Wednesday, 8 August 2012

Cinta Itu Indah! 20

Suatu petang, abah mengajakku ke pasar malam. Kata abah, dia sudah muak dengan masakan emak. Tekaknya nak bermanja dengan masakan gerai yang dijual di pasar malam. Aleeya yang ingin mengikut, dihalangnya pergi. Kata abah Aleeya lebih elok tambah pahala dengan membantu emak menyiapkan apa-apa yang patut di dapur sebelum kami pulang membawa juadah. Abah ingat sekarang bulan Ramadan ke? Bila Aleeya sudah memuncung, abah mula bagi nasihat

“Tak baik merajuk dengan abah, SPM dah nak dekatkan? Nak restu abah tak?” Hah! Itu dia ayat ugutan abah. Apa punya motivasi yang abah guna sekarang sampai ugut Aleeya macam tu? Bila difikirkan balik, macam mana abah boleh jadi pengetua?

Sunday, 5 August 2012

Cinta Itu Indah! 19

Hari yang berlalu bagaikan hari-hari yang amat sukar untukku tempuh, lebih-lebih lagi kalau tiba waktu untuk ke pejabat. Perasaan bimbang terserempak dengan Tuan Ray selalu ada. Aku bagaikan kekok untuk berhadapan dengan dia setelah mengetahui rahsia hatinya. Setakat ini aku bernasib baik kerana tidak terserempak dengannya, nasibku untuk hari-hari yang seterusnya entah bagaimana agaknya. Tuan Ray juga tidak menghubungiku lagi selepas detik dia meluahkan perasaan. Kami juga sudah tidak keluar makan tengah hari bersama. Lakonan kami bagaikan terhenti begitu saja.

Jauh disudut hati, terselit perasaan bangga kerana lelaki sehebat Tuan Ray mengaku yang dia punya perasaan terhadapku. Mesti hancur harapan setiap wanita yang menaruh perasaaan pada Tuan Ray. Terlompat-lompat Aleeya selepas aku menceritakan perkembangan terbaru Tuan Ray. Dalam pada itu sempat juga dia membebel sebab aku tak bagi kata putus waktu kejadian tempoh hari. Katanya aku sengaja tolak tuah. Apa dia ingat nak terima orang dalam hidup kita ni benda main-main yang tidak perlu ditimbang baik buruknya ke? Aku sendiri kena fikir dan yakin dengan perasaanku pada dia sebelum aku menerimanya sebagai orang istimewa dalam hatiku.