Wednesday, 5 June 2013

Babak Cinta 6

Salah satu group yang aku join dalam aplikasi WhatsApp adalah group ‘Caca Marba’. Orang yang pandai-pandai cipta group tu tak lain tak bukan adalah Kak Maria. Group yang sangat private di mana hanya terdiri daripada lima orang ahli. Aku, Kak Maria, Fifi, Marisa dan Sarina. Disebabkan geng kami terlalu kamceng maka Kak Maria tubuhkan group ini untuk berkongsi berita mahupun apa jua luahan perasaan. Di suatu petang ketika aku baru sahaja mematikan enjin kereta di porch rumahku.

Tit! Isyarat WhatsApps dari group Caca Marba. Aku meraba Iphone di dalam beg tangan. Jumpa!

Mak Oprah: Amboi hang Naurah bukan main lagi..

Mak Oprah ni sebenarnya nama samaran Kak Maria. Kenapa pulak Kak Maria cakap aku macam tu? Baru aku nak menaip timbul lagi satu mesej

Mary: Haah Cik Naurah kita ni, cakap tak suka tapi rupa-rupanya Ta, Ya, Pa, Wau!!! Tipu! Menyampah Mary!

Apa pulak si Marisa ni merepek? Aku tipu apa pulak ni? Ini yang buat aku panas ni. Enjin kereta kembali dihidupkan dan punat aircond aku tekan. Panas, panas!

Rara: Awat ni Mak Oprah? Mary? Tipu apa pulak ni?

Fifi: Sampai hati…

Rara: Apa?????

Inamorata: Pasal kau dengan OM hot tu lah!

Wah, Sarina pun join! Diorang dah habis kerja ke? Kenapalah dalam sehari dua ni aku dipaksa ambil tahu hal berkaitan mamat tu?

Rara: Hah! Kenapa dengan makhluk tu?

Mary: Aik, tanya kitaorang pulak dah. Pandai berlakon…

Mak Oprah: Rindu bertamu di coffee house!!

Coffee house? Fikiranku sudah mula menebak. Ini mesti kes lunch dengan Fahin tengah hari tadi. Aduh, tak ada gosip hangat ke diorang nak kongsi? Setakat aku lunch dengan Fahin, tak jadi berita pun tak apa. Aku pantas menaip perkataan yang bakal mendiamkan gosip bodoh ahli Caca Marba yang entah apa-apa ni.

Rara: Sudahlah merepek yang bukan-bukan. Macamlah korang tak pernah tengok aku dengan dia duduk makan sekali? Biasalah tu, big boss belanja…

Fifi: Big boss belanja?

Inamorata: Tak nampak pun big boss? Datuk jadi halimunan ke?

Rara: Dia ada hal, itu yang out awal-awal. Itu semua gosip murahan! Aku dengan dia? No feeling!

Mak Oprah: Ya ke?

Fifi: No feeling ke kalau sampai OM berpesan pada si polan supaya Cik Naurah kita ni kena habiskan makanan?

Inamorata: Amboi, bukan main concern lagi!! Pengsan!

Mak Oprah: Risau buah hati kelaparan. Pitam mak!

Mary: Ni apa kejadahnya no feeling?

Serentak itu juga Marisa menghantar satu gambar. Aku ketap bibir. Patutlah diorang meroyan semacam. Dan dan aje paparazzi Hotel Perwira tangkap gambar aku dengan Fahin sedang melagakan sudu. Sudu aje pun, bukannya aku dengan Fahin buat cheers ke apa.

Rara: Itu tanda rasmi aku isytihar perang dengan dia lah. Sudahlah korang, tak ada benda lain ke nak bergosip?

Fifi: Tak nak perang FN!!!!

Mak Oprah: I tak percaya you…

Inamorata: Something wrong somewhere..

Mary: Where???

Inamorata: Their hearts…

Mak Oprah: Oh my!!!

Aku tahan nafas. Diorang ni dah gila ke apa nak kenen-kenen aku dengan Si Fahin hantu tu?

Rara: Woi!! Korang dah habis fikir ke sampai nak buat statement macam tu hah?
Mary: Woi, lari!!!

Serentak itu senyap sunyi ruang dalam kereta aku. Dah hilang bunyi iphone yang berbunyi isyarat mesej WhatsApp menandakan semua ahli dah cabut lari. Kurang asam. Aku nak tengok setakat mana diorang boleh menyorokkan diri. Contoh paling dekat, Fifi! Satu office dengan aku aje pun.

Iphone aku campak kembali dalam beg tangan. Enjin kereta dimatikan dan aku terus keluar. Terserempak pulak dengan Sartik yang sedang menyiram bunga. Pagi siram, petang pun siram, tak mati lemas ke pokok-pokok bunga ibu tu?

“Sampainya dah lama tapi tak keluar-keluar. Diam dalam kereta, Rara bergayut dengan boyfriend ke?” Kalau Sartik bercakap guna bahasa baku memang dah lama aku lempar kasut kat dia tapi bila dia bercakap guna pelat bahasa Indonesianya yang pekat itu aku rasa geli hati.

“Dahlah Sartik, cuba cari topik lain buat bahan bual boleh tak? Ibu dengan baba tak balik lagi ke?” Aku berjalan ke arah kerusi batu berhampiran dengan tempat Sartik menyiram bunga. Damai jugak lepak sini petang-petang.

“Rara ada nampak kereta baba?” Soal Sartik pula. Okey, Sartik mula tunjuk lagak.

“Tak nampak,”

“Jadi?” Menyindirlah tu.

“Melebihlah pulak Sartik ni,” Aku duduk bertongkat dagu melihat Sartik melakukan kerjanya. Bukan aku nak percaya tahyul ke apa tapi sejak kejadian aku buat jahat buang Paloma dengan anaknya, aku tak pernah hidup tenang. Masalah dengan Fahin, masalah dengan gosip bodoh ahli Caca Marba tu. Bersangkut paut ke semua ni? Kadang-kadang terfikir jugak.

“Rara tu yang tak ada modal nak bercakap. Dah tahu tapi masih lagi nak tanya,” Sartik masih petah bercakap sambil tangannya ligat menghalakan paip pada setiap pasu bunga ibu. Malas pulak nak terasa hati dengan Sartik petang ni.

“Kenapa Sartik tengok Rara lain macam petang ni? Rara ada masalah ke?” Tengok? Sartik pun perasan.

“Entahlah, Rara pun tak tahu Rara ada masalah apa dengan dia,” Hentam ajelah. Sartik pun Sartiklah.

“Siapa?” Sartik tutup paip.

“Officemate,”

“Lelaki ke perempuan?”

“Lelaki,”

“Apa yang dia buat Rara tak puas hati?”

“Dia buat Rara sakit hati,”

“Contohnya?”

“Dia suka kenakan Rara, ada saja benda yang dia tak puas hati dengan Rara. Bahagia agaknya dia kalau dapat lihat Rara marah-marah, dah sampai tahap kejam, sadis, jahat, semuanyalah,” Tapi aku tak sebutlah pulak kawan yang mana. Kalau aku cakap Fahin, confirm Sartik jawab ini semua sebab pembalasan daripada jenayah yang aku lakukan. Sejujurnya, sejak aku mula kenal Fahin lagi aku dengan dia memang tak ngam. Aku tahu dan dia juga tahu. Entah kenapa..

“Macam pelik aje bunyinya,”

“Kan? Rara rasa dia memang dengki dengan Rara, tapi tak tahulah sebab apa,”

“Sartik rasa tak kot,”

“Maksud Sartik, dia ada niat lain?”

Nak aje aku upah pegawai CSI siasat Fahin tu.

“Mana tahu dia nak tarik perhatian Rara,” Sartik meluahkan apa yang dirasakannya.

Automatik semangatku yang tadi melonjak naik nak buat penyiasatan jatuh menjunam. Otak Sartik dua kali lima aje dengan otak ahli Caca Marba. Bosan! Ceh, kalau betul dia ada niat suka kat aku, tak ada maknanya dia aniaya aku.

“Okey, Rara tahu apa ayat Sartik seterusnya. Dahlah, lupakan semua tu. Rara masuk dulu,” Macamlah aku tak dapat agak buah fikiran Si Sartik tu. Dia ingat kisah hidup aku ni macam drama sinetron yang dia curi-curi tonton setiap hari Isnin hingga Khamis pukul dua petang di TV3 tu? Porahhh

“Aik, takkan dah nak lari kot?”

“Bukan larilah. Bosan,”

<3 <3 <3

Aku masih diam di dalam kereta sejak sampai dua minit yang lalu. Bukan apa, sebenarnya lagu favourite tengah berkumandang di radio. Jodoh aku dengan lagu ni agaknya, waktu nak matikan enjinlah dia berbunyi. Lagu Harapan dendangan kumpulan Hyper act. Sedap didengar. Disebabkan sindrom terlebih menghayati lagu ni, aku turut menyanyi tanpa sedar.

Menyinar impian hidup kita selamanya…

Done! Alahai Rara oi pagi indah lagi berkat macam ni sepatutnya kau berzikir ke, nyanyi Asma al Husna ke. Ini kau pergi nyanyi lagu Hyperact. Kosong tabung pahala kau pagi ni. Jam di dashboard sudah menunjukkan pukul lapan sepuluh minit pagi. Briefcase dicapai dan pintu kereta dibuka. Selepas mengunci pintu kereta aku berpaling ke sisi dan automatik langkahku kejung di situ.

“Good morning,” Fahin menegur. Dia rileks bersandar dikeretaku. Macam mana boleh tak perasan ni Rara? Bila aku pandang sebelah kanan elok aje dia parking kereta dia sebelah kereta aku. Oh Rara betapa khusyuknya kau hayati lagu ‘Harapan’ tadi tu.

“Waalaikumussalam,” Sindirku pula. Fahin senyum kelat.

“I ingatkan nak ketuk dah pintu kereta you tadi,”

“Kenapa tak ketuk?”

“Tak nak ganggu you buat konsert pagi buta dalam kereta,” Dia nampak aku dok melalak tadi? Aduh, muka janganlah kau merah time ni. Rileks Rara, rileks! Inhale. Exhale. Inhale. Exhale.

“Tak ada kerja menghendap orang,” Aku balas perlahan kenyataannya lantas terus menyambung langkah melepasinya. Malu woi, harus jugak aku ajak baba pergi tinted cermin kereta aku tu. Kedengaran detakan sepatu Fahin semakin menghampiri. Elok aje dia berjalan seiring denganku. Aku buat tak tahu. Seperti biasa Ayi menegur aku dengan Fahin sewaktu melalui tempatnya. Fahin menarik pintu belakang lobi hotel yang sedikit berat itu.

“Lady first,” Matanya merenungku sambil bibirnya tersenyum. Aku buat juling mata ke atas dan melangkah masuk. Orang nak buat baik dengan kita, redha ajelah.

“Oh mak kau!” Tiba-tiba ruang tangga lobi itu bergema dengan suara kuat. Aku mendongak melihat ke atas. 
Di hujung tangga atas Kak Maria sedang berdiri gagah dengan troli perkakasnya. Tanpa amaran, entah kenapa jantngku berdegup dengan degupan yang tidak stabil.

“OM! Cik Naurah!”

Aku masih lagi kaku apabila Fahin mula melangkah mendaki anak tangga mendekati Kak Maria di hujung sana.

“Selamat pagi Kak Maria,” Tegur Fahin yang masih tidak sedar dengan aura fikiran Kak Maria yang pastinya dah ke laut ke gunung ke rimba tu.

“Selamat pagi OM. Eh, OM datang sekali dengan Cik Naurah ke?” Kak Maria, apa yang ada dalam otak dia, itu jugak yang dia tanya. Tak ada istilah ‘cover’ dalam kepala otak dia. Aku pantas tuding jari telunjuk pada Kak Maria sebelum membuat isyarat mulut dizip. Tuhan tolong…lembutkan hati Kak Maria, sudahnya terkeluar lirik Ombak Rindu.

“Ya, saya terserempak dengan dia…,” Fahin menjawab sambil berpaling.

“Kenapa you tercegat kat situ, jomlah naik,” Sekarang pandangannya sudah terpaku padaku yang masih statik di depan tangga.

Fahin berhenti melangkah. Kak Maria di hujung tangga atas, Fahin di tengah tangga dan aku di hujung tangga bawah.

“You naiklah dulu,” Helahku serba salah.

“You tak nak naik ke? Nak berdiri aje kat situ?” Kak Maria tersenyum lebar dihujung tangga atas.

“Nanti I naiklah,”

“Jomlah naik sekali,” Alah…nak main mesra-mesra lah pulak pagi-pagi macam ni.

Rasa macam nak terlepas briefcase di tangan bila Kak Maria dah keluarkan Samsung Galaxy S3 dia dan dihalakan pada aku dan Fahin. Tidak sempat aku halang,

“Tengok apa lagi tu? Cepatlah,” Suara Fahin dah berubah lain macam. Aku gagahkan kaki memanjat anak tangga. Fahin masih statik menunggu dan dia hanya menyambung langkah apabila aku dah dekat dengannya. Kak Maria pula cepat aje campak S3 dia dalam troli bila Fahin dah berpaling. Sambil melangkah, dalam fikiran sudah terbayang akan tsunami yang bakal melanda group Caca Marba.

“Saya masuk office dulu Kak Maria,”

“Ya OM, akak pun nak pergi start kerja dah ni. Selamat bekerja,” Sedaya upaya aku elakkan mata daripada bertembung dengan mata Kak Maria. Aku mahu mengikut langkah Fahin sahaja tanpa mahu menyapa Kak Maria tetapi sempat Kak Maria tarik lengan baju kurungku. Langkah yang ke depan tadi sudah terundur. Fahin pula semakin jauh menghampiri pintu rintangan api untuk ke ruang tingkat satu.

“Bahagia nampak?” Bisik Kak Maria dengan sengih jahat dia. Aku jegilkan mata menghantar isyarat supaya menghapuskan segala komunikasi lisan dengan segera. Ruang tangga yang tidak punya apa-apa ini boleh menghasilkan gema yang maha kuat walau kita berbisik sekalipun. Kak Maria jelir lidah. Aku tahan perasaan. S3? Aku mesti hapuskan bukti sebelum ahli lain riuh macam bapak ayam berkokok.

Sebelah tangan yang bebas daripada memegang briefcase mula meraba troli Kak Maria yang boleh tahan besar itu. Habis aku sepahkan segala tuala, toiletries, serta barang-barang yang sewaktu dengannya di dalam troli. Apabila Kak Maria tidak menghalang perbuatanku aku mendongak. Kak Maria sengih jahat sambil tayang S3 di tangannya.

“Jangan risau sayang, akak dah up dalam buletin Caca Marba,”

Aku mendengus geram.

“Akak! Naurah dengan OM tu tak ada apa-apalah. Kitaorang terserempak dekat kereta tadi. Tolong jangan sebar benda mengarut boleh tak? Tahu dek OM nanti apa pulak dia fikir? Naurah tak sukalah macam ni,” Hujung uniform Kak Maria sudah berkedut dibuat aku. Aktiviti gumpal, renyuk, ramas semua jatuh ke situ.

“Mulut orang boleh menipu lebih-lebih lagi Naurah. Akak nampak okey! Lady first! I you! Siap tunggu nak naik tangga sekali. Apa itu semua?”

Aku hilang kata-kata untuk membela diri. Kenapa mesti hari ni Fahin keluarkan semua perkataan tu dan yang lebih haru lagi ahli senior Caca Marba yang menjadi saksi. Ini bukan salah aku.

“Ini semua salah OM kak!”

“Kenapa? Dia curi hati Naurah ke?”

MasyaAllah, ke situ pulak. Corner-corner, pi mai pi mai, tang tu jugak.

“Entah-entah dia mai cari hang lepas ni dak?” Perit bahuku menerima tepukan ‘manja’ tangan gempal Kak Maria tu. Tidak semena-mena pintu rintangan api ditolak dari luar. Masin mulut Kak Maria. Fahin is back!

“I ingatkan you ikut belakang I. Cepat sikit boleh tak? Ada benda I nak discuss dengan you tentang rangka promosi F&B untuk bulan depan sebelum masuk meeting pagi ni,” Selesai bagi amanat, Fahin terus menghilang. Tak payah patah balik, call aku pun bolehkan? Tahu tak Fahin yang dia dah semakin huru harakan keadaan alam sekitar Caca Marba?

Sebaik saja Fahin menghilang, Kak Maria tergelak sakan.

“Tuhan bayar cash tau orang menipu, masin mulut akak. Ada hikmahnya akak sampai awal pagi ni. Alhamdulillah,”

Sejak bila pulak aku menipu pasal hal ni? Aku hanya mampu menggeleng. Kalau dah rosak tu rosak jugak!

“Dahlah kak, ikut suka hati akaklah. Naurah pergi kerja dulu,”

“Hah pergilah. OM dah lama dah tunggu tu. Bincanglah apa yang patut ya,”

Aduh,migrain aku.

Tolak pintu pejabat, aku terus berjalan cepat ke arah bilikku. Fifi masih tidak kelihatan di mejanya. Begitu juga dengan staf yang lain. Pagi ni dah tak sempat nak breakfast di luar. Memang menjadi kebiasaanku apabila ada sahaja meeting, memang aku tak breakfast bersama geng, nanti fokus hilang. Boleh ke macam tu? Dah peraturan hati aku macam tu nak buat macam mana lagi. Fail laporan tentang kertas cadangan yang aku sudah siapkan dicapai sebelum menuju ke bilik Fahin.

Baru sahaja tanganku mencapai tombol pintu bilik Fahin tiba-tiba

“Ehem-ehem…,”

Eh, tak perasan pulak aku yang Fifi dah tercegat di meja kerjanya.

“Hah, Fifi saya tak breakfast pagi ni, awak pergilah dengan yang lain ya, saya ada discussion,”

“Okey,” Jawab Fifi pendek. Lama pandangan matanya melihatku.

“Fi, awak tahu saya dengan orang kat dalam ni macam manakan? Awak tak fikir macam apa yang diorang fikirkan?” Aku turut membalas pandangan matanya seakan mengalirkan kuasa kebenaran.

Fifi tersenyum mengangguk. Untuk pertama kalinya barulah aku boleh menarik nafas lega.

“Good. Awak tolonglah nasihat geng kita tu sedikit, kritikal yang amat sangat diorang tu,” Tambahku lagi. Mungkin dengan menggunakan Fifi sebagai orang tengah lebih menjamin pemahaman yang cemerlang. Tanpa mempedulikan Fifi yang masih termangu di mejanya aku pulas tombol pintu bilik Fahin.

“Tapikan Cik Naurah, kalau betul apa yang diorang dok gosip tu tak ada salah pun kan?”

Terkejut aku dengar soalan Fifi sampai terpelecok aku dibuatnya. Nasib baiklah sempat juga aku berpaut pada pintu bilik Fahin kalau tak buat malu aje landing depan Fahin. Fifi aku lihat sudah menahan gelak.

“Naurah are you okay?” Fahin berkerut kening memerhati dari mejanya. Cepat-cepat aku berdiri tegak. Budak Fifi ni memang cari nahas betullah.

“I’m okay,” Jawabku tegas seraya menutup pintu biliknya.

“Ini laporan yang you nak tengok pasal F&D tu,” Fahin mengambil terus fail dari tanganku tanpa sempat aku meletakkannya di atas meja. Laporan promosi F&B untuk bulan depan perlu disemak terlebih dahulu oleh Fahin sebelum aku bentangkan dalam mesyuarat nanti. Fahin sebenarnya banyak menolong aku dalam mencari idea untuk rangka promosi. Dia menolong dengan memberi buah fikirannya yang memang boleh aku katakan ‘superb’ dan selebihnya aku akan uruskan. Nanti pembentangan senanglah dia back up kalau aku ada masalah. Disebabkan hal inilah hubungan aku dengannya sangat ‘erat’ walaupun pada perkiraanku ada sesuatu yang tidak beres antara aku dengannya. Kami terpaksa pendamkan takut kekok pulak untuk bekerjasama di kemudian hari.

Fahin masih lagi tenggelam dengan laporan di tangannya. Aku pula hanya senyap bila dia pun senyap tak tanya soalan. Mungkin dia puas hati dengan laporan aku tu.

“Macam mana? Okey tak?”

“Great,” Ujar lelaki itu sepatah. Matanya masih fokus pada dada fail. Perlahan-lahan aku menyandar di kerusi.

“Overall?” Tanyaku lagi. Macam tak percaya pulak. Tak sia-sialah aku kerja macam tak cukup tangan siapkan laporan ni.

“Yup. I rasa tak ada masalah untuk pembentangan nanti cuma you kena yakinkan diorang kenapa you pilih konsep ni untuk setiap hidangan,” Aku tersenyum.

“Of course I’m ready,”

Fahin mengecilkan pandangan matanya.

“Jangan terlalu yakin,” Ujarnya seraya menyerahkan semula fail laporan.

“Apa susah? You kan ada?”

“I tak nak komen apa-apa,” Fahin buat tak tahu. Kononnya dah nekad tak nak tolong aku kalau apa-apa jadi kat mesyuarat tetapi seingat aku tak pernah ada masalah bila aku dengan dia dalam satu bilik mesyuarat sebab Fahin tak akan benarkan masalah itu berlaku. Itu yang buat aku selesa dan sentiasa cuba menjaga hubungan dingin kami. Kalau sebelum ini pun setakat perang-perang manja aje pun. Dendam dalam hati hilang ditelan jasa dia pada aku.

“Dulu you cakap macam tu jugak,”

“Dulu tak sama dengan sekarang,”

“Okeylah kalau macam tu, jumpa di bilik mesyuarat pukul sembilan nanti,” Macam biasa, aku tak pernah risau. Hal kecik aje pun, dah aku yang buat laporan tu mestilah aku sentiasa bersedia dengan semua serangan. I am Rara okay! Apabila aku bangun, Fahin pun turut bangun.

“Tak payah nak hantar I ke pintu,”

“Siapa kata I nak hantar you? I nak pergi pantri,” Aku jatuhkan pandangan. Malu siot! Mulut ni pun apasal kau gatal sangat?

“My mistake,” Aku senyum kelat.

“Dah biasa. You dengan mistake dah macam pasangan kembar,” Pukul Fahin lagi. Sejujurnya ayat tu ayat biasa aje pun. Kalau orang cakap macam tu pada aku, hati aku tak adalah sampai nak berdenyut kencang tapi sebab yang cakap pada aku macam tu adalah makhluk Allah bernama Fahin, alahai rasa nak berdenyut pulak hati aku ni. Tapi macam biasa, aku senyum aje dan dia juga senyum.

Tok tok tok! Selepas kembali dari bilik Fahin tadi, aku menyemak pula slide pembentangan apabila sudah tidak ada masalah pada laporan.

“Masuk!”

Pintu terkuak dari luar. Fahin melangkah masuk dengan dua mug di tangan. Apasal baiknya macam malaikat pulak pagi ni?

“For you,” Dia meletakkan mug yang masih berasap di depanku. Semerbak aroma Nescafe menerjah deria bauku. Sangat menggoda hati.

“For me?” Aku buat muka terkejut.

“Yup,” Jawabnya pendek.

“Buat susah-susah aje. By the way thank you,”

“Tak ada susah pun, I buat semua ni untuk kebaikan kita. Bukanlah selalu tapi kadang-kadang naik semak jugak mata I tengok orang tersengguk-sengguk dalam bilik mesyuaratkan? Harap-harap meeting kali ni tak macam tulah ya, kan ada Nescafe tu? Confirm lepas you minum, rasa mengantuk tu tak berani serang you,”

Aku cuba tenangkan hati yang dah tak berapa nak tenang sebenarnya. Bicara Fahin selalu menghiris kalbuku. Oh my heart, sabarlah di kau. Aku nak marah tapi tak boleh sebab bicara Fahin semuanya level fakta dan bukannya auta. Selepas Fahin keluar dari bilik, aku merenung mug di atas meja. Positifkan fikiran Rara, cuba fikir dari sudut positif. Fahin sekadar mahu menolong aku. Ya, dia tidak mahu aku malu di bilik mesyuarat nanti. Ya, aku tahu niat dia baik.

Dengan lafaz bismillah, aku menghirup Nescafe O panas itu selepas meniupnya untuk beberapa saat. Nescafe O mengalir masuk dengan lancar tetapi belum sempat aku telan, kerongkong aku dah reject minuman bancuhan Fahin itu.


Yalk!! Pahit campur tawar. Gila betul mamat tu. Berani dia racun lidah aku dengan benda alah ni? Memang confirm aku tak mengantuk dalam bilik mesyuarat nanti. Aku pandang dinding sebelah. Lama-lama macam ni harus terbakar jugak bilik orang sebelah aku ni.


9 comments:

  1. Dah baca..yeay...

    Eh, apa plan si fahin ni ek? musykil nih..baik semacam jer..

    SS, Fahin romantik tak????..
    awwww..gatai na

    p/s ss takdak fb ka?

    ReplyDelete
  2. @Fatonah Rahim
    akak..bahagia nampak? ki3
    Entahlah Si Fahin tu susah nk diduga..haha..romantik? Akak nk Fahin versi romantik ke mulut pedas?

    ps: ade kak tp sy x active sgt, keje mengeLIKE aje..status tak pernah up :) kawan2 xtau sy wat kegiatan ni..hahahaha

    ReplyDelete
  3. Ermmm..aaa...eh, tetibe malu plak..ekekek

    Boleh tak nak tamak, romantik pon nak, pedas pon nak..kikiki

    p/s kalau sudi bagilah fb awak yer..hihi..sng akk nak meronggeng kat fb awak..haha..

    ReplyDelete
  4. Hoyeah! ada entri baru.

    Errr..cam musykil je apsal Fahin tetiba baik semacam je ngn Rara. Lg sakan la geng caca merba bergosip pasni.hahahaha

    ReplyDelete
  5. akak..adeh klako..2 in 1 lah ni? malu2 lak akak ni..ngeh3

    !x0r@!!! Hepi nampak? kan? adelah tu nk wat jahat die. Memang meletop lah geng2 tu nanti (^_^)

    ReplyDelete
  6. aha baru sempat baca...2-3 hari ni ofis sibuk kemas brg..tukar ofis dari ground floor ke 1st floor..

    hmm fahin dah berubah..adakah sementara @ selamanya..rara..watch out ok…takut ader udang di tepi pinggan

    ReplyDelete
  7. @Sha
    gotong royong ke sha? :) tq sha walaupn bz sempat jgk jenguk fahin n rara :)
    sume org curiga dgn fahin..hoho

    ReplyDelete
  8. yup gotong royong..ofis pun tunggang langgang lagi..sbulan lepas ni turun bawah balik..ofis bawah tgh renovate :)

    walau bz..sempat aje sha jengguk fahin & rara

    memang sgt curious dgn fahin ni...

    ReplyDelete
  9. Perrggh ! Superb la geng caca marba ni. Nak join ! Ahakks ;p

    ReplyDelete