Aku sedang leka menaip surat perjanjian kontrak Mega Group apabila telefon di atas meja berbunyi. Lantas, aku terus mencapai gagang.
“Aqilah speaking,”
“Qila, masuk bilik saya sekarang. Urgent!” Aku renung gagang telefon. Ini bukan bos aku.
“Tapi tuan…,” Tidak sempat aku menghabiskan ayat, dia terus memutuskan talian. Aku masih termangu-mangu menerima arahan daripada Tuan Ray. Kenapa dengan dia? Dia sedar ke sekarang waktu kerja? Apa dia ingat dia berpangkat besar dia boleh arah aku sesuka hati dia? Ah, dia bukan bos aku dan aku bukan setiausaha dia. Jadi Aqilah, kau sambung sahaja kerja kau tu. Tanpa mengambil kisah akan arahan Tuan Ray, aku meneruskan kerja yang tergendala tadi. Lima minit kemudian, interkom pula berbunyi. Ish, waktu aku sibuk inilah orang lain pun sibuk nak kacau aku.
“Yes boss?” Takkanlah Encik Irfan dah tak menyempat nak surat perjanjian ni? Aku baru nak mula taip kot.
“Pengurus besar ada panggil awak ke bilik diakan? Kenapa awak tak pergi lagi?” Amboi, dah pandai mengadu pada Encik Irfan.
“Kenapa saya perlu jumpa dia bos?” Hairan jugak apabila aku dipanggil tanpa amaran. Aku ada buat salah ke?
“Entahlah Qila, manalah saya tahu,”
“Bos tak rasa pelik ke tiba-tiba dia panggil saya?” Sejak akhir-akhir ini, perlakuan dan percakapan Tuan Ray agak pelik. Tengok sahaja waktu pertandingan badminton dulu, selamba sahaja dia panggil aku ‘sweetheart’. Sejak bila pula aku ni rasmi jadi ‘sweetheart’ dia? Kalau setakat ‘sweetheart’ palsu aku tak kisah tapi daripada gaya dan cara dia panggil aku, memang dia berjaya buat aku perasan seorang diri.
“Tak ada apa-apa yang pelik pun. Dia memang macam tu Qila, kadang-kadang pengawal keselamatan pun dia nak jumpa jugak,” Biar betul Encik Irfan ni. Apa motif Tuan Ray jumpa pengawal keselamatan?
“Qila, dengar tak ni?” Aku tersentak dengan sergahan Encik Irfan.
“Ya bos,”
“Awak pergilah jumpa dia sebelum dia naik angin,” Mendengar amaran Encik Irfan dah buat aku rasa nak menggigil. Naik angin? Tiba-tiba aku terbayang peristiwa di mana aku dimarahnya kerana menceroboh masuk ke bilik pejabatnya. Kalau dia naik angin macam tu, lagilah aku tak nak pergi.
“Okey bos,” Balasku lemah. Aku bangun mengatur langkah ke biliknya.
“Ija, bos kau nak jumpa aku ke?” Aku tegur Khadija yang sedang asyik menghadap kerjanya apabila dia langsung tidak menyedari kewujudanku.
“Iya. Dia tengah tunggu tu, masuklah,” Khadija seolah menghalauku masuk ke bilik bosnya. Siap guna isyarat tangan lagi. Macam halau anak ayam pulak.
Tuan Ray mengarahkan aku masuk selepas beberapa kali pintunya aku ketuk. Aku membuka perlahan pintu biliknya. Kelihatan Tuan Ray sedang berdiri berhadapan dengan seorang wanita di depan meja kerjanya. Wanita itu kelihatan sangat bergaya dan pada perkiraanku umurnya sebaya dengan emakku. Jangan-jangan dia ni mak datin yang selalu kejar Tuan Ray? Dah sah! Aku renung tajam tangan wanita itu yang bergayut pada lengan Tuan Ray. Tuan Ray pun satu hal, kenapa tak tepis sahaja tangan dia? Eei, geram aku. Amboi Qila, dah pandai rasa geram dah sekarang? Aku telan liur. Perlu ke aku tunjukkan bakat lakonanku sekarang? Mungkin sebab inilah dia panggil aku. Kod rahsianya adalah perkataan urgent. Aduh, kenapalah kau lambat pick up Qila? Aku menarik nafas perlahan-lahan. Kata orang, sesi memanaskan badan sebelum memulakan lakonan.
Mereka berdua terpaku memandangku sebelum Tuan Ray menggamitku mendekatinya. “Qila, come here,” Aku pantas menghampiri mereka.
“Kenapa ni sayang? Dia kacau awak lagi ke?” Mata Tuan Ray membulat merenungku yang sedang berjalan ke arahnya. Aku terus berdiri di antara mereka dan menarik Tuan Ray ke belakangku seolah-olah melindunginya daripada wanita itu. Terlepas pegangan wanita itu pada lengan Tuan Ray. Aku berbalas pandang dengan wanita itu. Dia seolah-olah terkejut dan kehilangan kata dengan tindakanku.
“Qila..,” Tuan Ray cuba masuk campur apabila aku terus mengangkat tangan menahannya.
“Sayang diam. Biar Qila yang uruskan hal ini,” Ewah-ewah Qila, macam confirm pulak yang dia tu kau punya sayang. Aku berdehem.
“Tapi..,’ Tuan Ray masih cuba menyampuk apabila wanita itu pula menahan.
“Tak apa,”
Tuan Ray terus senyap. Aku berpaling sedikit merenungnya dengan pandangan tidak puas hati. Kenapa Tuan Ray mesti senang-senang nak ikut kata-kata perempuan ni? Hish, tak puas hati aku! Tuan Ray mengangkat kening seperti menghantar pertanyaan ‘kenapa?’.
“Jadi, awak Cik Qila?” Aku kembali bertentang mata dengan wanita di hadapanku sekarang.
“Iya, saya Aqilah. Kalau tak keberatan, boleh kita berbincang sekejap?” Aku cuba menyelesaikan masalah ini dengan cara baik. Aku tengok dia pun macam baik. Bertudung lagi. Tapi kenapa Tuan Ray jugak yang dikejarnya? So, pengajaran untuk hari ini, don’t judge a book by its cover okay! Wanita itu hanya mengangguk tenang dan terus berpaling dan berjalan ke arah sofa yang tersedia lengkap dalam bilik Tuan Ray. Aku juga turut melangkah ke sana. Kami duduk setentang antara satu sama lain. Tuan Ray masih berdiri tercegat di tepi mejanya. Ya Allah, dia buat apa lagi kat situ? Aku menggamitnya supaya menghampiri kami. Tuan Ray berjalan perlahan-lahan ke arah kami. Baru sahaja dia berkira-kira untuk duduk di sofa menghadap aku dan wanita itu, pantas aku bangun dan menarik lengan bajunya untuk memaksa dia duduk di sebelahku. Ada ke nak duduk kat situ?
“Kenapa nak duduk kat situ? Kitakan nak berlakon sekarang ni? Jangan rosakkan rancangan kita pulak, nanti dia tak percaya yang kita ni pasangan sehati sejiwa,” Aku berbisik perlahan. Tuan Ray usap dahinya. Dah kenapa pulak ni?
“Cik Qila nak bincang tentang apa?” Tiba-tiba suara wanita itu mencelah. Aku kembali merenungnya sambil tersenyum kecil.
“Tak payahlah bercik-cik dengan saya. Panggil aje Qila. Sebelum itu, boleh saya tahu nama…,” Pertanyaanku mati di situ. Apa gelaran yang sesuai patut aku berikan padanya? Puan? Macam tak kena. Datin? Betul ke dia datin? Habis tu mak cik? Macam tak sesuailah pulak, dalam tercari-cari panggilan yang sesuai, sekali lagi wanita itu mencelah.
“Saya Jasmin,” Ujarnya pendek memperkenalkan diri. Amboi, nama pun cantik macam tuannya.
“Sebenarnya saya nak bincang tentang hubungan kita bertiga,” Aku memulakan mukaddimah.
“Kenapa dengan hubungan kita bertiga?” Soalnya lagi? Dia buat-buat tak fahamlah pulak.
“Erm, saya tahu yang Cik Jasmin sukakan Rayyankan?” Aku cuba mencari reaksi wajahnya. Dia masih kelihatan tenang.
“Apa masalahnya kalau saya sukakan dia?” Aku mengetap bibir perlahan. Memang betullah perempuan di hadapanku ini yang selama ini mengejar dan memujuk rayu Tuan Ray. Oh, my God! Aku kalih pandang melihat Tuan Ray. Dia tenang menyandar pada sofa sambil berpeluk tubuh.
“Masalahnya sekarang, dia tak sukakan Cik Jasmin dan buat pengetahuan cik, saya dengan dia dah declare satu hubungan yang boleh dikatakan istimewa dan lebih daripada hubungan seorang kawan,” Berdebar aku menantikan jawapnnya. Dia kelihatan berkerut kening sambil mencari pandang wajah Tuan Ray.
“Betul?” Soalannya diajukan pada Tuan Ray. Aku mendengar Tuan Ray mengeluh perlahan. Apa yang susah sangat nak jawab? Angguk ajelah. Bentakku dalam hati.
“Sebenarnya…,”
“Sebenarnya kami sengaja tak nak heboh pasal hubungan kami ni sebab semuanya masih baru dan kami sedang berusaha untuk menyesuaikan diri,” Aku memintas kata-kata Tuan Ray yang teragak-agak. Tuan Ray menyiku perlahan lenganku.
“Apa?” Soalku perlahan tidak puas hati dengannya. Dia meletakkan jari telunjuk di bibir. Aku menjelingnya tanpa mempedulikan amarannya. Apa yang nak ditakutkan sangat? Kalau macam nilah reaksi Tuan Ray setiap kali jumpa perempuan ni, macam mana perempuan ni nak sedar diri?
“Betul ke awak kekasih dia?” Aku ketap bibir. Mencabar betul watak yang aku lakonkan sekarang, dengan skrip lintang pukang lagi. Apa aku nak buat ni? Memang Tuan Ray lepas tangan. Dia serah dekat aku seratus peratus untuk uruskan perempuan ini manakala dia pula lebih selesa bersandar dan berpeluk tubuh. Hish, menyesal aku tolong kau! Perlahan aku bangun daripada dudukku. Baru setapak kaki melangkah, Tuan Ray sudah menarik lenganku.
“Nak pergi mana?” Soalnya. Aku menarik lengankuku perlahan dan terus melangkah lalu duduk di sebelah perempuan yang bernama Jasmin itu. Aku duduk menghadapnya. Tuan Ray kelihatan tercengang manakala perempuan di hadapanku serius menumpukan pandangannya padaku. Teragak-agak aku mencapai tangan kiri perempuan itu dan kugenggam.
“Saya mintak sangat-sangat supaya cik berhenti berharap yang Rayyan akan balas cinta cik. Saya sangat cintakan dia. Dialah orang pertama yang berjaya mencuri hati saya dan kalau dia pergi dari hidup saya, saya boleh jadi gila. Saya bukan nak kurang ajar tapi saya tengok kami ni mungkin sebaya dengan anak Cik Jasmin, mana mungkin Cik Jasmin sanggup kahwin dengan Rayyan yang dah boleh dianggap macam anak cik?” Aku merenungnya apabila dia tidak memberi sebarang reaksi. Dia cuma senyap memandangku dengan Tuan Ray silih berganti.
“Saya tak percaya yang awak ni kekasih dia,” Kata-kata perempuan itu membuatkan otakku ligat berfikir. Aku nak buat apa lagi supaya dia percaya ni? Takkanlah tak cukup dengan semua bukti aku keluar makan dengan Tuan Ray? Adegan bersuap? Nak bukti apa lagi?
“Kenapa?”
“Saya cuma dengar daripada sebelah pihak sedangkan Rayyan tak cakap apa-apa pun untuk mengesahkan hubungan istimewa kamu berdua,” Jariku yang sedari dari menggenggam tangan perempuan itu naik menggaru belakang kepala yang tidak gatal. Aku menghantar bahasa isyarat pada Tuan Ray malangnya sedikitpun dia tidak memandangku. Kenapa aku rasakan yang dia seolah-olah sedang mengelak? Ada jugak nanti orang kena cekik.
“Cik Qila, awak tahu makanan kegemaran dia?” Soal perempuan itu tiba-tiba. Soalan apa ni? Makanan kegemaran? Jangan kata makanan kegemaran, kat mana dia tinggal pun aku tak tahu. Tahu nama penuh dia pun dah cukup baik. Aku berkira-kira untuk menjawab sahaja apa yang terlintas difikiran. Mintak-mintaklah Tuan Ray back up aku, kalau tak aku resign jadi kekasih palsu dia. Huh!
“Erm, tomyam. Rayyan suka makan tomyam. Kenapa?” Ekspresi wajah aku tahan supaya kelihatan rileks dan selamba.
“Minuman kegemaran?” Soalnya lagi
“Air masak,” Iya ke? Tapi selalunya aku tengok dia gemar pesan air masak selepas makan dan minum air manis. Kelihatan perempuan itu mengangguk.
“Rayyan tak suka makan apa?” Apa kena dengan dia ni? Nak buat sesi interview ke apa? Dia ingat aku ni tak ada kerja nak kena ingat semua kegemaran dan kesukaan Tuan Ray? Tapi memikirkan lakonanku yang hampir berjaya ini, aku gagahkan juga otakku mengerahkan idea dan merajinkan mulutku untuk menjawab sahaja apa jua jawapan yang timbul di kepala.
”Budu,” Aku rasa nak tergelak. Itu sahaja yang terlintas di kepala kerana pasti saja Tuan Ray tidak gemarkan budu sebab dia bukannya asal dari Kelantan. Tapi ada saja orang luar gemar makan budu, siap dibuat kuah lagi.
“Sudahlah tu,” Tuan Ray tiba-tiba mencelah. Aku pandang wajahnya. Ternyata Tuan Ray juga sedang menahan senyum. Mesti dah naik sedikit tahap kebanggaannya dengan kebolehanku mencari helah.
“Tapi saya ada hak nak soal dia. Manalah tahu you all saja nak berlakon depan sayakan?” Aku telan liur. Alamak! Tak berkesan ke lakonan aku tadi? Aku berdehem
“Tak apa Rayyan. Qila okey,” Aku tersenyum melihatnya. Tuan Ray mendengus perlahan.
“Tapi sayang,.,”
“Cukup! Boleh kita teruskan Cik Qila?”
“Cik Qila?” Aku dengar suara perempuan itu memanggilku tetapi lidahku kaku untuk menyahut panggilannya. Telinga aku silap dengar ke? Dia panggil aku sayang? Wajahku menunduk. Tidak berani pula rasanya untuk menatap seraut wajah milik Tuan Ray. Aku tahu dia cuba menghayati watak lakonannya, tapi masalah sekarang ada pada aku. Masalah terlebih menghayati watak, harusnya aku ajak dia date betul-betul baru tahu.
“Cik Qila?” Aku tersedar apabila ada tangan lembut menyentuh tanganku. Perempuan itu sedang berkerut kening melihatku. Jelas dia bingung dengan keadaanku.
“Are you okay?”
“Yes, I’m okay. Cik nak tanya apa lagi?”
“Cik Qila pandai masak?” Lagi ditanya soalan yang tak masuk akal. Jawab ajelah Qila.
“Pandai. Tapi tak adalah sampai tahap master chef. Masak biasa-biasa aje, kalau dikira masih tahap boleh telanlah makanan yang saya masak tu,” Iya ke Qila? Memanglah aku tipu. Mana ada aku minat masak memasak ni, aku minat kacau mengacau gulai dalam periuk mak aje. Sekadar kacau sambil tengok mak lincah memasak memang aku pandai tapi nak harapkan aku masak? Haram! Main campak-campak bahan dalam periuk bolehlah.
“Bagus! Dah berapa lama kenal dengan Rayyan?”
“Baru lagi. Adalah dalam empat bulan,”
“Cik Qila ni setiausaha Irfan ke?” Wah, Encik Irfan pun dia kenal? Jangan-jangan Encik Irfan pula sasaran dia yang seterusnya? Aku mesti nasihatkan Encik Irfan agar mengambil tindakan yang sewajarnya sebelum perempuan ini menyerang.
“Ya, saya setiausaha dia,”
“Tinggal kat mana? Mak dengan ayah kerja apa?” Alamak, memang soalannya dah lain macam ni? Atau dia ada niat buruk nak apa-apakan aku apabila dia tahu semua maklumat tentang diri aku?
“Erm, perlu ke saya jawab semua soalan tu? Saya rasa semua soalan tu macam tak ada kaitan dengan subjek perbualan kita sekarang,” Aku memberanikan diri bertanya. Kelihatan perempuan itu tertawa kecil sambil menutup mulut. Agak sopan dilihat perlakuannya.
“Ish, siapa kata tak ada kaitan? Semua soalan itu ada kaitan dengan saya kalau Cik Qila ni betul-betul kekasih Rayyan,” Pelik betul dia ni sampai semua maklumat peribadi aku dia nak tahu. Nak jugak aku tanya kenapa tak minta terus borang maklumat diri yang aku isi masa mohon kerja dulu
“Erm, tinggal dekat area Bangi dengan family. Mak suri rumah dan ayah saya pula pengetua sekolah. Kenapa?”
“Tak ada apa-apa, saja nak tanya. Jadi kamu betul-betul sukakan Rayyan?”
“Pembetulan cik, bukan sekadar suka tapi saya serius cintakan dia,” Rasa macam dah tebal gila kulit muka aku ni. Tak terpandang wajah Tuan Ray, mungkin sekarang dia gelak-gelakkan aku. Apa yang dia rasa dalam hati manalah aku tahu. Ingat senang nak jadi pelakon? Yang dia ni pun satu, berapa kali lagi perlu aku ulang benda yang sama?
“Betul ni Rayyan?” Kami sama-sama menunggu reaksi Tuan Ray. Tuan Ray kelihatan berfikir sejenak sebelum menentang pandangan kami berdua silih berganti.
“Ya, kami memang dah declare satu hubungan yang lebih daripada seorang kawan,” Aku menarik nafas kelegaan apabila mendengar pengakuan Tuan Ray. Mengaku jugak akhirnya.
“So, dah plan bila nak kahwin?” Aduh! Rasa macam nak tercekik pulak dengan serangan perempuan ni. Mulut dia? MasyaAllah, punyalah berbisa. Setiap soalan dia ada kekuatan tersendiri. Makin bertambah soalan dia, makin bertambah rasa terkejut aku. Apa hati dia tak remuk ke dengar pengakuan Tuan Ray?
“Apa pulak timbul isu kahwin ni? Kami pun baru kenal, masih awal lagi semua tu,” Tuan Ray menjawab tegas. Dia merenungku lantas memberi isyarat supaya aku menyokong jawapannya. Apa aku nak jawab ni?
“Erm, betul tu cik, isu itu masih terlalu awal untuk dibincangkan. Kami belum bersedia lagi,”
“Isu inilah yang paling penting untuk dibincangkan apabila kita sudah mulakan satu perhubungan baru. Apa kamu berdua declare hubungan ni tanpa apa-apa matlamat ke? Kamu berdua ni serius ke tidak?” Perempuan bernama Jasmin itu seperti tidak berpuas hati dengan jawapan kami.
“Kami betul-betul serius. Memang kami harapkan hubungan kami berakhir dengan perkahwinan tapi bukan dalam masa yang terdekat ni,” Aku cepat-cepat menjawab sebelum perempuan tu mengamuk dan merosakkan rancangan yang aku dengan Tuan Ray susun sejak dari dulu lagi.
“Harap-harap betullah ya. Biar hubungan kamu kekal sampai ke jinjang pelamin,” Ucap perempuan itu lagi. Kali ini dia seperti yakin dengan jawapanku tadi. Wajahnya berseri-seri, bibirnya tersenyum lebar.
“Erk, kalau cik tak kisah saya bertanya, cik tak apa-apa ke?” Musykil aku.
“Saya okey. Kenapa?” Dia merenungku pelik.
“Maksudnya, cik tak akan kejar lagi Rayyan? Cik dah boleh terima kenyataan yang kami ni pasangan kekasih?” Soalku bertubi-tubi.
Perempuan itu masih melemparkan senyuman senangnya tanda dia tidak terkesan dengan soalanku tadi. Dah tak ada perasaan langsung ke perempuan ni sekarang?
“Tak payah nak bercik-cik lagi. Panggil auntie aje. Auntie tak kisah, malah auntie senang bila dengar kamu berdua ni bercinta. Lega rasanya bila Qila jadi pilihan Rayyan,” Jawapannya membuatkan aku terkedu. Ini bukan tahap tak ada perasaan tapi dah sampai tahap sedar diri dah. Auntie? Aku telan liur lantas menjongket kening pada Tuan Ray tanda misi selesai. Perkara kecik macam ni pun susah ke nak selesaikan? Kalau dia bawa aku jumpa auntie ni awal-awal, tak adalah dia perlu nak mengelak bagai. Huh, kerja senang. Tuan Ray tersenyum kecil lantas mengalihkan pandangan.
“Terima kasih auntie sebab faham dan merestui hubungan kami ni,”
“Sama-sama,” Ujarnya sambil menggenggam erat kedua-dua tanganku.
Tiba-tiba pintu pejabat Tuan Ray terkuak dari luar lalu muncul seorang lelaki pertengahan umur. Macam pernah kulihat lelaki ini tapi di mana?
“Papa,” Sapaan Tuan Ray mengembalikan ingatanku pada majlis makan malam dulu. Ya, betul inilah tuan pengarah Berjaya Holdings, Tan Sri Haji Arshad. Aku pantas berdiri seolah-olah memberi penghormatan. Tidak selesa rasanya kalau aku terus duduk statik tidak menghiraukan kedatangannya. Aku senyum, dia balas. Erm, baik! Patutlah Tuan Ray macam tu, dia ikut rupa papanya yang sangat segak.
“Abang baru habis meeting ke?” Soalan yang keluar dari mulut perempuan itu sedikit lagi boleh buat aku rebah ke lantai. Terasa lututku menggeletar. Abang? Ini abang kandung ke abang angkat atau abang suami ni?
“Ya, jomlah kita pergi. Nanti lambat pulak sampai rumah mak,” Perempuan yang bernama Jasmin itu lantas bangun mencapai beg tangan dan berpaling menghadapku. Aku ditariknya ke dalam pelukan.
“Tadi tu Qila dah salah faham. Sebenarnya auntie ni mama Rayyan dan Qila jangan risau sebab auntie tak akan benarkan siapa-siapa pun ganggu hubungan kamu berdua,” Bisiknya ditelingaku. Aku hanya mampu mendengar. Masih diserang rasa terkejut yang amat sangat. Dah rasa macam kat dalam rancangan wakenabeb dah ni! Perlahan-lahan aku berpaling ke sisi mencari wajah Tuan Ray. Dia cuma mengangkat bahu tanda tiada apa-apa yang nak dikomen.
Saat Puan Sri Jasmin hampir ke pintu pejabat, sekali lagi dia berpaling
“Rayyan, hujung minggu ni bawa Qila ke rumah. Mama tunggu. Auntie pergi dulu Qila, assalamualaikum,” Aku hanya mampu melambainya sambil melemparkan senyuman kaku. Salamnya juga hanya mampu kujawab dalam hati. Mati aku!
Apabila kelibat mama dan papa Tuan Ray hilang dan pintu pejabat tertutup aku terduduk di atas sofa. Fikiranku ligat berfikir, auntie Jasmin tadi tu mama Tuan Ray? Aku pantas mengangkat wajah memandang Tuan Ray. Dia juga turut duduk sambil berpeluk tubuh merenungku. Kami hanya mampu berbicara melalui pandangan mata. Entah kenapa mulut seperti kaku untuk berkata-kata.
“Auntie Jasmin tu mama tuan?” Tuan Ray mengangguk. Nafas kuhela perlahan. Otakku mula bergerak. Tiba-tiba sesuatu melintas difikiranku lantas aku bangun dan berjalan ke meja kerja Tuan Ray. Aku mendongak melihat potret keluarganya yang tergantung megah pada dinding. Pandangan difokus pada wajah Auntie Jasmin yang didakwa mama Tuan Ray. Hurm..memang cut and paste. Sebijik! Kenapa aku boleh tak ingat wajah dia masa aku ceroboh bilik Tuan Ray dulu? Patutlah rasa macam pernah nampak.
“Kenapa tuan tak cakap awal-awal dengan saya yang auntie Jasmin tu mama tuan?” Disebabkan terkejut sangat, tanpa sengaja aku sedikit terjerit ketika menyoalnya. Tiba-tiba Tuan Ray sudah pun berdiri di sebelahku. Kami sama-sama melihat gambar itu.
“Awak rasa saya ada peluang ke nak terangkan semua tu tadi?” Balasnya dengan soalan juga. Memanglah susah tapi sekurang-kurangnya bagilah hint, ini tidak terus senyap dan berlakon.
“Nasib baik saya tak marah dia atau cakap benda yang bukan-bukan. Kalau tak saya yang susah tau bukan tuan,” Mulut inilah kalau tak puas hati memang nak membebel aje, tak boleh nak rehat langsung. Aku berpaling sedikit untuk melihat reaksinya. Opps, dia pun sedang tengok aku. Aku terus mengalihkan pandangan ke hadapan. Malu siot!
“Tapi tadi awak tak ada pun cakap benda yang tak elokkan? Jadi tak ada apa-apa masalah sekarangkan?” Aku memang tak fahamlah dengan Tuan Ray ni. Dia ni jenis simple minded atau dia buat tak tahu?
“Tuan,” Aku merenungnya
“Ya?” Dia juga turut merenungku.
“Jom kita duduk dulu, saya nak bincang sesuatu dengan tuan,” Sedar tak sedar, lama jugak kami berdiri sambil merenung potret keluarganya, dah macam gaya dekat pameran lukisan pulak. Aku terus duduk di kerusi di hadapan meja kerjanya. Tuan Ray? Dia pun turut melabuhkkan duduk di sebelah aku.
“Eh, kenapa tuan duduk sini? Tuan duduk situlah,” Arahku sambil jari menuding kerusi empuknya di
hadapanku.
“Nak duduk pun kena ikut peraturan ke? Dah ini bilik saya, ikut suka hati sayalah nak duduk kat mana sekalipun,” Hish, sabar ajelah wahai hati, rileks Qila, macamlah kau tak biasa dengan feel Tuan Ray yang perasan bagus ni.
“Tak adalah kena ikut peraturan cuma pelik aje. Tuan sendiri yang cakap tuan pemilik bilik ni, so tempat tuan sepatutnya kat situ,”
“Kalau saya pemilik bilik ni, saya boleh duduk kat mana saja dan yang lebih penting, saya boleh arahkan awak bangun sekarang dan duduk kat tempat lain,” Huh, ayat diktator tu, kedengaran kasar tapi nada suaranya biasa-biasa saja. Aku tersenyum kecil.
“Tuan nak suruh saya duduk kat mana? Kat situ?” Aku angkat-angkat kening padanya dengan senyuman nakal sambil menunjukkan isyarat pada kerusi empuknya. Manalah tahu sekali seumur hidup, merasa aku duduk di atas kerusi Tuan Pengurus Besar. Aku ketawa jahat dalam hati.
“Tak bukan kat situ tapi kat sini,” Ujar Tuan Ray sambil menepuk ribanya. Bengong! Aku berdehem sambil membetulkan dudukku. Bukan boleh dijangka mood tuan pengurus besar, cakap ikut suka mulut dia aje. Nak aje aku satukan cili padi dengan mulutnya. Baru dia tahu rasa, pedas ke tak cili tu.
“Jangan nak main-main dengan saya,”, Geram aku tengok dia yang sedang gembira gelakkan aku. Eii, mamat ni.
“Eh, siapa kata saya main-main. Saya serius ni! Come,”
Ajakannya itu membuatkan aku serta merta bangun dan bergerak ke kerusi empuknya lalu duduk di situ. Tuan Ray masih tersenyum melihat gelagatku yang sedikit kalut. Sekurang-kurangnya meja kerja yang berada di antara kami ini menjadi penyelamat sekiranya Tuan Ray nak buat perangai gila tarik aku duduk atas ribanya. Tak mustahil semua itu berlaku kalau aku berurusan dengan manusia bernama Muhammad Rayyan Amrif. Serius aku dah mula faham feel dia macam mana.
“Tuan tak kisahkan?”
“Kisahkan apa?”
“Saya duduk sini?” Takut juga aku kalau dia marah macam hari aku ceroboh bilik dia tanpa kebenaran. Entah kenapa kalau dengannya aku rasa macam hubungan kami sedikit pelik. Dah terang-terang dia pengurus besar syarikat ini tapi aku boleh berlagak macam sekarang ni. Kalau dengan Encik Irfan, memang aku tak berani tapi kalau dengan Tuan Ray? Aku rasa dia tak kisah kot sebab aku ni orang yang dia bergantung harap untuk melaksanakan plan dia. Atau kata nama lain, aku ni sedang ambik kesempatanlahkan? Never mind, ada aku kisah?
“Tak kisah pun, duduklah,” Tengok! Kan aku dah cakap yang dia memang tak kisah.
“Best kawan dengan tuan ni. Tuan sporting habis, saya suka sangat” Ujarku sambil mengangkat ibu jari memberi isyarat bagus.
“Siapa kata kita kawan?” Aku terdiam. Sudah! Mampus aku
“Erk.,saya..saya..,” Dah tergagap pulak aku nak menjawab. Aku bukan kawan dia ke? Habis tu dia bukan kawan aku?
“Dah banyak kali saya ingatkan, awak tu girlfriend saya, bukan kawan saya. Faham? Ingat tu!” Rasa macam nak termuntah pulak dengan amarannya. Aku girlfriend dia? Girlfriend yang menunggu masa untuk diceraikan? Macam tu? Tak best langsung. Apa-apa pun angguk sajalah Qila.
“So, awak nak bincang apa tadi?”
Aku bangun dari bersandar dan meletakkan dua tanganku yang saling menggenggam di atas meja. Bila lagi nak berlagak depan boskan?
“Amboi, siapa bos sekarang ni?” Soalannya aku balas dengan cebikan
“Tuan rasa?”
“Of course I’m the boss,”
“Excuse me, sekarang awak bukan bos tapi boyfriend saya! Ingat tu!” Tuan Ray tergelak kecil dengan jenakaku.
“So, sayang nak bincang apa tadi?” Giliran aku pula ketawa dengan bahasa panggilannya padaku. Sporting jugak dia ni. Layan aje.
“Nak bincang pasal rumah tangga kitalah. Awak tahu tak yang sekarang ni mama awak dah jatuh suka pada saya?”
“Mana awak tahu dia suka awak?” Tuan Ray jongket kening. Huh, tak percaya dengan aku ke? Apa dia ingat market aku rendah sangat ke? Please! Muka ni ada orang nak buat jadi menantu tahu tak?
“Untuk pengetahuan tuan, waktu mama tuan peluk saya tadi dia dah janji dengan saya yang dia akan pastikan sesiapa pun tak akan ganggu hubungan kita. Tak jelas lagi?” Hilang sudah mood nak berlakon. Suasana bertukar serius. Naik seram bila aku ingat balik janjinya tadi. Buatnya dia nak aku betul-betul jadi menantu dia tak ke haru. Aku memanglah bertuah masuk jadi ahli keluarga dia tapi anak lelaki kesayangan dia? Kesian Tuan Ray. Huhu
“Oh iya ke? Patutlah dia beria-ia suruh saya bawa awak pergi rumah hujung minggu ni,”
“Tuan ambik serius ke apa yang mama tuan suruh tu?” Jangan kata aku kena pergi rumah dia. Tolong, jangan. Tuan Ray mengeluh perlahan sebelum mengangguk. Aku melopong. Dah berapa kali kejutan aku dapat hari ini?
“Are you crazy?” Aku pantas menekup mulut apabila melihat renungan Tuan Ray dah bertukar tajam tiba-tiba.
“Sebab saya tak gilalah saya kena ikut apa yang dia suruh. Mama saya tu, ibu kandung saya. Syurga saya! Takkanlah saya nak buat tak endah apa yang dia suruh,” Entah kenapa aku rasa macam sayu aje tiba-tiba. Sejuk perut auntie Jasmin mengandungkan Tuan Ray. Anak yang mendengar kata. Aku tersenyum.
“Maksudnya saya kena berlakon watak bakal menantu pulaklah ni? Tuan tak takut ke kalau mama tuan betul-betul pinang saya jadi menantu dia?” Usikku. Macam mana agaknya reaksi Tuan Ray?
“Apa awak cakap?” Aku ketap bibir tahan senyum. Jangan dia cop aku perempuan gatal sudah.
“Eh, tak ada apa-apa,” Betul ke tak dengar? Atau dia buat-buat tak dengar? Aku tahulah taktik kau tu Tuan Ray oi. Nak mengelaklah tu.
“So, hujung minggu ni saya datang jemput awak?”
Aku tunduk tengok jari. Apa aku patut buat? Aku rasa masalah dah semakin rumit sekarang. Daripada watak kekasih, aku naik pangkat berlakon jadi watak bakal menantu pulak. Tak ke bala? Makin berat tugasanku.
“Erm, boleh tak kalau saya tak pergi? Saya takutlah tuan. Tuan bagilah apa-apa alasan pun ye. Boleh tuan?” Aku buat muka sedih. Biar dia rasa apa itu makna simpati..hihi. Tuan Ray tidak memberikan sebarang jawapan sebaliknya terus mencapai iPhonenya di atas meja dan membuat panggilan. Orang tengah cakap dengan dia, dia sibuk nak cakap dengan orang lain. Geram betul aku.
“Assalamualaikum mama. Pasal mama suruh Ray bawa Qila ke rumah hujung minggu ni Qila cakap dia tak dapat datang,” Aku telan liur mendengar perbualannya dengan auntie Jasmin. Eei, dia ni suka sangat bertindak melulu macam ni. Kalau iya pun nak telefon, janganlah call depan aku.
“Entahlah, dia cakap dia takut!” Aku ketap bibir. Aku ketuk tangannya yang berada di atas meja dengan pen. Dia pandang aku dengan wajah geram. Tahu marah, buat lagi macam tu. Tiba-tiba Tuan Ray menghulurkan iPhonenya padaku.
“Mama nak cakap. Awak bagilah alasan apa sekalipun saya tak kisah. Awakkan memang pro dalam bab-bab cari alasan ni, saya tak pandai,” Aku sambut iPhonenya dengan sejuta rasa yang sukar ditafsir. Rasa macam nak jawab panggilan dari perdana menteri pulak. Apa aku nak cakap ni?
“Assalamualaikum auntie,” Sapaku dengan suara yang sengaja dilembutkan. Aku sempat melihat Tuan Ray mencebik. Mungkin dia menyampah dengan lakonanku. Ada aku kisah?
“Waalaikumussalam. Qila kenapa tak nak datang? Apa yang nak ditakutkan sangat? Auntie bukannya makan orang pun, kita cuma nak makan-makan aje. Makan nasi lagi,” Pandai berjenaka jugak auntie Jasmin ni. Serba salah pulak aku dibuatnya.
“Err,,bukan apa auntie, saya segan sebenarnya,” Helahku lagi. Tuan Ray mengangguk sambil bertepuk tangan seolah-olah kagum dengan lakonanku. Aku menjelingnya tanda geram manakala dia hanya tersenyum kecil sebelum membuang pandang ke arah lain.
“Tak payah nak segan-segan, nanti kita jadi satu keluarga jugak, kenalah biasakan diri. Bukan begitu?” Aish, rumit keadaan.
“Baiklah auntie, nanti Qila datang,” Tanpa sedar aku telah memberi persetujuan untuk pelawaannya tadi.
“Hah, kan senang macam tu? Bagus, auntie tunggu kedatangan Qila. Nanti kita jumpa hujung minggu ni. Assalamualaikum,”
“Waalaikumussalam,” IPhone Tuan Ray aku letakkan kembali di atas meja.
“Hmm, macam mana?” Eleh, kura-kura dalam perahu, pura-pura tak tahu. Tipu sangatlah kalau dia tak dengar aku setuju tadi.
“Bagi saya alamat rumah tuan, nanti saya datang. Tuan tak payah nak jemput saya,” Aku menjawab soalannya secara berkias. Tuan Ray mengangguk seraya mencapai memo kecil lalu mencatit alamat rumahnya.
ps: okay entry kali ini sedikit pjg (bg sy lah..huhu) sbb lps ni mungkin xdpt post cpt cz next week dh final exam..projek msh ada lg yg tak siap so kena fokus..(fokuslah sgt) insyaAllah habis final exam kita jumpa lg dgn tuan ray n qila k..hehe..slmt berenjoy ;)
adoi, kelakar betul la si qila ni...all d best in ur exms shiroe, fokus ye...
ReplyDeletehahaha
ReplyDeletekalakar la qila
n untuk akk smoga berjaya menjawap exms nanti ok..
best...kelakar la qila tu..nnti update cepat2 ye..tak saba
ReplyDeletebestnyer shiro...suka dekat watak ray tu..thumb up utk awak (Y)
ReplyDeleteI likee.........
ReplyDeletejawab exam molek tu..jge napok ray plok dalam dewan exam..heheheheh
ReplyDeleteTahniah... Cerita ni memang best...
ReplyDeletelike2 ;) tq
ReplyDeletenice..suka arrr cite ni...truskan berkarya...
ReplyDeleteHahaha... Kantoii... Kesian qila... Best2.. Hehehe...
ReplyDeleteuh ..gud luck utk exam ..setia tggu next entry..
ReplyDeletekelakar..kelakar..any way gud luck ya..buat yg terbaek..hope next entry tak da la lama sgt tunggu..hehehe
ReplyDeletebest citer ni..tahniah shiro..
ReplyDeletekalau dpt cepat la sambung episod seterusnya.. tak sabar nak tahu..apa jadi ....