Sunday 29 July 2012

Cinta Itu Indah! 17

Telefon di tangan aku renung. Sudah berapa lama aku ulang baca sebaris nama yang tertera di skrin telefon itu. Panggilannya langsung aku tak jawab. Bila difikirkan balik, malu pula bertindak terburu-buru tempoh hari. Kalau aku jadi Tuan Ray pun aku dah boleh agak kenapa aku bertindak begitu. Hei, malu! Malu! Malu! Nampak sangat aku kecil hati dengan dia. Kecil hati disebabkan satu alasan yang hati dengan otak aku tak boleh memberi kata putus yang sama. Hati kata lain, otak kata lain. Hati kata kau suka dia. Otak kata tidak. Tapi tindakan fizikal lebih berpihak pada hati, kalau tak, takkanlah aku terus cabut lepas dengar kenyataannya tempoh hari. Oh Aqilah, kenapa kau suka sangat memalukan diri kau sendiri? Aku termenung mengenangkan nasib diri.


Tok! Tok! Tok! Siapa pulak yang rajin mengacau aku malam buta ni? Aku lihat jam di dinding. Dah masuk pukul sebelas malam. Aku menggagahkan badan untuk bangun dan membuka pintu bilik. Terpacul wajah Aleeya dengan rambut serabai dan sebuah buku teks dalam pelukannya.

“Masuklah,” Aku terus berjalan ke katil dan menghempaskan badan sekali lagi sambil memeluk erat patung sinchan sebesar budak berumur dua tahun. Aleeya ikut sama berbaring di sebelahku. Kaki kanannya disilang dan direhatkan atas lutut kirinya. Buku teks Sejarah tingkatan lima dibuka dan ditegakkan di atas perutnya. Macam ni ke gaya ulangkaji? Macam manalah ilmu nak masuk?

“Kakak kenapa tak tidur  lagi?” Suara Aleeya memecah suasana senyap dalam bilik. Aku berbaring mengiring menghadapnya.

“Kakak tak boleh tidur. Aleeya pulak nak apa masuk bilik kakak malam buta ni? Esokkan sekolah?”

“Orang pun tak boleh tidur. Esok ada exam, paper Sejarah. Orang takut kalau orang tidur nanti bangun orang lupa apa yang orang baca,” Aku tergelak mendengar alasannya. Pelik betul budak ni. Kalau orang lain, esok exam, malam ni kena tidur awal, Si Aleeya ini terbalik pulak.

“Mana ada boleh lupa. InsyaAllah kalau kita usaha, kita boleh jawab soalan tu. Jangan lupa juga berdoa, mintak dipermudahkan urusan Aleeya tu,” Itulah yang seeloknya. Banyak mana usaha kita sekalipun tetapi kalau diri sombong untuk meminta dengan Allah, tak guna jugak. Kita hanya boleh merancang dan berusaha tetapi Allah yang menentukan rezeki kita macam mana.

“Aleeya tak pernah lupa untuk berdoa selepas setiap kali solat tapi itulah Aleeya tetap risau dan was-was takut lupa semua tu,” Keluhnya lagi. Buku teks Sejarah sudah ditutup dan diletakkan di sebelah.

“Sifat was-was itu semua kerja syaitan yang nak memperdayakan kita. Yakin dengan pertolongan Allah dan usaha Aleeya selama ini, InsyaAllah boleh. Adik kakakkan top student kat sekolah?” Aleeya sudah sengih malu-malu kucing. Ceh, dengan aku pun nak malu ke? Apa yang aku cakapkan tadi semuanya kenyataan, bukannya nak membeli hatinya.

“InsyaAllah kak,” Ujarnya. Bibirnya masih terukir senyuman.
Setelah lima minit kami senyap memikirkan masalah hidup, Aleeya kembali memecah suasana hening itu.

“Orang nak tidur dengan kakak malam ni boleh?”

“Kenapa?”

“Saja,”

“Suka hati Aleeyalah,” Aleeya ketawa senang sebelum menghulurkan buku teks Sejarah padaku. Apa kena pulak dengan budak ni? Nak ajak aku jawab exam Sejarah jugak ke esok?

“Kakak ambiklah baca buku ni, confirm tak sampai dua minit mood mengantuk kakak akan datang,” Aleeya, ada sahaja buah fikirannya yang pelik-pelik. Bukunya itu aku capai.

“Habis tu Aleeya tak nak baca dah?”

“Malas dah! Otak orang dah tepu dah. Asyik ternampak-nampak wajah Temenggung Jugah anak Barieng,” Siapa tu? Aku pun sudah lupa pada nama itu apatah lagi nak bayang wajahnya. Subjek Sejarah bukanlah minatku sejak dari dulu lagi.  

Aku membelek ala kadar buku teks tersebut. Hurm, perasaan aku tengok buku ni masih sama waktu aku tengok masa tingkatan lima dulu. Memang tak pernah berubah.

“Kenapa kakak tak boleh tidur? Ini mesti gaduh dengan boyfriend ni. Tengah serabutlah sekarang ni?” Hish, budak ni, ada saja modal nak kenakan aku. Aku gaduh dengan boyfriend? Boleh diambil kiralah kot. Boyfriend palsu. Patut ke aku tanya dengan Aleeya? Aleeyakan suka baca novel dan menonton drama, tidak mustahil dia boleh menjawab persoalan aku.

“Erm, kakak ada nak kongsi satu cerita dengan Aleeya,”

“Hah tengok! Memang orang dah agak dah. Apa dia kak? Kakak nak cerita pasal boyfriend kakak ek” Teruja betul reaksi Si Aleeya. Over pulak budak ni.

“Banyaklah kakak punya boyfriend. Kakak masih single lagi tau, tak pernah menjalinkan hubungan dengan mana-mana lelaki. Sebenarnya kakak serabut dok fikirkan masalah kawan kakak ni,” Fikiranku ligat mencipta jalan cerita yang hebat untuk dipersembahkan pada Aleeya.

“Kenapa dengan dia?” Soal Aleeya. Dia sudah bangun duduk bersila menghadapku.

“Kalau kakak cerita mesti Aleeya akan terkejutlah,” Provokku lagi

“Ceritalah,”

Aku mula menceritakan daripada awal pertemuan pertama aku dengan Tuan Ray sehinggalah pertemuanku yang terakhir di gerai mamak depan bangunan pejabat dua hari lepas. Cuma watakku sahaja aku gantikan dengan kawanku yang sememangnya tidak wujud di atas muka bumi ini.

“Apa pendapat Aleeya? Kenapa kawan kakak tu bertindak macam tu?” Aleeya sudah tergeleng-geleng kepalanya. Rupa macam orang kesal pun ada. Apa pasal ni?

“Hurm, sebenarnya diorang dua-dua tu ada masalah,” Yakin sekali jawapan yang keluar dari mulutnya. Tidak teragak-agak langsung.

“Masalah? Masalah apa?” Pada pendapatku memanglah diorang berdua punya masalah. Merekakan tengah bergaduh sekarang ni?

“Masalah hati! Kawan kakak tu masih tak sedar dia ada masalah tu dan kekasih palsu dia tu dah lama dah sedar dia sakit tapi sengaja tak nak cari penawar,” Aku dengan Tuan Ray ada penyakit hati? Mengarut betul Aleeya. Ini mesti taksub belajar subjek Biologi ni.

“Apa yang Aleeya cakap ni? Tak faham kakak,” Serius aku tak faham bila dia guna bahasa kiasan. Apa dia ingat aku ini orang sastera?

“Maksud Aleeya diorang berdua tu saling mempunyai perasaan antara satu sama lain tapi kawan kakak tu tak sedar yang dia sebenarnya suka dekat kekasih palsu dia tu. Satu lagi Aleeya yakin sangat yang kekasih palsu dia tu dah lama suka dengan kawan kakak tu tapi tak berani nak luahkan perasaan dia,” Jawapan adik aku ni lebih kurang sama dengan jawapan Khadija. Aku dengan Tuan Ray punya perasaan terhadap diri masing-masing? Amboi, bertuah benar aku kalau Tuan Ray nak dekat aku. Tapi macam tak logik aje.

“Huh! Mengarut,” Tukasku tidak setuju dengan pendapatnya. Aleeya kerut dahi tidak puas hati.

“Betullah! Kisah-kisah macam ni dah banyak orang baca dalam novel dan tengok drama-drama especially drama korea. Nanti jangan sama-sama menyesal sudah kalau tak luahkan perasaan masing-masing,” Rujukan budak ni pun bukan boleh percaya sangat. Pemikiran Aleeya sama dua kali lima dengan abah. Suka kaitkan realiti kehidupan dengan segala jalan cerita yang direka pengarah drama dan penulis novel.

“Pendapat budak umur tujuh belas tahun tak berapa relevan untuk dibuat uji kaji,” Dalihku lagi. Masih enggan untuk menerima penjelasan Aleeya. Aku suka Tuan Ray? Hish! Tak mungkin, tak mungkin! Tuan Ray suka aku? Ish! Mustahil! Mustahil!

“Tak relevan konon! Kalau tak percaya, nanti kakak suruh kawan kakak tu berlakon sekali lagi. Kali ini pegang watak keras hati atau hati batu! Cuba jangan pedulikan kekasih palsu dia tu buat satu jangka masa. Confirm lelaki tu gelabah and I’m not surprised if he finally comes and confess his sincere feeling to your friend,” Hati kecilku ingin menerima kata-katanya tapi..

“Tak mungkin,” Nyata aku masih dalam dilemma.

“Kenapa?” Soal Aleeya. Dia mencebik bibir apabila semua pendapat dan buktinya aku tolak bulat-bulat.

“Takkanlah semudah tu boleh jatuh cinta?” Kan? Kan? Kan? Kitaorang kenal baru lima bulan lebih, takkanlah dah,..ish mustahillah!

“Semuanya boleh jadi mudah dengan izin Allah kak,” Jawapan Aleeya buat aku sedar akan sesuatu. Betul, kalau semua itu kehendak Allah, maka jadilah ia. Kalau Allah dah tetapkan jodoh aku dengan Tuan Ray, maka kahwinlah aku dengan dia. Arghh!!!Ngeri siot!

“Kakak tak percaya,” Aku masih lagi berdalih. Aleeya senyum sedikit

“Tak percaya tang mana?” Keningnya diangkat-angkat seolah mencabarku kerana main-main dengan penjelasannya.

“Dua-dua! Maksud kakak, mustahil mereka saling punya perasaan cinta,” Aleeya yang mendengar jawapanku mencapai tanganku dan digenggam erat. Matanya merenung mataku dalam-dalam. Aku pula seolah-olah dipukau apabila statik membalas pandangan matanya.

“Kakak tak yakin dengan perasaan kakak?” Soalnya perlahan dan penuh perasaan. Yakin? Aku sendiri kurang pasti dengan perasaanku ini. Ingin menafikan tetapi kenapa sejak akhir-akhir ini aku selalu memikirkan tentang dirinya? Kenapa nak buat keputusan keluar dengan Ikmal pun runsingkan dirinya? Kenapa kecil hati dengan kata-katanya? Kenapa keras hati untuk menjawab setiap panggilan telefonnya?

“Kakak tak tahu,” Jujur aku tidak tahu.

“Atau kakak tak yakin dengan perasaan dia?” Perasaan dia? Apakah perlakuan rajuk dan marahnya selama ini membuktikan perasaannya pada aku? Sukar untuk aku selami perasaan sebenar lelaki itu. Dia seorang yang susah untuk diteka perasaannya. 

“Kakak tak tahu,” Betul aku tak tahu.

“Kakak suka dia?” Kau suka dia Qila? Aku tak pasti tetapi yang aku pasti aku selesa kalau setiap kali bersamanya. Malah aku suka dengan sikapnya yang tidak berlebih-lebihan, sikap sederhananya, sifat taat pada ibu bapanya, sifat rendah dirinya apabila melayan semua pekerja sama-rata. Apa lagi ya? Amboi Qila banyak mana kamu suka dia? Berjuta-juta lemon? Lebih-lebih pulak kau.

“Kakak tak tahu,” Aku tak tahu aku suka dia sebagai kawan, majikan atau lebih daripada yang tersebut. Macam mana nak tahu?

“Oh jadi kakaklah ni? Not your friend? Memang orang dah agak dah,” Suara kuat Aleeya mematikan lamunanku yang sibuk memikirkan Tuan Ray. Ceh, pandai dia perangkap aku! Masalah! Aleeya sudah gelak sakan sehingga berair matanya.

“Aleeya tolong jangan nak heboh dengan siapa-siapa!” Jari telunjukku sudah bergerak ke kiri dan kanan memberi amaran. Aleeya ketawa jahat ala-ala penyangak sambil menepis perlahan jari telunjukku.

“Okey, tapi dengan lebih daripada satu syarat,” Jawabnya angkuh. Siap tawar menawar lagi budak ni. Sabar Aqilah untuk kebaikan kau.

“Apa?”

“Kakak tak boleh rahsiakan apa-apa perkembangan hubungan kakak dengan dia daripada pengetahuan orang dan satu lagi kakak kena jawab semua soalan yang orang tanya berkaitan dengan dia,” Apa kau ingat kau tu wartawan ke Cik Aleeya? Nak aje aku sembur dia tapi? Tak boleh, tak boleh! Sebab Aleeya kamceng dengan Abang Amir dan kalau aku marah dan tak setuju dengan dia cepat sahaja berita ini akan sampai pada Abang Amir dan akan melarat pada Abang Armand kembarnya dan seterusnya akan sampai pada mak dan abah. Nak mampus?

“Okey!” Putusku.

“Dia handsome tak?” Amboi cepatnya soalan dan tak ada soalan lain ke? Apa handsome boleh bawa kebahagiaan sampai akhirat? Ewah-ewah Qila, kalau dapat yang handsome, kau jugak yang akan senyum lebar atas pelamin nantikan?

“Tak,” Betul ke? Semestinya aku bohong. Buta benarlah mata orang yang pandang Tuan Ray dan cakap dia tak handsome. Aleeya diam sejenak sambil dahinya dikerutkan. Tak percayalah tu.

“Okey, orang assume kakak tengah marah dia sekarang, so jawapan tu jadi ralat dan tak mustahil untuk soalan-soalan yang seterusnya jugak pasti jawapannya negatif  memanjang. Lain kali bila mood kakak dah okey, dah berbaik dengan dia, orang tanya lagi ek,” Eh budak ni. Tak percaya pulak dia.

“Erm, satu lagi. Apa nama dia?” Tanyanya lagi. Wajahnya macam mertua nak sambut menantu. Teruja tahap dewa dewi.

“Rayyan,” Jawabku malas.

“Erm, Rayyan semata-mata?”

“Muhammad Rayyan Amrif. Kenapa sibuk nak tahu nama penuh ni?” Aku dah mula pelik dengan Aleeya.

“Penting kak sebab kalau nak mintak doa dengan Allah adalah lebih afdal kalau kita sebut nama penuh dia,”

“Aleeya nak mintak apa?”

“Iyalah, Aleeya nak doalah supaya jodoh Nurul Aqilah dengan Muhammad Rayyan Amrif ni kuat!” Aku telan liur. Memang Aleeya dah masuk satu kapal dengan Khadija. Sama-sama ada masalah otak! Lagi teruk daripada masalah hati.

“Mengarut!” Marahku kurang senang dengan alasannya tadi.

“Tak baik tau cakap macam tu untuk usaha murni orang ni. Jangan lupa tu berlakon watak baru. Jangan pedulikan Abang Rayyan esok! Kita tengok macam mana reaksi dia” Ujar Aleeya tegas dan serius sebelum merebahkan badan dan menyelimutkan seluruh badannya.

“Good night. Assalamualaikum,” Sayup-sayup kedengaran suaranya yang bergema dari dalam selimut. Aku menjawab salamnya dalam hati. Terasa takut untuk menghadapi hari esok. Bagaimana aku nak berhadapan dengan Tuan Ray?  

ps: Next n3 mcm susah je nak taip..hehe..sbb nk kena wat ayat jiwang2 (hint)..huhu..akn dipost dlm ms terdkt..enjoy :)

6 comments:

  1. qila suka kat rayyan ke??

    ReplyDelete
  2. hahaha ... poyo ah Rayyan tu . Qila caio ! hahaha =P kak admin nak lagi ? *kedip-kedip mata macam mata spongebob =D

    ReplyDelete
  3. nak lagi..x ckup lor..hehe

    ReplyDelete
  4. Whoa hebatlarr Aleeya nyeh dah jadi cik director nampaknya....... Now let's see ryann pnya expression for this things....,,,

    ReplyDelete
  5. haha.. qila takut jatuh cinta ya? jatuh cinta kat bos pulak tu..mmg patut dia takut pn

    ReplyDelete