Saturday, 25 May 2013

Babak Cinta 3

Pada malamnya, aku betul-betul tidak berselera untuk makan malam gara-gara Fahin. Seleraku seakan sudah dibawa pergi. Tengah hari tadi pun aku hanya makan biskut di pantri, sampai macam tu sekali penangan serangan Fahin pagi tadi.

“Rara, kenapa dipandang saja nasi dalam pinggan tu? Dah kenyang ke?” Baba menegur. Aku tarik senyuman sedikit seraya menggeleng.

“Tak ada seleralah baba,”

“Rara rindukan Paloma ke?” Ibu menghadiahkan pandangan simpati. Erk…aku rindu Paloma? Tak ada kena mengena kot.

“Tak adalah ibu. Mana ada Rara rindu Paloma,” Kenyataan yang akan aku nafikan sampai bila-bila.

“Habis tu bergaduh dengan ehem ehem ke?” Taufik terus melencongkan tajuk. Eh budak ni lebih-lebih pulak.

“Adik jangan nak buat spekulasi mengarut macam tu,”

“Habis tu apa lagi? Bergaduh dengan orang sebelah bilik?” Nah itu dia. Bernas sungguh buah fikiran budak ni. Aku pandang lama wajahnya. Taufik tersenyum dengan mimik muka yang menyimpan rahsia tersendiri. Taufik satu-satunya adik yang aku ada. Walaupun dia masih muda, dia tetap menjadi pilihan untuk aku berkongsi cerita.

“Betullah tu,” Selanya pula bila aku hanya berdiam.

“Rara kenapa kerap sangat bergaduh dengan officemate ni? Dulu yang berkurung dalam bilik sampai tak nak makan tu bukan sebab bergaduh jugak ke? Tak baik macam ni Rara. Ibu tak suka Rara gaduh-gaduh dengan orang,” Ceramah ibu aku dengar sahaja tanpa niat untuk membela diri. Dah memang kenyataan yang aku tak boleh nak kelentong.

“Dia yang mula dulu,” Rungutku perlahan. Wajah ibu seakan tak terpandang. Ada rasa takut timbul dalam hati bila ibu dah bagi ceramah kurang mesra macam tu.

“Orang tak akan kacau kita kalau kita tak kacau dia. Rara dah fikir panjang kenapa dia buat Rara macam tu?” Aku telan liur mendengar soalan baba. Pandangan baba langsung tidak berganjak daripada wajahku. Kenapa Fahin hantar gambar tu pada aku? Sebab dia marah aku buang Paloma? Jadi siapa yang buat hal dulu sekarang? Arghh..pening kepala aku nak fikir pasal dia tu lah.

“Alah tak pentinglah siapa yang mula dulu tapi isu yang penting kat sini, akak dengan dia selalu gaduhkan?” Lagi budak Taufik ni merosakkan reputasi aku di mata baba dan ibu. Sikit lagi aku rasa nak sekeh kepala budak ni.

“Biasalah tu,” Gumamku perlahan.

“Dah, lain kali baba tak nak dengar lagi Rara tak lalu nak makan sebab bergaduh dengan orang. Esok pergi office mintak maaf dengan dia.  Tak baik gaduh lama-lama,” Pulak dah? Tak pasal-pasal aku kena pergi minta maaf dengan Fahin. Aku mengaku perbuatan aku tu boleh dikatakan kejam tapi entah kenapa aku rasakan tidak wajar untuk aku minta maaf dengan Fahin. Aku bukan buang dia tapi aku buang Paloma. Patutnya aku minta maaf dengan Paloma lah kan? Tapi Paloma tu haiwan, manalah dia faham semua ni, entah-entah dia redha dan bersyukur aku buang dia? Bolehlah dia hidup bahagia dengan Fahin sekarang.

“Tengoklah macam mana nanti,” Aku bagi jawapan standard atas pagar. Sejujurnya aku kurang selera bukan sebab Fahin tapi sebab anak-anak Paloma. Gulp!! Aku telan liur untuk melegakan tekak. Sebut dalam hati pun dah rasa loya, inikan pula terbayang-bayang.

“Sudahlah makan cepat, tak baik dibiarkan nasi macam tu,” Ujar ibu cuba memujukku. Ayam masak kicap yang ibu letakkan dalam pinggan aku pandang.

“Entah makan apalah Paloma hari ni? Dah beranak ke tidak dia?” Keluh ibu perlahan. Aku telan air liur selaju mungkin berulang kali. Beranak? Imej ayam masak kicap dalam pinggan dah tak nampak macam ayam. Gambar yang Fahin hantar jugak terbayang-bayang dalam pinggan tu. Ya Allah, dah nak sampai anak tekak dah ni. Aduh, aku tak boleh tahan. Dapur menjadi destinasi yang ingin aku tuju. Sartik pun aku rempuh macam tu aje, jatuh ke tidak jag air yang dia pegang aku tak tahu.

Akhirnya, terkeluar jugak benda yang tersekat di anak tekak. Lega. Tiba-tiba Taufik dah selamat bertenggek di sebelahku. Tangannya mengurut leherku untuk melegakan gelodak di tekak. Aku tunduk berkumur.

“Akak ni kenapa tiba-tiba?”

Aku hanya menggeleng. Tak larat nak jawab soalan Taufik. Letih jugak badan bila dah muntah macam ni. Rasa macam hilang semua tenaga dalam badan.

“Akak murung, tak lalu makan, muntah,” Taufik menyenaraikan satu persatu masalahku.

“So?” Aku melihat sahaja Taufik yang berpeluk tubuh sambil membalas renunganku.

“Apa?” Sergahku geram bila dia diam.

“Akak pregnant?”

Aku luku terus kepala budak tak matang ni.

“Aduh, sakitlah kak,” Taufik menggosok kepalanya. Doaku biar keluar segala anasir jahat yang berkumpul dalam kepala otak adik aku ni lepas kena luku. Gila ke apa?

“Senget!”

Taufik terpinga-pinga. Aku terus berlalu keluar meninggalkannya.

“Lantaklah senget berapa darjah sekalipun, baik akak jawab soalan Fiq tadi. Betul ke tidak?” Laungnya geram. Aku tergelak. Kenapalah aku ada adik yang senget macam tu? Nak kata tak pandai, dia dah selamat mendaftar di universiti. Ah lupa pulak yang dia tak ambik kursus perubatan. Sebab itulah kot senang aje dia cakap aku pregnant. Hish, senget kuasa dua! Daripada melayan Si Taufik senget, lebih baik aku lepak dekat kerusi batu.

“Rara!” Sartik datang menyergah ketika aku asyik melayan otak fikirkan Fahin. Ya! Fikir nak serang balas dia pakai senapang apa? Besar ke kecik? Atau guna bom terus biar lenyap mamat tu ditelan abu. Huh, dah macam pengganas pulak kau Rara, melampau!

“Apa?” Soalku kurang mesra. Mood aku betul-betul diculik pergi hari ini. Entah datang balik ke tidak mood aku esok.

“Kawan Rara yang semalam tu ambik tak Paloma?” Sartik melabuhkan duduk di sebelahku.

“Ambik!” Jawabku pendek.

“Syukur Alhamdulillah,” Sartik meraup tangan pada wajahnya.

“Baik betul kawan Rara tu ya?” Sambung Sartik lagi. Hai, masuk yang ni dah berapa kali aku dengar orang dok puji Fahin tu baik? Tiga kali? Memang baik. Baik sangat tapi dengan kucing. Dengan manusia? Siapa Rara? Kau ke? Memang jahanam terus.

“Ermm..,” Malas nak komen panjang.

“Dah beranak ke dia?” Sartik masih lagi mahu ajak aku berbual topik berkaitan Paloma.

“Dah!”

“Apa yang dah?” Sartik blur.

“Beranaklah. Paloma dah beranak!”

Sartik terkejut.

“Betul ke Rara?” Dia cengkam lengan aku.

“Sakitlah Sartik,” Aku cuba menolak tangannya tapi makin kuat dia pegang.

“Betul ke ni? Bila dia beranak?”

“Pagi tadi,” Jawabku sambil berusaha melepaskan cengkaman tangannya.

“Dia dapat berapa ekor anak?” Soalnya lagi. Semakin bertambah soalan, semakin bertambah kekuatan cengkamannya. Nak cakap betapa terujanya dia bila tahu Paloma dah beranak.

“Tak tahulah,” Bila aku jawab macam tu terus dia lepaskan lenganku. Aduh mak, boleh lebam kot.

“Mana boleh tak tahu? Kawan Rara tak cakap ke?”

“Malas nak ambil tahu,”

“Hish Rara ni! Patutnya Rara tanyalah dia Paloma beranak dapat berapa ekor? Comel ke tidak? Paloma sihat ke tidak? Okey tak berpantang kat sana?”

Terkedu aku memandang Sartik. Boleh dia suruh aku tanya soalan kurang relevan macam tu? Tang soalan yang last tu.

“Sartik ingat Rara ada selera ke nak tanya semua soalan tu kat dia? Siapa yang plan nak buang Paloma? Bukan Rara ke? Jadi bila Rara dah buang dia, tak ada maknanya Rara nak ambil berat pasal dia lagi,” Perghh!!! Rara kau memang kejam! Kejam terpaksa.

“Oooo! Ini rupanya kerja korang berdua?” Tiba-tiba satu suara menyergah dari belakang. Aku dan Sartik saling berbalas pandang sebelum berpaling ke belakang. Taufik! Sejak bila dia berdiri kat belakang aku dengan Sartik?

“Aa..aa..apa?” Ish, apasal kau gagap ni Rara? Aku pandang Sartik. Macam biasa, Sartik dah berpeluh. Kami berdiri menghadap Taufik.

“Ini rupanya geng yang berkomplot membuang Paloma? Huh, apa akak cakap semalam? Paloma hilang? Erm..Paloma sibuk cari klinik? Eh, bukan bukan, ermm..Paloma stay one night rumah pakwe dia? Akak dah fitnah Paloma!” Taufik dah macam hakim mahkamah yang membaca tuduhan terhadap pesalah. Aku pulak yang rasa nak jadi pesalah yang memberontak.

“Sartik! Pegang budak ni,” Arahku sambil cuba mencapai tangan Taufik tetapi nampaknya Taufik lebih pantas. Secepat kilat dia mengelak sambil berjalan laju ke muka pintu rumah. Aku menurut di belakangnya dengan langkah yang sama laju dengannya dan langkahku bertambah laju apabila mendengar mulut kepoh budak itu melaung kuat. Aku cepuk jugak mulut budak ni.

“Attention please! Ibu! Baba! Kak Rara buang Paloma! Dialah dalang disebalik kehilangan Paloma!”
Astaghfirullahalazim budak ni, langsung tak boleh buat geng! Kali ni kasi up, senget kuasa tiga! Mampus aku!

<3 <3 <3

Aku menolak pintu kereta lalu keluar. Jam tangan baru menunjukkan pukul lapan pagi. Sengaja aku datang awal hari ini untuk bersemuka dengan seseorang yang telah menjayakan gurauan bodoh padaku kelmarin. Itupun kalau dia jugak datang awal. Melihat sekeliling kawasan tempat letak kereta di belakang hotel, aku masih tak nampak bayang Chevrolet Captiva milik Fahin.

Aku bertukar senyuman dengan pengawal keselamatan yang mesra dengan panggilan Ayi. Budak Ayi ni masih muda lagi, baru dua puluh tahun tapi dia bijak mencari dan menggunakan peluang yang ada. Bukannya berpeleseran di tempat yang entah apa-apa.

“Assalamualaikum Cik Naurah,” Sapanya dengan senyuman manis.

Aku menjawab salamnya sebelum menolak pintu lobi bahagian belakang hotel. Tangga yang dilitupi karpet hijau itu aku panjat untuk ke pejabat yang terletak di tingkat satu. Sebaik sahaja pintu pejabat dibuka keadaan ruang itu sudah terang benderang. Di satu sudut partition kelihatan Kak Hasnah sedang mengikat plastik sampah yang berwarna hitam. Dia juga turut berpaling melihatku.

“Awal Cik Naurah sampai pagi ni?” Tegur Kak Hasnah yang sudah berdiri tegak.

“Awal sangat ke Kak Nah? Ada kerja penting sikit saya nak kena selesaikan pagi ni. Saya masuk dulu Kak Nah,” Kak Nah hanya tersenyum mengangguk. Baru sahaja setapak melangkah tiba-tiba pintu pejabat di belakangku ditolak dari luar. Aku berpaling

“Assalamualaikum Kak Hasnah,” Fahin muncul disebalik pintu kayu berukir. Selepas memberi salam dan bertukar senyuman dengan Kak Hasnah, dia berlalu ke biliknya melintasiku tanpa menyapaku langsung. Mustahillah dia tak perasan aku yang tercegat di sini. Nampaknya dia dah mula nak ishtiharkan perang dengan akulah ni? Tunggu kau!

“Fahin!”

Fahin berhenti melangkah. Sekilas dia berpaling memandangku sebelum fokusnya kembali pada tombol pintu biliknya. Tangannya itu pantas sahaja membuka pintu biliknya. Dia buat bodoh? Tanpa berfikir panjang aku terus berjalan ke arah biliknya. Aku mengikut sahaja langkahnya masuk lalu duduk di kerusi di hadapan meja kerjanya.

“You nak apa?” Fahin turut duduk setentang denganku. Tubuhnya itu tersandar pada kerusi empuk sambil tangannya bersilang. Berlagak habis aku tengok. Macam orang yang tak bersalah.

“You tanya I nak apa?” Soalku tidak puas hati tapi riak wajah masih aku kekalkan tidak berperasaan.

“You ingat I ni ahli nujum yang boleh teka niat you datang jumpa I pagi-pagi buta ni?” Fahin memandangku tanpa senyuman di wajahnya. Huh, macamlah lelaki ni selalu senyum. Walaupun dia tak mengaku tapi aku tahu dia sengaja buat tak tahu. Aku cuba menenangkan diri.

“Kenapa you hantar gambar tu pada I semalam?” Soalku tanpa berlapik lagi. Lelaki di hadapanku sekarang sengaja cari pasal dengan aku. Mula-mula dia sibuk masuk campur urusan aku dengan Paloma lepas tu kelmarin dia buat kerja gila hantar gambar makhluk yang paling aku geli dan tak boleh nak tengok atas dunia ni.

“Gambar apa? Gambar anak Paloma maksud you?” Soalnya dengan riak bersahaja.

“Yalah. Gambar apa lagi? You saja nak I kena sakit jantungkan? You sendiri dah tahu yang I tak boleh tengok benda tu tapi you sengaja nak kenakan I kan?” Tanpa mengambil kira kedudukan aku dan dia sekarang, aku luahkan saja apa yang aku rasa. Aku tidak akan bertolak ansur dengan segala hal yang berkaitan dengan penganiayaan ke atasku menggunakan sebarang keturunan kucing.

“You ada sakit jantung ke?” Soal Fahin selamba. Nampak macam menyindir. Aku menarik nafas panjang. Risau jugak briefcase di sisi kerusi aku ni melayang ke wajahnya yang…ahh, malas aku nak terangkan.

“You jangan main-main boleh tak? I tengah serius ni!”

“I pun seriuslah ni. Sebab I tahu you tak ada sakit jantunglah I hantar gambar tu. Tengok? You sihat ajekan pagi ni? Siap datang awal lagi,”

Aku senyum paksa.

“Tapi I tak suka you bergurau macam tu dengan I,” Fahin tergelak perlahan mendengar alasanku.

“Siapa kata I bergurau dengan you? I cuma nak you tengok sendiri anak Paloma. Salah ke? You pun pernah bela diakan? Takkanlah you tak ada perasaan nak tengok anak dia?” Baris mana ayat aku kelmarin dulu yang dia tak faham? Dah terang-terang aku cakap dengan dia aku tak nak ambil tahu hal tentang Paloma dengan keturunannya tapi dia beria-ia nak aku tengok jugak? Macam manalah dia boleh pegang jawatan ni kalau ayat aku yang paling ringkas pun dia tak boleh nak faham?

“Macam ni lah Fahin. Ini amaran terakhir I, lepas ni I mintak tolong jangan usik I dengan benda-benda macam tu lagi. I tak suka. Dan pasal Paloma tu I tak ada kena mengena dengan dia lagi. I harap you faham,” Aku cuba mendapatkan pengertian dari Fahin supaya menghentikan segala urusan berkaitan Paloma denganku. Apalah malangnya nasib aku terbuang Paloma depan dia ni yang terkenal dengan gelaran ‘Pet Lover’. Ibu dan baba pun dah ceramah panjang semalam. Tapi tak adalah diorang marah aku. Diorang puji Si Fahin ni adalah. Macam biasa, Fahin baik hati. Porahhh!!

“Tu aje you nak cakap? Sanggup ikut I masuk bilik ni semata-mata nak cakap pasal benda ni saja?” Suara Fahin yang kedengaran seperti tidak berpuas hati dengan permintaanku tadi aku cuba hadamkan sebaik yang mungkin.

“Ya, itu saja yang I nak cakap,” Ujarku tenang. Tanganku mula mencapai briefcase di sisi kerusi, sudah bersedia untuk bangun. Aku perasan wajah Fahin yang macam nak marah aku tapi aku buat tak nampak. Aku tahu dia sedar yang dia tak boleh paksa aku berkaitan hal luar pejabat.

“Naurah…,” Aku berhenti melangkah. Apa lagi yang dia tak puas hati? Aku mengawal keluhan yang hampir terkeluar.

“Yes?”

“I nak mintak tolong sekejap,” Aku pantas berpaling apabila mendengar suaranya yang sudah normal. Dia tersenyum. Fahin senyum? Apa kena dengan mamat ni? Bukan ke dia marah aku tadi? Tiba-tiba nak mintak tolong pulak? Memang angin tak betul ini orang.

“Tolong apa?” Suara aku pun macam susah nak keluar bila dia dah senyum macam tu. Kalau Si Fifi tengok Fahin senyum macam ni boleh pengsan budak tu gamaknya.

“Tolong tengokkan laptop I. Manalah tahu you boleh cari tahu apa yang tak kena dengannya. I dah cuba hidupkan tapi macam ada masalah dengan skrin dia. Gelap aje,” Jari telunjuk Fahin menunjuk pada komputer riba di atas mejanya. Betul ke dia ni tak pandai tengok? Bukan ke dia mahir bab-bab teknologi ni? Selalunya kalau ada masalah macam ni tak payah panggil budak IT datang check sebab sepuluh orang kat luar tu akan cari Fahin dulu.

“Takkan you tak pandai?” Soalku musykil.

“Betul, I tak tahu kenapa dengan benda ni, kelmarin dulu elok aje I guna,” Penjelasan Fahin yang yakin itu sedikit sebanyak membunuh perasaan was-was aku dengan kebolehannya.

“I tak retilah benda-benda macam ni. You call budak IT datang tengoklah,” Ujarku beralasan. Sudah tidak betah berdiri di bilik ini menghadap wajah Fahin.

“Laa… cubalah you tengok dulu. Mana tahu you ada magic boleh buat benda ni hidup,” Bersungguh-sungguh Fahin ingin mendapatkan bantuanku. Okey Rara, fikir positif. Dah elok-elok dia mintak tolong tu, tengok ajelah walau kau tak boleh tolong pun. Lagipun sampai bila kau nak berkeras dengan dia? Kau jugak yang mintak tolong dia jangan usik kau tadi. Apa salahnya sekarang kau pulak yang tolong dia?

“Apa yang tak kenanya?” Aku menyoal apabila sudah berdiri tegak di sebelahnya yang masih duduk elok di atas kerusi hitamnya. Fahin menghalakan skrin laptop padaku. Gelap.

“Dia tak nak hidup,” Adu lelaki itu lagi. Aku menekan butang on pada laptop itu. Automatik skrin laptop menyala menunjukkan simbol Windows 7.

“Hidup aje ni?” Aku berpaling melihat wajah Fahin. Fahin turut memandangku.

“Memanglah hidup, you tunggu aje tak lama lagi dia mati balik,” Mendengar sahaja penjelasan itu, pandangan aku alihkan sekali lagi pada skrin laptop. Dalam sekelip mata skrin yang memaparkan simbol Windows 7 tadi bertukar kepada gambar screen background laptop yang membuatkan aku rasa nak rebah di situ jugak. Gambar sekelompok anak kucing yang baru lahir duduk bergumpal antara satu sama lain. Aku pantas menutup mata. Tubuhku dah rasa seram sejuk, lutut pun dah lemah semacam sebelum perlahan-lahan aku terduduk di lantai pejabat bilik Fahin yang dilitupi karpet sepenuhnya. Astaghfirullahalazim. Aku telan air liur.

“Are you okay Naurah?” Aku dengar suara Fahin tapi buat masa sekarang aku rasa tak boleh nak jawab soalan dia. Aku rasa geli yang teramat sangat. Rasa nak termuntah pun ada. Meremang bulu roma.


“Eh, Naurah kenapa you berpeluh ni?” Soalnya lagi. Dari ekor mataku dapat aku lihat Fahin sudah duduk di sebelahku. Aku masih lagi diam. Pada perkiraanku, aku rasa dia hanya memberi alasan yang laptop dia ada masalah sedangkan niat sebenarnya mahu mengenakan aku. Aku tahu!

bersambung...


18 comments:

  1. Assalamualaikum. Cepaf sambung kak. Jahat sungguh si fahin nie.

    ReplyDelete
  2. Salam Cik Shiroe,

    licik sungguh Fahin..konon2 monitor tak nak on yer...cian Rara...

    sabar yer Rara..hihikk apa lagi la agaknya akal Fahin nak kenakan Rara pasni..

    Paloma camana la agaknya yer..happy ke dia dok dgn Fahin??

    ReplyDelete
  3. wassalam cik nony..tq...mmg jahat si fahin tue..xpe..kita tggu nxt n3

    wassalam sha...hi2..licik ke? Tu licik ckit jer..ki3..tgklah dia nk buat apa lps ni...Paloma pn msh xde berita lg.. ;)

    ReplyDelete
  4. Aaa betul tu kak SS. Main2 sungguh fahin nie. Nasib baik naurah tak ada heart attack. Kalau ada memang off terus.

    ReplyDelete
  5. haha..betul tu cik nony..sabo ajelah dgn si Fahin ni :)

    ReplyDelete
  6. Hah, ape jadi kt Rara?? Pengsan ke ape lepas tgk gmbr kt laptop Fahin tu? huhu.. tak sabarnya nk baca part 4..

    ReplyDelete
  7. xpengsan pun !x0r@...rebah ckit jer..shock!! ;)

    ReplyDelete
  8. hakhak... ohmai,,fahin .. :D <3

    ReplyDelete
  9. Malam noe ada entry tak. Please

    ReplyDelete
  10. Jadi malam nie lah. Kasihan kat akak sebab didesak oleh sy yg nk kan entry. Hehehe

    ReplyDelete
  11. yes dear :) its hokay..mmg akak dah nawaitu nk post mlm ni sbb esok2 akak bz...ki3 (bz la sangat) ;)

    ReplyDelete
  12. Takpe2 sy faham. Harap2 novel nie jd manuskrip ya kak. Cinta itu indah mcm mn khabarnya?

    ReplyDelete
  13. insyaAllah dik..doa2kan supaya akak rajin menaip n dimurahkan idea..hi2..CII masih dlm penilaian lg :) Silalah menjamu selera bab4 tu ;)Tq utk adik punya support tu :) Akak terharu dah ni :)

    ReplyDelete
  14. Semoga nvl CII dapat diterbitkan. Kurniaan Allah untuk akak sebab dapat buat karya sebegini. Hanya sesetengah orang dapat peluang mcm nie. Semoga berjaya untuk akak.
    Kita merancang Allah menentukan.

    ReplyDelete
  15. InsyaAllah....syukur atas nikmat dan kurnia Allah tu, semoga semuanya berjalan lancar..tq dik <3 <3 <3

    ReplyDelete
  16. Huahahahahaa hahahahaa sampai mcm tu skali. Bt no wonder, kwan den pun ada yg sbjik mcm rara ni. Phobia kucing. Eh fahin ni, jgn2 dy mmg suka rara x? Asik usik je. Kahkahkah

    ReplyDelete