibuk nak bagi amaran segala? Aku rapat dengan Tuan Ray pun sebab aku tolong dia berlakon jadi makwe dia. Patut ke aku jelaskan semuanya pada Khadija supaya tidak timbul salah faham kat sini?

“Ija, kenapa kau selalu cakap yang kami berdua ada hubungan? Nampak sangat ke?” Aku memandangnya curiga. Khadija sibuk berpaling kiri kanan seakan-akan memastikan keadaan disekeliling kami selamat. Perlahan-lahan wajahnya didekatkan pada telingaku.

“Nampak sangat-sangat,” Tekannya. Aku berkerut.

“Apa yang kau nampak?” Aku juga turut berbisik

“Aku nampak yang kau orang berdua saling simpan perasaan antara satu sama lain,” Aku ketuk dahi Khadija. Khadija mengaduh kuat.

“Sakitlah,” Adunya sambil menggosok dahinya. Eleh, aku ketuk perlahan saja, lagaknya sakit macam aku ketuk guna batang besi. 

“Padan muka! Merepek lagi yang bukan-bukan,” Marahku

“Mana ada merepek, betullah. Kau orang berdua sikit punya sesuai apa? Dua-dua single, seorang lelaki, seorang perempuan. Kenalah tu,” Tambahnya lagi. Aku hanya mampu menggeleng kepala. Kepala Khadija kalau dah rosak mindset, memang susah nak dibaiki. Lambat-laun aku kena jelaskan jugak pada dia tentang kedudukan sebenar hubungan antara aku dengan Tuan Ray.

Baru sahaja aku mahu membalas kata-kata Khadija, tiba-tiba kami dikejutkan dengan pengumuman pendaftaran nama wakil-wakil pemain badminton. Khadija terus menarik lenganku ke meja urus setia untuk mengesahkan nama dan kehadiran. Aku membulatkan mata melihat pada kertas pendaftaran. Rasa terkejut yang teramat sangat bercampur rasa nak rebah pun ada. Mana taknya, Khadija daftarkan namaku untuk permainan regu campuran dan yang lebih mengerikan pasangan aku adalah Tuan Ray. Memang nak kena Si Khadija ni. Aku pantas menariknya jauh dari meja urus setia.

“Kenapa kau buat macam ni dekat aku? Kau tak kesiankan aku ke? Kau tahu aku tak berapa selesa dengan Tuan Ray? Kenapa kau mesti daftar nama kami sebagai pasangan beregu tu?” Kecik aje aku nampak Si Khadija ni, nak jugak aku hayun dia dengan raket badminton. Eeii..geram yang teramat sangat dengan kerenahnya yang banyak akal.

“Rileks Qila, kau buat biasa-biasa aje. Nak buat macam mana bila offer untuk perseorangan dan regu wanita dah habis, aku isi nama kau bawah regu campuranlah,” Kenapa aku rasa macam penjelasannya hanyalah alasannya untuk melepaskan diri semata-mata?

“Habis tu kenapa kau boleh pulak daftar yang perseorangan? Jom kita tukar nama!” Tegasku sambil mencapai tangannya. Khadija cuba mengelak dan tidak mahu berganjak dari situ.

“Kenapa?” Soalku tidak puas hati. Khadija mencemik wajahnya sambil menggeleng.

“Kenapa nak tukar nama?” Sampuk satu suara di belakang kami. Tidak perlu berpaling sebab aku dah tahu siapakah gerangan manusia yang menegur kami dan tidak salah kalau aku rasa dia mencuri dengar perbualan aku dengan Khadija. Ish, tak hormat privasi orang langsung!

“Eh, bos! Tak adalah, bos salah dengar kot. Mana ada kita orang nak tukar nama,” Aku lihat Khadija dah mula menggelabah. Takut sangat dengan Tuan Ray dia. Masalahnya Tuan Ray bukan makan orang pun sampai dia perlu takut sebegitu rupa. Aku mengetap bibir dan membulatkan mata pada Khadija.

“Kenapa Qila? Awak ada masalah kalau berpasangan dengan saya?” Agak sinis pandangan Tuan Ray padaku. Sakitnya hati Allah swt saja yang tahu. Aku menarik nafas perlahan dan menggeleng.

“Tak, saya okey!” Aku tersenyum kelat. Maklumlah sedekah yang tidak ikhlas!

“Erm, bos dengan Qila bincang-bincang dulu pasal strategi, saya nak ke meja urus setia sekejap,” Aku tahu Khadija sengaja mencari alasan untuk meninggalkan kami berdua bersendirian. Tak habis-habis dengan wrong mindset dia.

“Awak baru tahu ke yang kita jadi pasangan beregu?” Soalnya setelah Khadija berlalu. Tuan Ray kelihatan santai dengan pakaian sukan. Selalunya dengan kemeja dan slack. Bila aku lihat dia berpakaian begini, rasa macam lain pulak.

“Yup,” Jawabku pendek. Pandangan aku halakan ke tengah gelanggang badminton. Berdiri dan bercakap lama-lama dengan kawan baik Encik Irfan ini boleh buat aku lembik lutut dan tak perlu terkejut kalau kalah terus lepas ni. Bagaimana agaknya aksi kami lepas ni? Rasa macam tak kena pulak nak melompat dan menghayun raket dengan Tuan Ray. Silap haribulan dia tuduh aku cover cun depan dia. Benci!

“Awak rasa kita boleh menang?” Soalnya lagi.

“Entahlah. Saya jarang bersukan dan jangan marah kalau team kita kalah sebab saya tak pandai main,” Aku memberi peringatan awal kepadanya. Kalau dia mintak tukar pasangan pun aku sanggup. Biar dia putus asa dengan aku.

“Adatlah tu menang dan kalah dalam pertandingan. Saya tak kisah pun,” Jawapannya makin membuatkan perasaanku menjadi lemah.

Pertandingan badminton beregu pasangan bermula. Aku dan Tuan Ray berhempas pulas mengalahkan team marketing department. Apa yang dapat aku perhatikan ialah Tuan Ray memang berpengalaman. Badminton mungkin adalah hobinya sejak dari dulu lagi. Dia begitu tangkas menyambut bulu tangkis dan membuat pukulan servis. Tidak melampau kalau aku katakan kemenangan team kami semuanya di atas hasil kerjanya. Nak harapkan aku? Hampeh. Bulu tangkis melepasi jaring pun dah kira okey. Acara diteruskan dengan perlawanan antara team finance dengan team accounting. Tidakku sangka rupa-rupanya Ikmal mewakili team accounting. Ikmal kelihatan lincah bermain di gelanggang. Aku tidak putus-putus bersorak memberikan sokongan. Kadang-kadang Ikmal melambaiku dari gelanggang. Dia perasan rupanya aku kat sini. Aku tersipu-sipu malu. Semua orang tengok kot. Tamat sahaja perlawanan kedua-dua kumpulan itu, Ikmal melangkah ke arahku. Aku dah rasa macam nak terloncat dari duduk. Perasaan malu dan berdebar mula berkepung.

“You tipu I Qila,” Ikmal merenungku dengan pandangan tidak puas hati. Aku sekadar menjungkit kening bertanya kenapa

“Telinga I masih elok untuk dengar you bersorak kuat untuk I. You tak bisukan?” Tambahnya lagi. Aku menepuk dahi. Kantoi disebabkan tindakan luar kawalan tadi.

“Sorry,” Ujarku perlahan. Malu sebenarnya nak menghadap Ikmal sekarang apabila rahsiaku sudah terbongkar.

“Ada syaratnya,” Amboi, pakai syaratlah pulak.

“Kena bersyarat ke?”

“Mestilah, tak ada benda yang free kat atas dunia sekarang. Masuk tandas awam pun kena bayar dua puluh sen,” Loyar buruk pulak mamat ni.

“Apa syaratnya?” Jangan dia mintak yang bukan-bukan sudah.

“Kita keluar date nak?”Aku terkedu dan tak tahu nak cakap apa

“Ehem,” Tiba-tiba ada suara berdehem mengganggu perbualan kami. Suara siapa tu? MasyaAllah, macam mana aku boleh terlupa yang dari tadi lagi Tuan Ray elok duduk di sebelahku. Opps, maknanya dia dah dengar segala perbualan aku dengan Ikmal. Macam mana kau boleh lupa benda macam ni Qila? Kami sama-sama berpaling melihat Tuan Ray. Tuan Ray dengan pandangan penuh tanda tanya merenung kami secara bergilir seolah-olah menghantar pertanyaan ‘apa ni?’

Aku mula rasakan darah gemuruhku. Kenapa aku perlu rasa perasaan ini? Adakah sebab dia kekasih palsuku maka aku rasa bersalah? Habis tu macam mana dengan Ikmal @ kekasih akan datangku ini? Oh tuhan, tolonglah hambaMu ini. 

“Erm, tuan kenalkan ini Ikmal,” Aku cuba berlagak biasa dan memperkenalkan Ikmal pada Tuan Ray.

“Rayyan,” Tuan Ray memperkenalkan diri sambil bersalam dengan Ikmal. Wajahnya seperti tiada perasaan. Ikmal menyambut salam Tuan Ray dengan senang hati.

“You pasangan regu diakan?” Soal Ikmal pada Tuan Ray merujuk pada kami sebagai pasangan beregu. Tuan Ray mengangguk malas.

“Baguslah, jangan jadi pasangan sehidup semati sudah,” Ikmal ketawa selepas mengeluarkan kenyataan berani mati itu. Aku sendiri terkejut mendengar kenyataan Ikmal. Takut-takut aku menjeling melihat reaksi Tuan Ray. Kulihat Tuan Ray mengetap bibir dan menjelingku sekilas. Dengan kata nama lain ekspresi wajah orang tak puas hati.

“Okeylah, tak nak ganggu you all berbincang strategi. I harapkan permainan mencabar selepas ini. Wait for me Qila dan tentang pelawaan I tadi tu I memang serius. I tunggu jawapan you. Pergi dulu, bye,” Ikmal terus berlalu selepas menghadiahkanku senyuman. Aku mahu merasakan perasaan gembira tetapi dalam masa yang sama aku takut. Takut dengan lelaki yang sedang duduk di sebelahku sekarang.

Akhirnya tiba jua masa untukku bertanding dengan Ikmal untuk perlawanan akhir. Kami sama-sama masuk ke gelanggang dan memulakan sesi memanaskan badan. Ikmal sudah tersengih-sengih memandangku. Aku membalas ala kadar sahaja. Entah kenapa aku rasa perasaan gembira aku disentap pergi apabila melihat wajah Tuan Ray yang serius sejak dari tadi. Set pertama berlangsung dengan lancar. Aku rasakan Ikmal sengaja membuat pukulan bola ke arahku. Terkial-kial aku cuba membalas pukulannya, nasib baiklah Tuan Ray ada untuk menolongku. Setelah dua puluh minit bermain, set pertama tamat dengan kemenangan berpihak pada aku dan Tuan Ray. Kami menang tipis dengan mata 21-19.

Sementara menunggu set yang kedua, aku meneguk air mineral di tepi gelanggang. Tuan Ray sibuk mengelap peluh pada wajahnya. Dia tetap kelihatan elok walau dalam keadaan berpeluh sekalipun.

“Dah lama kenal dengan Ikmal?” Soal Tuan Ray tiba-tiba. Aku berpaling melihatnya. Dia masih mengelap peluh pada wajahnya. Apa jenis soalan tu?

“Tak, baru tadi kenal dengan dia masa saya tunggu Khadija,” Walaupun rasa macam pelik tapi aku jawab jugak soalan dia.

“Dia tegur awak atau awak tegur dia?”

“Dia yang tegur saya,”

“Awak suka dia?” Aku terkedu mendengar soalannya.

“Eh, tak adalah. Mana ada saya suka dia. Kami pun baru kenal,” Nafiku lagi. Kenapa dengan bos Ija ni? Suka sangat soal-siasat aku.

“Maksud awak kalau kenal lama boleh jatuh sukalah? Macam tu?” Terkelip-kelip aku membalas renungannya. Tuan Ray sengaja putar belit soalan sampai aku pun terbelit tak tahu nak jawab apa.

“Apa tuan merepek ni?” Aku cuba mengelak menjawab soalannya. Iyalah dah terang-terang niat aku nak berkawan dengan Ikmal dengan harapan dia boleh aku bawa jumpa abah dengan mak. Nanti kalau aku jawab lain dikatakan menipu pulak.

“Jawab soalan saya, awak suka dia ke tak?” Tuan Ray seakan mendesak. Aku mula rimas. Siapa dia nak tahu soal peribadi aku macam ni?

“Saya rasa saya ada hak untuk tidak menjawab soalan tuan,” Aku larikan pandangan daripada wajahnya. Kedengaran Tuan Ray tergelak kecil. Aku kalih pandang wajahnya. Dia hadiahkan senyuman sinis padaku.

“Apa?” Soalku bingung.

“Betullah awak suka dia,” Tuduh Tuan Ray. Aku berpeluk tubuh.

“Ikut suka hati tuanlah nak fikir apa pun, ada saya kisah?” Betul ke kau tak kisah Qila? Jauh disudut hatiku, aku kisahlah sedikit. Sedikit aje pun dalam satu peratus. Kalau boleh aku tak nak dia salah faham. Kenapa? Betul ke Khadija cakap aku simpan perasaan pada dia? Macam mana aku tuan punya hati tak tahu sedangkan Khadija tahu? Otakku pun dah jadi tak betul macam Khadija.

“Saya pun tak kisah sama ada awak suka dia atau tak tapi awak kena ingat yang awak tu dah berpunya,” Aku telan air liur dengar kenyataan Tuan Ray. Apa maksudnya berkata begitu? Sejak bila pulak aku usung suami ni?

“Apa maksud tuan yang saya dah berpunya?”

“Awak milik saya! Saya tak suka kongsi awak dengan orang lain termasuklah Ikmal tu,” Aku sudah terlopong. Aku mimpi ke ni? Sejak bila dia cop aku ni milik dia? Nak marah macam tak kena. Nak senyum pun lagilah tak kena. Sudahnya aku hanya merenungnya dengan penuh tanda tanya. Memang otak aku tengah blur sekarang. Dah tak boleh nak fikir apa-apa lagi.

“Kenapa? Terkejut? Kalau ya pun terkejut, tutup mulut tu, malu orang tengok,” Aku mengetap bibir. Geram dengan Tuan Ray yang selamba mencuit daguku dengan raketnya. Eei, aku ketuk jugak lengan mamat ni biar patah. Suka hati dia nak cuit-cuit anak orang.

“Sejak bila pulak saya ni tuan punya?” Susah payah aku keluarkan suara dari anak tekak. Suara pun susah nak keluar akibat terkena penangan ayat maut Tuan Ray.

“Sejak kita buat perjanjian awak setuju nak berlakon jadi kekasih saya,”

“So, dengan perjanjian tu bukannya bermaksud saya ni kekasih tuan pun. Saya berlakon okey?” Tekanku. Aku sengaja kuatkan suara pada perkataan ‘berlakon’, manalah tahu Tuan Ray pekak tak boleh nak dengar jelas.

“Berlakon ke tidak itu belakang kira, yang penting sekarang awak saya punya. Jangan sekali-kali cuba rapat dengan sesiapa selagi awak berlakon sebagai kekasih saya,” Kata-katanya yang berupa amaran membuatkan aku rasa menyampah. Menyibuk saja dia nak halang aku daripada berkawan dengan orang yang aku nak kenal. Habis tu, takkanlah masa aku terbuang dengan jadi pelakonnya sahaja?

“Kenapa pulak macam tu?”

“Apa perempuan itu akan fikir kalau dia terserempak awak dengan mana-mana lelaki kesukaan awak tu? Apa gunanya lagi lakonan kita? Saya tak nak berlaku apa-apa kesilapan tentang perjanjian kita. Memang perjanjian kita tidak melibatkan hitam putih tapi cukuplah Allah jadi saksi. Awak nak rancangan kita gagal?” Seram pulak aku mendengar ceramahnya yang panjang lebar itu. Dalam dia cuba menyampaikan peringatan, aku dapat rasakan sesuatu yang berbau ugutan. Suka sangat ugut orang. 

“Kalau macam tu sampai ke tua saya tak akan ada kawan,” Aku mencebik tidak puas hati.

“Terpulang pada lakonan awaklah. Kalau berkesan, cepatlah awak bebas. Kalau tak, lambatlah awak bebas,” Ulasnya lagi. Aku mendengus perlahan.

“Kenapa? Tak puas hati dengan syarat saya?” Soalnya lagi. Dah tahu masih nak tanya lagi.

“Ya, memang saya tak puas hati! Tuan ingat saya senang-senang nak ikut arahan tuan tu?” Protesku sambil mengetuk raket badminton pada tangan beberapa kali. Lagak macam nak pukul orang.

“Why not?” Tuan Ray angkat kening

“Tak ada benda free atas dunia sekarang,” Aku menjelingnya sekilas. Tuan Ray tersenyum sinis

“Awak nak suruh saya buat apa untuk awak ikut syarat saya tadi?”

“Kalau kita menang straight set, saya akan ikut syarat tuan dengan senang hati,” Aku menawar harga.

“Ingatkan apalah tadi. Kacang aje. Awak tengoklah nanti,” Tuan Ray terus berlalu masuk ke gelanggang meninggalkan aku yang masih termangu-mangu. Mak aii, riak bebenor mamat ni. Mintak-mintaklah kau kalah. Doaku dalam hati. Tapi kalau dia kalah maknanya aku pun akan kalah. Alah, ada aku kisah?

Permainan set kedua pun bermula. Sekali lagi Ikmal seperti sengaja mengarahkan pukulan bulu tangkis ke arahku. Dia ni nak ajak aku main dengan dia aje ke? Baru sahaja aku mahu bersedia membalas pukulan, tiba-tiba Tuan Ray menjerit ke arahku

“My ball,” Lantas dia terus menyambut pukulan yang sepatutnya aku sambut. Kuat betul pukulan servisnya sehingga Ikmal dan pasangannya tidak mampu menyambut. Aku berpaling merenungnya. Tuan Ray tersenyum sambil mengenyit matanya padaku. Aku salah pandang ke atau Tuan Ray yang sakit mata? Dah buang tabiat agaknya bos Khadija ni. Aku buat-buat tak nampak.

Permainan diteruskan tapi kali ini aku tidak membuat pukulan langsung. Ayat yang selalu aku dengar dari Tuan Ray hanyalah

“My ball,” Servis langsung tidak bertukar tangan. Sudahnya aku tercongok macam patung di belakang. Tuan Ray saja yang bersemangat bermain. Aku lihat di hujung gelanggang sana, pasangan Ikmal juga dah jadi patung macam aku. Ini perlawanan regu campuran atau perseorangan lelaki? Tuan Ray bersemangat membuat pukulan dan Ikmal juga garang membalas setiap pukulan tetapi malangnya dia tidak dapat menandingi kehebatan Tuan Ray. Tanpa sedar aku bersorak-sorak menyokong Tuan Ray dari belakang. Siap melompat-lompat. Raket yang sepatutnya aku gunakan untuk memukul bulu tangkis aku gunakan untuk menepuk tanganku.

Ternyata Tuan Ray pantang dicabar dan dia membuktikan kemenangan set kedua kami dan yang paling mengejutkan, kami menang 21-1 ke atas pasukan Ikmal. Ikmal dapat satu mata pun sebab aku tak dapat balas pukulan pertama darinya. Tamat sahaja permainan, aku lihat Tuan Ray ke tengah gelanggang untuk bersalam dengan Ikmal. Dia kemudian berpaling mendapatkanku. Aku tersenyum senang melihatnya.

“Yeah, kita menang,” Aku bersorak dan bertepuk tangan di hadapannya. Tuan Ray berterusan merenungku tanpa memberi apa-apa reaksi. Aku mula rasa tak kena. Lumpuh senyumku direnungnya sebegitu rupa. Tahukah dia bahawa renungannya boleh membuatkan wanita yang berperasaan dan berjiwa lembut macam aku ni tergoda? Aku senyap dan berdiri statik di hadapannya. Dia masih seperti tadi asyik melabuhkan pandangan matanya pada mataku. Aku cuba mengelakkan pandangan. Rasa segan mula bertandang tanpa diundang.

“Erm tuan, saya pergi cari Khadija dulu ek,” Aku terus berpaling untuk melangkah pergi. Langkahku terbantut apabila Tuan Ray bertindak memegang hujung raket badmintonku. Alamak, dah macam babak hindustanlah pulak. Silapnya aku tak pakai sari saja, kalau tak confirm dia tarik kain sari aku. Raket pun raketlah.

Perlahan-lahan aku berpaling melihatnya. Tuan Ray perlahan-lahan berjalan mendekatkan jarak kami. Aku telan liur. Dia tunduk berbisik dekat di telingaku.

“Please keep your promise since we have already won straight set sweetheart,” Aku terkaku mendengar bisikannya. Seram! Meremang bulu roma kot!