Wednesday, 8 August 2012

Cinta Itu Indah! 20

Suatu petang, abah mengajakku ke pasar malam. Kata abah, dia sudah muak dengan masakan emak. Tekaknya nak bermanja dengan masakan gerai yang dijual di pasar malam. Aleeya yang ingin mengikut, dihalangnya pergi. Kata abah Aleeya lebih elok tambah pahala dengan membantu emak menyiapkan apa-apa yang patut di dapur sebelum kami pulang membawa juadah. Abah ingat sekarang bulan Ramadan ke? Bila Aleeya sudah memuncung, abah mula bagi nasihat

“Tak baik merajuk dengan abah, SPM dah nak dekatkan? Nak restu abah tak?” Hah! Itu dia ayat ugutan abah. Apa punya motivasi yang abah guna sekarang sampai ugut Aleeya macam tu? Bila difikirkan balik, macam mana abah boleh jadi pengetua?


Dua minit kereta bergerak aku dah mula gelisah. Abah yang mungkin perasan dengan gelagatku mula buka mulut

“Kenapa Qila? Gelisah aje abah tengok?”

“Abah kenapa bawa slow sangat kereta ni?” Mana aku tak senang duduk? Abah pandu kereta dengan kadar kelajuan lima puluh kilometer sejam.

“Alah, kita bukan dekat jalan besar pun sekarang. Lagipun tak boleh bawa laju-laju, inikan kawasan perumahan, nanti keluar dari kawasan ni abah pecutlah,” Aku hanya mampu mengangguk. Dah kaki dia dekat pedal minyak, dialah yang akan tentukan kelajuan kereta.

“Abah nak makan apa?” Soalku memecah suasana bisu dalam kereta.

“Tengoklah dulu apa yang ada kat sana,” Jawab abah. Dia kelihatan tidak berminat untuk membicarakan soal makan minum denganku. Abah ni ada masalah ke?

“Abah..,” Panggilku

“Erm..,” Pandangannya masih tertumpu ke depan.

“Abah ada sesuatu nak kongsi dengan Qila ke? Kalau abah ada apa-apa benda yang nak diluahkan, Qila sedia menjadi pendengar yang paling setia,” Abah sudah ketawa. Ketawa yang bersungguh-sungguh. Aku hanya tersenyum, sudah lama tak tengok abah ketawa gembira begini. Agaknya dia serabut dengan kerja-kerja di sekolah atau mungkin risaukan Aleeya yang bakal menghadapi SPM tahun ini.

“Abah ni nampak macam bermasalah ke?”

“Dah tu, abah senyap aje? Qila tanya nak makan apa pun abah jawab acuh tak acuh,” Abah menggeleng kepala.

“Abah tak ada apa-apa masalah. Ini abah nak tanya, Qila kenal rumah siapa ni?” Sebelah tangan abah sudah terlepas daripada stereng dan menghala pada sebuah rumah di tepi jalan. Kereta abah masih bergerak seperti kura-kura dalam kawasan perumahan kami. Aku berkerut dahi. Rumah siapa tu dan apa kena-mengena rumah tu dengan aku?

“Erm, tak kenal. Rumah siapa abah?” Soalku hairan dengan perlakuannya sekarang.

“Itu rumah Pak Cik Khalid, kawan abah sejak kita mula-mula pindah dekat sini,” Aku sudah mengangguk macam burung belatuk. Selang beberapa rumah, abah mula bertanya soalan yang sama.

“Qila kenal rumah ni?” Aku dah rasa tak sedap hati. Abah sihat ke tidak ni? Kang tak pasal-pasal aku paksa dia pandu kereta pergi klinik baru tahu.

“Tak tahu,” Jawapan sama macam tadi aku berikan.

“Ini rumah Pak Cik Omar. Abah kenal dia waktu sambutan Maulidur Rasul dekat surau kita dua tahun lepas. Baik orangnya,” Saraf otakku mula bergerak aktif apabila abah meluahkan satu ayat yang mengejutkan seluruh organ dalamanku. ‘Baik orangnya’? Apakah maksud di sebalik ayat penyata itu? Tanpa dipaksa, terlintas kembali pertelingkahan abah dan emak tentang jodohku. Abah dengan tegas menghalangku daripada berkawan dengan sebarangan lelaki. Katanya lagi lelaki muda zaman sekarang memang susah nak dipercayai. Apa sebab itukah abah mengambil keputusan untuk memberi peluang pada lelaki tua menjadi calon suamiku? Oh, tidak! Macam mana dengan Tuan Ray? Oit, apa kena mengena Tuan Ray dalam hal ini? Arghh!! Kusut!

“Kenapa abah tanya Qila semua soalan ni?” Dadaku sudah berdebar-debar menantikan jawapan abah.

“Abah cuma nak Qila kenal dulu dengan mana-mana..,”

“Abah!” Panggilku dengan suara tertekan sebelum sempat dia menghamburkan kata-kata yang bakal menyakitkan telinga dan hatiku. Tidak percaya satu-satunya lelaki yang aku sayang sanggup buat aku macam ni? Wajah abah juga sudah cemas. Mungkin abah tidak menjangkakan sebegini sekali reaksiku.

“Sampai hati abah buat Qila macam ni,” Mataku terasa panas. Bila-bila masa sahaja mutiara jernih bakal mengalir.

“Eh, kenapa pulak ni Qila?” Abah hentikan kereta di tepi jalan, di hadapan sebuah rumah. Aku pandang rumah itu dengan penuh kebencian.

“Ini rumah kawan abah yang mana pulak? Abah sanggup tengok Qila bersanding atas pelamin dengan kawan abah yang seusia dengan abah? Abah sanggup? Qila tak sanggup!” Ujarku berterus-terang. Rupanya rancangan abah lebih teruk daripada emak. Semestinya rancangan abah ini di luar pengetahuan emak. Kalau emak tahu boleh meletup perang keluarga.

“Apa Qila cakap ni? Abah tak faham,” Memang jelas wajah abah sekarang seperti tidak tahu hujung pangkal kenapa aku berkelakuan begini. Pandai betul abah berlakon.

“Betul ke abah tak faham atau pura-pura tak faham? Apa tujuan abah kenalkan semua kawan abah dekat taman perumahan ni? Abah nak Qila berkenalan dengan mana-mana kawan abahkan? Qila tak nak abah. Qila tak nak kahwin dengan pak cik seusia dengan abah. Ini bukan zaman kahwin paksa abah. Kalau ada pun sebab pasangan itu terpaksa bukan dipaksa. Tolong Qila abah, jangan buat Qila macam ni,” Tangan abah dalam genggamanku. Bergoyang tubuh abah ke depan dan belakang bila tangannya aku goncang berkali-kali.

“Bila masa pulak abah paksa Qila kahwin dengan orang tua? Kawan abah semua tu punya anak lelaki bujang. Maksud abah, Qila berkenalanlah dengan mana-mana anak lelaki mereka. Salah ke?” Automatik aku lepaskan tangan abah. Jari naik menyapu air mata yang berjuraian membasahi pipi. Tak lama jugak aku kena pergi hospital buat x-ray otak, manalah tahu ada kecederaan atau ketumbuhan. Sejak akhir-akhir ini, daya pemikiranku terlajak ke hadapan sehingga boleh menimbulkan salah faham jika tersilap tafsiran.

“Okey, Qila silap dan Qila minta maaf. Qila ingatkan abah nak paksa Qila kahwin dengan kawan abah,” Abah menggeleng kepala sebelum memulakan pemanduan sekali lagi.

“Abah ni waras lagilah. Lagipun sebenarnya abah nak selamatkan Qila,” Pantas sahaja aku berpaling ke sisi.

“Selamatkan Qila daripada siapa?” Soalku tidak faham.

“Selamatkan daripada emak kandung Qila,” Abah tergelak kemudiannya.

“Kenapa dengan emak?” Emak ada buat apa-apa rancangan di luar pengetahuan aku ke? Emak bukannya boleh percaya sangat. Tak makan saman langsung dengan nasihat orang.

“Dia ada bagi Qila kad tiap-tiap harikan? Qila tahu apa maksud nombor kad tu?” Soalan abah mengingatkan aku pada teka-teki mak. Sampai sekarang aku tidak dapat mentafsir apa yang emak mahu sampaikan padaku.

“Ya betul abah. Tapi Qila tak kisah sangat pun sebab penat nak fikirkan jawapan teka-teki emak tu. Alah, lama-lama dia mesti bosan sebab Qila tak bagi respon. Abah jangan risaulah,” Aku cuba menyedapkan hati abah.

“Bagus sangatlah buat tak kisah macam tu, kali ini emak Qila tak main-main tau. Tiap-tiap malam dia dok potong kad manila dan tulis nombor-nombor atas kad itu. Abah tahu sangatlah wanita kesayangan abah tu macam mana. Kalau dia dah buat keputusan nak laksanakan rancangan dia, dia akan pastikan rancangan dia berjaya,”

“Apa abah cakap ni?”

“Nombor tu melambangkan tempoh masa yang tinggal untuk Qila bawa balik calon menantu pilihan hati Qilalah. Sekarang dah berapa hari tinggal?” Soalan abah buat aku rasa macam nak koma.

“Hari ini tinggal tiga ratus sebelas hari lagi,” Jawabku dengan fikiran yang masih tak berapa nak stabil. Ceh, emak sengaja nak perangkap aku. Naib baik abah ada sebagai penyelamat. Tapi..

“Hah, tak sampai setahun lagi dah. Qila pun tak ada teman lelakikan sekarang? Qila tahu tak berpuluh keping gambar calon menantu emak simpan buat stok. Mungkin stok untuk Aleeya sekali,” Aku terlopong mendengar celoteh abah yang dengan jayanya membongkarkan aktiviti rahsia emak. I love you abah! Tanpa abah, mungkin sampai bila-bila Qila tak ambil kisah tentang kad-kad misteri itu.

“Sebab itulah abah nak selamatkan Qila ni,” Jelas abah lagi

“Apa plan abah nak selamatkan Qila?”

“Iyalah, abah nak Qila berkenalanlah dulu dengan mana-mana anak lelaki kawan abah. Qila cakap aje Qila nak lelaki yang jenis macam mana? Abah boleh carikan” Lawak jugak abah aku ni. Abah ingat aku ni tak laku sangat ke?

“Habis rancangan yang abah plan nak selamatkan Qila ni bukan dua kali lima sama dengan emak ke? Abah, Qila tak nampak apa-apa perbezaan antara plan abah dengan plan emak. Kalau ada beza sekalipun, mungkin dari segi jumlah stok calon menantu,” Aku lihat abah sudah mula tergagap. Aku ambil peluang untuk menyerangnya lagi.

“Abah nak menantu yang kena dengan citarasa abahkan? Abah takut stok emak kurang baguskan?” Aku cuba menduga abah. Abah tersenyum mengangguk. Susah betul kalau dua-dua tak ada kata sepakat. Jangan suruh aku kahwin dua sudah. Hehe

“Abah cuma nak yang terbaik untuk anak abah. Abah sayang anak-anak abah. Abah tak nak esok-esok datang orang asing yang menjalinkan hubungan dengan keluarga kita kemudian sia-siakan anak abah. Anak yang abah dan emak susah payah besarkan tak layak untuk disia-siakan. Kalau boleh sebelum abah tutup mata, abah nak serahkan dulu kepercayaan abah pada seorang lelaki yang boleh menjaga amanah abah ni dengan baik,” Bergetar hatiku mendengar luahan perasaan seorang ayah yang betul-betul sayangkan anaknya dan akulah anaknya yang bertuah itu. Rasa insaf itu datang dengan sendirinya. Betapa besarnya pengorbanan seorang ibu dan ayah untuk anak tetapi masih ada lagi anak yang tidak sedar diuntung. Aku beristighfar, jauhkanlah aku dan adik beradikku daripada berbuat dosa dengan emak dan ayah.

“Qila sayang abah,” Kalau betul sayang, zahirkan rasa itu. Jangan dipendam sahaja dan apabila orang yang sayang itu sudah pergi, barulah menyesal kerana sikap yang memendam rasa itu. Aku lihat abah tersenyum. Hatiku turut tersenyum. Menggembirakan ibu dan ayah kita waima dengan menggunakan ucapan semata-mata, pahala ganjarannya.

“Abah tahu,” Aku mengangguk.

“Jadi apa rancangan Qila sekarang?” Hatiku yang mulanya tenang tadi kembali berkocak. Hai, tak ada teman susah, ada teman pun susah!

“Jodoh Qila sudah ditetapkan, cuma Qila tak tahu dia siapa? Dia di mana dan sedang buat apa sekarang. Bagi Qila, Qila cari sendiri ke, abah dan emak yang cari ke, semua itu akan berlalu dengan sendiri secara semulajadi. Tengoklah macam mana pengakhirannya,” Aku tidak mahu janjikan apa-apa takut janji itu tidak dapat aku tunaikan. Setiap orang akan melalui proses kematangan diri dan secara tidak langsung akan lahirnya satu perasaan dan naluri untuk berpasangan dan mendirikan rumah tangga. Aku serahkan semuanya pada Allah. Jodoh aku ada cuma cepat atau lambat sahaja yang menjadi persoalannya.   

Abah setuju dengan keputusanku dan tidak bertanya lagi tentang hal ini. Sempat juga abah berpesan

“Jangan bagitahu emak yang abah bocorkan rahsia dia,” Aku ketawa senang. Abah dan emak, semoga mereka bahagia hingga akhir hayat, doaku dalam hati.
.....................................................................................................................................

Pelawaan Khadija untuk terus naik ke pejabat sesudah makan tengah hari aku tolak. Tangannya aku tarik ke arah sofa berdekatan kaunter pertanyaan di lobi syarikat. Bukan satu kebiasaan bagi aku untuk duduk berehat di situ selepas makan tengah hari. Entah angin Laut China Selatan mana bertiup sehinggakan aku nampak tempat itu sangat sesuai untuk melepak barang seminit dua sebelum menyambung kerja.

“Kau ni buang tabiat ke apa tiba-tiba nak duduk dekat sini? Tak nak naik ke?” Mulut Khadija sudah berbunyi sebaik kami melabuhkan duduk di sofa berangkai dua.

“Alah, waktu rehat tinggal setengah jam lagi kot, yang nak cepat sangat ni kenapa? Rileks,” Mataku memerhati orang yang lalu-lalang keluar masuk melalui pintu utama Berjaya Holdings. Bermacam-macam gelagat yang aku dapat lihat, ada yang kalut, ada yang cool dan ada jugak yang seperti berada di dalam dunianya sendiri.

Khadija yang tadinya membebel sudah senyap dengan satu majalah ditangannya. Sebenarnya aku sudah tak ada semangat untuk bekerja. Semangatku sudah hilang dibawa terbang bersama seseorang apabila sudah satu minggu wajahnya aku tak nampak. Ke mana agaknya dia? Kerjakah? Atau sakitkah? Tiada khabar berita daripadanya membuatkan hatiku sedikit resah. Terasa seperti suatu kehilangan. Sedikit sebanyak, dia telah berjaya mencuri tumpuanku.

Dia kata, dia akan menggunakan kelebihan yang dia ada untuk misi mencuri hatiku tetapi tahukah dia tanpa dia sedar disaat itu dia telah pun menggunakan kelebihan yang dia ada pada sepasang matanya?

“Ija..,” Panggilku lemah. Badanku setia menyandar dan kepala mendongak memerhati bingkai-bingkai besar yang tergantung megah di dinding. Semacam terbayang mata itu pada bingkai-bingkai tersebut. Suasana bising dan bunyi detak sepatu yang tiada penghujung di kawasan lobi itu tidak aku hiraukan.

“Erm..,” Sahut Khadija sambil aktiviti membacanya masih diteruskan.

“Aku tengok kau rileks aje minggu ni, kau tak ada kerja ke?” Aku cuba menarik Khadija untuk berbual mengenai hal ehwal kerjanya yang pastinya berkait dengan seseorang itu. Oh, Khadija tolonglah kawanmu yang dalam keresahan ini.

“Iya, tak ada kerja sangat,” Jawab Khadija pendek. Fokusnya masih pada majalah Mingguan Wanita yang entah edisi keberapa itu. Ish, waktu macam ni tak nak cakap banyak pulak. Geram aku dengan minah kepoh yang tak berapa nak kepoh hari ni.

“Kenapa tak ada kerja sangat?” Aku masih mencuba nasib. Usaha tangga kejayaan.

“Entahlah Qila, mungkin nak dekat tengah-tengah tahun ni kerja tak banyak sangat,” Khadija masih menjawab acuh tak acuh. Aku mengeluh buat kesekian kali. Macam mana nak tanya ni?Aku tak boleh tanya direct nanti Khadija gelakkan aku.

“Aku pun tak ada kerja sangat minggu ni. Aku tengok bos aku pun tak adalah busy sangat,” Bos kau? Eei, nak aje aku tanya macam tu.

“Hah, kan aku dah cakap. Okeylah tak ada kerja sangat dan kita pun boleh berehat, nanti kalau tender masuk, nak patah tangan dengan tulang belakang kita tercongok dekat kerusi berjam-jam taip bermacam-macam surat,” Aku ketap bibir. Bukan jawapan tu yang aku nak.

“Ija..,” Panggilku dengan suara teragak-agak. Nak tanya? Tak nak tanya? Nak tanya? Tak nak tanya? Aduh dah senak kepala otak aku fikir.

“Erm..,”

“Tak apalah,” Aku tak jadi meneruskan matlamatku bila tengok Khadija macam tak ada mood nak bercakap.

“Pulak dah! Kau nak tanya apa? Tanyalah,” Khadija sudah mula mendesak. Aku masih ragu-ragu.

“Tak ada apa,” Elakku lagi. Khadija menggeleng sambil mendengus perlahan. Aku tahu dia sedang tahan tahap kegeraman yang melampau.

“Degil betul kau ni. Lain kali tekadkan semangat, buang rasa malu kau tu. Muntahkan soalan pada aku dengan yakin sekali,” Terpinga-pinga aku dengan gelagat Khadija. Kenapa Khadija buat ucapan macam wakil rakyat ni?

“Kau ni kenapa?” Soalku.

“Kau ni kenapa?” Khadija mengajuk pertanyaanku tadi. Rasa nak tergelak aku tahan.

“Apa yang susah sangat nak tanya Khadija, kenapa aku tak nampak bos kau sejak akhir-akhir ni? Dia ke mana? Aku rindu nak tatap wajah dia,” Tebal kulit mukaku mendengar hujah Khadija. Macam mana dia boleh baca fikiran aku?

“Eh, mana ada,”

“Kau tak payah nak soroklah perasaan kau tu. Dari dulu lagi aku dah tahu,”

“Apa yang kau tahu?”

“Kau ni suka sangat tanya soalan yang kau sendiri dah tahu jawapannya. Aku malas nak ulang banyak kali,” Ujar Khadija sambil menepuk bahuku. Aku suka Tuan Ray? Hmm..yang aku tahu sekarang, aku memang rindu nak tengok wajah dia. Amboi Qila, dah tahu rasa rindu sekarang? Adakah dia turut merasakan apa yang aku rasa sekarang?

“Hah tengok, termenung lagi. Ingatkan bos akulah tu,” Sergah Khadija. Aku pantas menekup mulutnya dengan telapak tanganku.

“Cakap tu perlahan sedikit, dengar dek orang nanti jadi bahan gosip,” Khadija mengangguk sambil angkat tangan gaya penjenayah serah diri.

“Jadi dah mengakulah ni? Kau suka dia?” Soal Khadija teruja. Aku angkat bahu. Hilang terus senyuman Khadija.

“Kau ni!” Marah Khadija. Aku tergelak. Khadija yang pada mulanya berwajah cemberut ikut ketawa sekali. Mata kami saling berbicara tentang jawapan kepada persoalannya tadi. Samakah jawapanku dengan Khadija? Allah sahaja yang tahu.    

“Ewah-ewah, gelak sakan mak cik dua orang ni, tak ada kerja ke?” Teguran dari seseorang membuatkan aku dengan Khadija berhenti ketawa. Apabila berpaling, Zafril sedang berdiri tegak di tepi sofa sambil tersengih.

“Eh, Zafril, dah lama tak nampak kau. Sejak kau kahwin, kau dah makin lupakan kami ya,” Khadija sudah bangun bercekak pinggang. Nak ajak bergusti ke minah ni? Inilah kali pertama kami bersua muka dengan Zafril selepas majlis perkahwinannya berlangsung tiga bulan yang lalu. Bertugas di bahagian berlainan aras dan bidang tugas mengurangkan kebarangkalian untuk bertemu dengannya. 

“Kalau aku lupakan korang berdua aku tak akan datang tegur masa aku nampak korang ketawa galak tadi tahu? Alah, bukannya korang tak tahu yang aku ni orang penting Berjaya Holding. Sibuk dua puluh empat jam. Korang ni kira bertuahlah sebab dapat jumpa aku tanpa buat appointment,” Nak termuntah pun ada bila aku dengar kenyataan Zafril.

“Isteri kau apa khabar?” Khadija bertanya selepas kami sekali lagi melabuhkan duduk. Dah macam buka kelab bual dekat kedai kopi. Ini kalau tahu dek Encik Irfan aku berbual santai dekat sini, berbunyi jugak mulutnya membebel.

“Isteri aku sihat dan yang paling penting aku nak bagitahu yang aku bakal bergelar papa tak lama lagi,”

“Papa? Papa kedana ke?” Usik Khadija. Zafril ketap bibir. Aku bantai gelak.

“Kau ni saja nak potong mood aku,” Ujar Zafril sakit hati.

“Pedulikan dia Ril. Are you serious? Dah berapa bulan?” Alhamdulillah, inilah yang dikatakan rezeki.

“Baru masuk tiga minggu,” Ujar Zafril gembira.

“Tahniah Ril,”

“Terima kasih,” Zafril sudah senyum bangga. Siapa tak bangga kalau bakal memegang gelaran ibu atau ayah.

“Baru lagi kau kahwin dah nak dapat baby? Hebat kau!” Terdiam aku dengan Zafril mendengar komen Khadija. Dah mereng ke Khadija ni? Agak-agaklah kalau nak bergurau sekalipun. Zafril itukan lelaki, agak kurang sopan kot. Aku pandang Zafril. Wajahnya macam malu-malu. Cuping telinganya juga sudah bertukar warna.

“Kau ni Ija itu namanya rezeki. Dah Allah nak bagi, aku terima dengan hati yang terbuka,” Dalam pada malu, sempat jugak Zafril menenangkan diri dan menjawab soalan Khadija. Aku jegilkan mata pada Khadija supaya menghentikan apa jua gurauan yang melampau. Khadija masih dengan mood gilanya.

“Memang rezeki Allah. Rezeki itu Allah bagi berdasarkan usaha yang kita lakukan. Maksud aku tadi kau tu usaha lebihlah sebab tu dapat ganjaran awal. Tahniah ya Ril,” Khadija kenyit mata. Memang sah Khadija dah gila. Zafril ketawa terbahak-bahak.

“Otak kuning kau ni Ija,” Tuduh Zafril.

“Betul tu Ril, otak segala macam warna. Kuning, hijau, biru!” Sokongku lagi.

“Ada aku kisah?” Khadija tidak ambil peduli dengan kutukan tadi.

“Korang dah tengok laman web company kita? Aku baru masukkan aktiviti baru tahunan syarikat kita,” Soal Zafril sambil memandang kami silih berganti.

“Aktiviti apa lagi? Tak cukup dengan dinner dan sukan? Banyak sangat duit company sampai nak anjur berpuluh-puluh event setahun?” Aku sudah mula membebel. Bukannya apa, aku sebenarnya kurang berminat untuk menghadiri aktiviti yang memerlukan aku untuk beramah mesra. Sesuai dengan gelaran kera sumbang sejak zaman bangku sekolah lagi.

“Tahu pun kau company kita banyak duit. Ini adalah salah satu tanda penghargaan untuk staf-staf yang bertungkus-lumus bekerja siang malam memajukan Berjaya Holding ni, lagipun kau pergi aje, bukannya kena bayar pun,” Rungut Zafril yang tidak senang dengan bebelanku. Maklumlah, diakan salah seorang daripada ahli jawatankuasa pengurusan acara Berjaya Holding. Pastilah dia terasa hati sedikit sebanyak denganku.

“Sorry Ril. Pasal mak cik ni kau jangan risau, tahulah aku nak ugut dia macam mana. So, event apa korang plan kali ni?” Khadija bertindak meneutralkan suasana yang dah nak masam macam asid tadi.

“Family Day. Lokasi masih dalam perbincangan. Kita akan pergi hujung bulan ni,” Terang Zafril ringkas.

“Alah, kena tidur kat sana ke?” Mulut celuparku tak dapat menahan soalan yang bakal buat Zafril kecil hati lagi.

“Yes! Two days and one night! Is that clear Miss Nurul Aqilah?” Tegas Zafril. Aku mencebik.

“Iyalah,” Balasku tidak bersemangat. Khadija sudah tergelak dengan reaksiku. Ahh Khadija, dia seorang yang boleh faham aku. Eeii..malasnya. 

13 comments:

  1. yeay10x ... saya harap saya orang first yg comment dekat sini . best ! nak lagi cik admin =D

    ReplyDelete
  2. kesian qila rindu kat tuan ray... best cik writer.. keep it up ...

    ReplyDelete
  3. best best sambung lagi..mana tun ray kesayangan qila tu pegi??? kn dah ada orang rinduuuuu

    ReplyDelete
  4. Cik penulis, timakaseh utk n3 ini. Agak2 bila novel nk kuar ni? tak sabar...suka watak Aqilah sgt2...

    ReplyDelete
  5. ke manakah perginya tuan ray?hehehehe..debar weh

    ReplyDelete
  6. Cik penulis...cepat2 la letak n3 baru...suka citer ni...ala2 kisah i gitu...:-D

    ReplyDelete
  7. Cik penulis...cepat2 la letak n3 baru...suka citer ni...ala2 kisah i gitu...:-D

    ReplyDelete
  8. Lamanyaaa...bila nk sambung huhuu

    ReplyDelete
  9. tgh mengulang baca utuk kali ke berapa entah sbb rindu sgt dgn tuan ray :)

    ReplyDelete
  10. hk!!!!!!! Tqvm!! T.Ray krm slm ;p

    ReplyDelete
  11. Mana sambungan kisah cik Qila dgn Tuan Ray ni sis..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Cik Mas Ina...saya xbuat sambungan sebab CII dah keluar buku. Boleh order secara online direct dgn publisher karystos creative

      Delete
  12. Naik lahh saya nak sepuluh biji

    ReplyDelete