Saturday 9 June 2012

Cinta Itu Indah! 6

Acara pembukaan majlis berlangsung dengan meriah sekali. Acara dimulakan dengan persembahan nyanyian daripada anak-anak yatim ‘Rumah Kasih’. Mereka juga dijemput hadir menghadiri majlis pada malam ini. Aku cukup mengagumi susun atur program pada malam ini. Sekurang-kurangnya syarikat ini berkongsi kelebihan dengan warga yang kurang berkemampuan seperti ‘Rumah Kasih’. Daripada maklumat seorang staf, setiap tahun, syarikat banyak membantu rumah-rumah kebajikan serta pihak yang kurang bernasib baik dari segi kewangan dan kemudahan.

“Hoi, kenapa dengan kau ni Qila? Macam tak happy aje? Hari tu excited sangat nak melantak kat sini?” Khadija melabuhkan duduk di kerusi sebelahku. Apalah masalah Khadija ni, suka sangat tegur orang dengan perkataan hoi, ditegur banyak kali pun hasilnya macam tu jugak. Ketika ini, anak-anak yatim ‘Rumah Kasih’ baru sahaja selesai menyanyi.

“Tak ada apa-apa, tiba-tiba rasa insaf bila tengok budak-budak tu,” Alasanku diterima bulat-bulat oleh Khadija.  Ini semua bos kau punya pasal. Habis berterabur mood aku nak bergembira malam ini. Aku takut sebenarnya. Takut dengan ayat Tuan Ray yang berbunyi

 “Okay, we’ll see tonight. Saya nak tengok sejauh mana awak boleh tipu hati awak tu,”

Bunyi macam ancaman. Dia nak serang aku pakai kapal perang ke apa ni? Hati aku tak tenang, tapi setakat ini aku cuma nampak kelibatnya dari jauh. Aku tak nafikan Tuan Ray kelihatan segak dengan kemeja batik dan slack hitamnya. Pakailah baju apa pun, Tuan Ray tetap kelihatan segak dengan gayanya yang tersendiri. Macam mana agaknya rupa Tuan Ray kalau dia pakai baju pengemis? Masih kelihatan segak atau tidak? Hehe. Dia duduk di meja hadapan bersama-sama orang atasan. Selagi jarak dia denganku jauh, aku boleh dikira berada di zon selamat.

“Sekarang dijemput Pengarah Urusan Berjaya Holdings, Tan Sri Haji Arshad untuk memberi ucapan dan seterusnya merasmikan majlis makan malam syarikat. Dipersilakan,” Ucapan pengerusi majlis diiringi tepukan gemuruh oleh staf-staf syarikat.

“Itulah papa bos aku,” Khadija menyampuk tiba-tiba.

“Mana kau tahu bos kau panggil ayah dia papa?” Aku meneguk air sambil memerhatikan pengarah urusan yang khusyuk memberi ucapan.

“Erk, aku teka aje,” Khadija tersengih memandangku.

“Nampak macam garang,” Komenku ringkas.

“Eh, taklah. Dia okey aje aku tengok. Kau tak kenal dia lagi, kalau kau dah kenal dia mesti kau tak akan kata dia garanglah,” Bangkang Khadija.

“Kenapa? Kau dah kenal dia ke?” Aku merenung Khadija yang sudah mula kalut.

“Erm, pernahlah jugak terserempak dekat pejabat Tuan Ray,” Aku mengangguk. Selepas acara perasmian, majlis diteruskan dengan acara penyampaian hadiah kepada pekerja cemerlang. Ramai juga staf yang naik ke pentas menerima penghargaan. Bilalah agaknya tiba giliran aku nak dapat anugerah pekerja cemerlang. Dalam mimpilah Qila oi. 

Tamat sahaja majlis penyampaian anugerah pekerja cemerlang, semua tetamu dijemput ke meja hidangan untuk mengambil makanan. Aku cuba kuatkan semangat dan mengikut langkah Khadija beratur mengambil makanan.

“Wah, banyaknya makanan Ija, aku dah pening nak pilih yang mana satu ni!” Mood aku benar-benar pulih setelah melihat pelbagai juadah makanan terhidang di meja panjang ini. Khadija tergelak dengan gelagatku.

“Ambik semualah Qila kalau susah sangat nak pilih,” Aku turut tergelak. Aku mula mencapai pinggan dan mula mengisi makanan yang menjadi pilihanku. Aku cuba mengambil seberapa banyak jenis makanan dalam kuantiti yang sedikit.

“Tak siap lagi ke? Aku pergi ambik air dululah,” Khadija berdiri di sebelahku dengan pinggan yang dipenuhi pelbagai lauk pauk. Banyak jugak minah ni makan.

“Okey, kau tolong ambikkan aku air oren,” Sempat aku berpesan sebelum Khadija berlalu. Aku kembali menumpukan perhatian mengisi pingganku dengan pelbagai jenis makanan.

“Dah ready ke nak bongkarkan isi hati awak tu?” Tiba-tiba satu suara berbisik perlahan di  belakangku. Aku tidak berani berpaling. Aku sekarang berada di zon bahaya. Bila-bila masa Tuan Ray akan lancarkan serangan.

“Bongkarkan apa? Saya tak ada sorok apa-apa pun dari tuan.” Aku cuba menonjolkan sedikit keyakinan. Entah apalah yang dia mahu. Kalau ada benda pun yang aku sorok sekarang adalah perasaan takut diserangnya. Percaya ke dia kalau aku cakap macam tu?

“Oh, really? Tapi kenapa saya rasa macam awak ada sorokkan sesuatu daripada saya?” Nak main tarik tali ke ni?  Aku berpaling sedikit melihatnya.

“Saya kata tak ada maknanya tak adalah. Terserah pada tuan nak percaya atau tidak,” Aku menjeling geram. Payah faham betul mamat ni. 

“Okey, kita tengok nanti,” Selepas memberi kata berupa amaran dan mencapai sebiji muffin kecil daripada pingganku, Tuan Ray berlalu pergi sambil menyuap muffin itu ke dalam mulutnya. Aku melepaskan nafas berat sambil melangkah perlahan ke mejaku. Aku diserang trauma sekali lagi. Kulihat Khadija sudah mula bersantap. Aku duduk perlahan sambil merenung pingganku.

“Dah kau ni kenapa pulak? Makanlah, tadi kata excited tak tahu nak pilih yang mana,” Khadija mula membebel sambil meneruskan aktiviti bersantap.

“Entahlah Ija, aku tiba-tiba tak ada selera nak makan,” Rasa macam nak mengadu masalah aku tapi macam tak kena masa dan tempatlah pulak.

“Kenapa ni Qila? Dari tadi aku tengok kau ni macam ada masalah. Kau ada masalah apa?” Khadija mula beralih kedudukan menghadapku. Mula menumpukan perhatian padaku. Aku mula rasa lemah. Rasa nak menangis puas-puas di bahu Ija dan tanpa disangka air mata mula mengalir.

“Eh, Qila kenapa ni?” Khadija mula kalut melihat keadaanku. Aku sudah tidak mempedulikan staf yang duduk semeja dengan kami, yang aku tahu sekarang aku perlu lepaskan tangisan ini untuk mengurangkan beban hatiku.

“Qila, calm down, cuba cakap dengan aku kau ada masalah apa? Ada orang kacau kau?” Khadija memelukku sambil menepuk belakang badanku.

Bos kau. Dia kacau aku. Aku benci dia. Dia ingat dia siapa nak buat keputusan tentang perasaan aku. Aku benci dia Ija! Aku benci dia! Aku hanya mampu menggeleng menjawab pertanyaan Ija. Aku tidak mampu meluahkan perasaan aku sekarang, nanti kang pengsan pulak si Khadija ni.

“Buat masa sekarang aku tak boleh story lagi dengan kau. Aku cuma nak menangis aje,” Tenggelam-timbul suaraku dalam usaha menahan esakan. Khadija mengangguk sambil mengeratkan pelukan untuk menenangkanku. Selepas beberapa ketika, aku kembali tenang.

“Thanks Ija, aku rasa aku dah okey. Jom makan,” Aku cuba bertenang dan menstabilkan emosiku. Aku mesti lebih berhati-hati sekarang dan bukannya menunjukkan sifat yang lemah semangat macam tadi tu.

“Are you sure Qila?” Khadija kelihatan ragu-ragu denganku.

“Yes, I’m sure,” Aku menghadiahkan senyuman yang manis untuk tatapannya. Cehs, perasan sangat aku ni. Manis sangatlah tu. Kami makan dengan senyap. Suasana tidak semena-mena bertukar janggal selepas aku buat babak meraung tadi. Staf yang semeja dengan kami juga senyap. Tak pasal-pasal keadaan bertukar jadi macam ni, kesian mereka. Semua ini salah Tuan Ray. Huh!

“Hadirin sekalian, sekarang tibalah masa yang ditunggu-tunggu. Sebentar sahaja lagi pertandingan ‘Dress to Impress’ bakal bermula. Sesiapa yang berminat untuk memberi sokongan lebih bolehlah penuhkan kerusi-kerusi yang kami susun di sepanjang karpet merah ini,” Bergema suara pengerusi majlis.

“Jom duduk kat sana nak?” Ajak Khadija. Aku berfikir panjang, takut juga nak menapak ke depan takut terserempak lagi dengan Tuan Ray.

“Jomlah, kita bersorak kuat-kuat kat sana, kau pun boleh lepaskan tension kau tu,” Khadija mula merengek sambil menarik lengan bajuku.

“Jomlah,” Aku bersetuju akhirnya. Khadija menarik tanganku dan kami cepat-cepat berjalan mengisi kerusi yang semakin dipenuhi orang ramai. Kami duduk di barisan hadapan  betul-betul di sebelah juri-juri pertandingan. Dah tak ada tempat kosong. Waktu aku sibuk berfikir nak pergi ke tak nak tadi, orang ramai dah mula berpusu-pusu memenuhi kerusi kosong. Semuanya salah aku. Tapi bila difikirkan balik, bagus jugak duduk di sebelah juri, nanti peserta akan berhenti sekejap di hadapan juri untuk memperagakan fesyennya bolehlah aku tilik dekat-dekat peserta-peserta ‘Dress to Impress’ nanti.

“Kau tahu tak Zafril join juga pertandingan ni?” Soal Khadija dalam keriuhan orang ramai saat itu.

“Eh, ahli jawatankuasa boleh ambik bahagian jugak ke?” Hairan juga aku, selalunya ahli jawatankuasa tidak boleh terlibat dalam mana-mana pertandingan yang di anjurkan nanti dikatakan berat sebelah pulak.

“Kau tahu ajelah, Zafril tu ahli jawatankuasa tak sedar diri, degil nak masuk jugak. Katanya dia masuk bertanding bukan sebab nak menang hadiah tapi saja nak populariti,” Aku tergelak mendengar komen Khadija. Ada-ada aje si Zafril ni. Muzik latar pembukaan begitu bersemangat, orang ramai mula bersorak. Aku dan Khadija juga teruja dan ikut bersorak. Tak sabar menantikan kemunculan Zafril.

“Dipersilakan model pertama pada malam ini, Zafril!” Aku dan Khadija bersorak kuat memberi sokongan. Zafril keluar dengan penuh gaya memperagakan kemeja putih dan slack hitam dipadankan dengan tali leher biru tua. Fesyen pejabat ke ni? Ternyata kacak jugak mamat ni. Nasib baik dah berpunya. Zafril berjalan dan berhenti di hadapan juri berpusing ke sana-sini dengan gaya modelnya. Aku dan Khadija tidak berhenti bersorak, sempat lagi Zafril melambai gaya model ke arah kami. Kami ketawa kegembiraan.

Difahamkan ada lima belas orang peserta yang bertanding pada malam ini. Tujuh orang peserta wanita dan lapan orang peserta lelaki. Acara terbahagi kepada tiga sesi. Setiap sesi akan diselangi dengan persembahan nyanyian daripada staf yang terlibat dalam menjayakan persembahan. Setiap sesi juga akan melibatkan lima orang peserta yang akan turun memperagakan fesyen masing-masing.

Sekarang sudah sampai untuk sesi yang terakhir, setakat ini semua peserta tampil dengan fesyen yang berlainan dan hebat-hebat semuanya. Aku keliru nak pilih yang mana terbaik. Aku kerling juri, mereka semua tenang bersandar di kerusi sambil mencatit sesuatu di buku nota masing-masing. Nasib baik diorang tak ambik aku jadi juri. Kalau aku jadi juri aku bukan nak tilik fesyen diorang, aku akan tilik muka diorang dan yang mana peserta tampan dan cantik itu akan mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk menang. 
‘Face to Impress’ hehe dah gila agaknya aku ni. 

“Dipersilakan peserta terakhir kita pada malam ini, berikan tepukan gemuruh untuk Rayyan Amrif,” Mendengar aje pengumuman pengerusi majlis pada waktu itu cukup membuatkan jantungku berdegup pada peringkat yang tidak normal. Lama-lama macam ni aku boleh kena sakit lemah jantung. Tak sangka Tuan Ray join pertandingan ni jugak. Sorakan staf-staf begitu kuat sekali. Bingit telingaku.

Aku berpaling untuk melihat Tuan Ray. Aku terpempan. Pertama kali aku lihat Tuan Ray tampil dengan gaya kasual. Dia kelihatan begitu santai dengan jeans hitam yang dipadankan dengan t-shirt berkolar berwarna merah terang bersama jaket kulit hitam. Sekali pandang dah bukan macam Tuan Ray tapi macam model antarabangsalah pulak dengan gaya rambut yang kemas dan sedikit terpacak. Dia juga membuat sedikit touch up pada wajahnya dengan memakai kaca mata berbingkai hitam. Dari hujung rambut sampailah ke hujung kasut, satu perkataan aje yang tergambar di fikiranku, ‘Perfect’. Mataku tidak lepas daripada memandangnya yang berjalan dengan penuh keyakinan. Aura karisma yang dibawanya mampu memaku pandangan para penonton termasuklah aku. Aku tidak mampu bersorak seperti orang ramai. Nafasku terasa sesak dan saat dia berhenti di hadapan juri, saat itulah mataku bertentang dengan matanya. Dia menghadiahkan sebuah senyuman yang bisa membuatkan aku hampir rebah ke lantai. Aku seperti dipukau. Tiba-tiba aku merasakan kami berada dalam zon vakum di mana tiada suara kedengaran, hanya ada aku dan dia. Kali ini aku tidak melarikan langsung pandangan malahan kekal mengekori langkahnya sehinggalah tiba-tiba bahuku ditepuk kuat.

“Hoi, sudah-sudahlah tenung anak teruna orang tu,” Khadija gelak kuat. Aku tersedar. Apa aku buat tadi?

“Aku buat apa tadi?” Aku masih bingung selepas terkena penangan fesyen Tuan Ray.

“Kau tenung Tuan Ray macam nak telan dia. Kenapa? Dah jatuh cinta ke?” Aku menelan air liur. Kurang ajar punya kawan.

“Mana ada, aku bukan tengok dia, aku tengok baju dia, cantik baju diakan?” Aku cuba alih topik. Memang kau dah gila Qila!

“Iyelah. Tengok bajulah sangat. Tuan Ray pun aku tengok macam syok dok tenung kau. Amacam? Ada rasa kuch kuch hota hai tak?” Usik Khadija lagi

“Kuch kuch kepala hotak kau, jom gerak, aku dah lapar balik ni,” Aku tarik tangan Khadija ke meja makan sekali lagi mengisi makanan dan duduk untuk makan second round. Imej Tuan Ray masih melayang-layang dimindaku. Aku tak nafikan, kalau aku jadi juri aku bagi ten point out of ten. Hilang semua rasa benci bila tengok dia tadi. Cehs, tak tetap pendirianlah kau ni Qila. Mudah sangat tergoda. 

“Hadirin sekalian, sekarang tibalah masa untuk mengumumkan pemenang hadiah utama bagi pertandingan ‘Dress to Impress’. Pemenangnya adalah, the one and only Rayyan Amrif,”  Serentak itu sorakan staf bergema di ruang ballroom. Khadija turut bersorak kuat atas kemenangan bos kesayangannya. Kulihat Tuan Ray dengan tenangnya naik ke pentas menerima hadiah. Dia masih mengenakan pakaian tadi. Aduhai, rasa macam tak nak lepas pandang.

“Sekejap Rayyan, kita ada satu lagi kejutan, ini adalah plan kami last minute, malam ini kita ada satu hadiah istimewa untuk staf yang bertuah. Staf ini bakal menerima penginapan dua hari satu malam di hotel ini bermula malam ini dan staf ini dikatakan bertuah sebab namanya akan dicabut oleh Tuan Rayyan kita dan sekaligus akan diumumkan terus,” Penjelasan panjang lebar daripada pengacara majlis sekali lagi disambut dengan sorakan yang teramatlah kuat daripada hadirin pada malam itu.

“So, Rayyan sila cabut nama staf yang bertuah ni,” Satu balang kaca yang dipenuhi kertas kecil berwarna-warni dihulur pada Tuan Ray. Tidak sampai tiga saat Tuan Ray mencabut satu kertas kecil di dalam balang tersebut. Amboi, tak gaul dulu ke kertas tu? Pakai ambik terus? Huh, memang tak sporting langsung!

“Sila umumkan nama pemenang,” Mikrofon dihulur pada Tuan Ray.

“Congratulation, Nurul Aqilah bt Mohd Azmi,” Aku betul-betul terkejut. Hadirin sibuk memandang depan belakang mencari empunya diri. Aku masih terpaku tidak percaya sehinggalah Khadija menarik dan menolak aku supaya naik ke pentas menerima hadiah. Serentak itu tepukan gemuruh mengiringiku ke pentas. Malu siot! Aku? Kenapa mesti aku? Kenapa orang yang kita nak elak itu jugalah yang kerap kita jumpa? Dari jauh Tuan Ray tersenyum sinis memandangku. Geram aku nak ketuk-ketuk dia ni.

Apabila kaki melangkah di atas pentas, satu masalah lagi timbul, mana taknya nak ambik hadiah berharga daripada Tuan Ray? Bala apalah yang terkena pada kau sekarang Qila. Aku jalan menunduk ke arah Tuan Ray. Sampai sahaja di hadapannya aku menghulurkan tangan untuk mengambil sampul surat yang berisi voucher penginapan, malangnya lain pulak yang terjadi. Tuan Ray dengan selambanya menyambut tanganku ke dalam genggamannya. Aku terkejut dan pantas merenungnya. Lama jugak tanganku dipegangnya.

“Congratulation Qila,” Dia tersenyum lebar tapi agak sinis dari pandangan mataku. Aku memaksa diri untuk tersenyum dan perlahan-lahan cuba meleraikan pautan tangan kami. Gatal! Baru sahaja aku ingin melangkah turun dari pentas tiba-tiba pengacara majlis menahanku sambil memberi isyarat untuk bergambar sekejap. Lambat-lambat aku melangkah dan berdiri di sebelah Tuan Ray. Kami sama-sama memegang sampul surat sambil tersenyum ke arah lensa kamera.

“Macam mana perasaan sekarang? Okey? Ke terkena pukulan ombak tsunami?” Dia berbisik perlahan. Sempat lagi tu nak serang aku dengan soalan bodohnya. Aku buat bodoh dan cepat-cepat berlalu turun selepas menangkap gambar. Malas nak layan orang perasan.

Sampai sahaja di mejaku, Khadija sudah sedia mendepang tangan untuk memelukku. Aku cepat-cepat meloloskan diri ke dalam pelukannya.

“Tahniah Qila, kau memang bertuah. Inilah tuahnya kalau jadi kawan aku,” Khadija ketawa galak.   

“So, kita bermalam kat sini malam ni?” Aku bertanya Khadija.

“Kau nak ajak aku bermalam sekali dengan kau ke?” Khadija betul-betul terkejut atau buat lakonan terkejut ni?

“Iyelah takkan aku nak ajak Zafril pulak?” Aku ketuk lengannya perlahan.

“Manalah tahu kau nak ajak Tuan Ray,” Tidak sempat Khadija menghabiskan ayatnya, aku tampar kuat lengannya.

“Mulut tu jaga sikit, dengar dek orang nanti, tak pasal-pasal jadi fitnah,” Aku ketap bibir, ish minah ni mulut tu memang tak ada insuran langsung, main langgar sahaja.

“Sorry kawan, aku gurau tadi tu. Eh, aku on aje. Mak aku mesti bagi punya,” Khadija ketawa gembira.

“Tapi baju kita macam mana?” Takkanlah nak pakai baju sama?”

“Jangan risaulah, kat bonet kereta aku tu memang berlambak baju spare,.hehe siap dengan pakaian kecik yang dijamin baru punya,” Khadija tergelak. Sekali lagi aku tampar kuat lengannya.

“Tak senonohlah kau ni,” Khadija mengaduh.

“Betul apa aku cakap. Mana ada tak senonohnya,” Marah Khadija

Aku menunggu Khadija di ruang lobi hotel selepas acara tamat sebentar tadi. Khadija ke kereta untuk mengambil beg pakaian, dihalangnya aku daripada turut serta temankan dia. Katanya nak jumpa seseorang. Minah ni ada skandal ke? Aku mencapai majalah di meja kopi dan mula membeleknya.

“Dah check in?” Tiba-tiba Tuan Ray duduk di sofa setentang denganku. Aku mula diserang migraine.

“Belum lagi. Eh, tuan tak balik lagi ke?” Aku bercakap sambil tangan masih tidak berhenti membelek majalah.

“Khadija tak ada cakap ke saya bermalam kat sini?”

“Apa?”

“Kenapa awak terkejut sangat ni?” Tuan Ray berkerut kening. Aku berdehem perlahan membetulkan suara dan letak duduk.

“Eh, tak adalah, saya biasa-biasa aje,” Mana Khadija ni? Ambik baju ke beli baju. Aku dah mula rasa tak selesa duduk menghadap Tuan Ray.

“Qila, saya nak cakap sesuatu dengan awak ni,” Tuan Ray bercakap dengan aku tapi matanya ralit menumpukan perhatian pada IPhonenya.

“Tuan nak cakap pasal apa lagi? Pasal perasaan saya? Kalau tuan nak cakap pasal tu saya tak nak komen apa-apa,” Aku merenungnya dan dia juga turut membalas renunganku. Aku mengangkat kening menghantar pertanyaan ‘apa tenung-tenung orang?’ Dia tersenyum kecil sambil mengalihkan pandangannya.

“Kenapa nak mengelak cakap pasal perasaan?” Soal Tuan Ray tiba-tiba. Alamak soalannya sekarang sudah mencapai tahap ingin membongkarkan rahsia besar hatinya. Aku tak sedia lagi nak dengar semua tu. Aku menutup majalah dan meletakkannya kembali ke atas meja.

“Okey, tuan nak cakap sangat pasal perasaankan, jadi saya nak tanya tuan dulu,” Aku menggenggam tanganku erat.

“Nak tanya apa?” Tuan Ray bersandar tenang sambil memeluk tubuh. Aku menarik nafas panjang sebelum kembali merenungnya.

“Kenapa tuan layan saya macam lain daripada yang lain?” Aku rasa wajahku kebas. Rasa nak telangkup dekat lantai aje. Tuan Ray mengerutkan dahinya.

“Lain macam mana maksud awak?” Soalnya lagi. Dia ni betul-betul tak faham ke atau buat-buat tak faham.

“Iyelah lainlah,” Aku mula tak tentu arah

“Maksud awak?” MasyaAllah kenapalah payah faham sangat mamat ni. Kata pengurus besar, takkanlah hal remeh berkaitan dirinya masih tak faham-faham.

“Saya rasa tuan layan saya tak sama macam tuan layan orang lain, I mean a little bit different, macam bukan majikan layan pekerja,” Selesai aje beri penjelasan aku terus tunduk tilik jari jemariku.

“Owh tentang tu,” Tuan Ray mengangguk. Laa, baru faham ke? Slow connection betullah dia ni. Aku juga turut mengangguk, tidak sabar untuk mendengarkan jawapan kepada persoalan yang selama ini menghantui aku.

“Betul awak tak tahu kenapa saya layan awak macam tu?” Tajam renungannya. Mataku meliar ke sana sini. Takkanlah aku nak jawab yang aku rasa dia syok kat aku? Aku mengangguk perlahan. Masih dalam keadaan keliru.

“Are you sure?” Kali ini dia tersenyum sinis, barangkali tidak percaya dengan jawapanku tadi.

“Ala, tuan jawab ajelah soalan saya tadi,” Aku buat muka bosan dan cuba tukar topik. Orang soal dia, dia sibuk dok soal orang balik.

“You want to know why?” Soalnya perlahan.Aku berdebar. Bersediakah aku? Macam mana kalau jawapan dia sama dengan apa yang aku fikir selama ini?

“Yes,” Jawabku antara yakin dengan tidak.

“Really?’

“Yes,”

“Okay, sebabnya simple aje,” Tuan Ray bangun dari bersandar dan kali ini dia duduk sambil menongkat siku pada lututnya dan kedua tangannya digenggam dan diletak bawah dagu.

“Saya..,” Kenapa mesti meleret? Tuan Ray tersenyum.

“Suka…,” Aku dah mula nak rasa pitam. Aku mengangkat tangan.

“Stop! Saya tak nak dengar,” Aku picit kepala. Dah berpinar-pinar mataku. Dia ingat aku tak tahu yang dia nak cakap ‘saya suka awak’? Oh tidak, rupa-rupanya sangkaan kau selama ini berasas, memang Tuan Ray syok kat kaulah.

“Eh, kenapa pulak? Saya tak habis cakap lagi ni, dengarlah dulu,” Tuan Ray masih tersenyum.

“No, please tuan, saya tak nak dengar,” Aku merayu sambil menekap kedua tanganku pada telinga. Tuan Ray tergelak apabila melihat tindakanku.

“Kenapa tuan gelak?” Aku memandangnya hairan.

“Dan kenapa awak tak nak dengar alasan saya? Dah boleh agak dah?” Entah kenapa aku tiba-tiba rasa malu nak memandangnya.

“Tuan suka saya? Macam tu?” Takut-takut aku pandangnya. Tuan Ray senyap tak bagi respon. Dia hanya merenungku sambil tersenyum.

“Tuan dah fikir masak-masak ke ni? Saya tak boleh terima tuan!” putusku yakin sekali. Ish dia ni biar betul syok kat aku. Ramai lagi perempuan lain kat atas dunia kenapa aku jugak yang dipilihnya. Memanglah aku cantik tapi untuk bergandingan dengannya rasa macam tak sesuai aje. Tuan Ray boleh cari yang lebih cantik dan yang penting setanding dengannya dari segi kerjaya. Setakat setiausaha macam aku ni hanya sesuai untuk orang-orang biasa setaraf denganku. Pokoknya sekarang, aku tak akan terima lelaki yang tak setaraf denganku. Apa ingat orang berada aje yang boleh buat keputusan tak nak pilih orang yang tak setaraf dengannya untuk dijadikan teman hidup? Orang kurang berada macam aku pun boleh buat pilihanlah. Pilihanku adalah Tuan Ray tidak setaraf denganku.

“Kenapa tak boleh terima saya?” Tuan Ray kembali berpeluk tubuh. Wajahnya masih tenang. Barangkali tidak percaya dengan keputusanku. Apa kau ingat kau akan selalu dapat apa yang kau nak? 

“Tuan, saya bukan nak kurang ajar tapi anggap aje apa yang bakal saya katakan ini adalah luahan yang tulus ikhlas dari hati saya,” Tuan Ray mengangguk dan kelihatan bersedia mendengar penjelasanku.

“Saya rasa berhubung dengan pengakuan tuan sukakan saya tu, tuan perlu fikir sekali lagi. Tuan dengan saya? Saya rasa macam tak logik langsung. Ada baiknya tuan balik dan cermin diri tuan tu dulu. Tuan tu tak layak nak bergandingan dengan saya tau,” Lancar sekali tiap patah kata yang keluar dari bibirku. Tuan Ray kelihatan terkejut dengan penjelasanku. Kulihat bibirnya bergerak-gerak tapi tiada kata yang terluah, terkejut yang teramat sangat barangkali. Apa intro aku melampau sangat ke?

“Awak..,”

“Nanti dulu tuan , saya tak habis cakap lagi ni,” Aku mencelah. Aku memang pantang kalau orang menyampuk kalau aku tengah bercakap.

“Saya nak tuan betul-betul faham kenapa saya tak boleh terima tuan. Point yang lebih jelas yang saya boleh cakap kat sini adalah tuan tu tak setaraf dengan saya. Saya tak akan terima lelaki yang tak setaraf dengan saya,” Aku menarik nafas kelegaan. Lega rasanya dapat meluahkan isi hati aku ni.

“Saya kena balik cermin diri saya dulu? Saya tak setaraf dengan awak? Apa awak ni puteri raja ke?” Tuan Ray seakan tidak dapat menerima kenyataan setelah mendengar penjelasanku. Aku tepuk dahi. Alamak, Tuan Ray dah salah fahamlah pulak.

“Kejap tuan, tuan dah salah faham ni. Maksud saya yang sebenarnya tuan tak layak bergandingan dengan saya sebab tuan tu tak sesuai dengan saya,”

“Apa?” Tidak berkelip Tuan Ray memandangku. Aku ketap bibir.

“Macam nilah tuan, bak kata pepatah enggang biarlah terbang tinggi bersama enggang dan pipit biarlah terbang rendah bersama pipit. Enggang dan pipit tak boleh terbang bersama. Dalam hal kita sekarang tuan tu enggang dan saya ni pipit. Tuan tak setaraf dengan saya. Tuan perlu cermin diri tuan supaya tuan sedar yang tuan tu enggang dan bukannya pipit macam saya ni dan saya hanya akan pilih lelaki yang setaraf dengan saya maksudnya itu pipit dan bukannya enggang macam tuan. Faham?” Panjang lebar jawapanku. Kalau Tuan Ray tak faham jugak tak tahulah aku.

“MasyaAllah Qila, Qila,” Tuan Ray mengeluh sambil menggeleng kepala.

“Apa tuan tak faham lagi ke apa yang saya cakap tadi?” Aku dah mula naik geram. Kenapa payah faham sangat dia ni

“Saya faham. Apa awak ingat kita ni burung ke?” Tuan Ray mencebik. Alahai comelnya dia buat macam tu.

“Tak adalah sampai macam tu. Itu cuma perumpamaan aje,”

“Perasan jugak awak ni, bila pulak saya cakap yang saya sukakan awak Qila?” Aku terkejut dengan soalannya. Wajahku rasa kebas.

“Erm,..,” Aku hilang kata-kata.

“Saya tak habis cakap lagi awak dah potong dan tak nak dengar jawapan saya. Saya layan awak lain macam tu sebab saya suka usik awak. Bukannya saya suka awak!” Aku rasa seperti sebiji batu besar menghempap wajahku, kasi hancur terus lagi baik biar aku tak boleh tengok Tuan Ray dan Tuan Ray dah tak boleh cam aku. Sumpah, aku malu tahap dewa dewi. Mana kau nak campak muka cantik kau tu Qila?

“Erk, saya dah salah fahamlah ni?” Aku buat garu-garu kepala yang sememangnya seratus peratus tidak gatal langsung, saja nak cover malu.

“I guess so,” Tuan Ray mengangguk yakin.

“Maaflah sebab dah terfitnah tuan sukakan saya,” Aku tersipu-sipu malu.

“Maaf? Tempoh hukuman dulu baru habis, sekarang awak dah buat fitnah sekali lagi?” Aku tergamam. Aah, kenapa aku suka terfitnah dia? Bukan salah aku jugak tapi dia yang menyediakan peluang untuk aku fitnah dia. Kira dia pun bersalah jugaklah dalam hal ni.

“Habis tu macam mana ni tuan? Tuan tak nak maafkan saya atau nak lanjutkan lagi tempoh hukuman?” Macam biasa Tuan Ray hanya akan berminat dengan taktik jual beli ni, nama lagi usahawan perniagaan mestilah minat jual beli ni. Apa punya pengurus besarlah dia ni, Encik Irfan pun tak macam ni.   

“Okey, saya maafkan awak tapi dengan satu syarat,” Hek eleh pakai syarat segalalah pulak.

“Apa syaratnya?”

“Be my girl,” Aku terlopong. Memang sah Tuan Ray ni spesies lelaki tak sedar diri. Terang-terang dah tadi aku cakap dia tak setaraf dengan aku dan siap suruh cermin diri lagi tapi masih tak faham-faham. Banyak makan otak udang ke sampai payah sangat nak faham ni?

“Susahlah cakap dengan tuan nikan? Kan saya dah cakap tadi yang..,”

“Wait. Dengar dulu apa yang saya nak cakap ni. Jangan menyampuk boleh tak?” Mata Tuan Ray dah mula menjeling dan perutku dah mula kecut. Aku menekap tangan pada mulutku.

“You just have to pretend to be my girl. I mean acting,” Sekali lagi aku terlopong.

“But why?” Aku tak faham kenapa dia pilih aku dan kenapa aku kena berlakon. Entah kenapa hatiku rasa sesuatu. Rasa apa? Kau terkilan bila dia suruh kau berlakon dan bukannya ajak couple secara real Qila? Apa kau mengharap ke Qila? Apa ke jadahnya mulut kata tak nak tapi hati kau mengharap Qila? Diamlah mangkuk! Qila berperang dengan perasaannya.

“Sebab saya nak lari dari seseorang,”

“Ada orang kejar tuan ke?”

“Lebih kurang macam tulah,” Ish, siapa perempuan tak tahu malu tu? Kalau aku, dah lama aku lenyapkan diri daripada pandangan Tuan Ray kalau dia dah reject aku.

“Tapi kenapa saya?” Hah, jawablah.

“Sebab dia dah nampak kita lunch kat gerai hari tu, siap tangkap gambar lagi. Alang-alang dia dah syak kita, apa salahnya kita teruskan syak wasangkanya. Biar dia percaya dan give up,” Aku mula nampak gambaran perancangan Tuan Ray. Dia nak buat perempuan tu give up dengan dia. Aku mengangguk perlahan.

“Awak setuju?” Tuan Ray mengangkat kening.

“Dia bahaya ke tak?” Aku musykil.

“Maksud awak?” Tuan Ray pulak tak faham

“Iyelah bahaya ke tak maksud saya tu ada kemungkinan ke dia cemburu dan ambik keputusan nak apa-apakan saya?” Aku meluahkan rasa bimbangku. Bukannya kita boleh jangka tindakan orang. Dari cara tak tahu malunya kejar Tuan Ray dah cukup bukti bahawa nekadnya dia mahu memiliki Tuan Ray dan barang siapa yang cuba menghalangnya pasti akan di hapuskan dan dilenyapkan serta merta dari muka bumi. Kalau aku tengok cerita kebanyakannya macam nilah plotnya. 

“Apa awak mengarut sampai ke situ?” Tuan Ray ketawakanku.

“Eh, tuan jangan nak gelak-gelak, kita mana tahu apa tindakan dia dan kalau saya setuju dengan rancangan tuan yang jadi mangsanya sekarang saya tau bukan tuan,” Aku berpeluk tubuh sambil mencebik ke arahnya.

“Okay saya minta maaf. Don’t worry because I’ll make sure nothing gonna be happen to you,” Entah kenapa mudah aje aku yakin dengan jaminannya.

“Okay, saya setuju tapi saya tak nak benda ni kecoh kat pejabat. Maksudnya saya akan berlakon secara rahsia. Rahsia ini milik kita berdua. Deal?”

“Deal,” Sahut Tuan Ray. Aku tersenyum.

“Kenapa mudah sangat awak setuju dengan tawaran saya? Saya tak ada bagi ganjaran apa-apa pun pada awak?” Soalannya membuatkan aku berfikir. Betul jugak, kenapa aku mudah sangat setuju?

“Mungkin sebagai menebus rasa bersalah saya sebab fitnah tuan banyak kali. Atau mungkin Allah SWT yang gerakkan hati saya supaya terima tawaran tuan tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran? Entahlah, saya pun kurang pasti,” Jawabku panjang lebar dan sememangnya aku juga tidak faham dengan diriku kenapa aku bersetuju dengan mudah sekali.

“Bukan sebab awak suka saya?” Tuan Ray angkat kening. Aku buat aksi nak muntah sehingga tergelak Tuan Ray dibuatnya.

“So apa saya perlu buat sekarang?” Semangat kau Qila! Manalah tahu boleh menang award. Hehe.

“Nothing. Saya akan cakap bila saya perlukan bantuan awak tapi saya nak awak bantu saya bila-bila masa saya perlukan awak, boleh?”

“No problem tuan,” Aku angkat tangan tanda tabik kepadanya. Tuan Ray tergelak dengan gelagatku.

“Ehem ehem, bahagia nampak?” Tegur Khadija sambil duduk disebelahku.

“Kau pergi mana Ija? Lama gila aku tunggu kau. Kau pergi ambik baju ke jahit baju hah?” Angin membebel aku mula menyerang.

“Ambik baju sambil jumpa seseoranglah, kan aku dah cakap tadi,” Khadija mula memuncung

“Cakap dengan aku kau skandal dengan siapa tadi?”

“Amboi statement, tak sayang mulut eh? Aku tak ada skandal dengan siapa-siapa. Yang aku lihat dan pasti sekarang adalah kau tu yang ada skandal dengan bos aku,” Aku tampar kuat lengan Khadija. Baru nak kenakan dia alih-alih dia dah tembak aku. Kurang ajar punya kawan.

“Sakitlah mak cik!” Khadija mengaduh sambil menggosok lengannya.

“Merepek lagi,” Marahku.

“Alah, bos aku rileks aje kau pulak marah-marah. Betullah tu kan kan kan?” Khadija tolak-tolak bahuku dengan bahunya. Eei, rimas aku!

“Kan bos?” Apabila aku tak bagi respon dia mintak pendapat Tuan Ray pulak. Minah ni aku sekeh kang.

“Maaflah tuan, Ija ni memang tak beli insuran untuk mulut dia, memang bergurau tak kena tempat, kalau tuan ada kenal ejen insuran bolehlah kenalkan dekat Ija. Kami pergi check in dulu. Assalamualaikum,” Terus aku tarik tangan Khadija ke receptionist. Buat jatuh saham aku aje minah ni.

“Waalaikumussalam,” Balas Tuan Ray sambil menghadiahkan senyuman manisnya. Manis ke?

P/S : akan bersambung….enjoy ;)


1 comment:

  1. Omooo ~ mmg nak resign lgs. Malu weeeeyh ! Hahahahahaa

    ReplyDelete