Tuesday 31 July 2012

Cinta Itu Indah! 18

Berat langkah kakiku menapak ke pejabat hari ini. Tangan ditadah, doa dibaca. Mintak-mintaklah Tuan Ray cuti hari ni. Amin. Apa punya doalah macam tu. Tiba di hadapan lif, tiada seorang pun manusia berdiri di situ. Aku intai jam tangan. Sudah jam tujuh lima puluh minit pagi. Pelik benar suasana pagi ni. Mana perginya semua staf Berjaya Holding?

Ting! Pintu lif terbuka. Aku melangkah masuk dan sebaik sahaja berpaling aku lihat sekumpulan staf berjalan laju untuk turut bersamaku menaiki lif. Aku mengundur dan menyandar di bucu kanan lif apabila semakin ramai staf ingin menggunakan perkhidmatan lif. Kami semua berhimpit seperti ikan sardin dalam tin. Nasib baik sekarang waktu pagi dan mereka semua berbau wangi, kalau tak boleh pening jugak kepala aku. Aku tahan perasaan geram apabila ada seorang staf yang berhenti di tingkat dua. Bayangkan tingkat dua kalau naik tangga tak berpeluh pun. Staf itu menyusahkan pengguna lif yang lain apabila dia berdiri di bahagian belakang menyebabkan dia perlu berasak-asak untuk keluar. Ish tak patut betul!

Agaknya bila baru boleh sampai department aku ni, keluhku. Aku melangkah ke bilikku sebaik keluar dari lif. Hanya ada lima orang staf sahaja duduk di meja masing-masing.


Ketika aku sedang berjalan, aku perasan akan satu kelibat yang menolak pintu bilik Khadija dari dalam. Awal betul Khadija sampai hari ni. Selalunya kalau mula kerja hari Isnin mulutnya akan merungut malaslah, letihlah. Sangkaanku meleset apabila yang keluar adalah bos Khadija. Aku cepat-cepat mengalihkan pandangan dan berjalan pantas masuk ke bilikku. Tuan Ray seakan terpaku apabila dia hanya berdiri di muka pintu sambil memerhatikanku yang langsung tidak menegurnya. Terngiang-ngiang amaran Aleeya semalam

“Jangan lupa tu berlakon watak baru esok. Jangan pedulikan Abang Rayyan!” Patut ke aku buat macam tu?

Gelagat kami sekarang memang agak pelik, dah macam pasangan kekasih bergaduh. Hati rasa tak sedap. Sampai bila aku kena mengelak dan tidak mempedulikannya? Fikiranku runsing jika Tuan Ray datang meminta penjelasan kenapa aku tidak menjawab panggilannya. Apa yang aku kena jawab kalau dia tanya? 

Sudahlah Qila, daripada kau pening fikirkan mamat tu, adalah lebih baik kau siapkan kerja kau. Nak makan gaji buta ke?

Aku bangun melangkah ke bilik Encik Irfan. Suis lampu dibuka dan aku terus masuk lalu mengemaskan meja kerjanya. Mejanya tak adalah bersepah sangat sebab Encik Irfan merupakan seorang pekerja yang kemas dan amat menitik beratkan soal kebersihan. Botol air mineral lama aku gantikan dengan yang baru. Surat dan dokumen yang memerlukan tandatangannya aku letakkan di atas meja. Encik Irfan masuk sewaktu aku ralit menyusun dokumen di atas mejanya.

“Morning Qila,” Tegurnya ramah.

“Good morning Encik Irfan,” Selepas menyusun dokumen ala kadar, aku berdiri di hadapan mejanya.

“Saya ada meeting pukul sepuluh pagikan?” Baru sahaja duduk di kerusi, tangan Encik Irfan mula sibuk membelek dokumen. Hendak digambarkan betapa sibuknya dia sehingga memandang wajahku juga tidak sempat. Bertanya soalan sambil matanya tertumpu pada dokumen dan sekali sekala beralih melihat notebook. Hai, boring betul kalau jadi dia, kerja memanjang. Dari pagi sampai lewat petang dan kadang-kadang melarat sampai malam. Macam tak ada nikmat hidup.

“Yes. Meeting dengan FM Holding,” Jawabku.

“Saya nak awak ikut sekali,” Terkejut aku mendengar arahan Encik Irfan. Selama aku bekerja dengannya tidak pernah sekalipun dia suruh aku ikut dia jika dia mempunyai apa-apa temu janji dengan klien syarikat.

“Perlu ke Encik Irfan?” Soalku gugup. Encik Irfan berhenti melakukan kerjanya dan mendongak melihatku. Wajahnya seperti orang yang sedang berfikir jauh. Lama dia senyap sebelum menjawab soalanku.

“Ya. Saya rasa inilah masa yang sesuai saya latih awak untuk lebih faham kerja sebenar seorang setiausaha. Kenapa? Awak tak berani sahut cabaran saya?” Jujurnya memang aku takut. Takut yang teramat sangat sebab inilah kali pertama aku akan berurusan dengan orang luar secara berhadapan. Selalunya aku hanya berhubung melalui telefon sahaja.

“Saya sahut cabaran tuan!” Aku setuju dengan arahannya. Aku harap Encik Irfan akan berasa bangga dan tidak menyesal kerana memilih aku menjadi setiausahanya.

“Good! Qila tak payah nak risau sangat, di sana nanti awak cuma buat kerja macam dalam meeting biasa, catat apa yang kami bincangkan, buat surat-surat yang berkaitan dan ikut arahan saya aje. Don’t worry,” Aku lega selepas mendengar tentang penjelasan tugas yang perlu aku lakukan sepanjang temu janji itu. 
Benda yang dah biasa sangat aku buat, rasanya tak akan ada apa-apa masalah.

Tepat jam sembilan lima belas minit pagi, aku dengan Encik Irfan bergegas meninggalkan pejabat untuk ke FM Holding. Sewaktu keluar dari lif aku hairan apabila Encik Irfan terus berjalan ke pintu utama Berjaya Holding. Kereta dia bukan dekat basement ke? Ah, ikut sajalah Qila!

Sampai di pintu utama, aku mula sesak nafas, berdebar-debar jantungku. Kakiku melangkah seiringan dengan Encik Irfan ke arah satu kereta mewah yang sedang menunggu. Aku kenal tuan kereta itu. Apa dia buat kat sini?

“Erk, Encik Irfan, kenapa kita kena naik kereta Tuan Ray? Bukan kita berdua saja ke pergi meeting ni?” Mulutku sudah tidak dapat menahan rasa untuk bertanyakan soalan yang berlegar dalam fikiranku. Kami berhenti seketika melangkah. Encik Irfan tersenyum seraya memandangku.

“Saya lupa nak cakap yang pengurus besar juga terlibat dalam meeting ni,” Sejurus akalku menerima jawapan Encik Irfan, aku merasakan seperti perasaanku semakin huru-hara. Aduh, keadaan sekarang dah jadi macam serba tak kena. Kenapa semua yang aku plan mesti tak menjadi?

“Kenapa? Awak ada masalah ke kalau pengurus besar ikut sekali?” Soalan Encik Irfan mematikan lamunanku. Mestilah aku ada masalah kalau dia ikut. Tetapi itu semua mustahil untuk aku jelaskan pada Encik Irfan. Encik Irfankan kawan baik dia, nanti tak pasal-pasal perasaan tak puas hati aku sampai ke pengetahuan Tuan Ray.

“No, I don’t have any problem with him,” Encik Irfan angkat kening seakan tidak percaya dengan jawapanku. Eei..aku tak suka dia tengok aku macam tu. Macamlah aku tak boleh nak agak apa yang dia fikir sekarang. Aku rasa dia tidak percaya dengan jawapan aku tadi.

“We’ll see. Let’s go!” Aku terpaku dengan ulasannya. Apa maksud Encik Irfan cakap macam tu? Perasaanku makin tidak tenteram sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam kereta Tuan Ray. Sekali lagi aku kebalkan lidah untuk tidak menegurnya. Memang agak kurang ajar tapi aku tak boleh tahan desakan hatiku yang ingin melancarkan perang bisu dengan lelaki di hadapanku ini. Dia kelihatan rileks memandu sambil berbual tentang isu yang akan dibincangkan dengan FM Holding sekejap sahaja lagi. Tengoklah tu, sedikitpun tak ada rasa bersalah lepas buat kenyataan sakit hati minggu lepas. Entah kenapa hati kecilku runsing dengan lagak tenangnya. Nampaknya andaian Khadija dengan Aleeya selama ini ternyata salah. Apa jenis perasaan yang aku sedang rasa sekarang ini? Kecewa dengan sikapnya mungkin. Tanpa dapat ditahan, keluhanku keluar juga.

“Rileks Qila, semuanya akan berjalan lancar. Ini bukan kali pertama kita berurusan dengan FM Holding,” Encik Irfan ingat aku nervous sebab nak pergi meeting ke? Semua rasa nervous itu dah hilang berganti dengan perasaan yang entah apa-apa yang aku sendiri tak dapat nak kesan. Semua ini sebab kawan baik dia.

“Ya Encik Irfan,” Ujarku dan pada masa itulah mataku tersasar melihat cermin pandang belakang dan di situ aku terperangkap dalam panahan mata Tuan Ray. Renungannya berjaya membuatkan aku terpaku buat beberapa saat sebelum membuang pandang ke arah luar tingkap kereta. Jauh di sudut hati timbul satu perasaan rindu untuk menatap mata itu. Hatiku mendesak untuk melihat tetapi akalku cuba bertindak bijak dengan menghalang daripada mataku melihatnya lagi. Serasa tidak puas memandangnya.

Dalam hanyut dibuai perasaan, akhirnya kami sampai juga di bangunan FM Holding. Dalam perjalanan ke bilik mesyuarat, aku sengaja berjalan di belakang mereka berdua. Seboleh mungkin aku akan mengelak daripada bertentang wajah dengan Tuan Ray. Lagak kami seperti orang asing.

Mesyuarat berjalan dengan lancar apabila pihak FM Holding berpuas hati dengan pembentangan kertas kerja dari Tuan Ray. Karismanya begitu menyerlah kerana inilah pertama kali aku melihat dia begitu yakin sekali membuat pembentangan. Sebelum ini kalau dalam bilik mesyuarat, aku selalu melihat bos aku Encik Irfan yang menguruskan segala-galanya. Kakitangan FM Holding yang hadir adalah kawannya merangkap jiran yang pernah aku lihat dulu. Aku juga terkejut melihat Encik Airul Fakri semasa dia melangkah masuk ke bilik mesyuarat. Tidak hairanlah Tuan Ray terlibat dalam mesyuarat ini.

Aku bangun daripada duduk apabila semua orang sudah mula bersurai. Dokumen di atas meja aku susun dan masukkan ke dalam briefcase Encik Irfan. Tuan Ray masih berbual dengan Encik Airul Fakri, begitu juga dengan Encik Irfan. Saat Encik Irfan berpaling, aku memberi isyarat untuk keluar sekejap. Dia hanya mengangguk. Aku dah tak tahan sebenarnya untuk ke tandas.  

Pulang sahaja daripada tandas, aku terkaku di pintu bilik mesyuarat. Mana semua orang? Aku risau mahu melangkah masuk ataupun tidak memandangkan mataku hanya menangkap kelibat Tuan Ray seorang sahaja yang berada di dalam bilik itu. Dia kelihatan khusyuk membelek dokumen. Dalam dua minit juga aku berdiri di pintu sebelum mengambil keputusan untuk melangkah masuk. Sungguh hatiku rasa tidak selesa semasa melangkah mendekatinya. Kerusi ditarik dan aku duduk. Berat mulut ingin bertanya ke mana menghilangnya bosku. Encik Irfan lenyap bersama briefcasenya. Dia tinggalkan aku ke?

Tuan Ray langsung tidak berpaling sebaliknya terus hanyut dengan kerjanya. Aku tahu dia sengaja buat-buat tak perasan. Aku benci suasana begini.

Terketar tanganku mencari telefon di dalam beg tangan dan menghubungi Encik Irfan.

“Encik kat mana sekarang?” Apabila Encik Irfan menjawab panggilan, aku terus menyerangnya dengan soalan. Bibir diketap menahan geram. Berani betul dia tinggalkan aku dengan kawan baik dia.

“Sorry Qila saya ada hal jadi terpaksa pergi dulu. Awak balik dengan pengurus besar okey? Saya dah pesan suruh dia bawa awak balik ke pejabat, jangan risau,” Nadanya biasa-biasa sahaja, tak ada rasa bersalah pun. Apa salahnya kalau dia bagitahu aku awal-awal? Boleh jugak aku lari balik naik teksi.

“Tapi encik..,” Eei..masalah! Masalah!

“Kenapa? Saya rasa tak ada masalahkan sebab awak sendiri cakap tadi yang awak tak ada apa-apa masalah dengan dia,” Aku dapat merasakan yang Encik Irfan menghidu sesuatu yang tidak kena antara aku dengan kawan baiknya. Aku harap dia bukannya sengaja tinggalkan aku dengan Tuan Ray, kalau tidak memang nak kenalah bos aku tu.

“Hmm, baiklah!” Aku kembali menyimpan telefon di dalam beg tangan. Apa nak buat? Tuan Ray di sebelah langsung aku tak pandang. Kalau minggu lepas aku kecil hati dan rasa marah dengan dia, kenapa sekarang aku rasakan perasaan gementar yang amat sangat? Takut dengan reaksinya apabila aku melayannya bagaikan orang asing sedangkan sebelum ini kami boleh dikatakan sangat rapat. Iya, sebelum ini kami sangat rapat sehingga boleh keluar makan tengah hari bersama, masak bersama dan aku gembira bersamanya walaupun semua itu hanya lakonan semata-mata.

Selepas senyap dalam lima minit, Tuan Ray kemudian mula menyimpan segala dokumennya ke dalam briefcase. Dah nak balik ke? Alamak macam mana ni? Tuan Ray bangun dan mencapai briefcasenya. Aku masih statik di kerusi.

“Tak nak balik ke?” Soal Tuan Ray. Aku tahu dia berdiri di belakangku sekarang. Perlahan-lahan aku bangun. Aku hanya berpaling apabila mendengar derap kakinya melangkah. Seperti tadi, aku berjalan di belakangnya. Suasana asing berlarutan sehingga dalam kereta. Aku tidak bercakap dan dia juga tidak menegur. Kami sudah seperti pasangan bisu. Perjalanan kami ditemani celoteh penyampai radio yang memang tak letih bercakap.

“Okey, kita tunaikan permintaan lagu dari Aisya yang inginkan lagu dari Elyana, Kau atau Aku, dengan ucapan untuk bakal kekasihku Razif, sudah-sudahlah sorok perasaan awak tu, saya pun dah tak larat nak tunggu,”

Aku gelak dalam hati, selamba betul Si Aisya ni. Dah lama jugak tak dengar lagu Elyana ni.

Berlindung disebalik wajah selamba
Bagai tiada apa perasaan diantara kita berdua
Lucunya dalam saling berpura-pura
Semua orang tahu kau dan aku
Masing-masing punya rasa yang serupa

Hai, macam nak terasa ada jugak dengar lirik lagu ni. Elyana sindir aku ke apa ni?

Dilema didalam permainan ini
Masa terasa panjang
Hingga membuat ku tak tahan tertekan
Lakonan ini semakin membebankan
Terasa ingin saja aku terus terang
Tentang perasaanku kepadamu

Hurmm…belum sahih betul ke tidak kalau nak luah pun Elyana. Kalau betul dua-dua punya perasaan, selamat tapi cuba kalau bertepuk sebelah tangan? Malu siot!

Main tarik tali, malu mahu memulakan
Luahan hati kita
Main tarik tali, masih menanti siapa
Mula dulu
Kau atau aku
Memulanya dulu

Dialah! Apasal pulak aku kena mulakan dulu. Hish! Apa yang kau dok mengarut fikir semua tu! Hapuskan angan-anganmu itu. Perlahan aku berpaling dan sekali lagi aku terperangkap disebabkan kebetulan Tuan Ray juga berpaling sekilas sebelum kembali memandang ke hadapan. Terbit seulas senyuman pada bibirnya dan aku benci senyumannya yang seakan menyindirku. Cepatlah sampai pejabat, mohonku dalam hati. Harapanku musnah sama sekali apabila Tuan Ray tidak membelok pada selekoh yang sepatutnya dia masuk untuk sampai ke pejabat. Apa dia cuba buat?

“Kita nak ke mana sekarang?” Suaraku pecah jua bila dia mengajak aku bercakap dengan menggunakan taktik kejam dia ni. Culik orang! Soalanku pergi bersama angin lalu. Tuan Ray lebih selesa memilih untuk diam daripada menjawab soalanku.

“Bukan ke kita nak balik pejabat?” Aku terus menyoalnya lagi. Biar dia rimas! Tetapi Tuan Ray masih tidak membuka mulutnya.

“Tuan!” Jeritku kuat. Sebenarnya sudah menjadi kebiasaanku menjerit padanya. Aku tengok dia pun tak kisah. Makin lebar senyuman dia adalah. Otak Tuan Ray dah rosak ke apa?

“Saya ingat awak dah tak nak bercakap dengan saya. Boleh bercakap lagi rupanya,” Terdiam aku dengan kenyataannya. Aku ingat dia akan marah aku tetapi jawapan macam tu pulak yang keluar.

“Saya nak balik pejabat,” Aku cuba mengelak daripada membincangkan hal ini. Rasa macam tak sesuai lagi untuk dibincangkan sekarang.

“Saya tak nak,” Tuan Ray membantah tegas dan serentak dengan itu dia memberhentikan kereta di tepi jalan serta merta. Nasib baik aku pakai tali pinggang keledar kalau tak, ada jugak cermin depan tu nak kena cium. Tanpa melengahkan masa aku menanggalkan seatbelt dan cuba membuka pintu kereta tetapi malangnya berkunci.

“Buka pintu ni sekarang, biar saya balik dengan teksi,” Ujarku. Dia ingat aku nak ikut arahan dia saja? Dia ingat aku tak berani bantah?  

“Saya tak nak,” Tuan Ray masih selamba. Aku pulak yang naik geram dengan perlakuan dia.

“Habis tuan nak apa?” Soalku sambil menahan geram yang teramat sangat. Suka hati dia saja bawa orang ikut dia tanpa izin.

“Saya nak tanya satu soalan,” Tuan Ray sudah berpusing menghadapku sambil bahunya disandarkan pada seat kereta.

“Awak marah dengan saya?” Tahu pun aku marah.

“Tak,” Bohongku. Ek eleh Qila kenapa pulak kau tipu dia.

“Okey. Kenapa tak jawab saya call?” Tuan Ray dah mula tukar jawatan jadi pegawai polis dan aku memang tak suka dengan jawatan barunya sekarang ini. Apabila aku masih berkira-kira mencari alasan, Tuan Ray seakan-akan tidak sabar menanti jawapanku. Keningnya diangkat-angkat. Aku pulak yang rasa tercabar. Dia seperti mengejekku.

“Malas,” Hah, ambik kau! Dia ingat dia tu orang penting dalam hidup aku sampai aku nak kena jawab panggilan dia? Habis yang kau kecil hati dengan kata-kata dia kenapa pulak? Weh, diamlah! Sibuk betul suara hati ni nak menyampuk. Kau jangan masuk campur!

“Malas? Saya call bagai nak rak, awak boleh cakap awak malas jawab?” Dahinya berkerut. Dia seolah-olah tidak dapat menerima bulat-bulat alasanku itu.

“Ada masalah kalau saya tak jawab?” Soalku berani. Inilah berlaku kalau desakan emosi mempengaruhi kawalan akal.  

“Awak tahu tak saya risau? Risau kalau berlaku sesuatu pada awak?” Iyalah tu risaukan aku. Tuan Ray suka cakap berbelit. Hari ni kata risau hari tu kata tak ada kena mengena.

“Risau? Kenapa tuan nak risaukan saya? Saya bukan ada kena mengena dengan tuan pun,” Aku ketap bibir. Alamak! Terlepas cakap pulak dah. Rasa macam nak tampar empat puluh kali mulut tak bertanggungjawab ni. Tuan Ray ketawa senang selepas aku jawab macam tu. Terpinga-pinga aku melihatnya. Tidak pernah aku lihat dia segembira ini. Lawak sangat ke jawapan aku tadi? Kepalanya sudah terangguk-angguk.

“Patutlah tak jawab call saya, tak nak bercakap dengan saya, cuba nak elakkan diri daripada saya. Awak marah apa yang saya cakapkan tempoh hari dekat geraikan? Memang saya dah agak,” Di mana Harry Potter sekarang? Aku perlukan penyapu terbangnya untuk terbang jauh dari Tuan Ray. Perasaan malu sudah berkepung tanpa dapat ditahan. Rasa macam nak pecah wajahku sekarang.

“Awak tak suka saya cakap macam tu?” Melihatkan aku yang serba tak kena, Tuan Ray makin bersemangat memuntahkan soalan demi soalan.

“Sudahlah tuan. Saya tak marah tuan pun. Jom kita balik,” Aku beralasan. Kalau boleh aku tidak mahu berada dalam zon yang tidak selesa sekarang. Tak seronok langsung berbual hal perasaan dengan Tuan Ray. Buat sakit jantung menahan debaran saja.

“Kita tak akan balik selagi hal ini tak selesai!” Suaranya yang tegas buat aku rasa kecut perut.

“Tak selesai apa lagi?” Soalku perlahan sambil bertentang mata dengannya. Pandangannya yang pada mulanya serius bertukar redup. 

“Saya nak tahu kenapa awak marah bila saya cakap macam tu?” Perlu alasan ke untuk hal itu. Aku cuma rasa nak marah, itu saja.

“Saya tak marah,” Sekali lagi mulutku tidak mengikut kata hati. Mereka berdua ni memang susah betul nak bekerjasama.

“Tipu!” Balasnya selamba.

“Okey, saya mengaku yang saya kecil hati bila tuan cakap macam tu,” Automatik wajahnya tersenyum.

“Sebabnya?” Tuan Ray memang tak pernah putus asa.

“Tak ada sebab!” Putusku terus terang.

“Mana boleh tak ada sebab,” Bantahnya pula.

“Tak ada,”  Tegasku

“Ada,” Bantahnya lagi.

“Tak ada,” Tegasku lagi

“Ada,” Degil betul mamat ni.

“Tak ada! Tak ada! Tak ada!” Geram betul aku!

“Ada! Ada! Ada!” Aku mengeluh perlahan bila dia ulang jawapan itu.

“Tuan tak puas hati apa lagi?” Aku pandang wajahnya sungguh-sungguh. Jawapan apa yang didambakan oleh Tuan Ray sampai sebegini sekali dia berkeras denganku.

“Saya tak puas hati sebab awak tak nak mengaku,”

“Mengaku? Apa maksud tuan?” Aku sudah rasa lain macam. Pandangan aku alih ke hadapan. Macam dah tak sanggup nak lihat dia dan aku dapat rasakan perbualan kami sudah menjadi luar biasa. Mana pernah kami duduk berbincang hal sebegini sebelum ini. Hal yang melibatkan perasaan.  

“Takkanlah awak tak tahu kenapa awak kecil hati dengan saya? Maksud saya kenapa awak boleh berperasaan macam tu. Betul awak tak tahu?” Errmm..takutnya aku bila dia soal macam tu. Suaranya pun dah bertukar lain macam. Tolong kakak Aleeya!!

“Saya tak tahu,” Jawapan selamat aku berikan.

“Awak suka saya!” Terkejut aku apabila Tuan Ray tiba-tiba buat kenyataan aku suka dia. Hebat betul dia boleh baca perasaan aku. Aku yang empunya badan masih samar-samar dengan perasaanku.

“Apa tuan cakap ni?” Apa kau pekak ke Qila sampai kena tanya sekali lagi.

“Nurul Aqilah suka pada Rayyan Amrif! Jelas?” Bergegar gegendang telingaku mendengar ayat yang terlebih jelas itu. Siap guna nama penuh lagi. Aku suka dia? Sejak bila pulak aku suka dia? Mana boleh buat kesimpulan macam ni berdasarkan kes aku terasa hati dengan kata-kata dia tempoh hari. Kalau dia buat eksperimen dalam makmal, boleh meletup tabung uji sebab hipotesis dia awal-awal lagi dah salah.

“Tolong jangan pandai-pandai nak buat kenyataan tu,” Ujarku serius dan aku tahu dari riak wajahnya, Tuan Ray juga serius.

“Saya belum habis cakap lagi,” Potongnya pula. Nak cakap apa lagi? Ayat tadi pun dah cukup menakutkan, aku tak sanggup lagi nak dengar ayat power dia.

“Saya tak nak dengar,” Aku berpaling melihat cermin tingkap.

“Awak kena dengar. Penting untuk awak tahu yang..”

“Tuan..,” Aku pula potong line dia.

“Saya suka awak,” Dan sekali lagi dia potong line aku. Aku terpaku melihatnya. Matanya setia memandangku.

“Apa?” Itulah kau Qila, dulu suka sangat mengata Tuan Ray selalu buat-buat tak dengar sekarang kau pulak yang berjangkit penyakit ni.

“Yes, I am madly in love with you!” Ujarnya lebih jelas lagi.Ya Allah, dugaan apakah ini? Macam mana lelaki ni boleh suka aku? Alangkah baiknya kalau aku boleh lenyap dari kereta ini. Tak perlulah aku duduk berhadapan dengannya dan mendengar ayat-ayat yang mengejutkan tadi. Tidak pernah terlintas dihatiku yang lelaki sehebat Tuan Ray boleh jatuh suka dekat aku. Dia boleh pilih perempuan yang seribu kali lebih hebat daripadaku.

“Gurauan tuan melampau sangat hari ni,” Untuk mengawal keadaan, aku bercakap sambil ketawa tetapi Tuan Ray hanya merenungku tanpa apa-apa reaksi.

“Pernah saya bergurau dengan awak selama ini?” Soalannya buat aku berhenti ketawa. Oh, tidak! Jangkaan Aleeya semalam memang tepat! Tidak perlu berlakon untuk suatu jangka masa, cukup tiga hari sahaja dan semuanya terbongkar dengan mudah! Takdir apakah ini?

“Tapi kenapa saya?”

“Dah memang hati saya suka awak, dah tak ada alasan lain,” Sekali lagi aku terhenyak dengan jawapan balasnya. Laju saja jawapan keluar, tak perlu fikir apa-apa dah. Alahai Tuan Ray boleh pulak dia luah perasaan waktu tengah hari panas terik macam ni, dalam kereta dan dekat tepi jalan pulak tu, tak romantik langsung.

“Saya tak tahu nak komen macam mana,” Sedikit sebanyak aku memang ada memikirkan kata-kata Aleeya yang Tuan Ray sudah lama sukakan aku itu mungkin betul tetapi bila aku dengar sendiri pengakuan itu dari Tuan Ray dalam keadaan mendadak macam ni, aku rasa macam tak percaya.

“Terkejutlah ni? Awak tak sangka yang saya suka awak?” Lagi ayat keramat itu disebut. Aku mengangguk. Tuan Ray diam. Kami sama-sama bersandar dan memandang ke hadapan. Nampak seperti rileks tetapi aku yakin sekali yang fikiran kami sama-sama tak duduk diam. Tidak semena-mena semua kenangan sepanjang aku bersamanya bermain-main di fikiranku. Sekarang baru aku nampak kenapa Tuan Ray bersikap pelik sebelum ini yang aku tak berapa nak faham. Semuanya sebab dia suka aku? Bodohnya aku tak perasan semua itu.

Aku berdehem perlahan.

“Tuan, saya rasa tuan sekarang sedang keliru, mungkin sebab akhir-akhir ni kita terlalu rapat,”

“Sekarang ni awak yang tak sedar tentang perasaan awak,” Pandangannya masih tertumpu ke hadapan. Hampakah dia?

“Tuan tak boleh buat keputusan yang saya suka tuan berdasarkan sebab saya kecil hati tempoh hari,” Mungkin hati dia akan terluka dengan setiap kata-kataku yang nyata tidak memberi impak positif selepas dia meluahkan perasaannya. Aku tidak boleh membuat keputusan membuta tuli tanpa memastikan perasaanku yang sebenar.

“Awak boleh ambil masa seberapa banyak yang awak nak untuk fikir tentang hal ini,” Ujarnya lagi.

“Saya tak perlukan masa. Tuan dengan saya? Saya rasa tak mungkin,” Kejam betul ayat aku tapi biarlah Tuan Ray terluka sekarang daripada terluka di kemudian hari.

“Bagi saya sebabnya,” Jawabnya pendek.

“Tuan boleh cari yang lebih baik dan hebat daripada saya. Saya tak punya apa-apa keistimewaan,” Tuan Ray tersenyum kecil. Eh, dia ni orang tengah serius dia masih boleh senyum.

“Alasan awak terlalu klise. Pada saya Nurul Aqilah yang saya kenal sangat istimewa. Saya tak perlukan kriteria hebat untuk pilih pasangan saya sedangkan saya sendiri tak istimewa mana pun. Saya dah jatuh cinta dengan awak dan awak kena sedar yang perasaan ini bukan saya mintak tapi Allah yang hadirkannya dalam hati saya dan saya terimanya sebagai satu anugerah terindah dari Allah. Bagi peluang untuk diri awak rasa indahnya perasaan cinta itu. Tolong jangan sesekali awak nafikan dan tolak rasa cinta itu,”

Aku terdiam mendengar luahannya. Macam tak percaya pula Tuan Ray yang mengucapkan kata-kata itu. Dia begitu yakin sekali meluahkan perasaannya dan keyakinannya juga tinggi yang aku turut merasakan apa yang dia rasa. Tanpa menantikan responku, Tuan Ray kembali memandu ke pejabat. Kami sama-sama membisu, tidak lagi bercakap tentang hal yang mengejutkan tadi. Sebelum aku turun dari kereta, dia sempat mengingatkanku

“Saya ikhlas dengan apa yang saya cakapkan tadi dan saya akan tunggu awak sampai bila-bila sebab tak ada satu pun alasan awak yang mengatakan awak tak suka saya,”

Aku hanya mampu mendengar. Ya Allah, pengakuan Tuan Ray ini dugaan ataupun anugerah buatku? Bantulah hamba-Mu ini.  

16 comments:

  1. akhirnya...dia confess jugak..

    ReplyDelete
  2. akhirnya terluah jga yg rayyan cintakan qila
    qila balas cinta rayyan taw

    ReplyDelete
  3. akhirnya terluah jga yg rayyan cintakan qila
    qila balas cinta rayyan taw

    ReplyDelete
  4. ahaha.. Bestnye! Tuan ray dah mengaku.. Part yg dgr lagu elyana 2 mmg kelakar hbs.

    ReplyDelete
  5. Yeayyyy!!! Im lovin it ;D

    ReplyDelete
  6. panas panas... x sabar tggu n3 seterusnya....

    ReplyDelete
  7. At lassttttt ...... The magic word

    ReplyDelete
  8. Dari td...asyik sengih jer bc n3 ni......terbaik......

    ReplyDelete
  9. oooppppssssssssss...haha..finaly luah jugak prsaan tu..so sweet..ngeee

    ReplyDelete
  10. alahai tuan ray, ngaku jugak ko akhirnye...hehehe klakar tul la 2 org ni...ok ray dah luah dah...apa kata aqilah lak.......best SS!!!nxt pls

    ReplyDelete
  11. I like all the comments :) Tq...suke ayat bellaameera: The magic word ;)
    Nxt n3 otw..

    ReplyDelete
  12. Hurrah! After all I got a web site from where I be capable of genuinely take useful
    information concerning my study and knowledge.

    Feel free to surf to my weblog; glutenfreie Essensweiße
    Also see my webpage: Was ist die gesunde und sehr einfache Zöliakie Diät

    ReplyDelete
  13. I know this if off topic but I'm looking into starting my own weblog and was wondering what all is required to get setup? I'm assuming having a blog
    like yours would cost a pretty penny? I'm not very internet savvy so I'm not
    100% sure. Any tips or advice would be greatly appreciated. Cheers

    my web site - low carb diäten

    ReplyDelete
  14. Hello there, You've done a fantastic job. I'll definitely
    digg it and personally suggest to my friends. I'm sure they'll be benefited from this web site.


    my blog: paleoernährung

    ReplyDelete
  15. Hey I know this is off topic but I was wondering if you knew of any widgets I could add to my blog that automatically tweet my newest twitter updates.
    I've been looking for a plug-in like this for quite some time and was hoping maybe you would have some experience with something like this. Please let me know if you run into anything. I truly enjoy reading your blog and I look forward to your new updates.

    Here is my blog post wordpress grundkurs

    ReplyDelete
  16. I lately bought ѕtеp throаt.
    ..and thаt і havе еxpeгіenced іt numerous ѕituations.
    ..I just lеt mу bоԁy take care of itѕеlf.

    Наving said thаt, thіs timе waѕ
    reаllу diffегent. It absolutеlу wаs the worst aсhe I
    have аt any time had...anԁ і ωаѕ
    physісally unаblе to gеt from bеd.

    Turns out I left it untreated toο prolοnged.
    Once i expеrienсeԁ s/s that wеre
    being not nοгmаl for myѕelf.
    I wеnt on thе ER...tuгns out I haԁ а ruptureԁ peritonsillаr abѕcesѕ.
    I do not think Ι will еvеr fiddle with mу thгοat οnce аgain.

    ..anԁ pгoрer nοω I've another sore throat. I do not need to be a hypochondriac...I just really don't eνer neeԁ
    tо be sicκ lіkе that once again.

    I finished up miѕsіng an total 2 weeκs of class
    and now have tο hоld out а сalenԁaг year to taκe the clаss over.



    Feel free to surf tо my blog post - http://www.textilebol.com

    ReplyDelete