Monday, 11 June 2012

Cinta Itu Indah! 10

Aku melangkah lemah masuk ke rumah. Ruang tamu kelihatan kosong. Ke mana semua orang menghilang? Dengan pintu rumah yang terbuka luas? Hish, berapa kali nak kena pesanlah, buatnya perompak masuk merompak macam mana? Kalau merompak okey lagi kut tapi kalau melarat kepada kes pembunuhan macam mana?

“Mak,” Aku melaung memanggil emak.

“Mak kat dapur ni,” Launganku dibalas. Selepas menutup dan mengunci pintu rumah aku terus bergerak ke dapur. Emak sedang memasak lauk untuk makan malam. Memang adat keluargaku selalu makan waktu lewat petang. Kata abah tak elok makan nasi waktu malam, entah apa yang tak eloknya tetapi lama kelamaan aku sudah terbiasa dengan peraturan itu.

“Mak, berapa kali Qila nak kena pesan jangan tinggalkan pintu depan tu terbuka luas macam tu aje, kalau perompak masuk rumah macam mana? Kan susah?” Aku mula merungut. Sudah dipesan banyak kali tapi hasilnya tetap macam tu jugak.

“Mak dah tutup tadi, mungkin abah tak ingat nak tutup pintu masa dia keluar pergi rumah Pak Taib,” Pak Taib merupakan jiran selang dua rumah dari rumahku.

“Tak bolehlah buat tak ingat macam tu,” Ish, geram betul aku apabila melihat emak masih santai membuat kerja, padahal isu yang kami bincangkan ini agak serius. Boleh lagi dia ambik mudah tentang hal macam ni.

“Okeylah sayang. Anak mak jangan marah-marah, nanti cepat tua. Jangan risau, nanti mak pesan dekat abah jangan lupa tutup pintu,” Aku menarik nafas kelegaan dengan penjelasan emak. Harap-harap emak tak lupa dengan janjinya ini.

“Mak memasak ke?” Aku menegur sambil melabuhkan duduk di kerusi berdekatan meja makan.

“Eh, mana ada. Mak tengah main golf ni, tak nampak?” Aku mencebik. Emak ni suka sangat corner ayat.

“Ke situ pulak mak ni, selalu macam tu,” Rungutku.

“Dah tahu mak ni sedang masak masih nak tanya lagi. Tak ada soalan lain? Cuba tanya mak ni tak bosan ke asyik memasak hari-hari? Nak Qila tolong ke? Hah, cuba bagi soalan macam tu? Sedap sikit mak dengar,” Tempelak emak. Erm, mak pun suka sindir aku macam orang tu. Aku pantas bangun mendekati emak yang sedang mengacau gulai. Aku berdiri dibelakangnya sambil meletakkan daguku pada bahunya. Emak berpaling sedikit memandangku.

“Dah ni kenapa pulak?” Tanya emak

“Kenapa apa?” Soalku tidak faham.

“Tak puas lagi ke bermanja?”

“Dengan mak memang Qila tak pernah rasa puas nak bermanja,” Aku tersengih merenungnya.

“Yeke? Nampaknya mak kena kahwinkan kamulah gamaknya Qila,” Selamba sahaja emak memberi cadangan sambil tangannya masih tidak berhenti mengacau gulai.

“Kenapa pulak?” Aku sudah berdiri tegak di sebelah emak sambil mengambil alih tugas mengacau gulai. Apa kena mengena soalan bermanja dengan kahwin?

“Iyalah, kamu jugak yang cakap tak puas bermanja, nanti kalau kamu dah kahwin bolehlah bermanja dengan suami kamu tu,” Aku terngadah mendengar alasan emak. Aduhai, ini yang tak syok. Aku nak berbual kosong dengan emak, dia tarik aku berbual benda macam ni.

“Qila muda lagilah mak, tak rasa nak kahwin lagi. Lagipun manja dengan mak dan suami tu lainlah mak,” Sejak akhir-akhir ni emak selalu secara halus mengajak aku berbual ke arah hal macam itu. Macam tak sesuai sangat nak bincang tentang hal kahwin buat masa sekarang.

“Muda apa macam ni? Kalau kahwin dah boleh jadi mak budak dah,” Tempelak emak lagi.

“Abah mana mak?” Aku cuba keluar dari topik yang tidak berkesudahan ini.

“Itulah kamu, kalau cakap pasal kahwin, mulalah nak mengelak. Qila tu dah nak masuk dua puluh enam tahun tau. Kalau kamu baru nak masuk tujuh belas tahun macam adik kamu tu mak tak kisah Qila tak nak kahwin lagi pun,” Alamak, emak dah mula membebel tapi tangannya masih lincah membancuh air di dalam jag. Aku menutup api apabila gulai sudah masak sepenuhnya.

“Nak kahwin macam mana kalau tak ada calon lagi mak?” Memang tidak dinafikan memang normal apabila seorang ibu mula bimbang tentang anak gadisnya berkaitan hal nikah kahwin bila usia anaknya semakin meningkat. Entah kenapa dengan aku yang masih tidak rasa tergesa-gesa untuk memikirkan tentang itu semua.

“Nak mak carikan?” Wajah emak tersenyum manis merenungku sehingga membuatkan aku rasa tidak selesa.

“Erm, terima kasihlah mak tapi Qila rasa biarlah Qila cari sendiri,” Aku tak naklah kahwin dengan orang yang aku tak kenal. Kalau boleh, biarlah aku kenal hati budinya dahulu atau kata nama lain aku ingin sekali melalui proses perkenalan sebelum membuat keputusan untuk memilih sesiapa yang akan menjadi pasangan hidupku sepanjang hayat.

“Kamu tu cakap aje nak cari, tapi carinya tak jugak,” Emak sudah tarik balik senyuman manisnya. Aku tergelak dengan gelagat emak. Comel betul gelagat emak, kadang-kadang macam budak yang tidak puas hati bila hajatnya tidak dipenuhi.

“Hah, tengok tu boleh pulak dia gelakkan kita,” Protes emak tidak puas hati denganku.

“Baiklah emakku yang tersayang. Qila janji kali ni Qila cari betul-betul,” Aku akan sentiasa cuba menyedapkan hati orang tuaku. Wajah emak dah bertukar seri. Sukalah tu.

“Okey, kali ini tak nak main-main lagi. Mak bagi tempoh setahun dari sekarang. Mak nak kamu bawa kawan yang kamu berkenan jumpa mak dengan abah. Boleh?” Emak sudah mula menuntut janji. Aku cuba bertahan daripada melepaskan keluhan. Nak tangkap siapa jadi suami aku? Setahun? Hish, pendek sangat masa.

“Kalau dua tahun mak?” Aku cuba tawar menawar.

“Dua tahun? Nak tunggu sampai kamu jadi barang antik? Tak adanya dua tahun. Muktamad setahun,” Tegas emak.

“Tapi mak..,” Aku mencuba nasib lagi

“Tak ada tapi-tapi, mak tak nak dengar lagi alasan,” Hilang terus sikap toleransi emak bila melibatkan hal ini.

“Mak..,” Aku cuba lagi

“A B C D E…,” Itulah mak aku. Kalau dah malas layan dia akan baca huruf A B C sampai Z sambil menekup tangan di telinga. Aku hanya mampu menggeleng kepala melihatnya yang melangkah keluar dari dapur.

Ketika menjamu selera pada lewat petang itu, abah pula cuba merisikku dengan soalan yang sama. Aku perasan yang emak sedang tahan senyum. Mesti mak dengan abah buat pakatan ni.

“Qila sekarang dah ada kawan?” Tanya abah. Abang Amir, Abang Armand dan Aleeya kelihatan begitu teruja menanti jawapanku.

“Ada,” Jawabku malas. Semua yang berada di meja makan terkejut mendengar jawapanku.

“Siapa?” Sampuk Abang Amir tidak sabar. Aku berkerut dahi memandangnya.

“Khadija. Setakat ini, Khadijalah yang paling rapat dengan Qila,” Mendengar sahaja jawapanku, mereka semua mengeluh kuat.

“Loyar buruk,” Kutuk Abang Armand. Aku faham sebenarnya apa yang dimaksudkan mereka tapi aku saja buat tak faham.

“Maksud abah kawan lelakilah kak,” Aleeya pula menyampuk. Eei, sibuk aje budak kecik ni.

“Hah tengok, adik kamu yang tersangatlah muda ni faham maksud abah, takkanlah kamu tak faham lagi?” Emak dah mula berbunyi.

“Cakaplah betul-betul, boyfriend? Kekasih? Macam tu?” Soalku buat-buat bodoh.

“Tahu pun,” Sahut emak lagi. Emak memang bersemangatlah kalau cakap pasal ni.

“Untuk pengetahuan semua, Qila masih single and available. Tak ada boyfriend mahupun kekasih. Puas hati?”

“Tipulah,” Aleeya mencebik, tidak percaya dengan pengakuanku.

“Betullah, mana ada tipu,” Ada ke cakap aku tipu. Ingat senang ke nak buat pengakuan macam tu?

“Tak apa, jangan risau semua sebab Qila dah janji nak bawa kekasih dia jumpa kita dalam masa setahun ni,” Emak dah tersengih-sengih merenungku. Takut pulak aku tengok emak sengih macam tu.

“Maksud awak?” Abah dah berkalih pandang pada emak. Oh, maknanya abah belum tahu apa-apa lagi tentang perjanjianku dengan emak.

“Tadi masa masak dia janji nak cari boyfriend dan kenalkan pada kita. Saya bagi tempoh setahun untuk dia cari,” Emak tersengih sambil mengangkat kening pada abah. Abah dah mula berkerut.

“Nak tangkap muat macam tu aje? Saya tak setuju!” Bantah abah. Aku mula merasakan kehidupanku kembali bersinar dan orang yang bertanggungjawab menjadi sumber cahaya itu adalah abah. Emak pula tunduk menongkat dahi barang sesaat kemudian kembali menatap wajah abah. Kami empat beradik hanya diam menyaksikan gelagat mereka.

“Why…..?” Soal emak perlahan dan meleret. Ini satu lagi tabiat emak aku kalau dia dah geram atau tak puas hati dengan abah dia akan speaking London. Abah masih kelihatan rileks.

“Kalau terpilih yang elok tak apa tapi kalau terpilih yang tak elok macam mana? Lelaki muda sekarang ni banyak yang tak elok daripada yang elok. Kalau ada yang elok pun susah sangat nak jumpa,” Terang abah panjang lebar. Aku rasa macam kelakar pulak bila lihat emak dan abah bertingkah pasal jodohku sedangkan ‘orang’ yang mereka bincangkan belum tentu wujud ke tak.

“Mana awak tahu ramai yang tak elok daripada yang elok? Itu, dua orang yang sedang makan menghadap awak tu bukan lelaki muda? Elok saja saya tengok,” Emak menuding jari pada kedua-dua orang abangku. Kulihat Abang Amir dan Abang Armand menahan gelak. Abah mendengus perlahan seraya membuat serangan balas

“Anak saya insyaAllah baik, elok! Tapi anak orang lain saya tak boleh nak jamin perangai mereka elok ke tak,”

“Hish, apa awak cakap macam tu? Tak baik tahu. Lagipun takkanlah Qila yang cerdik pandai ni nak pilih lelaki yang tak elok nak dibuat suami? Cuba fikir logik sedikit abahnya,” Betul jugak cakap emak. Tahulah aku nak pilih yang elok, mana ada perempuan nak lelaki yang berperangai hantu untuk dibuat suami. Kadang-kadang aku hairan jugak dengan abah, sikapnya yang terlalu melindungi membuatkan dia susah untuk meletakkan kepercayaan sewenangnya pada seseorang.

“Mah, untuk pengetahuan awak, budak yang cerdik pandailah yang mudah tertipu bila berdepan dengan lelaki itu semua. Kalau tengok pada kes tangkap khalwat dan gejala buang bayi hasil daripada dosa zina kebanyakannya perempuan yang berpelajaran awak tahu tak? Tak baca paper?” Abah dah mula bukak forum ceramah. Kami semua mengangguk setuju dengan hujah abah kecuali emak yang dah buat muka tak puas hati.

“Itu lainlah. Qila kita ni cerdik serba serbi,” Emak masih mempertahankanku asalkan rancangan ugutannya padaku tidak mendapat tentangan abah.

“Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga Cik Mah oi,” Hah, itu dia abah dah mula jual peribahasa. Emak buat tak layan.

“Lagi satu, awak ingat dalam masa setahun tu cukup ke nak kenal hati budi orang?” Tempelak abah lagi. Nampaknya abah betul-betul tidak bersetuju dengan rancangan ugutan emak padaku. Hehe.

“Saya rasa cukup. Saya kenal awak tak sampai tiga bulankan sebelum kita terus kahwin. Bahagia juga sampai sekarang,” Abah terpaku sebentar apabila mendengar jawapan emak. Kami empat beradik tersengih apabila emak mula membuka lembaran sejarah lama mereka berdua. Amboi, ekspress betul emak dan abah. Macam dah tak menyempat, komenku tapi dalam hati sajalah. Kalau cakap depan-depan harus terbang pinggan emak melayang ke wajahku, mana tahukan?

“Kita lain,” Giliran abah pula terkial-kial mencipta alasan.

“Tak ada lain, sama aje,” Emak sudah mula tersenyum kemenangan. Melihatkan keadaan yang semakin hangat, aku bertindak meleraikan keadaan. Takut nanti melarat, tak pasal-pasal abah tidur kat luar malam ni.

“Mak dengan abah janganlah risau, tahulah Qila cari calon suami yang menepati kehendak abah dengan mak,” Aku berpaling meminta bantuan abang dan adikku.

“Iyalah mak, abah! Kami janji akan jaga Qila dan awasi dengan siapa dia berkawan. Kalau lelaki itu ada niat tak baik pada Qila, kami akan habiskan dia dalam sekelip mata, jangan risaulah” Abang Armand bertindak menyokongku. Abang Amir hanya mengangguk bersetuju, mana tidaknya dari tadi lagi sibuk dengan makanan dalam pinggannya yang tak pernah surut. Bertambah adalah. Tapi yang hairankan badan Abang Amir tetap maintain. Tak gemuk dan tak kurus. Ajaib!

“Hah, kamu berdua pun cari jugak calon yang sesuai. Nak tunggu umur empat puluh tahun baru nak cari calon ke?” Isu sensitif ini melarat hingga melibatkan Abang Amir dan Abang Armand. Aku ketawa dalam hati apabila melihat kedua-dua abangku mula tidak senang duduk apabila mereka pula dijadikan subjek perbualan.

“Sudahlah tu mak. Kita sama-sama berdoa supaya abang jumpa jodoh macam Kak Dhia dan Kak Qila pula jumpa jodoh macam Abang Zikir,” Aleeya sudah mula merapu. Tak habis-habis dengan drama kesukaannya. Banyak sangat tengok drama, itu yang kuat sangat berkhayal.

“Itupun abah tak setuju!” Sampuk abah tiba-tiba. Wajahnya menggambarkan ketidakpuasan hatinya. Tak habis lagi ke tajuk ni?

“Qila dengar sini. Abah nak Qila cari calon suami yang setaraf dengan kita. Kalau boleh biarlah yang sederhana sahaja. Abah tak nak nanti kamu kahwin dengan anak orang kaya, kamu jadi macam Dhia!” MasyaAllah abah. Serentak tanpa dapat ditahan kami semua gelakkan abah. Riuh-rendah makan malam kami pada lewat petang itu. Emak sudah tidak terkata apa dengan kata-kata abah. Kenapa abah boleh cakap sampai tahap tu? Ini semua sebab anak bongsu kesayangannya, Si Aleeya. Aleeyalah yang selalu rajin mengajak abah menonton drama Slot Akasia ‘Tentang Dhia’ sampai tidak ketinggalan satu episod sekalipun. Abah pun dah jadi macam anak bongsunya yang taksub pada drama.

Tidak semena-mena aku teringatkan kekasih palsuku, Tuan Ray. Memang dia awal-awal dah confirm kena reject dengan abah. Aik, Qila apasal tinggi sangat imaginasi kau? Dalam mimpilah Tuan Ray nak hantar rombongan meminang. Kalau Ikmal pulak macam mana? Aish, stop Qila!

“Apa abah fikir sampai ke situ pulak? Itukan drama semata-mata, tiada kena mengena dengan yang hidup ataupun yang mati,” Aleeya sudah mula protes. Mana taknya, abah dah rosakkan khayalan dia.

“Orang tak buat cerita kalau benda itu benar-benar berlaku. Abah tak main-main ni. Ingat semua pesanan abah ni,” Tegas abah. Emak hanya tersenyum bersetuju dengan abah. Macam-macam hal abah ni.

2 comments:

  1. tq..sbb sambung entry wpun exam blum habis..sy suka sgt entry ...muah..muah..best sgt..tp klu nak release tensen lagi..sambung ler lagi ya..i'm waiting..apapun all da best..

    ReplyDelete