Monday 13 May 2013

Babak Cinta 1


Suatu petang, aku sengaja pulang awal ke rumah. Ini semua semata-mata untuk menjayakan projek mega bersama-sama pembantu rumahku, Sartik atau nama penuhnya Sartika. Panjang sangat nak panggil Sartika aku pendekkan jadi Sartik. Kalau aku panggil Ika tak bunyi pulak Indon. Manalah pulak Si Sartik ni? Aku masih menunggu dalam kereta menanti kehadirannya yang mungkin akan muncul pada bila-bila masa. Setelah lima minit menunggu, nah! Sartik telah muncul di sebelah bahagian kanan rumahku dengan membawa guni. Dengan susah payah Sartik mengheret guni yang boleh tahan beratnya itu.

“Rara, Sartik takut. Kalau Tuan sama Puan tahu kita buat jenayah ni, mati kita!” Sartik sudah membebel dalam bahasa ibundanya yang jelas sekali aku faham. Tanpa menghiraukan Sartik yang sudah cemas tahap petala kelapan itu, aku memasukkan gear dan terus mengundur kereta.

“Baba dengan ibu tak balik lagi ke?” Sekilas aku jeling Sartik yang kalut itu. Sebelah tangan pegang ikatan guni dan sebelah tangan lagi bebas bergerak membetulkan tudung yang hanya diikat simpul mati. Guni yang dipegang Sartik itu aku lihat bergerak-gerak. Geli pulak aku tengok.

“Belum lagi,” Aku lega mendengar jawapan Sartik. Maksudnya baba masih di pejabat dan ibu masih di butik.

“Rilek ar, Sartik rasa baba dengan ibu tu lebih sayang Rara atau benda dalam guni tu?” Aku sudah tersenyum dalam hati. Tak adanya ibu bapa sayang benda lain lebih daripada anak sendiri.

“Tapi benda ni bernyawa,” Sartik masih lagi ragu-ragu. Aku pulak yang naik serabut.

“Tak apa, tak ke mana pun marah diorang tu. Lama-lama baiklah tu,” Sartik hanya mengangguk tapi aku tahu hati dia masih berdentam dentum bergetar sebab tolong aku buat kerja jahat macam ni. Aku terpaksa. Kalau aku tak buat, aku yang bakal jadi gila nanti.

“Dekat mana kita patut buang dia? Sartik ada cadangan?” Aku masih dalam dilemma mencari tempat yang paling sesuai untuk membuang ‘benda’ dalam guni tu.

“Jangan di tong sampah,” Cadang Sartik pantas.

“Kenapa?” Aku mengerlingnya sekilas.

“Kesian dia, tempat tu busuk. Walaupun banyak makanan boleh didapati di situ tetapi kat situ banyak spesies yang liar. Nanti anak-anak dia turut liar. Susah mahu dididik,” Aku tergelak mendengar penjelasan bernas Sartik. Apa dia ingat kucing tu manusia?

“Kenapa Rara ketawa?”

“Sartik buat lawak ke apa? Kalau nak sampai tahap didik-didik ni, apa kata kita buang dekat sekolah? Senang dia daftar anak-anak dia sekolah nanti. InsyaAllah terdidik,” Sindirku tanpa dapat ditahan lagi. Ayat Sartik tadi betul-betul buat aku geli hati.

“Rara main-main dengan apa yang Sartik cakapkan tadi?” Marah Sartik. Aku hanya tersenyum. Aku tahu Sartik sayang kucing tapi yang lebih penting sekarang dia sayang aku lebih daripada kucing tu sebab tu walaupun dia berat hati dengan rancangan aku ni, dia tetap setuju. Sebenarnya dah lama aku rancang nak buang Si Paloma ni. Mula-mula dia sampai rumah aku dulu dengan tak tahu asal usul dari mana, tiba-tiba dia perasankan diri dia tu warga rumah aku. Geram aku. Tak tahu malu betul.

“Sartik marah ke ni?” Soalku musykil. Sartik mencebik geram.

“Rara buang sendiri,” Arahnya selamba. Gila! Aku gelilah weh.

“Sartik nak tengok Rara pengsan? Geli tahu? Geli!” Ya, aku memang tak boleh ngam dengan spesies ni. Bayarlah sejuta pun aku tak akan pegang. Mula-mula aku boleh terima lagi dia buat muka tak malu menumpang rumah aku tapi bila aku dapat tahu dia bunting, aku dah meroyan macam perempuan gila. Kalau dengan Paloma aku dah geli, dengan anak-anak dia yang kecil baru lahir lagilah aku geli. Nak tengok pun tak boleh, rasa nak pitam terus, seram sejuk! Alergik yang melampau, aku pun tak tahu kenapa aku jadi macam tu.

“Sartik jangan nak rosakkan plan kita ni,” Aku mula  keluarkan amaran. Dah elok-elok aku rancang tunggu Paloma mengandung sampai cukup bulan, bagi makan makanan berzat biar anak dalam kandungan sihat, dia nak kucing ni beranak dekat rumah? Aku bagi duduk rumah sampai nak dekat tarikh due tu pun dah kira okey. Boleh mati aku terserempak dengan Si Paloma ni ke hulu ke hilir bawa anak kecil dia di mulut. Gila! Geli aku nak bayang. Sartik ketawa senang melihat aku yang sudah panik semacam.

“Alah, dia dalam gunilah. Tak nampak pun. Nak try pegang?” Sartik cuba mengacah dengan mengangkat guni itu. Belum lagi terangkat aku dah menjerit nyaring. Bising satu kereta. 

“Jangan Sartik. Rara tengah drive ni, nanti kang dengan kita sekali terbuang dalam longkang,” Marahku. Aku kalau orang main-mainkan aku guna spesies ni, memang aku pulaukan dia terus. Merayulah sejuta kali sekali pun aku tak layan. Hidup mati aku yang dia main-mainkan sekarang tau.

“Tahu takut,” Ejek Sartik sambil tersenyum sinis. Memang! Memang orang di sekeliling aku yang tahu aku takut dengan kucing selalu gunakan kelemahan aku yang satu itu untuk menundukkan aku. Kenapalah dalam banyak kelemahan, aku lemah dengan kucing?

Akhirnya setelah menimbang tara lokasi yang paling sesuai untuk aku tinggalkan Paloma tu, lokasi depan klinik haiwan yang menjadi pilihan. Klinik Pencinta Haiwan! Pergh!! Nama klinik ni tak boleh blah langsung. Cintalah sangat!

“Kenapa di sini? Paloma tak sampai masa nak beranak lagi,” Sartik sudah menggaru-garu kepalanya, nasib baik tak tercabut tudung yang diikat.

“Alang-alang dia pregnant dan dah nak dekat due, lebih baik kita letak kat sini. Mana tahu ada hamba Allah yang baik hati tolong jadi bidan dia. Nak nak lagi doktor klinik ni. Cepatlah Sartik bawa guni tu keluar,” Aku terus menolak pintu kereta sebelum melangkah keluar. Bagus lokasi klinik ni, tempat yang tak menjadi tumpuan orang. Senanglah aku nak tinggalkan Paloma ni.

“Nak letak kat mana?” Sartik masih dengan perangai bingung dia.

“Longgarkan sikit ikatan tali tu. Senang dia nak keluar nanti,” Arahku pada Sartik sebelum menyiasat suasana sekeliling. Dalam klinik tak ada orang. Patut ke aku letakkan Paloma kat situ? Atau letak kat pintu klinik? Tandas klinik? Err…belakang klinik? Aduh, pening kepala aku. Nak buang kucing pun susah ke? Macam manalah agaknya perasaan orang buang bayi? Memang dasar tak ada perasaan, aku yang tak ada pertalian darah dengan Paloma ni pun fikir banyak kali nak buang dekat mana. Orang tak berperikemanusiaan boleh pulak buang bayi dekat longkanglah, tong sampahlah.

“Nak letak dekat mana ni?” Sartik sudah bercekak pinggang. Sopan betul perkataan yang digunakan Sartik. Perkataan buang ditukar menjadi letak. Taklah kejam sangat bunyinya.

“Kita letak tepi kliniklah,” Putusku yakin. Biar Paloma berlegar-legar dekat situ. Senang nanti dia nak beranak dan berpantang. Silap haribulan ada pengunjung klinik yang kesian dengan Paloma dan ambik dia jadi haiwan angkat. Siapa tahukan? Bijak kau Rara. Bijak!

“Assalamualaikum Cik Naurah,” Aik, ada orang panggil akulah. Macam kenal aje suara dia. Jangan-jangan? Tanpa teragak aku berpaling. Hah, macam mana pulak lelaki ni boleh ada kat sini? Aku cuba mengawal reaksi wajahku sehabis baik. Biasalah bila berdepan dengan lelaki di hadapan aku sekarang, perasaan menyampah tu nak aje hinggap kat hati aku ni.

“Eh, waalaikumussalam Fahin. Apa you buat dekat sini?” Mati aku! Macam manalah boleh terserempak dengan pencinta haiwan dekat sini? Aku pandang wajahnya yang masih tidak menunjukkan apa-apa riak.

“I bawa Bobo datang check up. Dia demam,” Ujar lelaki itu tenang. Dia jawab macamlah aku kenal Bobo dia tu. Tetapi kenapa wajah dia nampak semacam? Pandang aku macam aku ni penjenayah. Matanya tidak lepas merenung aku dan Sartik silih berganti.

“Klinik tu?” Aku tuding jari pada Klinik Pencinta Haiwan. Dia angguk. Aduh, tak hairanlah aku terserempak dia kat sini tapi kenapa dalam banyak-banyak hari, hari ni jugak Bobo dia nak demam?

“So, mana Bobo?” Aku masih lagi cuba berbual santai walaupun hati aku tak senang dengan kehadirannya. Patutlah tadi dia pun pulang awal rupanya nak bawa Bobo pergi klinik. Fahin masih dalam pakaian kerjanya. Dah tak menyempat nak tukar pakaian, bimbang sangat dengan Bobo dia tu. Eleh Rara kau pun apa kurangnya? Tak menyempat nak tukar pakaian sebab tak sabar nak buang Paloma kan? Erk…

“Bobo kat dalam,” Kali ni aku pulak yang angguk. Sanggup pulak dia tinggalkan Bobo kat dalam. Kata pencinta haiwan? Kenapa tak berkepit dua puluh empat jam? Perasaan menyampah dengan lelaki itu dekat pejabat terbawa-bawa sehingga keluar pejabat. Nampak sangat tak profesionalnya kau ni Rara oi!

“So, you buat apa kat sini?” Aku tersentak mendengar soalannya. Suaranya tak mesra langsung di pendengaranku. Aku tahu yang dia tak suka aku dan dia juga tahu aku tak suka dia. Tetapi kami terpaksa pendamkan perasaan tu sebab hubungan kami di pejabat sangat ‘erat’ berbanding orang lain.

Elok jugaklah waktu itu Si Sartik ni interframe dengan guni beras tu.

“Bila lagi nak bertindak ni? Hari dah petang. Silap haribulan Tuan dengan Puan dah sampai rumah. Habis kita,” Bisikan Sartik yang tak serupa bisikan itu mengundang curiga lelaki di hadapannya. Aku perasan matanya tajam melihat guni yang masih dipegang Sartik. Paloma pulak macam tahu-tahu Fahin bertanya tentangnya maka dia aktifkan pergerakan dia. Bergerak habis guni tu sebab aksi dia. Aku pandang Fahin. Fahin pandang aku.

“Apa dalam guni tu?” Soalnya menyibuk. Tak sempat aku jawab, Paloma dulu menyahut

“Meow…,” Aku telan liur. Mampus.

“Kucing?” Mata lelaki itu sudah terjegil. Haa..sudah!

“Err..ya. Paloma nama dia. I pun datang sini nak buat check up. Dia tak sedap badan. Biasalah tu, pregnant,” Jawabku kalut. Entah betul atau tidak aku tak tahu. Ada ke pencinta haiwan bawa haiwan diorang datang check up kandungan? Scan perut? Bagi asid folik? Ahh, aku tak tahu sebab aku bukan pencinta haiwan.

“Oh ya ke? Datang buat check up ke datang nak buang dia? Kenapa sampai perlu bawa dia dalam guni? Paling koman pun gunalah kotak,” Pandangan Fahin dah lain macam. Tajam macam pisau dah mata dia sekarang. Nampak sangat dia tak percaya dengan alasan mengarut aku tadi.

“Tolong encik. Rara nak buang Paloma ni,” Sampuk Sartik tiba-tiba. Aku terkejut lantas berpaling memandangnya. Pandangan Sartik masih pada Fahin dengan wajah yang mencemik macam nak menangis.

“Sartik!” Nampaknya Sartik sudah mengkhianati aku.

“What? You sedar tak apa yang you buat sekarang ni?” Marahnya tiba-tiba. Dia sudah bercekak pinggang. Bala dah datang. Aku buang kucing aje pun, bukannya buang bayi. Lagi pun kucing ni bukan aku yang punya, malas aku nak bertanggungjawab ke atas dia dengan anak-anaknya yang bakal lahir. Patutnya Si Paloma ni cari bapak yang buntingkan dia. Dasar kucing jantan tak guna. Habis madu sepah dibuang.

“You tak faham,” Jawabku tidak berperasaan sambil berpeluk tubuh.

Tiba-tiba lelaki itu merampas guni daripada tangan Sartik dan melepaskan Paloma. Paloma duduk rileks menjilat bulunya yang boleh tahan lebat dan halus. Perutnya yang kembung dan bergerak-gerak tu sikit lagi boleh buat aku nak termuntah. Geli!

“Apa yang I tak faham?” Soalnya dingin.

“I tak suka kucing,” Fahin ketawa sinis selepas mendengar jawapanku.

“Oh, you tak suka kucing? Jadi alasan tu logik sangatlah sampai you boleh buang dia ni? You bukan buang dia aje tapi you buang anak-anak dia sekali,” Aku tak tahulah aku patut gelak ke tidak walaupun sekarang aku rasa nak gelak sangat-sangat. Hal kucing aje pun.

“I buang dia sebab anak-anak dialah. I tak boleh tengok anak kucing,”

“Why?” Soalnya lagi. Tengok muka dia pun aku tahu dia tak puas hati.

“I tak bolehlah,” Dengusku geram.

“Tak logik langsung,” Aku cuba bersabar mendengar komennya yang berbunyi sinis. Dia ingat aku main reka alasan tu? Dah aku memang geli tahap nak mati dengan anak kucing nak buat macam mana?

“Look Fahin, kenapa you sibuk-sibuk nak campur urusan I dengan Paloma? Yang you nak marah-marah sangat ni kenapa?”

“You ni tak berperikemanusiaan tahu?” Aku terlopong. Dia samakan aku dengan orang yang buang bayi? Ini boleh mendatangkan marah. Sabar Rara. Sabar!

“Habis tu you berperikemanusiaan sangatlah? Takkanlah you tak pernah tahu ramai lagi orang lain buang kucing, bukan I seorang aje,” Kalau tak diingatkan dia ni bekerja di bawah satu bumbung dengan aku, ada jugak aku tak layan terus. Buang masa bertekak pasal hal kucing.

“Masalahnya I tak terserempak dengan diorang, I terserempak dengan you. Satu lagi you sedar tak yang dia tengah mengandung sekarang? Tak kesian kat dia ke?” Aku kerling Paloma. Aku kesian tapi memang aku tak boleh, nak buat macam mana?

“Kalau I tak kesiankan dia, dah lama I buang dia, sejak I tahu dia mula bunting lagi tau. I pilih untuk buang dia kat sini, itu pun dah cukup baik, ada klinik, dan pastilah ramai pencinta haiwan kat sini,” Biar dia nampak sikit kebaikan aku ni. Memang aku tak ngam dengan kucing tapi aku taklah kejam sangat.

“Bagus sangatlah jawapan you tu ya? Kalau nak diikutkan logik waktu sekarang ni yang penting untuk kita jaga dia. Bukan buang dia. Dia nak beranak tu you tahu tak? Beranak!” Fahin buat isyarat tangan menunjuk pada perut Paloma. Dia ingat aku buta tak nampak dan tak tahu semua tu?

“Sebab tu I buang dia kat sini. You tak nampak klinik tu?” Aku buat isyarat mata menghala pada Klinik Pencinta Haiwan. Fahin mendengus sambil tangannya mengusap dahi. Terkejut agaknya mendengar jawapanku.

“You ingat dia akan menapak ke situ ke kalau dia nak beranak? Tolonglah fikir sikit. You ni memang kejam,” Ketawaku pecah serta merta.

“I kejam?” Aku telan jugak mamat ni.

“Ya!” Matanya menjelingku.

“Okey I memang kejam jadi dengan hati yang tak berperikemanusiaan ni, I nak buang Paloma. Kalau you rasa you tu berperikemanusiaan sangat, tak kejam sangat you ambiklah dia. You bukan selamatkan dia aje tapi dengan anak-anak dia sekali,” Ujarku geram. Status aku dengan lelaki itu tidak aku hiraukan. Tengoklah macam mana suasana dekat pejabat esok, yang pastinya aku dengan dia semakin tak serasi. Pasti akan kecoh satu hotel yang memang selama ini sibuk bergosip aku dengan dia tak berapa nak ngam.

“Jom kita balik Sartik!” Aku heret tangan Sartik dan membiarkan sahaja Fahin memandang dengan perasaan tidak puas hati. Huh, padan muka, suka hati dia cakap aku tak berperikemanusiaan padahal aku ni dah fikir sampai nak pecah otak nak buang Si Paloma tu dekat tempat sesuai. Kalau aku ni jahat, waktu aku tahu dia mula-mula bunting dulu aku dah buang dia. Biar dia kelaparan nak cari makan untuk dia dengan anak-anak dalam kandungan tu.

“Naurah!” Aku berpaling ke arahnya sewaktu menarik pintu kereta.

“Apa?” Soalku berani..

“You akan menyesal,” Ujarnya sambil menahan marah. Sekali lagi aku rasa nak tergelak. Dia bercakap macam aku pulak yang buntingkan Paloma dan dia jadi pak sanggup. Bengong! Untuk menambahkan lagi tahap amarahnya aku senyum sambil lambai tangan pada Paloma.

“Bye Paloma. Jangan lupa makan banyak-banyak buat simpan tenaga nanti nak meneran. Semoga Paloma dapat anak yang comel-comel seterusnya hidup bahagia sampai akhir hayat dengan Fahin ya? I’ll miss you!” Paloma mengiau kuat seakan-akan faham dengan apa yang aku cakap tadi. Fahin sudah bercekak pinggang. Merah padam wajahnya. Tengoklah tu, Paloma pun tak marah-marah macam dia. Padahal aku buang Paloma bukan buang Fahin. Siapa kucing sekarang? Opps, terlebih sudah. Aman hidup aku!

Sebaik sahaja sampai di rumah, kelihatan kereta baba sudah terparkir di garaj. Aku kerling jam dashboard. Alamak! Dah pukul enam lebih.

“Macam mana ni Rara? Tuan sama puan sudah pulang,” Penyakit kalut Sartik mula menyerangnya kembali. Aku mendengus kuat sewaktu mematikan enjin. Matilah aku kalau Sartik ni pecah rahsia. Bukannya boleh percaya sangat dengan Sartik ni selamba saja dia pecah rahsia pada Fahin dan tak mustahil dia akan buat perkara sama dengan baba dan ibu. Sebelum berpecah aku telah membuat satu lagi pakatan dengan Sartik.

“Sartik pergi masuk ikut pintu dapur. Kalau ibu tanya buat tak tahu. Cakap aje Sartik tak nampak Paloma sejak pagi tadi lagi, yang lain tu biar saya uruskan. Okey?” Sartik menarik nafas panjang sebelum mengangguk dengan yakin. Ya Allah, kau kuatkanlah hati Sartik.

“Hmm, Rara pergi mana dengan Sartika sampai sekarang ni baru pulang?” Baru selangkah kaki bertapak di lantai rumah, suara baba sudah bergema di ruang tamu itu. Ibu tidak pula kelihatan di situ. Aku berjalan mendapatkan baba sambil mencapai tangannya untuk bersalam. Baba masih lagi dengan pakaian kerjanya.

“Tadi Rara sampai awal lepas tu Sartik tu kalut semacam, bising tak nampak Paloma satu hari. Itu yang Rara keluar dengan Sartik cari Paloma dekat kawasan perumahan kita ni,”

“Habis tu jumpa ke?” Baba dengan mudahnya percaya dengan cerita rekaanku. Tak apa baba, ini semua untuk kebaikan anak baba jugakkan? Aku buat-buat mengeluh sambil menggeleng.

“Tak jumpa,” Jawabku perlahan. Mataku dipejam sebelum tangan kanan naik mengusap dahi. Konon-kononnya frust sebab tak jumpa Paloma, padahal dah selamat aku sedekah pada Fahin. Dalam hati terdetik jugak, apa lelaki itu ambik ke tidak Paloma tadi? Atau dia tinggalkan kat situ?

“Patutlah, ibu dah bising cari Paloma,” Huh ibu, kalau aku balik lewat tak ada pulak dia bising. Siapa anak kandung dia sekarang? Aku ke Paloma? Paloma? Ibu jugak yang letak nama Paloma pada makhluk tu. Katanya berkenan dengan nama watak dalam telenovela kesukaannya yang disiarkan di Astro Mustika HD, entah apa tajuknya aku pun tak ingat. Tapi bila difikirkan balik, best lagi nama Saloma. Ini Paloma? Huh, menyampah aku.

“Dia keluar jalan-jalan kot? Atau dia stay one night dekat rumah pakwe dia mana kita tahu,” Aku dah keluarkan buah fikiran mengarut. Baba boleh pulak ambik serius dengan kata-kata aku tadi apabila dia bertanya

“Tengah sarat macam tu pun?”

Aku tergelak sakan. Kelakar gila soalan baba tadi.

“Manalah Rara tahu. Alah baba, kucing tu bukan ada akal pun nak fikir semua tu. Benda yang nak jadi ni jadi jugak,” Baba juga sudah ikut ketawa macam aku. Dalam kami dok bergelak ketawa tiba-tiba ibu muncul dengan soalan cepumas

“Rara tak jumpa Paloma?” Ibu sudah duduk di sebelahku. Tak cukup dengan wajah cemas, dia tarik dan genggam tangan aku. Berharap sangat apa yang dia dengar daripada mulut Sartik itu tidak benar.

“Haah, tak jumpa bu. Alah, ibu jangan risaulah. Paloma okey  punya. Entah-entah dia keluar sebab tak selesa nak bersalin kat rumah ni. Zaman sekarang bu, bukan kita aje yang sibuk nak bersalin kat hospital tau, kucing pun nak jugak cari klinik bersalin kat sana. Pandai-pandailah dia balik esok-esok tu” Geram pulak aku tengok aksi ibu yang risau terlebih. Kadang-kadang rasa tercabar pun ada. Aku bersaing dengan kucing. Kucing? Si Paloma tu? Memang tak masuk dek akal.  

“Mengarut lagi,” Ibu dah buat marah-marah manja.

“Apa pulak mengarut bu, betullah. Ibu jangan risau sangatlah. Tahulah dia balik kalau dia ingat jasa kita pada dia,” Lagi aku mengarut. Ibu sudah tarik muka.

“Dahlah, cakap dengan Rara banyak tak logiknya daripada yang logik. Pergi naik mandi dan solat lepas tu turun makan malam,” Ibu sudah menolak tubuhku perlahan. Walaupun malas aku tetap bangun. Rasa semangat baru disuntik. Kasih sayang ibu menjadi hak milik kekal aku seorang. Bukan berkongsi dengan Paloma lagi. Huh Rara, Paloma jugak yang kau dengkikan.

“Ingat jangan tidur!” Pesanan baba aku cuba simpan dalam otak. Jangan tidur Rara. Letih macam mana pun jangan tidur. Makan dulu baru tidur. 




12 comments:

  1. salam Cik Shiroe,

    baca bab 1 baru tapi dok senyum..& nak tergelak..dah la tadi masa baca kat offis punya la kontrol senyum + gelak..adeh

    nama klinik comel je kan..

    fahin/naurah rupa sapa la agaknya?

    ReplyDelete
  2. Hehe dah agak Sartik tgh bawak kucing masa mula2 baca cerita ni. Ermm pelik jugak ada org takut kucing tp sbb kwn saya dulu pn geli n takut kat kucing tahap kronik,jd saya percaya org mcm Rara wujud. Haha..

    ReplyDelete
  3. monin...haaa..tu br bab1 ki2..bab yg laen xtau lg cmno..comel ke? huhu..sape naurah n fahin? biarlah rahsia..haha. Tq Sha :)

    Tq Baby Mio

    haa..ni mesti pernah wat ni..heh2..gurau jer..itulah mmg pelik tp...itulah knyataan. situasi sbnr org mcm !x0r@ pelik dgn org mcm Rara n org mcm Rara pelik dgn org mcm !x0r@..haha sy pn dh penin..btw..thnks sudi singgah n bc :)

    ReplyDelete
  4. :) hihikkk memang percaya naurah ni wujud. seperti kutahu siapa orangnya

    ReplyDelete
  5. Ok..kali ni kelaka...

    lama tak jengok cik penulis..hii

    ReplyDelete
  6. Hahaha saya tak penah wat gitu tau.. huu.. x smpi hati nk buang kucing. Kt kg selalunya abah or adik yg jadi tukang buang kucing.. sbb kucing tu melepas kt dlm rumah.

    Utk kes Rara ni.. saya imagine diri saya yg takutkn ular.. cmtu agaknya perasaan Rara yg takutkn kucing kot.. heh..so takde kepeningan di sini ;p

    ReplyDelete
  7. haha..ayat mengancam sha ;)

    hii...akak...lama xjenguk cni..chat ka? huhu

    haa...itulah masalah..terpaksa..ki3..betullah tu mcm tu..kira fair dah tu sbb ade jgk a few yg xfhm dgn alergik kucing

    ReplyDelete
  8. Sihat dear..

    Wak mmg dilahirkan dgn kisah2 mencuit hati la shiro..keras perut akk gelak tau...

    cepat2 sambung yer...^_^

    ReplyDelete
  9. lor..A sudah tertingal..

    Wak= Awak..kikiki

    ReplyDelete
  10. alhamdulillah kalau akak n family sihat semuanya :)
    haha..mmg sy nk kasi semua pembaca gelak aje..xreti nk wat jiwang2 nnti jd dialog robot..huhu..insyaAllah nnti sy smbg :) tq kak

    ReplyDelete