Friday, 8 June 2012

Cinta Itu Indah! 1

Aku memerhati segenap ruang pejabat yang kelihatan agak luas dan eksklusif. Kelihatan semua staf sedang sibuk menjalankan tugas. Masing-masing berwajah serius, barangkali terlalu fokus pada kerja yang dilakukan. Tidak hairanlah mereka semua diterima bekerja di syarikat telekomunikasi terkemuka negara ini. Tiba-tiba perasaan bimbang mula menguasai diriku. Bimbang dengan prestasiku tidak memuaskan hati bos sekaligus memusnahkan harapan yang disandarkan padaku apabila diterima bekerja di situ setelah melalui proses temuduga pada minggu lepas.

Rileks Qila, kau mesti boleh. Malaysia boleh! Aku cuba berfikiran positif. Terkumat-kamit bibirku beristighfar untuk menenangkan hati. Hari ini merupakan hari aku melaporkan diri sebagai staf Syarikat Berjaya Holding.

“Cik Aqilah?” Satu suara tiba-tiba menegurku.

Aku berpaling seraya menghadiahkan senyuman kepada empunya suara yang menegur sopan tadi. Amboi, cantik sungguh gadis yang tercegat di hadapannya ini.

“Iya. Saya Aqilah,” Aku menjawab sambil bangun berdiri menghadap gadis manis tadi. Anisa. Sempat aku menjeling tag nama yang tersemat kukuh di bahagian kanan dada Anisa.

“Sila ikut saya. Bos sedang menunggu Cik Aqilah di dalam,” Anisa terus berjalan mendahuluiku. Aku sekadar menurut sambil mata meliar memerhatikan kawasan pejabat. Masih seperti tadi, tiada siapa yang sedar akan kewujudanku memandangkan semua staf tekun bekerja.

Aku dibawa oleh Anisa ke ruang yang lebih privasi di mana hanya terdapat dua buah bilik di ruang itu. Kedua-dua bilik itu bertentangan antara satu sama lain. Aku menurut Anisa yang menuju ke bilik Encik Irfan. Encik Irfan memegang jawatan sebagai Penolong Pengurus Besar Berjaya Holdings.

Rasa bimbang semakin menguasai diri tatkala kaki melangkah masuk ke dalam bilik bos. Eh, ada satu lagi pintu dalam bilik ini. Bilik itu tidaklah luas sangat ruangnya. Hanya boleh memuatkan satu meja sederhana panjang yang lengkap dengan komputer dan dua rak sederhana besar yang banyak fail tebal di dalamnya.  

“Ini ruang dan meja awak. Sekarang baru kita masuk bilik bos Cik Aqilah,” Anisa memberi penjelasan seraya mengetuk pintu yang tertera nama Irfan Hazim B. Ismail.

“Encik Irfan, kenalkan setiausaha baru encik, Cik Aqilah,” Anisa memperkenalkan aku pada Encik Irfan yang ketika itu sibuk mencari fail di almari tinggi di belakang mejanya. Encik Irfan berpaling seraya mengarahkan aku duduk.

“Thanks Nisa. You boleh pergi,” Encik Irfan juga turut duduk dikerusi empuknya.

“Kejap ek,” Encik Irfan sibuk mencatit sesuatu di atas fail tebal yang diambilnya di dalam almari. Sekali lagi aku meneroka ruang pejabat bos. Bilik Encik Irfan berkali ganda lebih besar daripada ruang bilikku di luar. Hai Aqilah, dah namanya kerja sebagai setiausaha kau nak bilik luas mana lagi? Aku sibuk bermonolog dengan diri sendiri apabila Encik Irfan menegur.

“So, awak Cik Aqilah?” Encik Irfan sudah tidak mempedulikan failnya lagi tetapi sedang merenungku sekarang. 

“Yes I am,” Aku melemparkan senyuman ikhlas.

“Tahniah sebab awak dah menjadi salah seorang staf dekat Berjaya Holding. Tak semua orang bertuah macam awak tahu?”

“Terima kasih Encik Irfan tapi kenapa encik cakap saya bertuah?”Aku melemparkan persoalan yang berlegar di fikiran.

“Iyalah, untuk pengetahuan awak, syarikat cuma menawarkan dua jawatan kosong dan calon yang ditemuduga minggu lepas hampir mencapai ke angka dua ratus orang. Saya cakap awak bertuah sebab awak salah seorang calon yang terpilih. Dan yang lebih bernasib baik awak bekerja bawah saya,” Encik Irfan tersenyum menanti reaksiku.

“Habis tu, calon yang satu lagi tu tak bernasib baik ke?”

“Ish, apa pulak cakap macam tu, dia pun bertuah sebab terpilih tapi tak tahulah macam mana dia kerja dengan Pengurus Besar kita tu. Tak silap saya, calon tu merupakan setiausaha dia yang kelapan setakat ini. Setiausaha dia yang sebelum ini semuanya letak jawatan sebab tak tahan dengan dia,” Encik Irfan kemudiannya mengeluh.

Aku hanya mampu menayangkan wajah tanpa perasaan. Tak tahu nak komen apa terhadap penjelasan Encik Irfan tadi. Bagiku, tidak penting untuk aku ambil tahu tentang perkara yang tidak berkaitan dengan hal ehwal hidupku.

“Sebenarnya dia baik cuma terlebih cerewet aje,” Komen Encik Irfan lagi. Tiba-tiba kami dikejutkan dengan bunyi telefon yang terletak di atas meja Encik Irfan.

“Hah, panjang umur. Ni mesti dia,” Encik Irfan memandangku sambil mengangkat kening lalu terus mengangkat gagang telefon.

“Yes Ray. Aku kat bilik akulah,” Aku hanya mendengar perbualan Encik Irfan dengan Si Pengurus Besar yang cerewet. Ray? Lah., bukan Islam rupanya Si Pengurus Besar.

“Bagi aku lima minit, aku nak interview secretary baru aku ni kejap,” Selepas itu Encik Irfan diam. Barangkali memberi peluang Si Pengurus Besar bercakap di hujung corong telefon.

“Yelah. Kau tu semua benda urgent. Masuk tandas pun urgent. Yelah aku on the way dah ni, bye,” Encik Irfan menggeleng kepala sambil bibirnya berbuah seulas senyuman.

“Hah, tengok, busy macam tulah Pengurus Besar kita. Semua benda urgent. Saya kena pergi jumpa dia sekarang. Awak buka aje computer kat meja awak. Kat desktop awak cari aje folder ‘New Staf’, kat dalam tu, ex-secretary saya dah sediakan semua amanat dia. Awak cuma baca dan cuba ingatkan semua tugas awak sebab saya tak suka secretary yang banyak bertanya tetapi saya suka secretary yang banyak bagi maklumat pada saya. Dia juga ada tinggal phone number dia dan kalau awak tak faham amanat dia, awak boleh call tanya dia. Saya pergi dulu,” Encik Irfan tergesa-gesa melangkah keluar.

Aku menarik nafas lega. Lepas satu beban. Aku bergerak keluar dari bilik Encik Irfan dan terus duduk di mejaku dan melakukan arahannya tadi.

Jam sekarang menunjukkan waktu makan tengah hari. Aduh, perut aku dah lapar ni. Kelibat Encik Irfan masih tidak kelihatan. Nak keluar makan dengan siapa ni? Aku mana kenal siapa-siapa dekat sini. Encik Irfan pun satu, bukan nak call bagitahu bila dia balik office. Kang aku keluar dia balik cari aku pulak. Ish, masalah betul.

“Assalamualaikum. Tak nak keluar makan?” Aku mendongak apabila satu suara menegur. Tercegat seorang gadis di depan pintu bilik.

“Maaf kalau saya tanya. Awak ni siapa?” Aku merenung gadis yang tersenyum itu. Cantik! Desis hatiku.

“Oh, maaf sebab tiba-tiba terjah awak macam ni. Saya Khadija. Saya staf baru kat sini. Saya rasa awak pun samakan? Kita berjaya temuduga untuk jawatan secretary.Panggil aje saya Ija,” Terang Khadija sambil menghampiriku lantas menghulurkan tangan untuk berjabat salam.

Aku pantas menyambut huluran salam itu.

“Saya Aqilah. Awak boleh panggil saya Qila. Oh, jadi awaklah secretary baru Pengurus Besar kat sini?”

“Iyalah tu. Bilik saya kat depan tu. Tak nak keluar makan ke? Jomlah,” Ajak Khadija lagi.

“Tapi saya tunggu bos saya. Katanya nak jumpa pengurus besar tapi sampai sekarang tak balik bilik. Bukan apa, saya takut nanti saya keluar dia cari saya pulak,” Aku berterus terang tentang masalahku.

“Itu awak jangan risau. Bos awaklah yang suruh saya ajak awak lunch. Dia dah keluar lunch dengan Tuan Ray dari tadi lagi,”

“Yeke? Kalau macam tu jomlah,” Cis, kurang asam punya bos. Orang bagitahulah awal-awal. Kalau tak, dari tadi lagi aku keluar makan. Mereka sama-sama melangkah ke cafeteria.

Aku berlari-lari anak untuk menahan pintu lif yang hampir tertutup. Nasib baik sempat. Cepat-cepat aku melangkah masuk.

“Selamat pagi Ija,” Aku menegur Khadija yang bersandar di dinding lif. Aku perasan ada seorang lelaki dalam lif itu tapi tidak berani nak menegur dan mendongak melihat wajah itu. Tidak biasa dengan lelaki asing yang tidak dikenali.

“Selamat pagi Qila. Awal sampai?” Khadija masih dengan wajah tak bermayanya. Masih statik bersandar.

“Awal Ija cakap? Qila rasa macam dah nak terlewat. Entah bos dah sampai ke belum,” Kami berbual seolah-olah hanya kami berdua berada dalam lif. Lelaki tadi hanya senyap. Tidak berminat untuk bertegur sapa. Mungkin memang spesies staf syarikat ni tak banyak berbual dan hanya buat kerja masing-masing. Nasib baik Khadija tak macam tu.

Sebaik saja lif sampai, lelaki tadi terus keluar. Dia nampak seperti dalam keadaan tergesa-gesa. Aku dan Khadija kemudian menyusul keluar.

“Amboi, kalut benar mamat tadi. Mesti lewat ke apa tu?” Kutukku. Khadija tiba-tiba mencuit lenganku seraya menunjukkan isyarat tangan ke mulut.

“Mamat yang kau cakap tadi tu bos akulah. Dia memang macam tu,” Aku terdiam selepas mendengar penjelasan Khadija.

“Yeke bos kau? Maksud kau tadi tu pengurus besar syarikat kitalah? Tuan Ray?” Aku masih dalam keadaan keliru.

“Iyalah Cik Qila oi. Lain kali cakap tu tengok-tengok keadaan sekeliling jugak. Buatnya dia terdengar, habis kau nanti,”

“Alah..ruginya,” Keluhku

“Apa yang rugi?” Khadija merenungku dengan penuh tanda tanya.

“Rugilah sebab aku tak sempat skodeng muka dia. Hensem ke tak? Gelap ke cerah? Tinggi ke rendah?” 

“Lah, sebab tu kau cakap rugi? Aku yang menghadap muka dia hari-hari aku tahulah. Cuba kau tanya aku?” Khadija mencebik.

“Tuan Ray macam mana orangnya?” Aku ternanti-nanti jawapan Khadija apabila tiba-tiba satu suara menyampuk.

“Dia okey. Ramai staf-staf kat sini dok gila kat dia tapi dia buat tak layan. Cuba awak pergi mengorat dia, mana tahu dia rasa awak lain dari yang lain. Lagipun saya rasa awak sesuai dengan dia. Jom saya bawa awak jumpa dia. Awak tak jumpa dia lagikan?” Serentak aku dengan Khadija berpaling. Rasa macam nak terloncat apabila melihat Encik Irfan tersengih di belakang kami.

“Eh, takpelah Encik Irfan. Lain kalilah. Lagipun saya rasa tak penting pun saya nak kena jumpa dia. Erm, saya masuk bilik dulu. Ija, aku pergi dulu,” Aku terus berpaling dan berjalan pantas menuju ke bilikku. Ish, bodohnya kau Qila! Lain kali check line dulu. Malu malu malu! Macam mana nak menghadap Encik Irfan lepas ni? Encik Irfan tu pun satu, ada ke dia nak kenen-kenenkan aku dengan Tuan Ray tu. Lagipun mana mungkin aku dengan dia? Dia bos aku kuli dan yang lebih penting aku Islam? Dia?

Disebabkan terlalu memikirkan tentang kejadian yang memalukan tadi, aku tidak sempat mengelak daripada melanggar satu tubuh yang tercegat di hadapanku dan terjatuh. Aduh! Apalah malang sangat nasib kau Qila. Tadi Encik Irfan, sekarang? Aku mendongak. Mak ai, bidadara mana yang turun dari langit ni? SubhanAllah, indahnya ciptaan Allah swt. Tak puas aku tengok. Perlahan-lahan aku bangun sambil matanya tidak di alihkan dari pandangan tadi.

Lelaki di hadapanku juga turut membalas pandanganku. Tajam betul panahan matanya. Aish, kang terjatuh cinta aku kat sini.

“Qila kenapa ni?” Sekali lagi Encik Irfan muncul dalam babak yang tidak sepatutnya dia muncul. Potong line betullah bos aku ni.

“Bos buat apa kat sini?” Kali ini suara Khadija pula menyusul.

Bos? Maknanya lelaki yang aku langgar tadi bos Ija? Pengurus besar? Tuan Ray? Oh, tidak! Sekali lagi aku melabuhkan pandangan pada empunya wajah. Dush! Bunyi jantung aku kena palu. Dia dok tilik aku lagi siot! Dia marah ke? Aqilah mula berasa cuak.

“Err, tak ada apa-apa Encik Irfan, salah saya. Saya yang terlanggar bos Ija tadi,” Aku tidak berani lagi memandang lelaki di hadapanku.

“Awak okey ke?” Tanya Encik Irfan lagi. Aku sekadar mengangguk.

“Kau okey Ray?” Kali ini pertanyaan ditujukan pada kawannya pula. Hai, baik sungguh bos aku yang seorang ni.

“Aku okey,” Lelaki itu menjawab pendek.

“So kenalkan ini setiausaha baru aku, Cik Aqilah dan Qila, this is our general manager..,”

“Saya tahu,” Aku menyampuk tiba-tiba. Opps, apa kau buat ni Qila!

“Awak dah kenal? Oh lupa pula saya, actually Ray tadi aku dengar ada orang nak tahulah kau tu macam mana orangnya? Hensem ke tak? Gelap ke cerah? Tinggi ke rendah?”

Aku berasa hendak pitam mendengar celoteh Encik Irfan. Ya Allah kenapalah aku dapat bos yang banyak mulut dan tak boleh simpan rahsia ni!

“Oh yeke? Tak tahulah pulak aku ada orang nak kenal aku sampai macam tu sekali,” Aku dapat rasakan dia seperti menyindir aku. Mana taknya, matanya tak lepas daripada pandang aku. Benci!

“Never mind. Tadi aku memang nak pergi bilik kau tapi dah alang-alang jumpa kau kat sini, jom gerak bilik aku. Ada hal aku nak discuss dengan kau. And you miss..?”

“Aqilah,” Aku hanya mampu menundukkan kepala seperti pesalah yang sedang menanti dijatuhkan hukuman mandatori. Saja nak sakitkan hati aku. Bukan ke Encik Irfan dah kenalkan nama aku tadi. Lelaki sombong! Nasib baik aku kuli dan kau majikan, kalau tak nyah kau dari sini.

“Yes, Miss Aqilah. You better watch out. Make sure that this would never happen again or else, I know what I’m going to do with you. Is that clear?”

“Yes sir,” Aku mengangguk.

“Jom Fan,” Encik Irfan mengisyaratkan aku masuk sementara dia mengikut langkah lelaki tadi ke biliknya. Khadija sempat melambaikan tangan sambil mengekori mereka dari belakang. Tiba-tiba sepotong lirik lagu seperti melayang-layang di hadapan mataku

Beginilah nasib diriku yang malang oh Tuhan…’

Aku melangkah lemah masuk ke bilikku. Aku berazam aku tak nak lagi terserempak dengan pengurus besar @ Tuan Ray @ lelaki sombong tu! Titik

***

“Encik Irfan ada kat dalam?” Aku mendongak. Dia lagi! Dah tak ada orang lain ke? Manusia yang aku paling nak elaklah yang paling kerap aku terserempak. Bukannya dia tak boleh call kawan baiknya tanya ada ke tak. Saja nak seksa mata aku ni. Aku mengangguk dan kembali tunduk menyambung kerja. Malas menghadap wajah itu. Jiwa aku akan tersentap apabila teringat insiden dua hari lepas. Sabar ajelah Aqilah. 

Aku hanya mendengar pintu bilik Encik Irfan dibuka dan ditutup. Agak lama juga dua manusia itu berbincang dalam bilik. Malas untuk ambil tahu perkara yang tidak berkaitan dengan hal ehwal otak aku. Buat kerja kau Qila. Interkom di atas mejanya berbunyi saat aku leka dengan kerjaku.

“Yes boss?” Aku setia menunggu arahan.

“My room please!” Aku mengeluh perlahan. Tak syok langsung nak kena menghadap si pengurus besar tu. Tak suka! Dalam merungut, sampai juga aku di pintu bilik Encik Irfan. Aku ketuk perlahan pintu itu. Tidak bersemangat. Kedengaran suara Encik Irfan menyuruhku masuk. Pintu dikuak perlahan. Aku mengawal bebola mata supaya memfokus hanya pada bosku. Tak kuasa nak tengok kawan baik bos itu. Aku melangkah perlahan menghampiri meja Encik Irfan selepas menutup pintu.

“Ada apa Encik Irfan panggil saya?”

“Sekarang pukul berapa?” Aku berkerut dahi mendengar soalannya. Jam dia kehabisan bateri agaknya. Tapi agak-agaklah, jam dekat laptop dengan phonekan ada? Mengada-ngada betul Encik Irfan, ngomelku dalam hati.

“Pukul satu,” Dijawab juga soalan yang dirasakan kurang matang itu. Nasiblah kerja sebagai kuli, jawab ajelah bos tanya apa-apa soalan pun.

“Saya nak ajak awak lunch,” Aku terpana. Dia nak mengurat aku ke sampai ajak lunch.

“Kenapa?” Tanyaku lurus. Encik Irfan ketawa dengan jawapan balasku.

“Saya nak mengurat awak boleh?” Kering tekakku mendengar jawapan Encik Irfan. Dia nak mengurat aku? Biar betul Encik Irfan ni. Aku masih terkebil-kebil memandangnya. Jantungku berdegup kencang. Berpinar-pinar rasanya pandangan. Jari mula naik melurut pelipis. Bala apa ni? Aku dengan dia? Tak mungkin. Ibarat pensel warna hitam dengan putih. Jauh beza tu! Cinderella zaman millennium ke aku ni?

“Kenapa dengan awak ni Aqilah?” Encik Irfan mula cemas apabila tangan aku mula berpaut pada kerusi, seolah-olah menunggu masa untuk rebah ke bumi.

“Tak boleh!” Tegasku. Ini yang buat aku rasa nak resign. Ada ke dia nak mengurat aku? Macam tak logik aje. Aku dengan dia? Kepala kembali berdenyut, darah gemuruh dah sampai. Tanpa sesiapa menyuruh, aku melabuhkan duduk di kerusi bersebelahan kawan baik bos aku. Dari tadi dia hanya menjadi penonton setia sketsa aku dengan Encik Irfan.

“Apa yang tak boleh?” Wajahnya penuh tanda tanya.

“Boss tak boleh mengurat saya. Saya tak nak keluar lunch dengan boss,” Mataku mula berkaca. Ini tak boleh jadi! Dia ingat aku ni mudah di ajak lunch dan bermesra ke? Kirim salamlah.

Encik Irfan ketawa galak. Siap pegang perut lagi.

“Awak ni kelakarlah Qila. Saya bergurau aje tadi tu. Sampai berpeluh-peluh awak. Kenapa? Takut jatuh cinta dengan saya?” Encik Irfan tayang sengih pada aku. Nampak macam gatal. Meluat aku! Bergurau bapak kau! Grrrr..,geram aku. Jatuh saham dua ribu!

“Bos ni boleh buat saya sakit jantung tau,” Aku bercakap seolah-olah menahan marah. Encik Irfan kembali menyambung ketawa. Sukalah tu dapat mainkan aku. Benci!

“Saya buat lawak ajelah, kan Ray?” Encik Irfan meminta sokongan kawan baiknya.

“Tak kelakar langsung. Dah, aku tunggu kau kat tempat biasa,” Wajah kawan baik bos aku macam orang tak ada mood. Dia terus bangun dan melangkah keluar dari bilik Encik Irfan. Aku mencebik. Perasan baguslah tu. Encik Irfan mengangkat bahu. Mungkin dah biasa dengan gaya pengurus besar yang tak dapat dijangka moodnya.

“So?” Encik Irfan menjungkitkan keningnya padaku beberapa kali.

“Apa?” Aku tayang muka blur. So apa?

“Awak nak keluar lunch dengan saya tak? Saya tak naklah awak salah faham. Saya ajak awak lunch ni sebab nak belanja awak sebagai tanda meraikan awak sebagai setiausaha baru saya. Macam mana?  Boleh ke tak? Ke ada rasa nak pitam pulak bila dengar reason saya yang sebenar?” Encik Irfan sudah mula menyarungkan kotnya. Nak keluar lunch pun pakai kot. Alahai bos aku ni yang seorang ni, bergaya memanjang. Silap-silap aku terjatuh cinta dengan kau esok-esok, kau pulak yang pitam.  

“Eh, saya on aje kalau ada orang nak belanja. Lebih-lebih lagi bos. Thank you boss,”

“Cepatlah siap, saya tunggu kat depan,” Aku apa lagi, cepat-cepat keluar ke mejaku dan mengemas ala kadar lalu terus mencapai handbag.

Mataku memerhati sekeliling restoran eksklusif. Mewahnya. Terasa segan pula mahu bersantap di sini. Lebih-lebih lagi dengan bos aku. Rasa macam tak layak pulak.

“Betul ke kita lunch kat sini bos?” Aqilah merenung Encik Irfan yang sedang sibuk membelek menu.

“Laa..betullah. Kita dah duduk pun kan? Qila nak makan apa?”

“Apa-apa ajelah boss. Saya tak pandai nak order kat restoren mewah macam ni,” Sedang asyik aku bersoal jawab dengan Encik Irfan tentang menu yang sesuai tiba-tiba kerusi di sebelahku ditarik seseorang. Aku mendongak. Khadija.

“Eh, Ija. Kau buat apa kat sini?” Perasaan gembiraku tidak dapat ditahan. Bertuahnya aku hari ni. Dapat lunch kat restoren mewah, bos belanja, lunch sekali dengan kawan baik. Err tapi bos aku kasi ke Ija join sekali?

“Aku nak join kaulah ni,” Khadija melabuhkan duduk. 

“Err,..boss tak kisahkan kalau Ija join kita sekali?” Takut-takut aku bertanya. Manalah tahu takut Encik Irfan naik angin dan tak jadi belanja. Haru jugak.

“Apa pulak nak dikisahkan?” Encik Irfan tersenyum. Aku menarik nafas kelegaan.

“Iyalah takut bos kisah sebab nak kena belanja dua orang makan,”

“Eh, awak memang saya belanja tapi Ija bos dialah yang belanja, bukan saya.” Encik Irfan mengangkat tangan menggamit pelayan. Aku terkedu. Bos Ija? Si Pengurus Besar? Kawan baik bos? Lelaki perasan bagus tu? Tuan Ray? Spontan aku memandang Ija.

“Bos kau join jugak ke ni?” Aku mula risau. Bagi aku mamat tu memang tak boleh blah arrrr. Aku tak tahu kenapa aku tak suka tengok dia sejak insiden aku terlanggar dia hari tu.

“Mestilah. Kalau tak, tak adanya aku menghabiskan duit aku makan kat restoren mewah macam ni,” Khadija tersenyum gembira. Aku rasa nak pitam. Nak makan semeja dengan kawan baik bos? Selisih jalan pun rasa macam nak meletup jantung, inikan pula nak makan semeja. Bala apa lagi ni.

“Habis tu mana dia?” Aku berbisik

“Parking kereta,” Khadija juga turut berbisik

“Apa yang korang dok berbisik tu?” Celah Encik Irfan tiba-tiba. Kedua-duanya terperanjat.

“Tak ada apa-apa bos,” Sahutku.

“Daripada kamu dok berbisik-bisik tu baik tolong saya order ni. Hah, nak makan apa?” Khadija order chicken chop, aku order nasi lauk kuah tomyam campur, bos aku order lamb chop. Kebaratan sungguh dua orang ni.

“Dah order ke?” Tiba-tiba kawan baik bos aku sudah terpacak di depan mata. Selamba aje dia menarik kerusi di sebelah Encik Irfan lalu duduk sambil membelek menu.

“Hah, panjang umur kau. Kitaorang baru jer order,” Tuan Ray masih setia membelek menu.

“Bagi saya nasi tomyam campur, telur dadar, daging masak merah and orange juice,” Terus dia menghulurkan kembali menu kepada pelayan. Apasal dia order tomyam campur? Reti makan pedas ke mamat ni?

“Tadi, cik ni pun order nasi tomyam campur jugak,” Pelayan itu mengisyaratkan jarinya padaku.

“So?” Aku perasan Tuan Ray menghantar pertanyaan sambil menjelingku sekilas.

“Nak saya hidangkan untuk dua orang makan ke atau asing-asing? Kalau hidang sekali jimatlah sikit bayarannya. Kalau asing kita kira lain,” Jelas pelayan itu dengan dedikasinya. Sekali lagi aku bertentang mata dengan Tuan Ray tapi aku pantas mengelak. Seram kot! Asing-asinglah. Jerit aku dalam hati, tak berani nak bukak mulut depan kawan baik bos aku.

“Buat hidang untuk makan dua oranglah dik. Sekali dengan side dishes telur dadar dan daging masak merah tu, buat untuk dua orang makan,” Maka bergemalah order itu setelah suasana senyap barang dua minit? Siapa yang buat keputusan? Bos kesayangan akulah. Pelayan itu tersenyum senang dan melangkah pergi membawa order yang dipesan.

“Apalah yang susah sangat nak buat keputusan. Order ajelah,” Hah, itu dia. Sempat lagi merungut tu.

“Kau pergi mana tadi sampai lewat ni?” Encik Irfan kalih pandang Tuan Ray.

“Cari parking,” Jawabnya sepatah. Susah benar nak bukak mulut. Ada tongkol emas agaknya dalam mulut dia.

“Eh, Irfankan?” Ada suara menegur di sebelah kami.

“Johan. Kau buat apa kat sini?” Dan bermulalah sesi jejak kasih antara bos aku dan teman lamanya. Siap di ajak ke mejanya yang selang lima buah dari meja kami untuk berkenalan dengan keluarganya. Tinggallah kami bertiga. Tuan Ray sibuk bertanya Khadija tentang hal pejabat. Aku? Diam dan memerhati sekeliling restoren. Agak bosan berada dalam situasi begini. Nasib baik emak menelefonku. Layan emak berbual lagi elok daripada dok melangut macam orang bodoh. Waktu aku sedang berbual dengan emak tiba-tiba Khadija minta diri ke ladies sekejap. Aku tidak sempat menahan sebab aku sedang on call. Elok juga masa itulah emak menjerit ikan hangit kat dapur dan talian terus terputus.

Hari ini dalam sejarah. Aku sedang duduk semeja dengan kawan baik bos aku. Nasib baik tak duduk setentang, kalau tak? Bala jawabnya. Suasana senyap. Aku tidak berani kalih ke kanan, takut bertembung pandang dengannya. Aku menjeling Encik Irfan. Amboi, siap duduk sambil bertempuk tampar dengan kawannya. Dah lupa dirilah tu. Nasib baik pelayan datang menyelamatkan keadaan kalau tak haru jugak.
Pelayan itu meletakkan pinggan chicken chop di tempat Khadija, lamb chop di tempat Encik Irfan. Cekap betul ingatan budak ni. Good service. Tiba-tiba dia mengangkat kembali pinggan lamb chop Encik Irfan dan meletakkannya di depan Tuan Ray. Aku dan Tuan Ray sama-sama mendongak memandang pelayan itu.

“Encik boleh duduk kat sini? Senang saya nak hidang order untuk dua orang makan ni nanti. Lagipun senanglah encik dan cik nak berkongsi makan lepas ni,” Pinta pelayan itu pada Tuan Ray. Tuan Ray? Dia dengan selamba bangun dan duduk di tempat Encik Irfan dan lebih jelas lagi setentang dengan aku. Oh, tidak. Aku akan menghadapi masalah untuk menyuap dan menelan makanan selepas ini. Apalah nasib kau.
Pelayan itu meletakkan semangkuk sederhana besar tomyam campur di hadapan kami di apit dengan satu pinggan telur dadar dan satu pinggan daging masak merah. Selepas itu satu pinggan nasi dan segelas air untuk setiap seorang. Ada lagi, diletaknya dua mangkuk kecil yang bertindih untuk di isi kuah tomyam berdekatan pinggan nasi aku. Apa kes? Bagilah seorang satu.

“Selamat menjamu selera,” Sedikit menunduk menunjukkan rasa hormat lalu terus berlalu.

Aku masih merenung dua mangkuk kecil yang bertindih itu. Patut ke aku bagi kat dia? Atau perlu ke aku cedokkan kuah tomyam dan bagi kat dia atau buat bodoh aje, ambik aku punya, cedok kuah dan makan? Eiii…stress!

Aku mengangkat muka. Dunggg!!! Rasa macam jantung aku kena palu apabila bertembung pandang dengan Tuan Ray. Dia dok tenung aku kot! Aku memberanikan diri melawan pandangannya. Aku mengangkat kening menghantar pertanyaan

“Apa tengok-tengok?”

Dia mengisyaratkan matanya pada mangkuk kecil dan mangkuk tomyam. Dalam erti kata lain dia menyuruh aku mencedokkan kuah tomyam untuknya. Aku? Aku nak kena cedok kuah untuk dia?

“Apa yang kau dok termenung tengok mangkuk tomyam tu? Cedokkan untuk Tuan Ray tu,” Tiba-tiba Khadija datang menyampuk. Dia selamba mencapai pisau dan garpunya untuk menikmati chicken chop. Dengan malasnya aku mencedok dan meletakkan mangkuk kecil itu dihadapannya. Tanpa mempelawa aku, dia terus menjamah makanan. Cehs, tak ucap terima kasih pun. Tapi kalau kau ucap pun, aku takkan terima kasih kau. Kutuk Aqilah dalam hati. Beberapa minit kemudian, Encik Irfan turut menyertai kami. 

“Laa..kenapa makan kuah jer Qila. Makanlah telur dengan daging tu. Order untuk dua orang makan tu. Kau pun Ray, kalau iya pun ajaklah Qila makan sekali. Mestilah dia segan nak ambik lauk-lauk tu,” Aduhai bos, kenapalah banyak kompelin sangat. Aku lihat Tuan Ray masih meneruskan suapan. Tak terkesan langsung dengan teguran kawannya itu.

“Tak apa bos, saya memang asalnya order tomyam jer,”

“See, kau aje yang terlebih bagi perhatian” Tuan Ray menjeling kawannnya.

“Susah cakap dengan orang macam kau ni. Bak sini sudu dengan garpu kau,” Encik Irfan merampas sudu dan garpu daripada tangan Tuan Ray lalu diletakkannya beberapa  ketul daging masak merah dan sedikit telur dadar di pinggan aku. Ya Allah agak-agaklah Encik Irfan ni. Apasal guna sudu dan garpu Tuan Ray? Takkan aku nak kena makan juga semua daging dan telur dalam pinggan aku yang kehadiran mereka disebabkan ihsan sudu dan garpu Tuan Ray? Tuan Ray tidak ambil pusing langsung. Terus menyambung suapan.

Aku kalih pandang pada Khadija. Khadija?

“Yang kau pandang aku buat apa? Makanlah. Time lunch dah nak habis ni,” Bebelnya. Bila semua orang tak ambil kisah akan hal itu, aku turutkan aje. Kira halal ye Tuan Ray. Boleh ke macam tu?

No comments:

Post a Comment