“Kamu Nurul Aqilah?” Aku menentang pandangan Tan Sri Haji Arshad. Kenapa wajahnya kelihatan tegang? Tidak seperti waktu aku mula-mula berjumpa dengannya di bilik pejabat Tuan Ray. Sekarang tiada lagi senyuman di wajahnya tetapi wajah serius memandangku.
“Iya, saya Nurul Aqilah,” Aku menunduk merenung kaki. Auntie Jasmin sudah menghilang ke dapur setelah menjemputku masuk dan memperkenalkan aku kepada suaminya. Tuan Ray pula masih tak turun-turun dari tadi. Bukannya dia tak tahu aku dah sampai dan ada kat bawah ni.
“Kamu serius ke dengan Rayyan?” Soalnya dingin. Aku dah rasa macam ada yang tak kena. Rasa berpeluh-peluh walaupun cuaca pagi itu redup sahaja. Dia tak suka aku kawan dengan anaknya ke?
“Kenapa Tan Sri tanya macam tu?” Aku gerun untuk bertentang mata dengannya. Teringat aku akan kata-kata Khadija yang Tan Sri Haji Arshad baik orangnya, mesra tetapi apa yang aku lihat sekarang jauh benar daripada dakwaan Khadija. Tan Sri Haji Arshad yang aku lihat sekarang tegas orangnya, mempunyai renungan yang sinis, dingin dan kurang mesra.
“Kamu dengar sini baik-baik, Rayyan tu satu-satunya harapan aku untuk memajukan lagi Berjaya Holdings dan aku tak nak disebabkan kau dia hilang fokus. Dan kalau betul pun dah sampai masa untuk dia cari calon isteri, kau bukanlah orang yang sesuai untuk jadi pasangan dia. Aku dah aturkan Rayyan dengan anak kenalan aku. Setiausaha macam kau memang tak layak untuk anak aku. Jadi aku nak kau jauhkan diri daripada Rayyan dan jangan sesekali bermimpi nak jadi menantu aku. Faham?”
Aku rasakan satu batu besar menghempap wajahku. Rasa terhina dan maruahku dipijak-pijaknya. Apa hina sangatkah aku di matanya? Apa salah aku sehingga dia sesuka hati merendah-rendahkan aku? Tidak terniat dihatiku untuk menjadi batu penghalang kepada Tuan Ray membawa Berjaya Holding ke mercu kejayaan. Kalaulah aku ini seorang yang lemah, dah lama air mataku menitik menyembah bumi tetapi berdepan dengan orang sebegini, aku tidak akan membenarkan air mataku dibazirkan. Nak buat drama ke apa tan sri ni tiba-tiba serang aku.
“Maafkan saya tan sri, saya sedar yang saya tidak layak untuk berganding dengan anak tan sri tapi tan sri tak berhak menghina saya sebegitu rupa. Memang tan sri sekeluarga punya pangkat dan darjat yang tinggi tapi tan sri kena ingat yang semua itu tak boleh dibawa mati. Hakikatnya kita sama sahaja, sebab kita sama-sama hamba Allah SWT. Kita sama sahaja tak ada beza,” Aku sudah berdiri sambil mengeratkan pegangan pada beg tanganku. Tidak ada gunanya lagi berada di sini dan berlakon. Aku di hina di atas sesuatu yang tidak boleh diterima logik akalku. Sebab darjat? Atau perlu aku bongkarkan semuanya?
“Berani kamu menjawab ya. Perangai macam ni nak jadi menantu aku? Perangai mengalahkan hantu!” Aku terlopong dengan tuduhannya itu. Rasa amarah makin membuak-buak. Syaitan sudah mula berlumba-lumba untuk memperdayakan aku. Aku menarik nafas perlahan dan menghembusnya, cuba menenangkan hati yang sedang membara. Pada pandanganku, Tan Sri Haji Arshad sekarang tidak ubah seperti Lord Voldermort. Tak padan dengan pangkal nama Haji, mulut mengalahkan apa? Mungkin dia tak dapat haji mabrur masa buat ibadah haji. Apa kau dok merapu ni Qila?
“Tan sri tak rasa ke dialog tan sri tadi macam dalam drama? Drama yang bakal mertua yang tersangatlah kaya-raya tak suka pada bakal menantu yang tersangatlah papa kedana? Tan sri ingat saya akan menangis dan terus mengalah lepas dengar segala kata hina tan sri? Sorry to say, tan sri ingat saya ni apa? Ingat saya hadap sangat dengan anak tan sri tu? Untuk pengetahuan tan sri, saya dengan anak tan sri tak punya apa-apa hubungan, dia cuma mintak tolong saya berlakon jadi kekasih dia. Itu aje! Sebabnya ada perempuan tak faham bahasa sedang kejar dia. So tan sri tak payah nak risaulah sebab saya memang tak akan dan tak nak jadi menantu tan sri. Faham?” Ambik kau! Berlagak sangat dengan harta dunia. Aku lihat Tan Sri Haji Arshad sudah terlopong. Huh, baru dia tahu langit tinggi ke rendah.
“Qila!” Tiba-tiba Tuan Ray menjerit memanggil namaku. Sejak bila dia terpacak di ruang ini aku tidak sedar. Fokusku hanya pada papanya yang kurang di ajar. Langsung hilang rasa hormatku padanya.
“Kamu tengok Rayyan. Perempuan macam ni kamu nak buat isteri? Dia kurang ajar dengan papa!” Aku genggam penumbuk. Mulut pak cik ni memang berbisa. Aku sudah tidak peduli lagi dengan pandangan tajam Tuan Ray. Papanya memang melampau. Kesian Auntie Jasmin dapat suami macam ni.
“Siapa kurang ajar dengan siapa dulu?” Jerkahku berani.
“Qila, kenapa ni?” Kali ini Auntie Jasmin pula muncul dari dapur. Entah kenapa nasib seperti tidak menyebelahiku. Semua saksi muncul di waktu aku bersemangat membela diri. Tan Sri Haji Arshad pula enak-enak mengambil peluang bertindak sebagai mangsa keadaan.
“Qila, minta maaf dengan papa saya sekarang jugak!” Tuan Ray sudah membentakku. Aku pandangnya dengan penuh perasaan marah.
“Saya tak salah! Kenapa saya kena minta maaf? Dia yang hina saya dulu,” Tegasku membela diri. Malangnya Tuan Ray seperti tidak mempercayaiku.
“Saya cakap minta maaf sekarang!” Ulangnya lagi dengan suara yang lebih kuat.
“Saya tak nak!” Jeritku lantas mengatur langkah keluar dari banglo mewah itu. Tuan Ray mengejar langkahku.
“Qila!” Panggilannya tidak aku hiraukan. Pedulikan manusia macam tu. Manusia yang tak serupa perangai manusia. Persetankan dia. Pergi mampus kau! Sumpah seranahku dalam hati.
“Qila!” Panggilnya lagi
“Pergi!,” Jerkahku
“Qila!”
“Jangan ganggu saya lagi,” Aku berniat kalau dia panggil aku lagi, aku tak akan teragak-agak untuk menendangnya. Kadang-kadang kita perlu menggunakan kekuatan fizikal untuk berurusan dengan orang yang tak faham bahasa.
“Qila,” Panggilnya lagi dan kali ini dengan yakin aku menghayun kaki membuat tendangan side kick. Padu sekali tendanganku.
“Aduh!” Jeritan yang kuat menyedarkan aku. Apa aku dah buat? Terasa perit mataku apabila menerima biasan cahaya yang terang. Aku kat mana ni? Macam bilik tidur aku? Aku pandang sekeliling. Senyap. Sunyi. Rasanya tadi aku kat rumah Tuan Ray? Cepatnya aku sampai kat rumah aku.
“Qila,” Automatik mataku kembali meliar di sekitar kawasan bilik apabila terdengar sayup suara memanggil namaku. Perlahan-lahan aku merangkak ke hujung katil. Abang Armand!
“Apa abang buat kat sini? Macam mana boleh jatuh ni?” Kelam-kabut aku turun dari katil dan membantu Abang Armand bangun dan memapahnya duduk di atas katil. Risau pulak aku tengok Abang Armand yang bersungguh-sungguh menggosok perut.
“Abang sakit apa ni?” Soalku apabila soalan tadi tidak mendapat respon darinya.
“Qila tanya abang sakit apa? Sebab Qilalah abang sakit ni tahu tak?” Abang Armand menjawab dalam keadaan menahan kesakitan. Sebab aku? Apa aku dah buat?
“Apa abang merepek pagi-pagi buta ni? Qila buat apa sampai abang sakit ni?”
“Qila mimpi apa sampai tendang-tendang abang? Sakit kena tendang dengan sakit jatuh ke lantai adalah dua sakit yang berbeza,” Aku tahan gelak. Aku mimpi rupanya. Nasib baik! Aku menarik nafas lega. Tak dapat aku bayangkan kalau apa yang aku mimpi tadi betul-betul menjadi kenyataan. Pasti aku bakal mendapat kesusahan. Pertama, aku mendapat musuh baru dan kedua aku bakal kehilangan pekerjaan. Inilah penangan disebabkan terlalu risau memikirkan nasibku di rumah bakal mertua palsu nanti.
Semalaman aku berjaga kerana mataku seakan liat untuk tidur. Otakku tidak berhenti memikirkan apa yang bakal berlaku hari ini apabila aku sampai di rumah Auntie Jasmin. Walaupun Auntie Jasmin bukanlah bakal mertua aku yang betul tetapi perasaan takut itu tetap nak bergayut di tangkai hatiku ini.
“Qila mimpi tendang lelaki tak guna,” Jawapanku membuatkan Abang Armand berhenti menggosok perut.
“Siapa lelaki tak guna tu?” Abang Armand kelihatan berminat untuk mengenali gerangan lelaki tak guna itu.
“Rayyan,” Jawabku ringkas. Opps, betul ke Tuan Ray lelaki tak guna? Bukan! Ayah dia sebenarnya yang tak guna. Ada otak, ada akal tapi tak guna dengan elok. Betullah tu lelaki tak guna. Tapi mimpikan cuma mainan tidur?
“Siapa Rayyan?” Aku mendengus perlahan. Lelah juga nak menjawab soalan yang bertubi-tubi macam ni.
“Alah, kalau Qila cakap bukannya abang kenal pun. Hah, kenapa abang masuk bilik Qila ni?” Abang Armand menghadiahkan sebuah jelingan. Tak puas hatilah tu bila aku tak nak kongsi cerita dengan dia.
“Tak nak cerita tak apa. Nanti abang mesti kenal jugak dengan Rayyan,” Ugutannya langsung tidak menakutkan aku. Rayyan tu ahli perniagaan, Abang Armand pulak doktor, kebarangkalian untuk mereka terserempak adalah sangat tipis. Lagipun, berapa banyak lelaki bernama Rayyan kat atas dunia ini yang kenal dengan aku? Tuan Ray seorang aje! Sampai ke tualah Abang Armand tak akan jumpa Tuan Ray. Aku gelak jahat dalam hati.
“Ikut suka abanglah,” Sengaja aku pamerkan wajah selamba, biar dia sakit hati. Aku lihat Abang Armand dah ketap bibir. Geramlah tu.
“Anak dara apa tak mandi lagi ni? Matahari dah naik tinggi Qila masih terbongkang atas katil? Dah pukul berapa ni? Aleeya pun dah mandi dan sarapan. Malu sikit dengan adik,” Aku pandang jam yang tergantung di dinding. Oh my God! Dah pukul sepuluh. Kelam-kabut aku bangun dan mundar mandir di hadapan katil.
“Hah, ni kenapa pulak?” Kepala Abang Armand turut bergerak ke kiri dan kanan mengikut langkahku.
“Mak mana? Mak ke suruh abang kejutkan Qila? Matilah Qila. Abang tolong cakap dengan mak yang Qila dah lama bangun tapi Qila sibuk siapkan kerja. Nanti Qila turun. Abang jangan pulak cakap yang Qila baru bangun,” Aku duduk berlutut depan Abang Armand sambil menggenggam erat tangannya. Abang Armand buat muka bosan. Bosan dengan aku yang sentiasa mencari alasan. Mak memang tak suka anak daranya bangun lambat tetapi anak daranya sahaja yang degil dan suka bangun lambat. Tapi bukannya selalu sangat aku bangun lambat.
“Bagusnya adik. Dah pandai nak ajar abang buat dosa dengan mak ya? Baru bangun ke?” Aku dan Abang Armand sama-sama menoleh ke arah pintu bilikku yang sedikit terbuka. Kepala emak terjengul sambil menghadiahkan senyuman sinis padaku. Aku rasa macam nak terjerit sampai keluar anak tekak bila melihat senyuman ngeri emak. Rasa nak menjerit sampai keluar anak tekak bertukar kepada rasa nak terjun keluar tingkap apabila emak menjulurkan sedikit hujung rotan disebalik pintuku. Alamak! Takkanlah emak masih nak rotan aku yang dah besar anak gajah ni kot.
“Mak ampun mak, Qila pergi mandi sekarang. Mak janganlah rotan Qila,” Aku cepat-cepat bangun mencapai tuala dan menghilangkan diri ke dalam bilik mandi. Buat malu dengan Abang Armand aje mak ni. Dahlah aku terlambat nak pergi rumah Auntie Jasmin.
Selepas siap bersarapan pagi, aku meminta izin dari abah dan emak untuk keluar. Alasan ke rumah kawan aku berikan. Sewaktu aku sedang fokus mengenakan sepatu, emak datang menghampiri. Tidak semena-mena bulu romaku berdiri tegak. Emak datang dengan auranya yang tersendiri. Aku pun tak faham dengan emak. Entah kuasa apa yang ada padanya sampai aku rasa macam ni? Kuasa syurga di bawah telapak kaki ibukah?
“Betul ke Qila nak pergi rumah kawan ni?” Gulp! Patutlah seram, mak dah mula tunjuk kuasa instinct dia. Dia pakai pancaindera yang mana satu ek?
“Erm..be..betullah mak. Qila nak pergi rumah kawan Qila ni,” Aku cepat-cepat bangun dan mencapai tangannya untuk bersalam. Emak dengan wajah selambanya menyambut salamku.
“Qila pergi dulu. Dah lambat ni,” Lantas aku terus bergerak ke kereta dan membuka pintu kereta tetapi malangnya emak lebih pantas menutup pintu keretaku dan menolakku sehingga aku tersandar di pintu kereta. Dia berdiri di hadapanku dengan sebelah tangannya diletak pada bumbung kereta seolah-olah ingin menghalangku daripada melepaskan diri. Alamak! Emak dah berlagak macam samsenglah pulak.
“Kenapa ni mak? Mak jangan nak buat benda yang bukan-bukan pulak pagi-pagi macam ni,” Emak masih dengan wajah seriusnya. Dia sibuk memerhatikan kawasan sekeliling seakan ingin memastikan keadaan sebelum dia kembali melihatku.
“Okey clear. Nah, ambik ni,” Aku terkedu apabila emak meletakkan satu kad kecil di telapak tanganku yang bertulis nombor tiga ratus lima puluh. Nombor apa ni? Setelah puas berfikir dalam dua hingga tiga minit, sesuatu terlintas difikiranku. Aku pantas menggenggam tangan emak.
“Bawa mengucap mak. Ingat Allah mak. Kenapa dengan mak ni? Mak dah tak ingat tuhan ke? Ingat mak tujuan kita hidup atas dunia ni semuanya kerana Allah mak!” Emak merenungku pelik.
“Kenapa dengan kamu ni Qila? Suruh mak mengucap, ingat tuhan ni?”
“Mak tanya Qila kenapa? Mak ingat Qila bodoh tak boleh nak agak semua ni? Mak nak suruh Qila beli nombor ekor untuk makkan?”
“Astaghfirullahalazim budak ni. Eei, geram mak dengan kamu ni tau, nak kata bengap, ayah kamu tu pengetua sekolah dan masa mak sekolah dulu tak adalah dapat nombor giliran akhir dalam kelas! Kamu tu yang kena bawa mengucap! Ada ke patut cakap mak macam tu,” Emak membebel memarahiku. Aku tarik nafas lega. Sedikitpun tidak terasa hati dengan kata-katanya. Ingatkan betullah apa yang aku fikir tadi.
“Habis tu mak jugak yang berlagak macam spy segala. Macam nak sembunyikan sesuatu daripada orang lain. Mana Qila tak syak. Lepas tu bagi nombor ni lagi. By the way, nombor apa ni mak?” Tiga ratus lima puluh? Serius aku tak faham.
“Hah, Qila fikirlah sendiri. Nanti esok mak bagi lagi dan untuk hari-hari yang seterusnya. Dahlah nanti kamu lambat pulak, pergilah. Jangan balik lambat sangat,” Aku masih lagi terpinga-pinga saat mak membuka pintu kereta dan menolakku masuk ke dalam. Siap bagi lambaian ratu cantik lagi. Ish mak ni macam-macamlah.
Setelah memandu lebih kurang dua puluh minit, akhirnya aku sampai juga ke banglo mewah kepunyaan keluarga Tuan Ray. Lainlah pulak rumah ni daripada gambaran mimpi aku pagi tadi. Mintak-mintaklah Tuan Haji Arshad pun lain perangainya daripada mimpi aku. Aku kerling jam tangan. Dah pukul sebelas tiga puluh minit pagi. Samsung Galaxy Note, hadiah daripada Abang Armand aku capai. Teknologi zaman sekarang semuanya canggih. Dengan satu sentuhan, panggilan untuk Tuan Ray bersambung. Aku menunggu dengan sabar tetapi talian tetap tidak diangkat. Aku cuba sekali lagi. Masih seperti tadi. Aku cuba lagi. Usaha tangga kejayaan.
“Hello,” Tiba-tiba satu suara menyapa
“Hello, tuan dekat mana sekarang? Saya dah ada kat depan pagar rumah tuan ni,” Tiba-tiba talian terus terputus dan tidak sampai lima saat pagar tinggi itu terbuka secara automatik. Perlahan aku memandu masuk. Aku turun dan memerhatikan kawasan banglo itu. Gila! Berapa banyak duitlah yang digunakan untuk membina banglo dan kawasan seluas ini? Aku intai kiri dan kanan kawasan, memang kawasan perumahan ini adalah kawasan perumahan elit dan mewah. Semua saiz banglo lebih kurang sama. Porch yang disediakan untuk parkir kereta sahaja sudah panjang berderet, itu tidak termasuk lagi dengan kawasan yang dihias seperti taman. Kawasan luar rumah sahaja sudah luas mengalahkan ruang dalam rumah aku. Macam mana agaknya ruang dalam rumah? Adakah setanding dengan rumah banglo yang biasanya aku tengok dalam cerita Hindustan?
“Cari siapa?” Aku pantas berpaling ke arah suara itu. Terpaku aku melihat lelaki yang berdiri tegak di hadapanku sekarang. Tidak kalah dengan Tuan Ray, wajahnya juga tampan. Seakan-akan cahaya bersinar terpancar dari wajahnya. Boleh silau aku. Sekali lagi aku tersesat dalam keasyikan dan hanya tersedar apabila lelaki itu berdehem. Astaghfirullahalazim, apa kau dah buat ni Qila? Pantas aku menundukkan pandangan. Jariku saling menggenggam antara satu sama lain.
“Erm, saya cari Tuan Ray,” Ujarku sopan. Mesti control ayu depan dia. Gatal sungguh kau Qila!
“Tuan Ray? Maksud awak Rayyan?” Suaranya yang garau itu memang boleh buat aku tak tidur malam. Agak sedap didengar pada pendengaranku.
“Ya, Rayyan,”
“By the way, Rayyan dekat tandas tadi, sebab tu dia tak jawab phone. Awak masuklah,” Aku telan liur, dia ke yang jawab panggilan aku tadi? Tak perasanlah pulak.
“Siapa yang datang Along?” Along? Abang Tuan Ray ke ni? Hurm, patutlah handsome. Memang genetik keturunan mereka tampan-tampan dan cantik-cantik semuanya. Auntie Jasmin muncul dan wajahnya jelas kelihatan gembira dengan kedatanganku. Kami berpelukan.
“Kenapa tak ajak Qila masuk?” Soal Auntie Jasmin pada lelaki yang dipanggilnya Along tadi.
“Rizq dah ajak dia masuk. Okeylah mama, Rizq dah lambat ni, Rizq pergi dulu,” Lelaki itu bersalam dengan Auntie Jasmin sebelum melangkah ke Honda CRV miliknya. Perangainya lebih kurang sama dengan Tuan Ray, jenis tak ada perasaan. Nak kata sombong pun boleh jugak.
“Jom kita masuk,” Aku berjalan beriringan dengan Auntie Jasmin melangkah masuk ke dalam banglo. Saat kakiku melangkah masuk ke dalam banglo, sekali lagi aku tidak dapat meyembunyikan perasaan kagumku dengan dekorasi hiasan dalaman. Memang pemilik banglo ini mempunyai cita rasa yang tinggi. Tidak dapat aku gambarkan betapa indahnya pemandangan dan susun atur perabot yang pastinya diimport dari luar negara.
“Duduklah Qila,” Aku melabuhkan duduk pada sofa yang terdapat di ruang tamu. Auntie Jasmin turut duduk di sebelahku.
“Rayyan mana auntie?” Tiba-tiba saja aku rasa kekok. Tak tahu nak berbual bila berhadapan dengan orang tua. Sepatutnya aku bawak Aleeya sekali. Aleeya kalau dengan mak cik-mak cik boleh buat geng. Ada sahaja topik perbualan yang nak dibualkan dan aku sendiri tidak terkejut apabila kebanyakan jiran-jiran memang kenal dengan Aleeya dan ada juga yang berkenan nak buat menantu. Agak-agak kalau aku bawak Aleeya, nak jugak Auntie Jasmin kenen-kenenkan Aleeya dengan lelaki yang dipanggil Along tadi. Hehe. Mengarutlah kau Qila, entah-entah Along tu suami orang dan Aleeya pun baru masuk tujuh belas tahun, budak baru nak hidup kau nak suruh kahwin? Memang tak naklah budak tu gamaknya.
“Tadi dia ada, sekejap lagi turunlah tu. Kenapa? Dah rindu ke?” Auntie Jasmin ni memang suka buat aku rasa segan. Nak aje aku telangkup muka bawah permaidani tebal ni. Malu kot.
“Eh, tak adalah auntie. Tan sri pulak ke mana?” Soalan lazim bila tak tahu nak tanya apa.
“Tak payah nak panggil tan sri, panggil aje uncle. Lepas ni panggil papa pulak,”
“Ish, ke situ pulak auntie,” Aduh, lama-lama boleh mati perasan aku. Perasan jadi menantu orang kaya.
“Betullah apa yang auntie cakapkan tu. Uncle keluar sekejap, mungkin jumpa kawan tapi tengah hari ini dia dah janji nak balik makan kat rumah,” Aku mengangguk, masih susah nak bukak mulut untuk berbual. Nak tanya apa lagi ek? Tuan Ray pun satu hal, telefon tak berangkat, tak muncul-muncul lagi sampai sekarang, boleh kena strok aku berlakon sorang-sorang kat sini.
“Qila, auntie sebenarnya nak minta tolong dengan Qila tentang satu hal ni,” Apa yang dia boleh mintak tolong aku? Nak pinjam wang ke? Macam tak logik pulak.
“Mintak tolong apa auntie?”
“Mungkin Qila akan rasakan tindakan auntie ni sedikit melampau atau macam tak kena gaya tapi auntie memang macam ni. Ini salah satu cara untuk auntie menambahkan lagi rasa mesra di antara kita, lagipun Qilakan bakal menantu auntie?” Hai, aku dah rasa lemah semacam. Intro ayat macam nak mintak tolong sesuatu yang susah untuk aku tolong.
“Apa dia auntie, insyaAllah kalau Qila boleh bantu, Qila akan bantu,” Aku cuba bertenang menanti kata-katanya.
“Sebelum itu, jom kita ke dapur dulu,” Laaa, auntie ni, suka buat suspen. Buat penat jantung aku berdegup laju tadi, akhirnya dibawa aku ke dapur? Hampeh! Ikut sajalah Qila. Dapur terletak agak ke belakang sedikit jauh dari ruang tamu. Masuk sahaja ke ruang dapur aku dah terlopong. MasyaAllah, rupa dapur ke macam ni? Dah macam restoren aku tengok dengan ruang yang luas, kabinet yang besar dan tinggi, meja makan, meja beronsepkan bar dan dilengkapkan dengan kerusi tinggi. Tak termasuk dengan perkakas elektrik yang canggih dan mahal-mahal semuanya. Memang dapur Auntie Jasmin lengkap dengan segala jenis alatan memasak. Ditariknya aku ke meja makan. Amboi, banyaknya bahan makanan. Ayam, daging, udang, sotong, segala jenis sayuran dan rempah ratus semuanya lengkap tersusun di atas meja. Nak buat kenduri ke apa ni?
“Wah, banyaknya bahan masakan! Auntie nak masak apa ni?”
“Hurmm, menu makan tengah hari ini bergantung pada Qila. Qila nak makan apa?” Lawak juga Auntie Jasmin ni, orang tanya dia, dia tanya kita balik.
“Eh, apa pulak macam tu auntie, seganlah Qila nak buat permintaan. Nanti apa pulak ahli keluarga auntie cakap?”
“Tak ada apa yang nak disegankan. So, Qila nak makan apa?” Hish, tak boleh nak fikir aku kalau tanya ribut macam ni.
“Apa-apa ajelah auntie,” Jawapan selamat aku berikan.
“Apa-apa aje? Okeylah mungkin Qila perlukan waktu untuk fikir nak masak apakan? Jadi auntie serahkan dapur kesayangan auntie ni pada Qila. Ikut suka hati Qilalah nak masak apa sekalipun,” Apa? Rasanya telinga aku tak pekak lagi.
“Qila masak?” Oh my God!
“Ya sayang. Qila jangan pulak terkejut. Ini salah satu ujian untuk Qila. Saja auntie nak tahu Qila ni pandai masak ke tak. Boleh Qila masak untuk makan tengah hari kita?” Ya Allah, selamba betul dia bagi ujian kat aku? Jika nak dibandingkan dengan Sijil Pelajaran Malaysia, SPM aku lebih rela ambik SPM kali kedua.
“Erm,.boleh,” Sayup-sayup aje aku dengar suaraku
“Bagus, auntie nak ke depan sekejap, nanti auntie datang balik. Qila fikirlah dulu nak masak apa,” Setelah Auntie Jasmin melenggang keluar dari dapur, aku duduk di kerusi menghadap meja yang dipenuhi barang itu. Terasa lemah lutut dan segala sendi melihat semua itu. Mak kandung aku pun tak pernah bagi ujian memasak macam ni, alih-alih bakal mertua palsu senang-senang aje turunkan mandatnya.
“Erk, awak siapa?” Sedang aku termenung mengenangkan nasib diri, tidak semena-mena aku ditegur oleh seorang perempuan yang sangat cantik. Bidadari mana pulak turun dari kayangan ni?
“Saya Aqilah,” Aku bangun berdiri tegak, rasa macam kurang ajar pulak kalau aku terus duduk.
“Aqilah? Oh, Qila right? Kekasih Rayyankan?” Kekasih palsulah, gumamku dalam hati.
“Erm,,saya,” Serba-salah pulak nak jawab. Kalau tak jawab, kurang ajar pulak, kalau jawab menipu pulak. Tapi bukankah kau sedang menipu semua orang sekarang ni?
“Jangan risau, akak tahulah yang Qila ni kekasih awal dan akhir Rayyankan?” Oh my God! Kekasih awal dan akhir? Tuan Ray tak pernah usung awek ke sebelum ni? Maknanya hatinya masih suci lagi, masih tidak disentuh atau digapai oleh mana-mana perempuan? Sucinya dia!
“Akak pulak siapa?” Mana aci dia aje tahu nama aku.
“Akak, Rania Amani, kakak kepada cinta hati awak tu,” Oh, bakal kakak ipar palsu rupanya. Patutlah cantik. Secantik nama dan akhlaknya. Wah, cepat betul kau buat kesimpulan Qila.
“Qila buat apa kat sini? Mama mana?” Kepala Kak Rania sudah terteleng-teleng mencari kelibat mamanya.
“Auntie Jasmin kat depan. Sebenarnya..sebenarnya..,” Nak cakap ke tak?
“Sebenarnya apa?” Kak Rania sudah menjongket kening.
“Sebenarnya Qila nak ambik ujian ni,”
“Ujian? Ujian apa?” Soalnya masih kabur dengan ayatku
“Test memasak. Auntie Jasmin nak Qila masak untuk makan tengah hari kita” Tidak semena-mena Kak Rania ketawa galak, tapi masih sopan dilihat. Perempuan melayu terakhirlah katakan.
“Akak dah agak dah. Qila jangan tak tahu pulak, suami akak pun sebelum kahwin dengan akak, dia ambik ujian ni jugak,” Biar betul!
“Suami akak pun? Suami?” Lelaki pun kena ambik ujian ni jugak ke?
“Ya suami. Mama memang tak ambil kira jantina, semua menantu dia wajib ambik ujian ni,” Ayat penyata Kak Rania sudah cukup untuk buat aku rasa kecut perut.
“Qila sebenarnya tak pandai sangat masak kak,” Lebih baik aku berterus-terang, manalah tahu Kak Rania ada buah fikiran yang bernas supaya aku boleh mengelak daripada ambik ujian ni.
“Jangan risau, sebab mama mesti benarkan seseorang untuk tolong Qila,”
“Betul ke kak? Akak boleh tolong Qila? Kita boleh masak sama-sama?” Lega sedikit rasanya, dengan adanya pembantu tak adalah aku terkontang-kanting seorang diri mengerjakan masakan tengah hari.
“Betul tu memang betul. Tapi orang yang menolong tu bukan akak,” Pulak dah!
“Habis tu siapa? Pembantu rumah? Eh, Qila okey aje. Asalkan jangan tinggalkan Qila sorang-sorang kat dapur ni,” Baru sekarang aku rasa bibirku sudah mula boleh tersenyum, sebelum ini agak liat sedikit. Semuanya disebabkan kejutan yang datang bertimpa-timpa.
“Baguslah kalau macam tu. Pasal orang yang akan bantu Qila masak, Qila tengoklah siapa nanti,” Ucap Kak Rania dengan senang hati.
“Hah, Angah buat apa kat sini?” Entah bila Auntie Jasmin sudah tercegat di pintu dapur.
“Eh, mama, Angah saja nak berkenalan dengan bakal menantu mama ni,” Kak Rania sudah memaut bahuku. Saja nak tunjuk mesra, tapi memang dia baik pun.
“Dah kenallah ni?” Pandangan Auntie Jasmin terarah padaku.
“Dah auntie” Aku mengangguk.
“Erm, baguslah. Jadi, Qila dah fikir nak masak apa?” Alamak!
“Erk, belum lagi auntie,” Tak terpandang rasanya wajah Auntie Jasmin bila aku menjawab pertanyaannya. Mesti dia ingat aku ni lembap. Nak fikir menu masak tengah hari pun susah ke?
“Jangan rasa tertekan sangat. Buat macam biasa aje. Macam Qila masak kat rumah. Tak payah nak buat lauk yang rumit-rumit. Masak yang simple aje,” Ujar Auntie Jasmin. Masalahnya kat rumah, Qila cuma jadi tukang kacau aje auntie. Lagipun dalam kamus memasak aku, tak ada istilah masakan simple melainkan maggie dan rebus air. Rebus air pun masuk kategori memasak ke?
“Baiklah auntie, nanti Qila masak,” Dah rasa macam kena pergi berperang pulak.
“Erm, masaklah Qila, auntie ada kerja kat depan, nanti adalah orang datang bantu Qila lepas ni ya,”
“Baiklah auntie,” Aku menggagahkan bibirku untuk tersenyum.
“Best of luck!” Bisik Kak Rania padaku seraya membuntuti langkah Auntie Jasmin keluar dari dapur. Sekali lagi aku terduduk. Nak masak apa ni?
bastttttt
ReplyDeletehabis la qila kena masak
tapi qila nak masak ap??/
x sbar smbung post yang selanjutnya
best..tapi kenapa ending tergantung mcm tu ? patutnya bagi habis sampai part pembantu qila datang..hehe sorry terkomen lebih2 pulak.
ReplyDeletebtw,gud luck awak :)
huhu..ina jgn risau...next entry kita masuk dunia memasak qila n pembantunya...
ReplyDeleteAalia..tq utk komen..lg lebih2 lg sy suka..hehe..owh tergantung tu sbb terpaksa..heh2
ala..takat ni je...mode tak puas ati..hihi.
ReplyDeletenak lagi boleh??
kak fatonah..(betul ke kak?) huhu...sy janji next entry mode akak msti tkr jd puas hati..hihi..insyaAllah ;)
ReplyDeleteassistant chef mesti rayyan ..hahah..silap2 si rayyan ni yg tlg masak ..gila tukang kacau jer ..
ReplyDeletesalam...cter ni best sangat la...cepat2 la post next n3 ye..x sabar nak bace..hari2 tinjau blog shiroe..mne tau ade n3 baru kan..huhu
ReplyDeletepape pon all best the for final exam...
kakIzz, dah blh agakkan? haha
ReplyDeleteutk nur, tyvm for the support..sbr tggu next n3 ek ;)
best..x sabar nak tau smbgn..
ReplyDeletehehe..bole ke si qila tu masak?
hahaaaaaa...
dh beli novel ni..best giler...hehehe...teruskan berkarya.. gud luck
ReplyDeleteTQSM sis....inshaAllah. Tq <3
Delete