Sunday 9 June 2013

Babak Cinta 7

Mesyuarat berlangsung dengan lancar pagi itu. Alhamdulillah aku berjaya menyampaikan laporan tentang promosi F&B untuk bulan depan dengan jayanya tanpa bantuan Fahin. Datuk Kamal serta yang lain terutamanya ketua chef Hotel Perwira sangat berpuas hati dengan pembentanganku.

“Sebelum kita bersurai, suka untuk saya maklumkan di sini yang kita semua bakal menerima seorang staf baru tak lama lagi. Kalau tak ada aral melintang, insyaAllah dia akan menyertai hotel kita bermula minggu depan,” Datuk Kamal yang mengetuai mesyuarat pagi ini memberi satu khabar gembira buat warga hotel.

“Siapa tu Datuk?” Encik Ashraf bertanya.

“Anak saya,”

“Maksud Datuk, Anis?”

“Eh, taklah, Anis tak habis belajar lagi. Anak sulung saya, Hanif,” Setahu aku anak sulung Datuk Kamal tu Anis. Datuk ada anak lain lagi ke? Selalunya yang hadir sekali dengan Datuk Kamal untuk majlis makan malam, Anislah aku tengok yang paling besar, yang lain tu mungkin masih belajar di sekolah menengah atau baru nak masuk universiti.

“Hanif? Bila dia balik?”

“Kelmarin. Alhamdulillah terbuka jugak hati dia untuk balik dan menetap di sini,” Datuk Kamal tersenyum senang. Oh, mungkin anak sulung Datuk Kamal ni menetap di perantauan untuk satu jangka masa yang lama mungkin?

“Baguslah kalau macam tu. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Bukan begitu Datuk?” Bilik mesyuarat yang sedikit sunyi tadi mula bergema dengan bunyi ketawa ahli-ahli yang menghuni di dalamnya apabila Encik Ashraf menjual peribahasanya.

Daripada jawapan Datuk Kamal dan peribahasa Encik Ashraf, aku rasa Hanif tu dah tinggal lama di luar negara dan bekerja di sana. Sekarang baru nak balik? Kalau nak dihitung, ramai juga anak-anak muda sekarang yang tamat belajar di luar negara mengambil keputusan untuk menetap dan bekerja di sana. Ada yang menetap terus dan ada juga tunggu sampai seru nak balik, baru merangkak nak balik. Tidak sedarkah mereka yang negara kita sekarang sangat memerlukan tenaga mereka untuk membela maruah bangsa dan negara?

“Ya. Itulah yang terbaik,” Suara Datuk Kamal menyedarkan aku yang sedang berceramah di alam fantasi.

“Jadi, saya akan letak dia bawah Fahin. Bolehkan Fahin?” Semua mata bertumpu pada wajah lelaki yang duduk di sebelahku.

“Tak ada masalah Datuk,” Jawab Fahin tenang. Dalam hati aku dah boleh bayang macam manalah agaknya gelagat Hanif yang bakal bekerja dengan Pengurus Operasi Hotel Perwira yang sangat cerewet serba serbi ni. Kesan pada Hanif kalau tak gila pun, mental! Aku ketawa dalam hati. Tengok? Aku pun dah hampir nak gila sekarang.

Saat Datuk Kamal dan yang lain mula bangun, aku cepat-cepat menyusun fail di atas meja.

“Nampaknya Nescafe yang I bancuh memang bagi effect yang memberangsangkan pada you sepanjang meeting tadi,” Suara Fahin menegur dari sebelah. Aku kerling dia sekilas. Lelaki itu juga sibuk menutup fail dia.

“Nasib baik otak I masih boleh berfungsi  dengan betul lepas minum air yang you buat tu,” Sindiran terlepas jua. Fahin ketawa perlahan.

“Melampau. Takkan sampai effect otak?”

“Mana you tahu tak effect? You bukan doktor pun,”

“Yang I nampak sekarang air tu tak effect otak you tapi effect perasaan you,” Sekali lagi aku kalih pandang Fahin. Kali ini dia tenang menyandar di kerusi. Semua orang dah keluar, yang dia ni tak nak keluar ke? Nak bertapa di bilik mesyuarat?

“Eh, mestilah! Siapa tak marah kalau minum air yang you bancuh tadi tu,”

“You marah?” Fahin dengan soalan standard mintak pelempang memang tak boleh dipisahkan.

“Ya, I sakit hati gila dengan you,” Sengaja aku getarkan suara supaya dia tahu tahap kegilaan aku sakit hati dengannya. Fahin tergelak.

“I suka hati gila bila you buat pengakuan macam tu,” Aku tahan perasaan bila Fahin bagi jawapan dengan nada yang sama aku gunakan tadi. Sabar ajelah dengan mamat ni.

“Patutlah baik semacam pagi tadi, baik bersebab, tak ikhlas langsung,” Gumamku perlahan sambil berjalan ke komputer di sudut hujung bilik untuk menghapuskan slide pembentangan tadi. Ini sudah dikira sulit, kalau tak, tak akanlah aku tunjuk benda ni dalam bilik mesyuarat aje.

“You jangan salah faham Naurah, I ikhlas, kita memang baik apa selama ni? Kalau tak, takkanlah kita boleh bekerja sebumbung sampai setahun lebihkan?”

“Itu yang you nampak. I tak nampak apa yang you nampak,”

“Tak kisahlah you nampak atau tak sebab you memang tak akan pernah nampak I ni baikkan?”

Entah kenapa aku rasa nak ketawa dengar dia tanya aku macam tu. Ada jugak ke orang mengaku dia baik? Fahin baik? Perangai macam hantu adalah.

“Kenapa tiba-tiba ungkit pasal baik ke tak baik ni?” Pandangan Fahin masih padaku sewaktu aku kembali berjalan ke meja untuk mencapai fail. Aku berlagak tenang biarpun kondisi perasaan rasa macam tak enak. Yalah, siapa selesa kalau kena perhati waktu tengah berjalan. Sangat tidak selesa. Aku laser jugak mata Fahin ni.

“I tak ungkit, I cuma nak you sedar apa yang ada dalam hati you tu,”

“Maksud you?” Sampai sahaja di meja, fail aku ambil dan berpaling menghadap Fahin yang masih duduk di kerusinya.

“You masih nak berselindung?”

“You nampak I tengah menyorok ke sekarang ni?”

Fahin senyum senget.

“Cuba bayangkan seluruh populasi warga Perwira sangat selesa bekerja dengan I dan I juga selesa bekerja dengan mereka tapi bila melibatkan Cik Naurah kita ni, I tak rasa you macam mereka semua. You tak suka I kan?” Lagi masuk bakul angkat sendiri. Mana dia tahu semua orang selesa dengan dia selain aku? Perasannya dia.

“Macamlah you boleh baca apa yang ada dalam hati I ni,” Aku jungkit kening. Pandangannya aku balas dengan berani.

“Memang I tak boleh baca apa yang ada dalam hati you tu tapi setiap perlakuan you tu mencerminkan sendiri apa yang you rasa,”

“Oh, senang betul nak baca hati orang ni kan? Habis tu segala perlakuan you selama ni pun membuktikan you pun tak suka I kan?”

“Apa yang I dah buat pada you?” Ya Allah, Kau limpahkanlah perasaan sabar dalam hatiku, aku mohon padaMu. Dia ni memang nak pelempang agaknya.  

“Apa yang I dah buat pada you?” Disebabkan geram yang teramat sangat, aku terajuk dialog dia. Ketawa besar Fahin dibuatnya.

“Comel!” Komennya sepatah. Nasib baik tak luruh telinga aku.

“Don’t say that word!”

“Why? Puji pun salah?”

“Please! Pujilah sangat,” Aku buat juling mata ke atas. Menyampah!

“Tengok? You memang tak pernah nak hargai niat baik I ni,” Fahin dengan wajah serius dia. Aku melepaskan nafas perlahan. Okey, untuk sekali ini biarlah aku tanya dia secara terus terang. Malas dah nak berselindung.

“Sebenarnya dah lama I nak tanya you sesuatu,” Rangka pendahuluan disusun.

“You nak tanya apa?” Fahin duduk tegak. Tidak lagi menyandar. Aku pandang dia atas bawah sebelum mengajukan soalan berani mati. Lantak kaulah Fahin oi.

“You ni ada masalah otak ke? Kadang-kadang you kenakan I hingga buat I naik gila tapi ada satu masa tu you buat-buat mesra dengan I sampai buat I terfikir, you ni memang baik atau you buat semua itu dengan niat yang tersembunyi?” Isi hujah dibentangkan dengan jelas dan padat sekali. Wajah Fahin? Oh my! Merah ke merah jambu ni? Sentaplah tu.

“Dah habis fikir? You rasa I ni macam mana?” Porahhh..orang tanya dia, dia tanya orang.

“Mestilah I fikir you ada masalah otak. Tak nak pergi buat check up? I boleh temankan,”

“Huh, lawak sangatlah tu. Macam ni lah Cik Naurah, daripada you temankan I pergi check up otak I, lebih baik you tu pergi check up hati you. Bersihkan segala kotoran syak wasangka you pada I. Lagipun sampai bila you nak pandang I dari sudut negatif aje? Takkanlah sebab I kenakan you pasal anak Paloma hari tu sampai mati you nak boikot I? Lagipun I dah mintak maafkan?”

Oh no! Fahin’s attack!

“I…,” Hish, kenapa kau gagap pulak ni?

“Jujur I tanya you, you selesa hidup macam ni?” Bila aku dah tergagap-gagap, cepat aje dia ambil peluang. Kenapa suasana macam serius tiba-tiba ni?

“Maksud you?”

“Berdendam dengan I,” Amboi, kejamnya ayat! Dia ingat aku ni jahat sangat ke? Aku jahat sikit aje, itu pun dengan Paloma.

“Siapa kata I berdendam dengan you?”

“I yang cakap. Kenapa? Salah?”

“I tak berdendam dengan you lah,”

“Habis tu kenapa kita tak macam orang lain?” Aik? Apasal lain macam aje soalan dia ni?

“You nak macam mana lagi?” Tekanku geram. Blur sekejap. Apa hubungan aku dengan dia tak sama dengan hubungan aku dengan orang lain? Dia dengan orang lain tu bukan ke sama-sama manusia?

“Hah tengok? I jamin kalau dengan orang lain you tak akan geram macam ni kan? Tapi kalau dengan I?” Fahin sudah bangun berdiri menghadapku. Aku undur selangkah. Tak boleh main jauh-jauh sikit ke?

“Okey, I tak berdendam dengan you Encik Fahin. Puas hati?” Sudahnya aku menyerah kalah sambil angkat tangan. Kalau ada bendera putih, dengan bendera tu jugak aku angkat.

“Kenapa I rasa macam kurang ikhlas ayat you tu? Macam terpaksa aje. Siap tanya I puas hati atau tak lagi,” Aku ketap bibir. Eei, aku cubit-cubit jugak mulut mamat ni. Ada aje buah fikiran dia nak corner soalan. Nak suruh aku nyanyi lagu Dendam Terlerai dulu baru nak percaya? Maaflah aku tak boleh tarik pitch tinggi-tinggi.

“Hish, susahlah cakap dengan you ni,”

“You yang buat keadaan jadi susah,”

“Eei, dahlah. Cukuplah cakap pasal ni. I pergi dulu,” Aku mahu berundur tetapi kerusi aku tadi buat jahat pada tuan dia. Disebabkan perlanggaran itu, sekali lagi aku terpelecok. Tak sempat nak bergantung dah.

“Naurah!” Waktu aku sudah pasrah nak jatuh tiba-tiba suara Fahin datang menyapa. Bukan suara aje malah tangan dia turut memberi reaksi apabila melihat aku yang sudah mahu tersungkur. Aku pandang dia, dia pandang aku. Selepas dua saat, kami seolah-olah dua magnet yang sama kutub. Saling menolak. Waktu Fahin tarik aku tadi, kami macam magnet yang berlainan kutub. Gila! Gila!

“OM ada orang nak…,” Suara Fifi mati di situ. Fifi memandang aku dan Fahin silih berganti. Aku telan liur. Dia nampak ke?

“Fifi!” Seakan kebetulan apabila aku dan Fahin menyebut nama Fifi serentak sebelum pandangan kami bertaut. Zassss!!! Aku alih pandang.

“Ya, saya Fifi. Saya ada terlepas apa-apa ke?” Soal Fifi dengan wajah blur. Hish otak budak ni! Macam tahu-tahu aje. Aku pantas menggeleng.

“Awak cari OM kan? Ambiklah, saya dah habis discuss dengan dia. Pergi dulu,” Tanpa berpaling melihat Fahin aku pantas berjalan keluar dari bilik mesyuarat. Sambil berjalan aku ketuk kepala dengan fail. Bodoh kau Rara! Kenapa kau boleh ter…hish, rasa macam nak hantuk kepala kat dinding biar hilang ingatan sehari ni.

Pintu kayu pejabat aku tolak dengan fikiran yang masih serabut. Semakin bertambahlah masalah aku dengan dia.

“Cik Naurah,” Lisa yang duduk paling dekat dengan pintu pejabat menegurku. Aku berhenti di hadapan partition dia.

“Kenapa?” Soalku tak ada mood.

“Tu, ada tetamu!” Mulut Lisa terjuih ke arah ruang menunggu. Aku berpaling. Kelihatan seorang perempuan cantik, menarik, tertarik, kau memang anggun, sedang menunggu di situ. Tak kenal pun!

“Dia nak jumpa saya ke?”

“Taklah, dia tunggu OM,” Jawab Lisa dengan nada selamba. Automatik darahku menyirap naik.

“Habis tu buat apa awak bagitahu saya? Saya ni ada iras muka OM ke?” Automatik suasana pejabat senyap sunyi. Hilang sudah suara staf yang tadinya ada berbunyi sikit-sikit. Lisa terlopong memandangku. Perlahan-lahan aku berpaling, lapan orang staf yang lain turut memandangku termasuklah perempuan yang sedang menunggu di ruang menunggu itu. Lantas aku jatuhkan pandangan. Maknanya aku menjeritlah tadikan?

“Maafkan saya Cik Naurah,” Wajah Lisa dah lain macam. Aku cepat-cepat mencapai tangannya.

“It’s okay. Saya stress tadi. Baru lepas habis meeting. Maafkan saya tapi saya nak ingatkan lain kali jangan buat macam ni lagi okey,” Aku turunkan nasihat diiringi dengan senyuman mengancam, bibir tersenyum menandakan mesra, mata terjegil menandakan amaran. Lisa tersenyum seraya mengangguk yakin.

“Saya janji!”

“Good!”

Tidak semena-mena pintu pejabat ditolak dari luar. Muncul Fahin dan Fifi di situ.

“Hah, OM! Cik Rujhan sedang menunggu,” Lisa kenyit mata pada aku. Aku mencebik. Dah rosak agaknya mata budak ni. Tanpa mempedulikan suasana pejabat yang suram aku mengatur langkah ke bilik.
Baru nak tutup pintu tiba-tiba satu suara dingin menyapa telingaku.

“Kenapa datang sini?”

Aku tak jadi tutup pintu. Kenapa suara dia macam nak makan orang?


“Rujhan datang sini sebab nak jumpa abang,” Jawab perempuan itu sayu. Fahin kelihatan mendengus sebelum berpaling untuk ke biliknya. Aku cepat-cepat rapatkan pintu bilik. Erm, memang sah! Si Fahin ni suka sangat cari gaduh dengan orang. Tengoklah tadi tu, bukan nak sambut tetamu dengan elok. Ditayang muka ketat dia tu. Rujhan? Siapa perempuan tu? Abang? Siapa perempuan tu pada Fahin? Ini yang buat darah CSI aku berdenyut ni. 

9 comments:

  1. Wow,makin menarik ni! Terbayang Fifi yg bakal bergosip sakan pasni dgn ahli mesyuarat tingkap.. sy syak Fifi sempat tgk aksi sebabak Rara ngn Fahin kan? Hihihi.. Err,Rujhan? Hanif? Double wow! Hahahaha

    ReplyDelete
  2. Ermmm...mesti hanif akan jadi pesaing Fahin..kikiki

    Ye dak cik writer...??

    ReplyDelete
  3. tak abis lagi rupanya perang FN..ada je kan yang tak kena antara Rara & Fahin

    dok tunggu kehadiran Hanif..mana tau masa tu baru Fahin buka mata

    ReplyDelete
  4. Hahaha. Kelakar lah FN nie.

    ReplyDelete
  5. harap2 fahin tak buat hakak curang dgn tuan ray... hekhek...

    ReplyDelete
  6. pasti gamat ahli2 caca marba tu xora :)aish..kena tny fifi tu cmno..ki3..rujhan n hanif? kenalah FN nanti ;)

    hikhik..skt tekak lg ke kak? adalah probability dlm 90%..ngeh3

    huhu..mmg tak akan habis...skrg ni 2-2-2 masih tak bukak mata sha ;p

    cik nony..moh ler kita gelak sama2 :)

    erk kakizz...molekul2 curang ada berdenyut2 tak? Habislah T.Ray..ngeh3

    ReplyDelete
  7. hanif? fahin? amboi, pusing-pusing lima hurup tu je ye. hahaha.

    thanks for this entri. mau lagi! ;-)

    ReplyDelete
  8. haha..nurul..saya pun baru perasan yg nama dua makhluk tu main pusing2 huruf jer..adeh..klako!

    Welcome :) nnti sy update :)

    ReplyDelete
  9. Wow ada org k 3 dan k 4 la. Huiiiish ! Interesting. Fufufufu
    Aigooo ~ kjap lg riuh la caca marba tu. Hailah, ksiaan rara. Huhuhu

    ReplyDelete