Hari yang berlalu bagaikan hari-hari yang amat sukar untukku tempuh, lebih-lebih lagi kalau tiba waktu untuk ke pejabat. Perasaan bimbang terserempak dengan Tuan Ray selalu ada. Aku bagaikan kekok untuk berhadapan dengan dia setelah mengetahui rahsia hatinya. Setakat ini aku bernasib baik kerana tidak terserempak dengannya, nasibku untuk hari-hari yang seterusnya entah bagaimana agaknya. Tuan Ray juga tidak menghubungiku lagi selepas detik dia meluahkan perasaan. Kami juga sudah tidak keluar makan tengah hari bersama. Lakonan kami bagaikan terhenti begitu saja.
Jauh disudut hati, terselit perasaan bangga kerana lelaki sehebat Tuan Ray mengaku yang dia punya perasaan terhadapku. Mesti hancur harapan setiap wanita yang menaruh perasaaan pada Tuan Ray. Terlompat-lompat Aleeya selepas aku menceritakan perkembangan terbaru Tuan Ray. Dalam pada itu sempat juga dia membebel sebab aku tak bagi kata putus waktu kejadian tempoh hari. Katanya aku sengaja tolak tuah. Apa dia ingat nak terima orang dalam hidup kita ni benda main-main yang tidak perlu ditimbang baik buruknya ke? Aku sendiri kena fikir dan yakin dengan perasaanku pada dia sebelum aku menerimanya sebagai orang istimewa dalam hatiku.
“Assalamualaikum,” Sapaan Khadija menghapuskan layangan fikiranku. Dia tersenyum manis di muka pintu bilik pejabatku.
“Waalaikumussalam Cik Ija, ada apa-apa yang boleh saya bantu?” Khadija menolak pintu bilikku lebar-lebar dan berjalan masuk. Di belakangnya dua orang perempuan manis bertudung mengikutnya. Siapa pulak ni?
“Qila, kenalkan Mira dan Siti, pelajar Diploma Pengurusan Teknologi Maklumat dari Universiti Teknologi Mara. Mereka berdua akan menjalani latihan industri selama tiga bulan di jabatan kita bermula hari ini,” Aku bersalam dengan kedua-duanya. Mereka kelihatan takut-takut dan kekok pada pandanganku.
“Welcome to our company. Saya harap kamu berdua dapat menyesuaikan diri dengan cepat dan bekerja dengan serius. Kamu sangat bertuah sebab diterima membuat latihan industri di sini,” Kata-kata semangat aku berikan dengan harapan mereka berdua akan lebih bersemangat dan bersedia. Kedua-duanya tersenyum senang.
“Terima kasih Cik Qila,” Ish, malu pulak aku diorang panggil aku cik
“Panggil saja Kak Qila, dan kalau kamu berdua ada apa-apa pertolongan, boleh mintak tolong dengan kami,” Aku kenyit mata pada Khadija. Dia hanya sengih.
“Terima kasih kak,” Ujar mereka bersemangat sekali. Baguslah tu. Kalau boleh aku tak nak mereka rasa tertekan sepanjang menjalani latihan industri di sini. Tekanan emosi hanya akan memburukkan prestasi kerja mereka. Biarlah mereka bekerja dalam suasana santai tanpa tekanan.
Kami semua berpaling ke arah pintu bilikku apabila pintu itu terkuak dari luar. Muncul wajah Encik Irfan
dan yang paling mengejutkanku, Tuan Ray juga ikut menyusul di belakang.
“Wah, ramainya buat apa ni? Menganyam ketupat ke?” Usik Encik Irfan.
“Mana ada menganyam ketupat. Saja nak buat sesi suai kenal. Siti, Mira kenalkan yang macho ni Encik Irfan, penolong pengurus besar Berjaya Holding dan yang handsome menawan ni pengurus besar Berjaya Holding, Tuan Rayyan,” Encik Irfan ketawa senang dengan ayat pengenalan Khadija yang over itu. Mira dan Siti pun sudah senyum malu-malu. Tuan Ray? Aku tak dengar pun dia ketawa. Pandangan dihala ke wajahnya. Aku kembali menunduk dengan wajah yang sedikit hangat kurasakan. Renungannya begitu mendebarkan, tak cover langsung. Risau betul aku kalau mereka yang lain perasan akan perlakuannya.
“Welcome to our company,” Encik Irfan memberi ucapan alu-aluan. Tuan Ray sekadar tersenyum. Aku perasan Mira dan Siti macam malu-malu nak pandang Tuan Ray tetapi kadang-kadang mereka berdua curi-curi cuba mengambil peluang untuk melihat wajah itu. Timbul rasa tak sedap hati. Tak ada siapa yang boleh halang mereka kagum dengan rupa paras Tuan Ray. Nak saja aku cakap pada Mira dengan Siti supaya jangan berangan sebab Tuan Ray dah minat dengan seseorang. Siapa Qila? Kau ke? Habis kenapa kau tak terima dia hari tu? Sekarang sibuk nak rasa tak sedap hati pulak? Tanpa sedar aku mengeluh. Semua senyap dan menumpukan pandangan padaku. Tahniah Qila sebab kau sudah berjaya memalukan diri kau sekali lagi!
“Kenapa Qila? Kau tak sihat?” Tanya Khadija. Aku hanya menggeleng.
“Okeylah, kalau macam tu aku keluar dulu. Mira dan Siti jom saya tunjukkan tempat kamu berdua,” Khadija dah macam pemandu pelancong aku tengok.
“Qila, buatkan kami minuman,” Arah Encik Irfan sebelum berjalan masuk ke biliknya bersama Tuan Ray. Seksa aku macam ni nak menghadap dia. Kenapa mesti berbincang di bilik Encik Irfan? Kenapa tak berbincang di biliknya sahaja? Aku rasa dia sengaja nak dera perasaan aku! Dengan perasaan tak puas hati aku melangkah ke pantry dan menyediakan minuman.
Sebaik sahaja aku kembali ke bilik, bayang Encik Irfan sekali lagi lesap entah ke mana. Eei..geram betul aku dengan bos aku tu. Perangai macam biskut chipsmore. Aku menarik nafas panjang dan berjalan ke meja kerja Encik Irfan. Tuan Ray kelihatan tenggelam dalam kerjanya di meja sofa yang terletak di sudut kanan bilik. Fikirku, lebih baik aku letak air dekat sini, nanti pandai-pandai dioranglah datang minum dekat sini.
“Hidang kat situ nak bagi siapa minum? Come and serve it here!” Aku telan liur mendengar arahannya. Dengan hati yang geram, aku melangkah ke meja sofa. Kedua-dua cawan aku susun dan hidang di meja kopi sebelah sofa. Baru sahaja aku berkira untuk keluar, suaranya berbunyi lagi.
“Qila, awak bancuh Nescafe 3 in 1 ke?” Aku berpaling menghadapnya yang masih khusyuk menghadap kertas kerja.
“Ya tuan,” Jawabku malas. Geram betul aku dengan lagaknya sekarang.
“Saya nak awak tukar bancuh yang lain. Saya nak awak bancuh guna secawan air panas, satu sudu teh Nescafe dan dua sudu teh gula. Right now!” Perasaan aku sekarang rasa macam nak simbah air Nescafe yang sedia ada pada wajahnya. Apa dia ingat aku ni setiausaha dia nak bagi arahan ikut suka dia? Hei, ini Nurul Aqilahlah!
“Kenapa? Ada masalah dengan arahan saya?” Soal Tuan Ray bila aku masih tercegat tidak bergerak.
“Tak. Saya buat sekarang,” Cepat-cepat aku mencapai cawannya di atas meja kopi itu dan berlalu keluar. Mana Nurul Aqilah yang berani tadi? Setakat berani dalam hati siapa nak kisah? Sekali lagi aku membancuh air Nescafe tetapi kali ini aku tidak menggunakan Nescafe 3 in 1 lagi. Selepas menuang air panas ke dalam cawan, aku masukkan satu sudu teh Nescafe dan dua sudu teh gula. Bancuhan itu aku kacau dengan malas. Aku cuba sesudu. Erm..sedap jugak air aku buat ni.
Huh, Tuan Ray, awak memang silap sebab cari pasal dengan saya. Hari tu mengaku cinta, hari ini awak dera saya ya. Tunggu awak! Dengan niat yang sudah tak berapa nak betul, aku menghabiskan Nescafe yang aku bancuh tadi. Aku capai cawan baru dan mula membancuh sekali lagi. Kali ini aku masukkan tiga sudu teh Nescafe dan kosong sudu teh gula. Kalau aku tak dapat cilikan mulut berbisa dia dengan cili padi, aku cilikan guna Nescafe pahit pun kira dah okey kot. Aku gelak jahat dalam hati.
Aku kembali ke bilik pejabat Encik Irfan dan menghidangkan air itu padanya. Kali ini Encik Irfan turut ada bersama kami. Mungkin dia ke tandas agaknya tadi.
“Silakan tuan,” Tuan Ray memandangku. Aku senyum sambil berdiri tegak di tepi meja kopi. Dia sudah berkerut dahi. Kenapa?
“Awak ada nak cakap apa-apa lagi ke?” Soalnya. Mungkin dia hairan dengan aku yang masih berdiri macam patung cendana dekat sini agaknya.
“Tuan cubalah dulu air tu, manalah tahu takut tak kena dengan deria rasa tuan, saya boleh bancuh yang lain” Aku tahan bibirku daripada melebarkan senyuman. Encik Irfan sudah bantai gelak. Kami sama-sama memandangnya.
“Air yang Qila bancuh memang tip top Ray, cuba kau rasa,” Aku rasa macam nak buat lompat bintang bila bos aku dengan baik hatinya membantu menjayakan plan serangan balas ke atas Tuan Ray. Aku tak peduli, hari ini dan pada saat ini aku nak tengok jugak reaksi Tuan Ray minum Nescafe pahit istimewa buatanku. Aku kian teruja bila tangannya mula mencapai cawan. Tuan Ray hirup sedikit. Aku rasa nak tergelak dengan aksinya yang cuba menahan rasa pahit air itu.
“Macam mana Ray?” Tanya Encik Irfan. Mata Tuan Ray tidak berkelip melihatku. Tanpa pengetahuan Encik Irfan yang sedang sibuk fokus pada respon balas Tuan Ray, aku jongket kening padanya. Sengaja mengejeknya untuk sakitkan hati dia. Suka sangat kenakan aku. Sekarang rasakan betapa pahitnya air itu.
“Cuba awak rasa air ni. Saya rasa ada yang tak kena,” Tuan Ray sudah menghulurkan cawannya padaku. Aku pulak dah? Aku ingat dia akan control macho dan habiskan terus air tu supaya aku sakit hati tapi lain pulak taktik mamat ni.
“Kenapa pulak saya kena minum air ni?” Aku dah mula kalut. Gila aku nak minum air pahit ni. Tuan Ray menghadiahkan senyuman sinis padaku.
“Cuba rasa dulu, nanti awak boleh tahulah nak baiki rasa air ni macam mana” Paksanya lagi. Encik Irfan terpinga-pinga melihat gelagat kami berdua. Dalam terpaksa aku menyambut huluran cawan itu. Tuan Ray dan Encik Irfan sama-sama menumpukan pandangan padaku. Aku telan liur. Cawan misteri itu aku dekatkan pada mulut dan sekejap sahaja air pahit itu mengalir masuk ke dalam rongga tekakku. Terbatuk aku dibuatnya. Yarkkk!! Pahit siot!
“Macam mana?” Soal Tuan Ray dengan jelingan mautnya.
“Pahit,” Jawabku susah payah. Rasa macam dah keras lidahku ini. Encik Irfan sudah tergelak.
“Qila, Qila! Macamlah saya tak tahu taktik awak tu,” Encik Irfan tahu ke? Aku pandang Tuan Ray. Dia senyum sambil kenyit mata padaku. Oh, tidak! Lama-lama aku boleh jadi gila melayan kerenah dia.
“Awak habiskan air tu. Saya tak nak,” Ujar Tuan Ray sebelum kembali menyambung perbincangan dengan Encik Irfan. Aku keluar membawa cawan yang masih berisi lebihan air pahit itu. Hmm..apalah nasib kau Qila!
………………………………………………………………………………………………
Aku menunggu lif untuk pulang pada petangnya. Jam di tangan sudah menunjukkan pukul lima sepuluh minit petang. Kebanyakan staf di jabatanku ramai yang sudah lesap, yang tinggal pun hanya dua tiga orang. Ini mesti keturunan pekerja cemerlang, gumamku dalam hati. Aku kerling nombor lif, tinggal lima tingkat lagi nak sampai. Pada masa yang sama, mataku menangkap kelibat Tuan Ray yang sedang mara ke arah lif. Mungkin dia pun dah nak balik.
Butang lif aku tekan berkali-kali biarpun aku tahu ia tidak akan memberi apa-apa kesan yang berbeza kalau ditekan bertubi-tubi sekalipun. Cepatlah lif oi!! Jeritku dalam hati. Seakan mendengar jeritan suara batinku, lif akhirnya terbuka. Aku pantas melangkah masuk dan menekan butang yang mengisyaratkan pintu lif ditutup. Seiring dengan kehendakku, pintu lif kembali tertutup. Aku menyandar sambil menarik nafas lega. Fuh! Dah macam kena kejar dengan raksaksa.
Baru sahaja lega buat beberapa saat, pintu lif kembali terbuka. Eh, kenapa pulak terbuka ni? Serentak itu juga mataku di hidang dengan wajah tampan Tuan Ray yang sedang tersenyum. Dia melangkah masuk dengan selambanya. Aku masih terpaku di tempatku tadi.
“Sejak bila pulak lif ni boleh baca fikiran awak yang nak turun ke tingkat berapa? Lain kali tekanlah butang tingkat berapa awak nak turun. Jangan tahu tekan butang nak tutup pintu lif aje bila nampak saya,” Tersentak aku dengan kata-katanya yang ternyata benar belaka. Bodoh betul aku ni. Patutlah pintu lif terbuka balik, aku lupa nak tekan butang nombor tingkat.
“Tak payah nak malulah Cik Aqilah, macamlah saya tak kenal awak tu macam mana. Sejauh mana pun awak cuba mengelak, awak tak akan dapat lepas daripada pandangan saya. Bak kata orang dulu-dulu, kalau dah jodoh, tak ke mana pun,” Lemah lututku. Sejak bila Tuan Ray dah bertukar jadi seorang yang peramah ni?
“Yakin betul tuan ni,” Ucapku ringkas.
“Saya tak akan yakin kalau awak tak rasa apa yang saya rasa,”
“Apa yang saya rasa?”
“Saya dah cakap dalam kereta tempoh harikan? Awak sengaja nak saya sebut benda tu berulang kalikan? Kenapa? Suka?” Aku tahan nafas. Bicara Tuan Ray sekarang memang berbisa. Sengaja buat aku malu macam ni.
“Malas nak layan tuan,” Makin dilayan makin seronok dia usik aku. Tuan Ray gelakkan aku.
“Saya tak paksa awak layan saya pun,” Hah tengok, menjawab lagi. Sejak kejadian bersejarah itu, aku dapat lihat Tuan Ray dari sudut pandangan yang lain. Dia sudah boleh bergurau, jarang marah-marah dan selalu tersenyum. Mulutnya juga boleh tahan ramah. Lagak dia seperti aku membalas luahan perasaannya tetapi seingat aku, aku tidak memberi apa-apa kata putus lagi. Pelik betul lelaki ini.
“Marah?” Soalnya bila aku diam.
“Tak tahu nak cakap apa,” Lambatlah pulak lif ni. Aqilah kalau dalam keadaan macam ni, lif jugak yang kau nak persalahkan. Cuba jangan cari alasan. Hadapi Tuan Ray dengan berani.
“Awak tak perlu cakap apa-apa, awak cuma perlu percaya pada saya, dan kita sama-sama melangkah untuk menghadapi masa depan dengan satu ikatan yang boleh mengeratkan hubungan kita dan diredhai Allah,” Suatu perasaan sayu mengalir dalam diriku. Ucapannya begitu ikhlas kedengaran dan aku tidak dapat menipu hatiku tentang perasaan bahagia yang dirasakan saat ini. Sekali lagi dia bangkitkan hal ini membuktikan yang dia tidak main-main dengan pengakuannya tempoh hari.
Tetapi seakan ada suatu perasaan ragu menyekatku. Rasa yang wajar dirasai oleh perempuan biasa macam aku apabila dilamar oleh jejaka macam Tuan Ray. Rasa rendah diri dan tidak percaya dengan lamarannya itu buat aku berfikir banyak kali. Aku ingatkan dengan rupa paras sebegitu, dia akan melamarku dengan gaya kasanovanya. Tetapi lain pula gayanya, tempoh hari dalam kereta dan sekarang dalam lif. Tiada candle light dinner ataupun kejutan melampau seperti yang aku tengok dalam drama.
“Bagi saya masa untuk fikirkan tentang hal ni,” Pintaku penuh emosi. Tuan Ray yang cipta suasana romantis sehingga aku turut hanyut dan bercakap dengan nada sebegitu.
“Hari tu cakap tak perlu masa? Erm, satu perkembangan yang baik!” Nada selambanya itu berjaya membunuh suasana romantis yang berlangsung buat beberapa minit. Ceh, orang baru nak feel, dia dah rosakkan babak tadi. Ada jugak orang nak kena ketuk dengan beg tangan. Wajahku sudah berbahang. Malu dengan sikapku yang tidak tetap pendirian.
“Ikut suka hati sayalah nak masa ke, tak nak masa ke. Hati saya, bukan hati tuan,” Balasku berani.
“Buat masa sekarang, memang hati awak, tapi sedikit masa lagi hati itu akan jadi milik saya sepenuhnya. Trust me!” Aku terlopong. Meremang bulu romaku mendengar ayat penyatanya. Rasa mahu menjerit pada seluruh dunia untuk menenangkan jantungku yang sedang bergendang hebat. Kenapa Tuan Ray mesti berjinak-jinak untuk mengasah bakatnya memikat perempuan yang mudah tergoda macam aku ni? Kenapa? Jeritku dalam hati.
“Qila,” Panggilnya lagi saat aku masih terpaku dengan ayat berbunga-bunga. Perlahan-lahan aku berpaling melihat wajahnya. Baru sekarang aku sedar yang Tuan Ray mempunyai sepasang mata yang menawan, lengkap dengan renungannya yang boleh menggoyahkan hati wanitaku.
“Masa yang panjang tidak akan menjadi satu sebab untuk saya mengalah daripada terus menunggu awak. Sekali saya cakap saya sukakan awak, tak akan ada benda pun yang akan menghalang saya terus berusaha untuk memikat hati awak. Saya akan terus pikat awak dengan segala kelebihan yang Allah kurniakan pada saya sampai awak mengalah dan sedar yang awak juga merasakan apa yang saya rasa,”
Aku terkedu. Aku nampak kesungguhan dalam kata-katanya, azam yang tinggi yang pasti orang lain tak akan nampak dan faham. Seperti ada satu kuasa yang menarik untuk aku terus merenungnya. Aku tidak sedar untuk tempoh berapa lama kami saling berbalas pandang. Kami hanya sedar apabila ada satu suara yang teragak-agak menegur
“Boleh saya masuk?” Ya Allah, lif dah sampai kat lobi rupanya. Staf yang menegur tadi dah malu-malu sambil garu kepala. Serba-salah untuk mencantas dunia khalayan ciptaan Tuan Ray agaknya. Ish, ini semua Tuan Ray punya pasal. Aku mengetap bibir menahan malu sebelum bergegas meninggalkan tempat kejadian. Sempat aku dengar Tuan Ray meminta maaf dengan staf yang menjadi saksi kejadian yang memalukan tadi. Hai, lagak macam kena tangkap basah aje. Jatuh saham aku dua ribu!
nak lagi.. plisss..
ReplyDeleteKerasnya hati qila nyeh..... Bilalarr dya nak mengaku yg dya mmg sukakan tuan ray tue????? Btw keep up the good work
ReplyDeletebasttt
ReplyDeleteqila balas balik cinta rayyan
jangan tungu lama nanati terlepas
how sweet... Main tarik tali btl qila ni... Mlps kang baru tau
ReplyDeletesweet..
ReplyDeletenk lgi.
ahhhh...cinta itu sememangnya indah... Tuan Ray....love love love
ReplyDeletekita jgn mudah terima bila org ucap kata cinta...ngeh3..jual mahal2 ckit, jgn kasi discount..haha
ReplyDeletehk:triple love, dah mcm lagu FT Island..huhu
hahahaha jatuh saham 2 ribu saja ???? best lah entry kali sampaikan dengan saya sekali hanyut dengan kata2 Tuan Ray tu..aiishhhh.....Thanks to the writer...sambung please....
ReplyDeletesambungannya plsssss.....
ReplyDeletecepat la sambungggggannyaa...
ReplyDelete