Suasana di kafe tengah hari itu agak lengang. Aku merenung nasi yang berlaukkan ikan tenggiri pedas di dalam pinggan di hadapanku. Kecur air liur, perut mula bergendang memainkan irama yang entah apa-apa. Aku cuba bertahan.
“Kau tolong order, jangan makan dulu. Tunggu aku,” Itulah pesan Khadija bila aku ajak dia lunch dekat kafe pejabat lima belas minit yang lalu. Kelihatan tidak ramai staf yang menikmati makan tengah hari di kafe. Mereka lebih suka menapak ke gerai-gerai berdekatan. Ramai yang komen harga makanan dekat kafe mahallah, makanan tak sedaplah dan macam-macam alasan lagi. Tapi bagi aku, makanan kat kafe kira okeylah sebab tekakku masih boleh menelan semua makanan itu. Kalau harga mahal sekalipun, tak salah kalau bersantap kat sini sekali-sekala.
Cepatlah Ija aku dah lapar ni. Selang lima minit kemudian kelibat Khadija muncul di muka pintu kafe. Aku melambai-lambai ke arahnya. Cepat-cepat Khadija melangkah ke arahku.
“Lambatlah kau ni Ija. Aku dah kebulur ni kau tahu tak?” Sengaja aku tayang wajah bengang supaya dia rasa bersalah. Tetapi Khadija tetap Khadija apabila dia cuma tersenyum menerima kemarahan aku. Kurang perasaan betul kawan aku yang seorang ini.
“Sorry. Ada hal tadi,” Pendek sahaja penjelasannya sambil melabuhkan duduk setentang denganku.
“Hal apa?”
“Tadi kata lapar. Makanlah,” Khadija cuba tukar topik, atau kata nama lain dia tak nak jawab soalan aku.
“Saja tak nak kongsi dengan aku. Skandallah tu,” Aku mencebik.
“Woi, mulut tu ada insuran ke? Nanti kang bersepah gigi kau,” Khadija tayang penumbuk. Ganas jugak minah ni.
“Marah nampak. Betullah tu,” Makin giat aku mengusiknya.
”Ikut suka hati kaulah labu,” Khadija buat muka malas layan.
“Kenapa kau macam tak ada mood aje aku tengok? Nak kongsi isi hati kau dengan aku?” Khadija merenung aku lama. Aku mula rasa tak sedap hati. Kenapa pulak ni? Tak puas hati dengan aku ke?
“Aku okey aje, cuma tadi tu aku pergi settle schedule untuk majlis makan malam syarikat kita,” Macam tak bersemangat aje Si Khadija ni.
“Kau ahli jawatankuasa ke?”
“Bos aku yang suruh aku pergi tengok apa-apa yang patut. Aku pergi ajelah,” Bila perkataan ‘bos’ keluar dari mulut Ija, jantung aku mula berdegup kencang. Masih terkesan lagi dengan tingkah bos Ija empat hari lepas. Setakat ini aku masih selamat. Aku cuba sedaya upaya untuk mengelak daripada terserempak dengannya. Setiap hari aku menghitung hari hukuman ke atas aku ditamatkan. Cepatlah masa berlalu, seksa rasanya hidup dalam keadaan begini. Rasa macam penjenayah diburu pun ada.
“Hoi kawan, yang kau dok tenung pinggan nasi kau tu kenapa? Makanlah,” Suara Khadija mematikan lamunanku. Aku tersenyum dan mula menyuap nasi. Sedang kami asyik menjamu selera, tiba-tiba kami dikejutkan dengan satu suara yang menegur.
“Hai, makan berdua aje?” Aku dan Khadija sama-sama mendongak.
“Kau ada nampak orang lain selain kami ke kat sini?” Khadija menyindir. Lelaki yang menegur kami tadi tersenyum.
“Boleh aku join?”
“Kalau tak malu duduklah,” Khadija masih dalam mood menyindir.
“Eh, apa pulak nak dimalukan, aku bukan buat benda yang bukan-bukan,” Lelaki itu terus melabuhkan duduk di sebelahku. Hish, mamat mana pulak ni?
“Aku Zafril, dari jabatan pemasaran. Aku kawan dengan Ija,” Zafril memperkenalkan dirinya padaku. Macam boleh baca minda aku pulak Zafril ni.
“Sejak bila aku kawan dengan kau?” Khadija berkerut kening.
Hish, musykil aku dengan dua makhluk ni. Kawan ke tidak ni?
“Kawanlah. Kitakan dah rasmi jadi kawan sejak setengah jam yang lepas,” Zafril masih mengukir senyum.
“Qila. Nurul Aqilah,” Aku cuba menonjolkan budi bahasa yang baik. Budi bahasa budaya kita.
“So sweet,” Makin meleret senyum Si Zafril ni. Seram pulak aku tengok.
“Apa yang sweet?” Sampuk Khadija
“Nama Qila ni. Sweet aje bunyinya,”
“Mulalah tu nak mengurat. Jual minyak,” Tuduh Khadija
“Mana ada. Aku setia pada tunang aku aje tau,”
“Oh, dah bertunang. Dengan siapa?” Tanpa amaran aku berjaya memuntahkan soalan yang berbau macam ‘sibuk jaga tepi kain orang’.
“Kalau aku cakap pun kau kenal ke?”
“Tak boleh kalau aku saja-saja nak tahu?” Wah, sibuk betul nak tahu hal orang ye kau ni Qila.
“Natasya Haiza. Kau kenal?” Zafril sengaja cuba menyakitkan hatiku. Aku menggeleng sambil menayangkan gigiku.
“Sudah-sudahlah tu. Makanan dah lama terbiar. Nasi aku dah nak habis ni. Kau pun Ril tak nak order makanan ke?” Aku dan Zafril sama-sama menoleh pada Khadija yang sedang menghabiskan suapan-suapannya yang terakhir. Cepatnya minah ni makan!
“Hehe, laparlah katakan,” Khadija tersenyum dan kembali menyambung makan apabila melihat aku dan Zafril seolah-olah tergamam melihatnya makan dengan begitu cepat sekali. Tanpa banyak soal kami terus makan sambil Zafril menceritakan tentang rancangan makan malam tahunan syarikat yang bakal diadakan hujung bulan ini. Meriah sangat katanya. Entah betul entah tidak. Ini merupakan kali pertama aku akan menyambut majlis sebegini. Harap-harap, meriahlah.
“Aku blah dulu ek, korang ni lambatlah,” Khadija terus bangun dan melangkah keluar dari kafe.
“Cepatlah makan mak cik. Kau yang paling lambat sekarang ni,” Aku menjeling Zafril.
“Tak payah nak teman aku, kau pergilah dulu kalau dah lambat sangat,” Entah kenapa aku rasa selesa berkawan dengan Zafril. Mungkin kerana dia terlebih peramah dan cara dia membahasakan dirinya membuatkan aku tidak kekok.
“Ish, mana boleh. Tak apa, lewat sikit pun tak ada hal punya,” Aku senyum sebagai tanda terima kasih.
“Ehem..patutlah tak masuk ofis lagi, tengah dating kat kafe rupanya,” Senyuman aku mati apabila mendengar teguran itu. Ya Allah, bos aku! Dan yang paling membuatkan aku rasa tak nak senyum langsung sebab bos aku berdiri bersebelahan dengan Tuan Pengurus Besar.
“Err,.bos. Erm, bos dah salah faham ni,.saya,..”
“Jangan risau, saya tak marah pun awak masuk lambat hari ni. Saja kasi peluang untuk korang berdua,” Cekap benar Encik Irfan bab-bab potong line orang sedang bercakap.
Aku mula rasa gelabah. Entah kenapa. Gelabah sebab Encik Irfan dah salah faham atau gelabah sebab Tuan Ray langsung tidak mempedulikan kami. Dia lebih senang membuang pandang pada sekitar kawasan kafe.
“Eh, tak tuan, kami pun sebenarnya dah siap makan pun. Dah nak masuk ofis dah,” Zafril mencelah.
“Aku pergi dulu,” Kedengaran Tuan Ray berbisik pada Encik Irfan.
“Nice to see you Mr..?” Tuan Ray menghulur tangan untuk berjabat salam dengan Zafril
“Zafril,” Zafril menyambut huluran salam dengan gembira. Setelah itu ‘dia’ terus berpaling dan melangkah keluar dari kafe. Sedikit pun tidak menegurku, apatah lagi memandangku. Hatiku rasa sesuatu…
Aku cuba fokus pada kerja menaip laporan mesyuarat minggu lepas tapi sejak dari tadi aku masih lagi gagal menyiapkannya. Macam mana nak fokus kalau ombak perasaan aku ni macam tak berapa nak tenang? Aku mula diserang darah gemuruh bila mengingatkan kejadian pagi tadi di hadapan lif. Aku pasti lelaki kat dalam lif pagi tadi Tuan Ray. Aku ketinggalan beberapa langkah dibelakangnya apabila dia melangkah masuk ke dalam lif. Apabila dia berpaling dan melihat aku yang semakin hampir menghampiri lif, dia terus menekan butang lif dan pintu lif terus tertutup. Aku terkedu di hadapan pintu lif. Kami sempat berpandangan barang dua saat. Bukannya tak sempat nak tunggu aku. Berapa langkah lagi aku nak sampai kat lif.
Kenapa dengan dia sejak akhir-akhir ini? Macam dah terbalik pulak keadaan kami sekarang ini. Kalau sebelum ini aku yang sibuk dok mengelak daripada dia, sekarang dia pulak yang macam mengelakkan diri daripada aku. Lagi merumitkan keadaan, kenapa aku pulak yang macam sibuk mencari peluang untuk terserempak dengannya? Aku terkena sumpahan apa ni?
“Qila, tolong serahkan dokumen ini pada Khadija. Pesan supaya dia bagi terus pada Tuan Ray sebab saya perlukan tandatangannya secepat mungkin,” Encik Irfan meletakkan dokumen itu di hadapanku dan terus kembali ke biliknya. Bosku kelihatan sedikit kelam-kabut. Mungkin sekarang musim menyiapkan tender kot.
Tanpa melengahkan masa, aku mencapai dokumen tersebut lalu mengatur langkah ke bilik Khadija. Aku membuka pintunya perlahan. Khadija tiada di tempat duduknya. Macam mana ni? Bos perlukan dokumen ini secepat mungkin. Tiba-tiba aku perasan yang pintu bilik Tuan Ray sedikit terbuka. Dia ada ke? Baik aku bagi kat dia terus. Aku mengintai ke dalam biliknya. Tuan Ray juga tiada. Aku membuat keputusan untuk meletakkan fail itu di atas mejanya supaya senang untuk dia menyemak dan menandatangan dokumen tersebut.
Saat aku meletakkan dokumen itu di mejanya aku perasan akan foto keluarganya yang tergantung di dinding belakang meja kerjanya. Waktu tempoh hari aku tak terperasan pulak foto ni. Macam mana nak perasan kalau waktu itu sibuk melayan rasa takut menghadap Tuan Ray. Keluarganya tidak ramai mana. Tiga beradik sahaja. Ibu dan ayahnya serta kakak dan abangnya. Mungkin juga adiknya. Cantik. Patutlah Tuan Ray nampak mix, ayahnya macam ada iras-iras cina campur inggeris. Ibunya pula Melayu. Yang perempuan kelihatan sedikit kemelayuan tetapi masih lagi boleh tersalah anggap kalau sekali pandang.
“Apa awak buat kat sini?” Aku berpaling. Kelihatan Tuan Ray berdiri di pintu biliknya. Entah kenapa aku rasa macam aku berdepan dengan Tuan Ray versi aku terlanggarnya buat kali pertama. Malah versi kali ini lebih menakutkan.
“Saya hendak..,”
“Siapa benarkan awak masuk ke sini?” Tiba-tiba dia seperti membentakku. Aku tergamam! Jantungku berdegup kencang. Aku betul-betul takut bercampur resah serta malu tambah-tambah lagi apabila perasan akan kelibat Khadija di belakang Tuan Ray. Aku menarik nafas panjang cuba meredakan perasaan. Kulihat wajah Tuan Ray masih tegang.
“Saya cari Khadija tapi dia tak ada. Saya tengok pintu bilik tuan terbuka, jadi saya masuk untuk letak..,”
“Senang alasan awakkan? Pintu bilik saya terbuka sekalipun, awak tak ada hak untuk masuk sesuka hati. Apa kalau awak pergi rumah orang dan tengok pintu rumahnya terbuka awak main masuk aje. Macam itu?” Dari nada suaranya aku tahu Tuan Ray betul-betul tidak puas hati dengan aku. Baru kali ini aku nampak akan sikapnya yang dikatakan sedikit cerewet. Mungkin betul salah aku, tapi tak boleh ke dia cakap elok-elok?
“Maafkan saya tuan,” Aku hanya mampu menundukkan kepala
“Maaf? Itu aje yang awak tahu. Buat silap lepas itu minta maaf,” Sindirnya lagi.
Aku rasakan kolam mataku panas. Pandangan mula kabur. Bila-bila masa aje aku akan menangis. Aku yakin.
“Bos dahlah tu,” Khadija cuba menjernihkan suasana.
“Saya tak tahu macam mana awak boleh lepas temuduga hari tu,” Entah kenapa aku rasakan Tuan Ray seakan sengaja menyakitkan hatiku dan dia memang telah berjaya. Aku betul-betul sakit hati sekarang. Aku pantas mengangkat wajah membalas pandangannya dan saat itu juga air mataku menitis. Aku menangis sebab dia memperlekehkan kebolehan aku berkerja berdasarkan kesalahan ini semata-mata. Aku memang tak boleh terima. Aku perasan riak wajahnya sedikit berubah apabila melihat perubahanku.
Aku berpaling kembali ke mejanya dan mengambil dokumen yang aku tinggalkan tadi. Aku menghampirinya. Bertentang mata dengannya. Figura wajahnya kelihatan kabur kerana air mataku yang tidak berhenti mengalir.
“Encik Irfan perlukan tandatangan tuan secepat mungkin. Waktu saya masuk tadi Khadija tak ada kat tempatnya, jadi saya rasa kalau saya sendiri serahkan dokumen ini pada tuan, mungkin saya dapat menyelesaikan kerja bos saya secepat mungkin. Tapi saya tengok tuan juga tiada di bilik. Saya buat keputusan untuk letak dokumen ini kat meja tuan supaya senang tuan semak dan tandatangan terus dokumen ini. Salah ke?” Aku merenungnya tajam. Aku tak peduli. Aku tak akan mudah tunduk pada lelaki angkuh ini.
Tuan Ray mengusap dahinya. Dia seperti kehilangan kata-kata.
“Saya dah mintak maaf. Kalau tuan tak boleh terima maaf saya itu masalah tuan dan satu lagi saya nak cakap, tuan pun tiada hak nak menilai kredibiliti kerja saya sebab hal ini semata-mata. Selagi bos saya, Encik Irfan berpuas hati dengan prestasi kerja saya, orang lain tak berhak buat keputusan terhadap saya,” Aku menjelingnya lalu berpaling kembali ke mejanya. Aku meletakkan dokumen itu di atas mejanya sedikit kasar dan keluar dari biliknya tanpa memandangnya. Khadija cuba menahanku, aku menepis perlahan tangannya. Aku berlari ke tandas. Aku perlu lepaskan beban perasaan ini. Aku nak menangis puas-puas dan lupakan semuanya. Lantak dialah nak pecat aku ke apa.
Keesokan paginya, aku sengaja bertolak lewat ke pejabat, manalah tahu kalau aku pergi awal nanti terserempak dengan Tuan Ray yang sombong teramat sangat tu pulak. Tuan Ray selalunya awal kalau ke pejabat, itu pun aku tahu sebab kerap terserempak dengannya jika aku tiba awal di pejabat. Semalam aku berbual panjang dengan Khadija. Dia menasihatkan aku supaya banyak bersabar. Biasalah bila bekerja di syarikat besar ada saja dugaan.
Bila difikirkan, betul juga kata Khadija. Khadija juga ada merungut yang mood bosnya dua tiga hari kebelakangan ini agak kurang baik. Entah masalah apa yang ditanggungnya. Kalau masalah pejabat aku boleh terimalah jugak tapi kalau melibatkan masalah peribadi nampak sangatlah betapa tak profesionalnya mamat itu. Arghh..serabut aku asyik fikirkan dia.
Sampai sahaja di hadapan lif, aku menekan butang untuk naik. Orang yang ingin menggunakan khidmat lif semakin bertambah. Kawasan di hadapan lif dipenuhi orang ramai. Ting! Pintu lif terbuka. Aku melangkah masuk bersama-sama staf lain. Diorang ni pun agak-agaklah lif ni dah nak penuh pun main himpit lagi ke? Alarm lif berbunyi menandakan had muatan berlebihan. Semua macam tayang wajah selamba. Buat derk aje. Hai, manusia zaman sekarang, semua nak bersikap pentingkan diri sendiri. Aku yang merasakan masih mempunyai sisa tanggungjawab masyarakat yang berhemah pun menapak keluarlah dari kotak lif itu. Cehs, masuk bakul angkat sendiri. Penggera terus berhenti. Aku mendongak merenung staf yang berhimpit di dalam lif.
“Terima kasih,” Ucap mereka. Aku terkejut. Perghh..pengalaman baru ni. Tak sangka mereka juga masih punya sisa sikap berbudi bahasa. Sama-sama, jawabku dalam hati. Terasa lapang hatiku di pagi yang indah ini. Rasa macam buat pahala sebab menggembirakan semua staf yang berhimpit dalam lif tadi. Hehe..
Selepas menunggu dalam lima minit, sekali lagi pintu lif terbuka. Aku melangkah masuk dan terus menekan butang lif. Sedikit sahaja lagi pintu lif hendak tertutup apabila tiba-tiba ia kembali terbuka. Aku mula rasa tertekan sebab yang melangkah masuk adalah Tuan Ray. Ya, Tuan Ray yang aku balas kata-kata amarahnya kelmarin. Dalam rasa marah, ada juga rasa takut sebab manusia yang aku marah kelmarin itu tuan pengurus besar Berjaya Holding. Dalam sekelip mata dia boleh pecat aku bila-bila masa kalau dia nak.
Tuan Ray melangkah masuk dengan wajah tenangnya. Aku menunduk dan bersandar di belakang lif. Perasaan aku ketika ini? Rasa macam nak pegang tongkat sakti Harry Potter dan lenyapkan Tuan Ray dalam lif ini sebab dah tak ada manusia lain selain kami sekarang. Cepatlah lif sampai ke tingkat dua puluh lima. Tuan Ray masih senyap berdiri di hadapanku. Tiba-tiba pintu lif terbuka di tingkat sepuluh. Aku menarik nafas lega, sekurang-kurangnya bila ada orang asing dalam lif ini, aku selamat daripada serangan Tuan Ray. Manalah tahu dia nak serang balas aku sebab aku dah marah dia depan Khadija kelmarin. Staf lelaki itu ingin melangkah masuk apabila Tuan Ray menahannya.
“You wait for the next lift okay? I’m sorry,” Lelaki itu terpinga-pinga sebelum Tuan Ray menekan butang lif dan pintu lif tertutup. Dia berpaling menghadapku. Aku bersumpah, aku tidak pernah rasakan debaran yang teramat sangat seperti waktu sekarang ini. Aku tidak berani memandang wajahnya. Aku tunduk memandang kasutku. Bagi aku sekarang kasutku lebih handsome daripada Tuan Ray. Adakah lif ini akan menjadi saksi aku akan menjadi bekas pekerja Berjaya Holdings? Aku redha.
“Qila, pasal kelmarin tu, saya tarik balik apa yang saya cakap okey?” Tuan Ray memulakan mukaddimah. Aku masih tidak berani mengangkat muka.
“I don’t know what was wrong with me yesterday. Saya terlepas cakap,” Aku rasa darahku mengalir dengan laju sekali. Darah gemuruh dah datang.
“Please say something,” Suaranya kedengaran seperti mendesakku. Mungkin bosan sebab dia seorang sahaja yang bercakap. Itulah, kelmarin nak marah orang tak fikir dulu. Dia ingat dia aje yang tahu marah? Aku pun tahu tau.
Aku memandangnya. Tuan Ray dengan wajah tertekannya. Aku? Buat wajah tak ada perasaan. Serentak itu pintu lif terbuka di tingkat dua puluh lima. Aku mula melangkah melepasinya apabila tiba-tiba dia menghalangku. Dengan penuh kemarahan, dia menekan butang lif untuk turun ke tingkat dua. Aku terpana dengan tindakannya.
“Awak kena breakfast dengan saya pagi ini. Ingat, tempoh hukuman awak masih panjang lagi,” Tegas Tuan Ray dengan renungan tajamnya. Aku tergamam. Sekarang siapa mintak maaf dengan siapa ni? Eeii..pening aku! Aku seperti robot hanya mengikut langkahnya dari belakang memasuki kafe yang terletak di tingkat dua.
Tiada seorang staf pun di kafe. Iyelah, siapa yang nak breakfast pukul sembilan lima minit pagi? Semua orang dah masuk pejabat. Aku jugak yang terperangkap dekat sini. Idea datang lewat ke pejabat akhirnya membawa padah.
“Duduk!” Arahnya. Masih kedengaran tegas. Mungkin dia geram dengan aku yang bersikap lebih degil daripada dia kot. Aku duduk, manakala Tuan Ray melangkah ke kaunter makanan. Aku mula berfikir macam mana nak berdepan dengannya sekejap lagi. Aku marah lagi dengan dia. Benci pun ada. Ikut suka hati dia paksa orang breakfast dengan dia. Kenapalah aku boleh terperangkap dalam permainan ini. Tolonglah hambaMu ini Ya Allah.
“Nah, makan!” Tiba-tiba terhidang sepinggan nasi goreng dan segelas air masak di hadapanku. Aku termangu. Ni apa kes paksa aku makan pulak? Aku tengok di hadapannya tiada sebiji pinggan pun, yang ada hanya segelas air masak. Takkan aku nak makan seorang. Dia? Jadi tukang tengok aku makan? Ish, tak nak aku. Aku memalingkan wajah menghadap pemandangan di luar tingkap kaca yang besar. Tanda protes tak nak makan. Malas aku nak bercakap dengan orang sombong. Dari pandangan ekor mataku, aku perasan Tuan Ray sedang berusaha menahan marah dengan sikapku yang mengada-ada. Lantaklah, siapa suruh kau buat hal dengan aku.
“Masih marah dengan saya? Saya dah minta maaf tadikan?” Dia cuba mengalah dengan sikap degilku. Aku mengetap bibir. Otakku masih lagi elok untuk mengingat kata-kata amarah dan sindirannya kelmarin dan entah kenapa hatiku seperti enggan menerima kata maaf darinya. Keras jugak hati kau ni Qila.
“Senangkan proses kehidupan ni? Buat salah lepas itu minta maaf,” Aku menyindirnya. Biar dia rasa. Aku terdengar keluhannya.
“Habis tu, apa gunanya undang-undang di negara kita kalau setiap kesalahan hanya boleh dibayar dengan kemaafan? Modal air liur semata-mata?” Tambahku lagi. Lantak kaulah nak terasa hati ke jantung ke limpa ke. Kalau boleh biar seluruh organ dalam badan kau terasa dengan kata-kata aku ni.
“Habis tu awak nak saya buat apa?” Ujarnya masih melaksanakan proses tawar menawar denganku.
“Tak payah buat apa-apa,” Balasku acuh tak acuh.
“Marah?” Soalnya pula
“Tak,” Aku menjawab malas.
“Habis tu merajuk?” Soalannya berjaya membuatkan mataku menoleh ke arahnya. Tolong sikit, tak ada masa aku nak merajuk dengan kau.
“Buang masa,” Aku kembali melihat pemandangan luar. Bagiku sekarang, adalah lebih elok kalau aku tidak merenung wajahnya. Kalau tak, ada juga pinggan nasi melayang ke wajahnya yang cukup tampan itu.
“Habis tu kalau tak marah or merajuk, kenapa tak makan? Tak payahlah nak simpan dendam dalam hati tu, nanti bernanah, busuk tahu!,” Aku mencebik mendengar kata-katanya. Tak lawak langsung okey!
“Makanlah,” Hai, banyak mulut pulak kawan baik bos aku pagi ini. Aku masih berdegil tidak mahu menerima pelawaannya. Manalah tahu dia letak julap dalam nasi tu sebab nak kenakan aku kerana bersikap degil dengannya. Tak mustahilkan?
“Nak saya suap?” Aku terkejut dengan pertanyaannya. Ini dah lain macam dah ni. Aku berpaling dan alangkah terkejutnya aku apabila sudu telah sedia tersua di hadapan wajahku. Spontan tanganku bertindak menahan Tuan Ray daripada menyuapku dan waktu itu jugalah tanpa sedar aku terpegang tangannya yang sedang memegang sudu. Apa yang sedang berlaku? Aku sedang berbalas pandang dengannya.
Pandangannya begitu mendamaikan, tidak rugi rasanya membalas panahan anak matanya yang hitam pekat. Aku menelan air liur. Aku tahu aku salah sebab terpegang tangan anak teruna orang tapi kenapa tangan aku terasa kaku untuk mengalihkannya? Babak romantis itu berlangsung dalam masa beberapa saat apabila kami dikejutkan dengan bunyi tray terjatuh ke atas lantai disebabkan kecuaian seorang pekerja kafe.
Spontan peganganku terlepas. Tanpa amaran, Tuan Ray kembali mendekatkan sudu pada mulutku dan aku terpaksa membuka mulut kerana tindakannya yang begitu pantas.
“Good girl,” Dia tersenyum. Aku tergamam. Tuan Ray meletakkan kembali sudu ke pinggan.
“Makanlah,” Ujarnya lagi. Kali ini dengan pantas aku mencapai sudu yang diletakkannya tadi dan menyuap makanan tanpa disuruh. Tidak cukup dengan itu, gelas minuman juga turut kugenggam, manalah tahu Tuan Ray nak buat perangai gilanya lagi nak suap aku minum pulak. Aku makan sambil menunduk. Tidak berani mengangkat muka memandangnya. Dalam tergesa-gesa menghabiskan sepinggan nasi goreng, otakku tidak berhenti berfikir, Tuan Ray ni syok dekat aku ke? Nak kata aku perasan, macam taklah pulak. Tak ada maknanya dia buat aku macam tu kalau dia tak ada apa-apa perasaan kat aku. Eeii..jangan fikir! Jangan pernah fikir benda yang amat mengerikan itu. Tuan Ray syok kat kau? Kirim salam!
Sebaik sahaja aku selesai makan, aku terus meneguk segelas air masak sehingga habis. Tanpa mengucapkan terima kasih, aku terus bangun dan berlalu meninggalkan kafe. Macam kurang adab. Tapi dalam kes ini tak apa kot. Kes terpaksa! Tuan Ray pun tak panggil nak halang aku ke apa. Arghh..macam mana nak menghadap dia lepas ni? Bukan ke sekarang aku tengah marah dia? Stress!!
Aku melabuhkan duduk dikerusi. Hati masih gundah gulana gara-gara kawan baik Encik Irfan. Fikiranku masih lagi ligat berfikir. Memang perangai Tuan Ray tadi sangat pelik. Aku memang tak boleh terima. Macam mana agaknya kalau aku cerita kat Khadija tentang kelakuan bosnya yang pelik tu? Adakah kesimpulannya sama dengan kesimpulan aku? Aku dah tak tahan hidup dalam keadaan dilema ni. Rileks Qila!
Tiba-tiba telefon yang terletak elok di atas meja berdering. Tanpa melengahkan masa, aku mengangkat gagang.
“Hello, Aqilah speaking,”
“Qila, saya ni,” Satu suara menyahut
“Eh, Encik Irfan ke ni? Boss call dari mana ni?” Ini seorang lagi makhluk yang pelik. Bukan ke dia dah nak terbang ke Penang pukul dua belas tengah hari ini?
“Saya kat airport ni. Qila, saya telah buat kesilapan bodoh hari ini, saya rasa saya tertinggal dokumen perjanjian Syarikat Megah dekat office. Boleh awak tolong check dokumen tu ada ke tidak kat meja saya? Saya ingat saya dah letak dalam briefcase tapi bila saya check tadi dokumen itu tak ada,” Panjang lebar mukaddimah Encik Irfan menyerang telingaku. Encik Irfan bila dah kalut macam itulah.
“Sekejap bos, saya pergi check,” Aku pantas bergerak ke bilik Encik Irfan dan ternyata dokumen itu terletak elok di atas mejanya. Dia tertinggal ke atau tersilap ambil dokumen? Dah nyanyuk barangkali bos aku tu. Aku kembali mencapai gagang.
“Hello boss, dokumen itu memang ada kat atas meja boss. Macam mana ni?” Aku pun dah mula panik ni. Apa ke jadahnya bos aku nak pergi ke sana tanpa dokumen ni?
“ Tak apa, saya dah minta tolong Ray hantarkan ke mari. Awak tolong bagi dokumen itu pada dia. Dia sekarang dekat pintu depan. Tolong cepat sikit Qila, saya nak kena check in lagi ni,” Encik Irfan kedengaran tertekan. Stresslah tu.
“Okey boss,” Selepas meletakkan gagang, aku terus berlari anak mengejar lif, turun melalui kawasan lobi untuk sampai ke pintu hadapan. Dah macam marathon. Demi masa depan bosku, imej lemah gemalai aku ketepikan. Sampai sahaja di pintu hadapan bangunan Berjaya Holding, kelihatan sebuah kereta mewah sudah menunggu. Tuan Ray ke? Maklumlah cermin tinted. Gelap aje tak nampak apa-apa. Perlahan-lahan aku mendekati kereta jenis BMW hitam berkilat dan langkahku bertukar laju apabila cermin di sebelah pemandu diturunkan. Ternyata Tuan Ray yang duduk di tempat pemandu. Aku cuba untuk melupakan perangainya yang pelik itu, yang penting sekarang adalah misi menyelamatkan bos aku.
Sampai sahaja di kereta, aku terus menghulurkan dokumen itu melalui tingkap kereta. Tuan Ray tidak menyambutnya sebaliknya sibuk mebetulkan tali lehernya. Hek eleh mamat ni tahulah kau tu handsome, tak payah nak betul-betulkan tali leher tu. Kalau senget sekalipun kau tetap handsome. Kutukan dan pujian bergabung. Apa aku sekarang dah gila ke?
“Tuan, ini dokumen yang Encik Irfan nak tu. Kalau boleh cepat sikit sebab dia cakap dia dah nak kena check in. Flight dia pukul dua belas tengah hari ini,” Aku mula menanamkan benih kesabaran yang tinggi. Entah kenapa sejak kebelakangan ini ada sahaja perkara yang tidak beres antara aku dengan tuan pengurus besar Berjaya Holding. Silap haribulan aku hempuk mamat ni kang.
“Masuklah, kita pergi hantar sekali,” Jawapannya yang ringkas dan padat itu sikit lagi boleh buat darah aku naik. Lama-lama kalau macam ini aku boleh kena sakit jantung. Aku mengeluh perlahan.
“Tuan boleh tak jangan main-main sekarang? Tuan dah lewat ni tau,” Aku cuba menyedarkannya akan situasi genting sekarang ini. Mungkin dia tersesat kat alam fantasi ke apa sekarang.
“Siapa yang main-main? Saya seriuslah ni,”
“Kenapa saya pulak yang kena hantar? Encik Irfan cakap tuan dah setuju sanggup hantar!” Ini yang aku rasa nak bakar kereta orang ni.
“Dokumen itu bos awak punyakan? So awak pun kenalah bertanggungjawab hantar dokumen itu pada dia?” Sudah! Dia dah buat perangai lagi dah.
“Khadijakan ada?”
“So?”
“Tuan bawalah dia,”
“Kalau saya bawa dia, siapa yang nak jawab call client saya? Siapa yang nak uruskan kerja kat pejabat saya tu?” Memang sah Tuan Ray ni tak betul!
“Samalah tu tuan. Kalau saya pergi, siapa yang nak jawab call dan buat semua kerja saya kat pejabat tu?” Aku mengawal geram. Eeii..geram aku!
“Itu bukan masalah saya,” Amboi menjawab. Macam tak pakai akal pulak. Dasar pentingkan diri sendiri.
“Tuan cepatlah, dah lambat ni,” Aku tak kira, aku tak nak naik kereta dia! Sumpah aku tak pernah terbayang naik kereta berdua-duaan dengan Tuan Ray. No!
“Kalau awak tak naik, dokumen tu tak akan sampai kat airport. You decide!” Oh, kau degil ek. Nak main ugut-ugut aku lagi. Okey, nanti kau! Tanpa berfikir panjang aku terus mencampakkan dokumen perjanjian itu di tempat duduk sebelah pemandu seraya menjelingnya
“Saya tak nak pergi,” Aku terus berpaling dan masuk ke dalam bangunan. Aku bergerak ke kiri bangunan dan mengintai di sebalik dinding kaca. Lima minit berlalu. Aku tahan. Sepuluh minit berlalu aku dah mula cemas. Ya Allah, kenapalah Muhammad Rayyan Amrif ini degil yang teramat sangat? Bersama keluhan yang panjang aku gagahkan kaki melangkah sekali lagi mendekati kenderaan mewah itu. Aku tarik pintu dan masuk. Aku beristighfar. Aku cuba kuatkan semangat demi masa depan bosku.
Hahahaa nasiblaaaa !! Bt sweeeeeeeet. Muehehehe
ReplyDelete