Thursday, 20 June 2013

Babak Cinta 10

Bukan aku kata tapi orang lain yang kata bahawa kadang-kadang bila seorang lelaki atau perempuan itu berperangai pelik dengan pasangan berlainan jantina, itu bermakna mereka sedang cuba melakukan sesuatu di luar pengetahuan pasangan mereka. Apa sebenarnya yang mereka nak?

“Kak Rara!” Si kecil Asmahani berusia enam tahun berlari ke arahku. Aku yang sedang berkira-kira mahu menuang kopi ke dalam cawan baba terus tak jadi tuang.

“As, bila masuk pagar rumah jiran kita kena cakap apa?”

“Assalamualaikum Kak Rara, baba, ibu,” Senang hati aku melihat Asmahani bersalam dengan baba dan ibu sebelum mencapai tanganku.  Asmahani, anak tunggal Kak Jane dengan Abang Jamal yang tinggal di rumah sebelah selalu sangat datang bertandang ke sini.

“Abang Jamal tak nak join ke?” Aku melaung pada Abang Jamal yang sedang mencuci Vios hitam miliknya.

“Tak apa, Abang Jamal dah hantar wakil jemputan tu. Layanlah dia,” Abang Jamal turut melaung balas. Aku angkat tangan pada Abang Jamal dan Abang Jamal membalas dengan isyarat okey. Keluarga jiran yang sangat sempoi.

“Rara berapa kali ibu pesan, tak elok orang perempuan menjerit macam tu. Menjerit pada jiran pulak tu. Cuba pergi dekat pagar jemput diorang elok-elok,”

“Alah bu, bukan kita tak biasa dengan Abang Jamal and family,”

“Biasa ke tak biasa ke, adab kena jaga. Patutlah dekat pejabat asyik bergaduh aje,”

“Mana ada Rara bergaduh,”

“Yalah tu,” Baba yang baru siap menghirup kopi menjelingku.

“Kak Rara pun selalu gaduh ke? Samalah dengan As! Hari-hari As bergaduh dekat Tadika Mawaddah,”

Automatik semua mata memandang si kecil yang sedang enak menjamah kuih koci buatan ibu. Seronok layan cerita budak ni. Bayang sendiri cara budak kecil bila bercerita. Sangat over dan sangat teruja.

“As gaduh dengan siapa?” Layan angin budak sekali sekala best jugak.

“Dengan Fahin,”

Erk..rasa pahit pulak tekak aku dengar nama tu.

“Fahin tu besar ke kecik?” Siapa tahu Asmahani bergaduh dengan Fahin yang aku kenalkan?
Asmahani ketawa mengekek.

“Diakan kawan As mestilah dia kecik macam As, apalah Kak Rara ni,”

Sudahnya aku pulak yang diketawakan. Baba dan ibu jugak turut join semulut ketawakan aku.

“Kenapa As selalu gaduh dengan Fahin?” Ibu bertanya. Mulut kecil Asmahani terus berceloteh dengan semangat sekali.

“Dia selalu kacau As. As sakit hati tau. As rimas,” Amboi budak ni, cakap macam orang dewasa. Kata Kak Jane memang Asmahani bercakap macam tu. Aku tanya kenapa? Kak Jane jawab sebab Asmahani suka tengok drama Melayu. Segala slot Akasia, Zehra, Azalea, Samarinda, Carekarama semua Asmahani bedal. Itu yang menurun tu.

“Ini mesti As ada kacau dia ni?” Tebak baba. Bersungguh-sungguh Asmahani geleng kepala dengan kedua tangan terangkat menidakkan pertanyaan Baba tadi.

“Tak baba, As tak pernah kacau dia. Dia yang selalu kacau As. Dia suka tarik rambut As, curi pemadam As, buku As, makan makanan As. Orang lain dia tak kacau tapi As ni selalu kena dengan dia, geram As,” Budak kecil itu sudah mengeluh. Aduh, budak-budak pun dah pandai mengeluh? Alamatnya cepat tualah Si Asmahani ni. 

“Habis tu kenapa As tak lempang aje dia?” Soalku emosi. Ini dah lebih dah ni. Memang manusia bernama ‘Fahin’ ni suka sakitkan hati orang. Waktu budak macam nilah senang nak ambil kesempatan. Orang akan ingat, apalah sangat yang budak-budak tahu? Bergaduh lepas tu bertumbuk. Biasalah tu budak nak membesar. Lempang aje. Macam aku ni tak bolehlah nak lempang Fahin besar tu sebab kami dah cukup tahap tumbesaran.

“Naurah!!” Haa..ibu dah tak panggil aku Rara dah.

“Tak boleh lempang Kak Rara. Tak baiklah nanti Allah marah,” Rasa macam sengal pipi aku kena lempang dengan ayat Asmahani.

“Pandainya cucu ibu ni,” Ibu cuit hujung hidung Asmahani. Budak tu pulak dah senyum malu-malu.

“Mummy yang ajar. Mummy cakap tak baik gaduh-gaduh. As dah cakap kat Fahin tapi Fahin tak nak dengar. Asyik nak gaduh aje,” Keluhan Asmahani masih lagi tidak berpenghujung. Nakal betul Si Fahin kecil ni, padan sangat dengan perangai hantu Si Fahin besar.

“Ke Fahin suka As?” Baba mengusik Asmahani tapi kenapa aku pulak yang terlebih rasa?

“Ish, mana ada baba,” Asmahani tepuk perlahan lengan baba. Hish, budak ni memanglah macam orang tua.

“Betul ke tak ada apa-apa? Mana tahu Fahin usik As sebab dia nak As selalu main dengan dia,” Kali ni kasi up, terasa kuasa dua! Fahin dah gila ke apa? Fahin mana yang gila Rara? Fahin besar ke Fahin kecik?

“Kami kecil lagilah baba. Budak kecil mana boleh suka-suka, cinta-cinta macam dalam cerita tu. Nanti mummy dengan daddy marah,”

“Oh, kena tunggu nanti besarlah ni?” Aku cuba mengujinya. Pantas sekali Asmahani mengangguk.

“Ya, kena tunggu besar macam Kak Rara dulu baru boleh. Macam Kak Rara sekarang bolehlah suka-suka, cinta-cinta dengan Fahin,” Automatik darahku menyirap naik.

“Kenapa Fahin?” Soalku emosi.

“As bagi contohlah akak,” Dia jeling aku. Aku tahan perasaan. Budak ni lah. Banyak lagi contoh lain kenapa nama lelaki itu jugak disebutnya. Buatnya masin mulut kau budak? Aku saman satu juta. 

Pin! Pin! Bunyi hon kereta membingit. Apabila berpaling ke arah pintu pagar, kelihatan Taufik sedang keluar dari sebuah kereta mewah sebelum seorang pemuda keluar membantu. Kenapa Taufik balik berhantar bagai? Motor dia lesap ke mana? Kami semua bangun mendapatkan Taufik yang sedang bersalam dengan pemuda yang masih tidak tentu identitinya.

“Fik, kenapa balik dengan kawan ni? Motor mana?” Baba menegur. Kedua-dua yang sedang bersalam itu pantas berpaling. SubhanAllah. Terus perkataan mulia itu terucap di hatiku sebaik sahaja melihat wajah lelaki sebelah Taufik itu. Erk, kawan Taufik ni turun dari planet mana?

“Apa khabar pak cik,” Terus lelaki itu menghulur salam dan baba menyambut senang. Dia menghulurkan senyuman secara bergilir bermula daripada ibu yang berdiri di sebelah baba, kemudian turun pada si kecil Asmahani di sebelah ibu kemudian naik kembali pada aku yang berdiri di sebelah Asmahani.

Ketar bibir aku nak balas senyuman dia. Apa perasaan korang kalau Fahrin Ahmad senyum pada korang? Tak cukup teruja? Kalau Izzue Islam senyum? Bukanlah aku nak cakap kawan Taufik ni rupa dia macam Fahrin Ahmad atau Izzue Islam tapi tang perasaan yang kita rasa kalau lelaki genetik macam tu senyum pada kita. Boleh mendatangkan masalah jantung. Boleh buat bendalir synovia kering. Kejung terus kat tepi jalan ni. 

“Fik accident dekat Jalan Temenggong tadi. Abang ni yang tolong Fik. Motor dah hantar bengkel,”

“Astaghfirullahalazim, Fik tak apa-apa ke ni?” Ibu sudah mengucap panjang. Terus dibelek-belek tubuh Taufik atas bawah depan belakang. Maklumlah anak teruna tunggal emas ibu. Aku buat-buat rileks aje. Selagi aku tak nampak adik aku terlantar atas katil hospital aku kira dia tak apa-apalah kot. Ibu aje yang terlebih risau tapi aku faham perasaan seorang ibu memang macam tu. Dengan Paloma pun ibu dah terlebih tunjuk kasih sayang inikan pula anak yang dia kandung tiga puluh lapan minggu. 

“Fik tak apa-apa bu, accident sikit aje tadi pun,” Taufik peluk mesra bahu ibu untuk menenangkan hati tua itu.

“Maaflah kalau anak pak cik ni dah menyusahkan anak,”

“Eh, tak ada apa yang nak disusahkan pak cik. Hari ni saya tolong dia mana tahu esok lusa anak pak cik pula yang tolong saya,” Ujar pemuda itu berbahasa. Adoi, tertib sungguh suara dia menjawab. Kenapa perasaan ni rasa macam segar aje bila tengok wajah dia? Rasa macam damai aje bila dengar dia bersuara? Aku senyap saja memerhati dari dekat. Mulut ni reti duduk diam pulak bila tengok orang tu dari dekat.

“Ya baba, Abang Hanif ni baik. Orang lain bukan nak tolong Fik tapi tengok aje. Nasib baik ada Abang Hanif,”

“Tak apa-apa lah Fik. Abang ikhlas bantu Fik,” Pemuda itu masih lagi tersenyum sampai bibir aku pun dah ikut dia senyum. Macam berjangkit.

“Masuklah dulu, kami pun tengah rehat sambil minum petang dekat taman tu,” Ibu tiba-tiba mengajak pemuda itu minum petang. Orang berbudi, kita kenalah tahu berbahasa.

“Tak apalah mak cik, mungkin lain kali. Saya ada hal ni, niat saya nak bantu Taufik hantar sampai rumah aje,”

“Betul ke abang tak nak singgah masuk dulu?” Taufik pun seakan ingin memanjang hubungan silaturahim dengan lelaki yang bernama Hanif itu.

“Lain kalilah Fik,” Terus pemuda itu bersalam dengan baba dan Taufik sebelum menjual senyumannya pada kami para wanita. Sekejapnya? Dah nak balik ke? Apasal macam tak puas aje aku tengok dia? Kalau boleh pause, dah lama aku pause biar dia tak bergerak. Boleh aku tenung lama-lama. Aku pandang sahaja Hanif yang santai mengenakan seluar jean hitam dan berbaju t-shirt biru gelap membuka pintu kereta. Sebelum masuk sempat lagi dia lambai tangan pada kami dan zasss….Ya Allah kenapa dengan jantung aku ni?

Aku rasa sempat dalam masa tak sampai dua saat mata kami bertembung. Dia tengok aku ke atau mata dia juling? Rasanya tak. Mungkin aku yang terlebih perasan. Nafas dihembus panjang untuk tujuan penyelenggaraan hati. Sekali hon, terus kereta itu bergerak dan mula menghilang di hujung lorong. Indah sungguh rasanya perasaan pada petang hujung minggu ni. Kalau boleh nak ada perasaan macam ni hari-hari. Tapi esok dah kerja. Bila kerjakan kena pergi hotel dan bila pergi hotelkan kena jumpa Fahin? Adoi, confirm berterabur mood aku pagi esok. Malasnya!!!!

<3 <3 <3

“Awal pagi ni Cik Naurah?” Aku bertembung dengan Omar yang baru nak masuk pejabat.

“Awal apanya Omar, saya dah lambat ni. Pagi ni ada briefing kat Dewan Belantara,”

“Briefing pukul lapan setengahkan? Sekarang baru pukul lapan,”

“Pukul lapan apanya dah pukul lapan dua puluh lima. Awak ni tinggal kat Malaysia ke luar Malaysia?” Aku tunjuk jam di lengan pada Omar. Mata Omar terus membulat.

“Adoi, ini mesti anak saya main dengan jam tangan saya,” Omar tunjuk pulak jam tangan dia pada aku. Aku tergelak bila lihat jarum jam tangan Omar baru menunjukkan pukul lapan pagi.

“Dahlah tu, kita dah lambat. Office dah kosong tu, jom,” Ajakku. Omar tak jadi masuk office sebaliknya melangkah seiringan denganku ke Dewan Belantara yang terletak di sebelah lobi. Sebaik sahaja menolak pintu Dewan Belantara, semua staf sudah memenuhi dewan. Rasa malu pun ada bila semua mata memandang aku dan Omar. Mana taknya kami masuk ikut pintu depan dewan sebab pintu belakang tak bukak. Aku berjalan sambil menyorok kat tepi Omar.  Malu! Dahlah barisan kelompok aku tu berbaris dekat hujung dewan.

“Kenapa lambat?” Soal Fifi bila aku dah berdiri di sebelah dia.

“Jammed dekat jambatan,”

“Dah tahu jambatan jammed kenapa tak turun awal-awal?” Sebenarnya jambatan tu tak salah tapi aku yang bangun lewat. Biasalah manusia macam aku ni suka mencari alasan.

“OM mana? Tak nampak pun?” Aku alih topik. Selalunya Fahin yang membebel kalau staf lambat masuk briefing.

“OM ada tadi tapi dah keluar. Nampak macam busy. Dengar kata Datuk pun join jugak briefing pagi ni,”

“Really?” Bila kali terakhir Datuk join? Bulan lepas rasanya. Briefing untuk semua warga hotel biasanya dilakukan pada hari pertama bekerja setiap minggu. Seluruh staf akan berkumpul di dewan. Briefing untuk setiap tugas pula bergantung pada ketua setiap department. Kalau department aku hanya bergantung pada briefing ni. Tidak lama selepas itu pintu dewan kembali terbuka. Datuk Kamal melangkah masuk diiringi Encik Zafran selaku pengurus besar. Datuk Kamal memberi ucapan setelah bacaan doa dibaca oleh Haji Harun. Tak ada topik lain yang disentuh pemilik hotel ini kecuali tentang kerukunan hubungan antara staf. Selain itu beliau turut memberi semangat dan motivasi supaya kami sentiasa komited dengan tugas kami. Aku selesa bekerja di hotel ini kerana teknik pengurusan Datuk Kamal sangat bagus di mana beliau sangat mengambil berat tentang kebajikan staf.

Aku berharap sangat semua staf yang dilatih sejak awal oleh pengurusan Hotel Perwira akan terus setia berkhidmat dengan Datuk Kamal. Ada ura-ura mengatakan pesaing terbaru kami Hotel Pancawarna, satu hotel yang bertaraf lima bintang akan mula beroperasi dua bulan dari sekarang dan pastinya hotel itu akan membuka sesi temuduga dan orang-orang berpengalaman seperti staf Hotel Perwira bakal menjadi sasaran. 

“Saya juga ingin mengambil peluang untuk kenalkan staf yang bakal bersama-sama kita mengekalkan nama baik hotel kita,” Enam orang staf baru beratur mengambil tempat di hadapan untuk memperkenalkan diri masing-masing. Rasanya mataku masih tidak rabun. Adakah salah seorang daripada enam orang itu adalah orang yang sama aku lihat di depan rumahku semalam? Lelaki yang baik hati menolong Taufik?
Hanif?

“Assalamualaikum. Nama saya Muhammad Hanif,”

Sah!

“Saya bakal bertugas di bahagian main office di bawah penyeliaan Encik Fahin,”

Bekerja bawah penyeliaan Fahin? Hanif anak Datuk Kamal ke ni? Kenapa muka dia tak sama macam Datuk Kamal sampai aku tak boleh kenal dia kelmarin?

“Saya  harap kita semua dapat bekerjasama dengan baik. Terima kasih,” Ringkas dan padat sekali ayat pengenalan dirinya. Aku masih melihat dengan rasa tidak percaya. Staf lain bagi ucapan pun dah tak masuk dalam kepala. Isi kepala dah penuh dengan perkataan ‘Hanif’. Kebetulan apakah ini?

“Comel jugak staf baru yang nak masuk office kita tu ya?” Aku pandang Fifi yang masih asyik melihat orang di hadapan sana.

“Ermm..,” Akhirnya, hanya bunyi itu yang mampu aku bagi sebagai jawapan. Bersimpang siur rasanya saraf otak aku sekarang. Agak-agak dia ingat lagi tak aku? Kalau dia tak ingat? Macam mana nak berhadapan dengan dia kat office nanti? Perlu ke aku tegur dia atau buat-buat tak ingat?

“Hai, macam tak ada mood aje menjawab?”

“Nak suruh saya komen apa lagi?” Soalku malas.

“Gaduh lagi ke dengan OM?”

“Tolong jangan bagi soalan yang boleh buat saya hilang mood boleh?”

“Erm, gaduh lagilah tu,”

Aku mengeluh. Ikut suka hati kaulah labu. Malas aku nak mengulang ayat sama hari-hari.

Sebelum bersurai, aku lihat Hanif berjalan ke arah barisan kami bersama Fahin. Fahin memperkenalkan setiap staf yang bekerja di bahagian kami. Jantung aku dah mula buat hal. Aku statik tapi dia berlari. Kenapa dengan kau ni jantung? Nak pergi IJN ke?

Akhirnya…

“Kenalkan ini Cik Nur Naurah, pengurus pemasaran Hotel Perwira. Naurah, kenalkan ini Hanif,”

Aku senyum teragak-agak. Wajah Hanif pada mulanya seperti terkejut sebelum dia tersenyum.

Oh, manisnya! Manisnya senyumanmu…

Haih, kumpulan Elite dah melalak pagi-pagi buta dalam hati aku ni apa kes? Pergi main jauh-jauh kat pantai sanalah.



8 comments:

  1. Amboi Naurah belum-belum hati dah nak jatuh... tunggu masa ja nak tergolek ya... hehehe
    Fahin nampaknya U ada persaing terbaru...
    kita tengok sejauh mana hati Fahin pada Naurah....

    ReplyDelete
  2. I like! Hanif dah muncul dah.. hihihi.. taktau kenapa saya teruja je bila watak Hanif muncul. tak sabar nak tengok reaksi Fahin pulak.. hahaha

    ReplyDelete
  3. Naurah dah angau....hahaha....

    ReplyDelete
  4. aha hanif dah muncul..suka sgt.. ha lps ni fahin kena la usaha lebih.. klau betul dia suka rara..

    suka sgt baca entri ni..asyik senyum jer..fahin-rara-hanif

    ReplyDelete
  5. Cik Shiroe, bila Hanif nak mai nih? Kikiki.. x sabaq tunggu watak ke-3.. hihihihi

    ReplyDelete
  6. Tq sgt2 utk komen n fokus korang utk bab10 :)

    cik xora..bab11 xsiap edit lg..ngeee..tgklah kalau sempat sy post tgh hari atau ptg ni ya :)

    ReplyDelete
  7. Well en fahin, anda perlu lebih 'kerja keras' lg mulai skrg. Good luck ! #evil_laugh

    ReplyDelete